Saturday, February 25, 2012

Amalan hijau untuk kehidupan lebih baik



Menunggang basikal antara amalan hijau yang patut digalakkan kerana bukan sahaja ia aktiviti sihat, tetapi juga membantu mengurangkan pencemaran udara dan memulihara alam sekitar. - BERNAMA


BAGI kebanyakan orang, ketibaan tahun baharu bermakna membuat azam baharu dan Nadia ialah antara mereka yang menanam azam sedemikian.

Pada satu majlis makan malam baru-baru ini, Nadia berkongsi cerita dengan rakan dan tetamu semeja yang beliau telah mencapai satu daripada azam tahun baharunya.

"Cepatnya? Baru masuk Februari," kata seorang teman yang mendengarnya.

Nadia, pekerja swasta berusia 45 tahun, berkata, azam tahun baharu 2012 beliau hanya dua - pertama untuk mengurangkan bil elektrik rumahnya yang tinggi setiap bulan dan kedua mengutamakan amalan hijau bersama keluarga.

Beliau nekad untuk berjimat kerana merasakan suatu pembaziran apabila bil elektrik rumah dua tingkatnya yang dihuni enam orang, mencecah sehingga angka RM500 sebulan.

Beliau dan suami bekerja di siang hari dan anak-anak bersekolah. Yang ada di rumah sepanjang hari hanyalah pembantu rumah.

Melalui internet beliau mencari maklumat cara menjimatkan elektrik yang terbaik.

Oleh itu bermula Disember 2011 dan memasuki tahun baharu, beliau memastikan kipas angin lebih banyak digunakan di rumahnya daripada alat pendingin hawa.

Jika keluarga menggunakan pendingin hawa sekali sekala, Nadia memastikan suhu ditinggikan kepada 23 darjah Celcius. Beliau memasang pelindung matahari pada tiga unit pendingin hawa di rumahnya. Daripada maklumat yang diperolehinya, langkah itu boleh menjimatkan elektrik.

Nadia turut memastikan anak-anaknya diajar supaya mematikan suis lampu dan kipas setiap kali keluar bilik. Mereka diingatkan supaya menanggalkan plug peralatan elektrik yang tidak digunakan.

Pembantu rumah pula, katanya, diingatkan supaya lebih kerap membersihkan peralatan elektrik terutama yang ada alat penapis, dan memastikan peti sejuk tidak sarat dengan muatan dan tidak menyimpan makanan panas di dalamnya.

Ketika hendak memasak atau menyediakan makanan, pembantu rumahnya akan mengeluarkan segala bahan yang diperlukan dari peti sejuk kerana Nadia melarangnya membuka dan menutupnya terlalu kerap.

"Setiap kali pintu peti ais dibuka, kira-kira 30 peratus udara sejuk akan keluar," katanya yakin.

Nadia juga melarang pembantunya menggunakan mesin pengering pakaian sebaliknya menjemur semua baju di bawah cahaya matahari. Beliau turut memastikan suis monitor semua komputer riba dimatikan bila tidak digunakan, begitu juga televisyen.

Nadia membuang tabiat meminta pembantu menggosok pakaian setiap kali beliau suami isteri mahu ke pejabat, atau ke mana-mana majlis. Begitu juga baju anak-anak, akan ditimbunkan dan digosok sekali gus oleh pembantunya.

Nampak cerewet bukan? Tetapi semua teknik itu berkesan mengurangkan penggunaan elektrik.

Bila bil elektrik untuk Januari diterima, Nadia terkejut gembira kerana kadarnya jauh berkurangan daripada biasa. Sebab itu di meja makan malam itu, beliau mengisytiharkan satu daripada resolusi tahun baharunya telah tercapai.

Tip berjimat Nadia, bukanlah sesuatu yang baharu. Tetapi telah banyak dicadangkan oleh pakar dan Tenaga Nasional Berhad sendiri. Walaupun tidak semua yang dicadangkan itu, diamalkan Nadia, tetapi secara asasnya langkah penjimatan yang beliau lakukan ada kaitannya dengan amalan hijau yang mahu dilaksanakan beliau.

Sebelum ini Nadia dan keluarga tidak membiasakan diri menutup segera suis peralatan elektrik selepas digunakan. Ia membuatkan peningkatan tenaga elektrik di rumahnya.

