Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
PEMAIN golf berpotensi mengalami kecederaan pada disc andai tersalah teknik ketika melakukan pukulan.
SETIAP daripada kita pasti pernah mengalami sakit belakang terutama di bahagian pinggang.
Biasanya ia disebabkan duduk terlalu lama, posisi tidur tidak betul, mengangkat beban atau melakukan aktiviti lasak.
Sakit dengan rasa tidak selesa untuk beberapa hari, mungkin tidak terlalu serius. Namun andai berlarutan hingga melebihi enam minggu diikuti rasa sengal dan kebas di seluruh bahagian kaki, anda harus segera berjumpa doktor.
Anda mungkin mengalami disc tergelincir di bahagian tulang belakang.
Perunding Pembedahan Ortopedik Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Lim Heng Hing berkata, masalah sakit belakang terutama melibatkan disc tergelincir berlaku pada 60 hingga 80 peratus penduduk dunia sekali dalam seumur hidup.
“Sakit belakang terbahagi kepada dua jenis iaitu jika melibatkan belakang sahaja dipanggil spondylosis.
“Namun jika berasa sakit hingga ke paha dan betis seperti rasa kebas serta sengal, ia petanda anda mengalami disc tergelincir,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimana disc tergelincir berlaku?
Menurut Dr. Lim, disc tergelincir adalah masalah kecederaan pada tulang lembut (disc) yang juga dikenali sebagai disc intervertebral. Dalam istilah perubatan ia disebut spinal disc herniated/ prolapsed.
“Disc intervertebral boleh diumpamakan sekeping tulang lembut di antara tulang vertebra. Ia terdiri daripada satu tisu yang kuat (annulus fibrosus) di mana di dalamnya terkandung sejenis bahan yang lembut (nucleus polposus),” ujar beliau.
Jelasnya, kecederaan pada disc intervertebral menyebabkan kerosakan pada annulus fibrosus. Akibatnya, ia menjadi bengkak dan seringkali juga pecah pada disc intervertebral.
Bengkak yang berlaku akan menekan urat saraf di belakangnya. Keadaan menjadi lebih serius apabila ia pecah menyebabkan isinya atau nucleus polposus (mengandungi bahan inflammatori) keluar dan menekan urat saraf.
Ini menyebabkan sakit belakang yang teramat sangat yang akan merebak turun ke kaki. Pesakit juga akan berasa kebas dan lemah kaki.
Kerana itu kaedah rawatan biasa yang diberi kebanyakan doktor dengan cara pengambilan ubat antiinflammatori bagi melawan bahan yang terkandung dalam nucleus pulposus.
“Cuba bayangkan disc ini seperti tayar kereta yang membantu menyerap hentakan menjadikan kita tidak berasa sakit ketika lompat atau terhentak,” katanya.
Secara umum katanya, tulang mempunyai 26 disc dari tengkuk hingga ke pinggang, iaitu 12 pada bahagian torak atau dada, tujuh pada tengkuk dan lima di tulang lumbar atau tulang belakang pada bahagian pinggang.
Disc tergelincir boleh juga berlaku di bahagian lain seperti leher namun yang paling biasa adalah pinggang.
“Penyakit ini tergolong dalam kumpulan degenaratif iaitu melibatkan faktor usia. Semakin meningkat usia, satu demi satu lapisan akan bergerak dan bercerai lalu berlakulah masalah disc tergelincir andai tidak dijaga dengan betul,” katanya.
Bergantung pada bila ia berlaku, misalnya ketika berusia 20 tahun ke bawah, maka proses penyembuhannya cepat kerana ia diganti dengan yang baru.
Menghuraikan lebih lanjut, Dr. Lim berkata, badan manusia mempunyai proses penyembuhan semula jadi tanpa bantuan sebarang rawatan.
Cukup dengan berehat dan tidak melakukan aktiviti lasak, badan dengan sendirinya akan sembuh perlahan-lahan.
Bagaimanapun, semakin meningkat usia seseorang, semakin rendah proses penyembuhan semula jadi berlaku.
Di kalangan mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun, disc tergelincir dianggap gangguan yang biasa berlaku.
Selepas usia 40, disc menjadi lebih keras kerana kehilangan air dan kurang kenyal (senang pecah). Namun, pokok pangkalnya jelas Dr. Lim, ia bergantung kepada bagaimana kita menjaga pergerakan fizikal dengan mengikut posisi sewajarnya bagi mengelak disc tergelincir.