Setiap mod sedia alat elektrik (lampu neon berwarna hijau atau merah yang biasa dilihat pada komputer dan televisyen) menyumbang kepada pembaziran. Begitu juga screen saver di komputer.

Mengikut kajian, kebanyakan komputer menggunakan dua kali ganda elektrik untuk menyalakan skrin. Jika seseorang itu mahu menjimatkan penggunaan elektrik, dia boleh menetapkan screen saver kepada tiada, atau skrin kosong.

Amalan-amalan kecil yang dilakukan, umpamanya kitar semula, menggunakan peralatan cekap tenaga dan mengamalkan penjimatan elektrik dan air boleh mengubah kehidupan seseorang.

Mati putik dilema seks wanita

SOALAN
SAYA seorang gadis yang berusia 18 tahun. Saya mempunyai satu masalah yang amat mengganggu hidup saya iaitu langsung tidak terangsang. Saya pernah terbaca mengenai mati putik, adakah ia ada kaitan dengan mati putik?

Untuk pengetahuan, saya pernah cuba melakukan onani dan menonton video lucah tetapi saya langsung tidak terangsang. Saya bimbang ia akan mempengaruhi kehidupan saya selepas berumah tangga kelak. Saya juga sering mengalami senggugut teruk. Ibu saudara saya mencadangkan mengambil pil perancang. Adakah ia memberikan kesan sampingan?

* Yang tak mampu,

Terengganu

JAWAPAN

Tidak pelik jika saudari tidak mengetahui apakah sebenarnya 'mati putik'. Saya amat yakin hanya segelintir sahaja yang mengetahuinya. Mungkin juga perkataan ini baharu pertama kali didengari oleh segolongan masyarakat kita. 'Mati putik' ini adalah sama dengan 'mati pucuk' yang dialami oleh lelaki. 'Mati putik' atau disfungsi seksual wanita bakal menjadi mimpi ngeri buat segolongan wanita kita. Apatah lagi apabila mereka mula menunjukkan tanda-tanda kelewatan mengalami klimaks serta gagal untuk menghayati rangsangan seks ketika bersama suami. Bermakna seseorang wanita tidak mempunyai perasaan ghairah. 'Mati putik' disebabkan gangguan urat saraf dalam pengaliran darah ke faraj terutama kelentit menyebabkan ia tidak menegang. Walaupun dirangsang, ia tetap kendur dan tiada rasa ghairah menyebabkan wanita itu sukar mengalami klimaks dan kurang berminat pada hubungan seks.

Jangan malu

Saudari tidak perlu gusar kerana tidak memerlukan apa-apa rawatan bagi masalah ini selagi belum berumah tangga. Tak usah malu jika saudari tidak terangsang. Belum sampai masanya untuk anda mudah terangsang atau didiagnosis dengan masalah ini. Perkara utama yang saudari perlu ambil berat adalah memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran. Ini yang akan menjamin masa depan saudari. Elakkan diri daripada melihat video lucah atau melakukan onani yang boleh memburukkan lagi keadaan ini. Salah satu punca wanita mengalami 'mati putik' adalah terlalu kerap melakukan onani semasa muda. Wanita yang gemar beronani akan mudah merasa letih dan tidak bertenaga serta tertekan dengan persekitaran apabila tidak mendapat kepuasan yang dihajati. Rawatan bagi masalah 'mati putik' yang saudari alami akan doktor berikan setelah saudari berkahwin nanti.

Senggugut

Berbalik kepada masalah senggugut yang saudari alami. Masalah ini tidak ada kaitan langsung dengan 'mati putik'. Setiap bulan wanita akan mengalami satu kitaran haid yang normal selama 28 hari hingga 35 hari. Haid tersebut biasanya berlangsung selama seminggu. Kesakitan yang dialami semasa haid dipanggil senggugut atau 'dysmenorrhea'. Senggugut sering menyerang wanita pada hari pertama dan kedua haid. Ia turut menjadi petanda penting supaya wanita yang mengalaminya menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan endometriosis atau penyakit inflamasi pada bahagian pelvik.

Bagi mengurangkan senggugut, saudari boleh mengambil ubat penahan sakit yang boleh dibeli di farmasi. Pil perancang juga diguna untuk mengurangkan senggugut dan meregulasikan kitaran haid untuk mereka yang haidnya tidak teratur atau mengalami pendarahan yang banyak. Jika masalah senggugut masih tidak keruan dengan ubat penahan sakit maka, saudari perlu diperiksa dengan teliti untuk mendapat diagnosis yang tepat. Dengan itu rawatan yang sewajarnya dapat diberikan secepat mungkin.

Elak gejala tersedak susu

SEJAK akhir-akhir ini, kematian bayi akibat tersedak susu atau tercekik makanan semakin banyak dilaporkan. Terbaru, bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada 16 Februari lalu.

Walaupun kes ini dianggap terpencil, ibu bapa tidak harus memandang ringan kejadian-kejadian tidak diduga ini.

Pensyarah Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Noor Eliza Hashim, menjelaskan, masalah ini berpunca daripada proses menelan makanan oleh bayi.

"Penyusuan bayi adalah satu proses yang memastikan makanan yang ditelan memasuki saluran makanan iaitu esofagus. Ia bersambung dengan perut dan kemudiannya ke usus kecil dan besar manakala saluran pernafasan (trakea) bersambung dengan paru-paru," katanya.

Beliau menjelaskan, jika trakea ini tersumbat, udara tidak akan dapat masuk ke dalam paru-paru lalu menyebabkan organ-organ di dalam badan tidak mendapat bekalan oksigen.

Menurut Dr. Noor Eliza, organ seperti jantung dan otak jika tidak mendapat bekalan oksigen, tidak dapat berfungsi dan ini boleh menyebabkan kematian.

Dalam keadaan yang normal, makanan yang turun dari mulut tidak akan masuk ke dalam trakea.

"Ini kerana apabila kita menelan, struktur yang dinamakan epiglotis yang terdapat di bahagian pangkal salur trakea akan menutup salur trakea dan makanan itu hanya akan melalui saluran esofagus. Proses inilah yang dilalui bayi yang sedang minum susu," katanya.

Selain itu, di dalam larinks juga terdapat kotak suara (vocal cord). Semasa bayi menangis, kotak suara ini bergetar dan larinks tidak ditutup oleh epiglotis.

Oleh itu, apabila bayi diberi minum susu ketika dia sedang menangis dengan kuat, risiko untuk susu termasuk ke dalam saluran pernafasan adalah lebih tinggi.

Posisi bayi"Faktor-faktor lain yang menyebabkan bayi tersedak susu adalah posisi bayi ketika menyusu. Susu lebih senang memasuki salur pernafasan jika bayi baring terlentang," jelas beliau.

Dr. Noor Eliza menjelaskan, cara kedua yang boleh menyebabkan gejala tersedak susu adalah gastroesofagial reflux.

Dalam keadaan ini, susu di dalam perut akan keluar semula ke atas melalui esofagus dan kemudian memasuki saluran trakea.

Ini disebabkan oleh otot sfinkter antara esofagus dan perut yang masih lemah pada bayi.

"Reflux ini lebih mudah berlaku jika bayi menyusu dalam keadaan terlentang. Jenis susu yang lebih pekat boleh digunakan untuk mengurangkan masalah reflux ini. Kebiasaannya masalah reflux akan pulih dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar," tambahnya.

Terdapat juga kes-kes bayi lemas ketika menyusu disebabkan penyakit kongenital atau saraf yang boleh menjejaskan fungsi saluran makanan dan pernafasan.

"Contoh penyakit kongenital seperti trakeo-esofagial fistula iaitu terdapat komunikasi di antara trakea dan esofagus. Walaupun jarang terjadi, faktor penyakit ini meninggikan risiko seseorang bayi itu untuk mengalami masalah tersedak ini," ujarnya.

Jika berhadapan dengan situasi mencemaskan ini, Dr. Noor Eliza menasihatkan berhenti menyusukan dengan segera dan tegakkan posisi bayi.

Sekiranya bayi kelihatan sukar bernafas segeralah ke hospital yang berdekatan.

Pengesanan awal bantu penderita


Kita boleh membantu mereka yang rabun warna dengan melabelkan warna


PERNAHKAH anda terfikir mengapa warna biru dan putih menjadi warna latar Facebook?Di sebalik populariti laman web sosial ini, pengasasnya, Mark Zuckerberg sebenarnya lelaki tampan yang rabun warna.

Mengikuti temubualnya bersama Time, banyak warna yang tidak mampu dilihat olehnya termasuk hijau dan merah. Zuckerberg hanya boleh melihat warna biru dengan sempurna.

Namun, Zuckerberg tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuknya memiliki rangkaian kawan dari seluruh dunia.

Walaupun penglihatannya tidak seperti orang normal, beliau berjaya menyesuaikan diri walaupun rabun warna.

Mungkin masih ramai lagi tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan rabun warna?

Buta warna sebenarnya bukanlah istilah tepat bagi pesakit yang memiliki persepsi berbeza terhadap warna.

Dunia mereka tidaklah terhad kepada warna hitam dan putih. Sebaliknya, mereka dapat melihat warna-warna lain cuma tidak dapat mengenal warna-warna tertentu.Sebab itulah kita kategorikan mereka sebagai rabun warna.

Lelaki lebih berisiko

Pakar Perunding Mata Hospital Pantai Ampang , Dr. Go Eng Soon berkata, jenis dan tahap keseriusan rabun warna adalah berbeza daripada seorang individu dengan individu yang lain.

"Dalam hal ini, tiada pengecaman ton warna yang sama antara dua orang penderita rabun warna .

"Kebanyakan kes rabun warna berpunca daripada faktor genetik," katanya.

Dr. Eng Soon menjelaskan, di belakang mata terdapat satu lapisan nipis yang dikenali sebagai retina.

Di lapisan retina terdapat dua jenis sel iaitu sel rod dan sel kon. Kedua-dua sel ini mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap cahaya.

"Sel-sel rod sangat sensitif pada cahaya dan mampu bertindak balas terhadap cahaya walaupun dalam keadaan berkabus atau cahaya malap. Bagaimanapun, sel ini tidak dapat membezakan warna .

Terdapat tiga jenis sel kon iaitu setiap satunya bertindak balas dengan warna merah, hijau dan biru. Seseorang yang rabun warna akan mengalami kekurangan salah satu atau lebih sel kon," katanya.

Menurut Dr. Eng Soon, golongan lelaki lebih berisiko mendapat masalah ini khususnya dalam membezakan warna jenis merah-hijau.

Ini berlaku kerana gen penyebab defek merah-hijau ini diwarisi oleh kromosom X.

"Disebabkan lelaki hanya mempunyai satu kromosom X, maka gen ini bersifat dominan apabila bertemu dengan kromosom lain (Y). Lelaki biasanya mewarisi 'kekurangan' ini daripada ibunya yang merupakan pembawa," katanya.

Sebaliknya, sekiranya ibu ialah pembawa gen rabun merah-hijau (satu X normal dan satu X terubah), anak perempuannya tidak akan mendapat rabun warna tetapi kebiasaannya anak lelaki yang akan mewarisi penyakit genetik tersebut.

Beliau menjelaskan, anak perempuan pula kebiasaannya akan mempunyai penglihatan warna yang normal kecuali jika ibunya ialah pembawa dan ayahnya pula rabun warna .

Bermula daripada kanak-kanak

Walaupun rabun warna bukan satu masalah serius, Dr. Eng Soon berharap golongan ini diberikan sokongan dan pemahaman oleh ahli keluarga.

Tambah beliau, pesakit biasanya berada dalam dunia mereka sendiri kerana tidak sedar sebenarnya warna yang dilihat tidak betul.

Justeru apabila mereka mengetahui kekurangan tersebut, mereka mungkin rasa terpencil.

"Kita tidak mahu ada pesakit menganggap diri cacat kerana mereka juga boleh berjaya seperti orang lain. Mereka oleh dibantu sekiranya ibu bapa dapat mengesan dari awal," ujarnya.

Dr. Eng Soon menekankan pentingnya pengesanan awal kerana ia boleh mencegah mereka yang mengalami rabun warna daripada membesar dengan kekeliruan warna .

"Sekiranya anda rabun warna, cuba uji penglihatan anak-anak anda. Jika ibu bapa tahu anak mengalami rabun ini, sejak awal lagi bolehlah latih mereka mengingati dan tidak keliru dengan warna.

"Mungkin kita biasa menguji kanak-kanak tentang jenis warna. Jika mereka tidak dapat membezakan contohnya antara merah dan hijau, bawalah berjumpa pakar mata," ujarnya.

Ini kerana tanpa menjalani ujian penglihatan warna dan kepekaan ibu bapa, sukar untuk masalah rabun warna ini dikesan.

Beliau menjelaskan, ujian penglihatan warna kebiasaannya dilakukan dengan menggunakan carta yang direka khas untuk mengesan rabun warna hasil ciptaan Dr. Ishihara dari Jepun.

"Apabila rabun warna dikesan, ujian selanjutnya akan dijalankan untuk mengesan keterukan rabun warna tersebut dan jenis rabun warna yang dialami," ujarnya.

Setelah diagnosis diperoleh, satu surat khas akan dikeluarkan untuk menyatakan status penglihatan warna bagi orang rabun warna tersebut.

Jelas beliau lagi, rabun warna juga boleh berpunca daripada sesetengah jenis penyakit yang dihidapi oleh pesakit dewasa.

"Rabun warna boleh disebabkan faktor penuaan, masalah mata seperti glukoma, katarak dan diabetes, kecederaan mata dan kesan sampingan sesetengah ubat seperti ubat artritis reumatoid," katanya

Apa yang dapat dilakukan

Walaupun rabun warna boleh mengganggu kehidupan seharian seperti memandu kereta atau suai padan pakaian, masih ada cara yang boleh kita lakukan untuk membantu mereka.

"Kita boleh membantu mereka melabelkan warna. Bagi pemandu, mereka boleh diajar mengenal warna-warna pada lampu isyarat," katanya.

Bagi ibu bapa pula, anda boleh menolong anak anda dengan melabelkan nama warna pada pensel warnanya supaya dia dapat memilih warna yang sepatutnya apabila melakukan aktiviti mewarna.

Ini dapat mengelakkan dirinya daripada diejek oleh rakan-rakan.

Dr. Eng Soon menjelaskan, kelemahan ini juga boleh diperbetulkan dengan sejenis cermin mata tinta khas.

"Toyohashi Tech dari Jepun berjaya mencipta satu cermin mata unik untuk membantu mereka yang rabun warna. Namun, ini bukanlah satu kaedah rawatan yang dapat membantu untuk mendapatkan persepsi warna yang lebih normal tetapi hanya untuk membolehkan seseorang mengecam warna dengan lebih baik," ujarnya.

Mengenai lesen memandu, kebanyakan negara membenarkan orang yang rabun warna mengambilnya asalkan tiada masalah persepsi atau masalah mata yang lain.

Menurut Dr. Eng Soon, mereka selalunya boleh belajar daripada susunan lampu isyarat itu sendiri bukannya melalui warnanya.

Sekiranya seseorang itu gagal ketika mengambil ujian warna semasa mengambil lesen, jangan lekas kecewa dan berputus asa, pergilah mendapatkan pengesahan doktor mengenai tahap kerabunan warna anda.

Daripada pengesahan itu barulah pihak tertentu seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat membuat pertimbangan sewajarnya.

Mati pucuk malam pertama




HUBUNGAN seksual adalah ibadah yang memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan suami isteri.

Untuk menunaikan apa-apa ibadah, persediaan dan persiapan itu penting. Ini boleh dilakukan dengan mudah dan dalam keadaan selesa untuk kedua-dua pasangan.

Dalam melakukan persediaan, setiap pasangan disarankan merujuk kepada buku ilmiah yang sahih untuk mendapat panduan.

Mereka juga dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan cerita yang bukan-bukan mengenai hubungan intim.

Perkara yang seronok itu sudah semestinya sempurna lebih-lebih lagi dalam keadaan bersedia.

Yang pasti, malam pertama memberi banyak cabaran kepada suami dan isteri, lebih-lebih lagi jika kedua-dua mereka jahil tentang bermain cinta.

Seandainya suatu ketika dahulu mereka hanya boleh melihat wajah walaupun dengan batasan tertentu, kini mereka boleh melihat keseluruhan tubuh badan waima aurat juga tiada batasan.

Dahulu jika berdua mereka mesti ditemani dengan mahram wanita itu, tetapi kini mereka boleh berdua-duaan dan bersentuhan seluruh badan sehingga ke peringkat persetubuhan.

Begitupun, tahukah anda, malam pertama bukan sahaja memberi penuh makna serta debaran kepada isteri, malah situasi tersebut sebenarnya turut berlaku kepada suami.

Menurut Profesor Emeritus Dr. Mohd. Ismail Tambi dalam penulisannya yang bertajuk Adab Malam Pertama, beliau menyenaraikan tiga dilema yang sering dihadapi suami ketika menghadapi malam pertamanya.

*Tekanan

Masalah boleh berlaku jika suami terasa tertekan atau cemas kerana memikirkan tanggungjawab yang hendak dilakukannya iaitu melakukan hubungan seksual.

Sekiranya suami gemuruh, dia akan kehilangan rangsangan dan ketegangan atau ereksi. Rangsangan dan ketegangan itu akan kendur dan hilang kekerasan.

Seterusnya suami akan gagal untuk melakukan penembusan faraj yang biasa dikaitkan dengan malam pertama kepada isteri.

Keadaan ini dikenali sebagai 'mati pucuk malam pertama.' Tetapi dalam keadaan penuh yakin dan bersemangat kejantanan, ereksi akan kembali segar dan hubungan seksual suami isteri akan dapat dilakukan.

l Masalah ejakulasi

Suami berasa amat teruja sehingga belum pun sempat menyalurkan ereksinya, klimaks telah pun berlaku.

Kadangkala perasaan teruja itu amat ketara sehingga ejakulasi boleh berlaku secara spontan apabila isteri memegang alat kelamin suami.

Bila suami dapat mengatasi kelemahan daya kawalan ereksi dan dapat mengawal ejakulasi maka masalah itu akan menjadi terkawal.

l Kurang keyakinan

Suami amat yakin dengan kemampuan ereksi dan kawalan ejakulasi tapi masih juga terpancut awal dan hilang daya ereksi apabila dia gagal untuk menembusi faraj isteri.

Suami terasa seperti ada sesuatu yang menghalang di depan pintu faraj dan mula berasa tidak yakin tentang kemampuannya untuk melakukan penembusan dan mengawal ejakulasi.

Perasaan kurang yakin itu akan membuatkan suami hilang kemampuan mencapai ereksi dan kesudahannya dia akan mengalami mati pucuk.

Dalam hal ini, seorang isteri yang tahu memainkan peranan dalam persetubuhan dapat berinteraksi bersama suaminya dengan selesa. Jika tiada apa-apa halangan, dia boleh mencapai klimaks atau mendapat kepuasan dalam hubungan intim itu.

Ini secara tidak langsung, isteri dapat membantu suami mengatasi masalah malam pertamanya.

Saturday, February 18, 2012

Ancaman selesema tidak kira masa

Seorang lelaki bersin dengan kuat tanpa menggunakan kertas tisu atau sapu tangan bagi menutup hidung walaupun ramai orang di sekelilingnya.

Seorang lagi batuk bertalu-talu, tanpa menutup mulut. Ramai juga kelihatan menjamah makanan tanpa membasuh tangan mereka terlebih dahulu.

Itulah senario yang disaksikan di medan selera di sebuah kompleks membeli-belah di kotaraya.

Seorang pengunjung mengutarakan pandangan gak sinis : “Adakah rakyat Malaysia sudah lupa pada episod tahun 2009 tentang wabak jangkitan selesema disebabkan H1N1 (virus)?"

Virus H1N1 menyebabkan epidemik selesema yang juga dikenali sebagai Influenza A atau ‘selesema babi’ pada tahun berkenaan.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan, pada 11 Ogos tahun itu terdapat laporan lebih daripada 2,253 kes selesema termasuk kes yang diimport dari negara lain seperti Amerika Syarikat dan Australia yang mula dikesan dari 15 Mei 2009.

Jangkitan tempatan pertama dilaporkan berlaku pada 17 Jun 2009.

Sehingga 21 Ogos 2009 bilangan kes selesema disebabkan virus H1N1 tidak rasmi di Malaysia seperti yang dilaporkan media adalah 5,876.

Kematian pertama disebabkan virus selesema A (H1N1) dilaporkan pada 23 Julai 2009. Sehingga kini terdapat 78 kematian di seluruh negara seperti yang dilaporkan.

Episod itu menyaksikan rakyat Malaysia menyerbu farmasi bagi mendapatkan penutup muka, selain pembersih tangan sehinggakan ada farmasi melaporkan kehabisan stok barangan tersebut.

Ketika itu ada laporan mengatakan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual penutup muka itu hingga RM5 setiap satu sedangkan harga biasanya hanya 20 sen sehelai. Pasar raya juga melaporkan penjualan laris pencuci atau pelembap pembersih tangan sehingga ada yang kehabisan stok.

Apakan rakyat Malaysia sudah lupa akan bahaya kesihatan yang dibawa wabak selesema babi?

Menurut pihak berkuasa kesihatan, tindak-tanduk virus itu mula dilaporkan di Amerika Syarikat pada April 2009 dan ia menular sama seperti jangkitan virus selesema bermusim.

Pada 11 Jun, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengumumkan pandemik selesema H1N1 sedang berlaku di dunia.

Pensyarah penyakit respiratori (pernafasan), Dr. C.L. Ting berkata, virus selesema berjangkit daripada individu kepada individu lain melalui batuk, bersin atau perbualan dengan seseorang yang sedang mengalami selesema.

“Ada juga orang yang kena jangkitan bila menyentuh benda-benda di mana permukaannya mempunyai virus selesema dan kemudian menyentuh mulut atau hidung mereka dengan tangan itu.

“Bagi selesema yang bermusim, terdapat beberapa kategori individu yang mempunyai risiko tinggi terhadap komplikasi selesema. Antaranya warga emas 65 tahun ke atas, anak kecil bawah lima tahun, wanita mengandung dan mereka yang punya masalah kesihatan kronik,” jelas Dr. Ting.

Katanya, bagi sesetengah individu, mereka mudah terkena komplikasi itu dan terpaksa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan ada kemungkinan jika komplikasi itu buruk, akan menyebabkan kematian.

“Pneumonia, bronkitis, infeksi sinus dan jangkitan di telinga adalah antara contoh komplikasi berkaitan selesema. Selesema boleh menyebabkan masalah kesihatan kronik menjadi lebih buruk.

“Contohnya bagi mereka yang mengalami asma, boleh kena serangan semasa mereka ada selesema dan individu yang ada kegagalan jantung kongestif boleh mengalami keadaan lebih buruk disebabkan selesema,” terang beliau.

Bagi penghidap selesema, Dr. Ting menasihati mereka agar mengelak daripada menjangkiti orang lain dengan virus selesema. - Bernama

Elak kaki berbau

SEBAGAI seorang wanita yang selalu ingin tampil cantik, pemilihan kasut yang sesuai harus diambil kira.

Pada masa sama perlu juga berhati-hati dengan kesihatan kaki terutama bagi yang menghadapi masalah peluh kaki berlebihan.

Kehadiran peluh bukanlah sesuatu yang buruk kerana ia adalah proses perkumuhan semula jadi tubuh.

Namun, ia kurang menyenangkan apabila peluh keluar berlebihan atau disebut hyperhidrosis.

Keadaan lebih tidak selesa apabila ia membabitkan bahagian kaki atau plantar hyperhidrosis kerana jika dibiarkan boleh menjadi penyakit kulit.

Kaki berpeluh boleh berlaku pada semua orang dan menimbulkan masalah fungus atau kulat serta bakteria penyebab bau yang kurang enak.

Kebiasaannya kulat pada kaki akan muncul di celah-celah jari dan telapak kaki.

Ia biasanya berlaku pada mereka yang memakai kasut tertutup dalam jangka masa lama (lebih empat jam), lebih-lebih lagi di iklim tropika yang mudah menyebabkan seseorang itu berpeluh.

Sebaiknya lap dan keringkan kaki bila mula rasa kurang enak kerana terasa lembap akibat peluh.

Kulat dan bakteria yang muncul akibat peluh bukan saja menjadi penyebab kaki berbau, bahkan jika dibiarkan keadaan mungkin menjadi lebih teruk termasuk penyakit kulit akibat kulat dan memerlukan rawatan perubatan selanjutnya.

Kemunculan kulat kaki dan bakteria juga boleh menular kepada orang lain.

Kebiasaannya ia berlaku akibat tabiat pinjam meminjam kasut atau sandal.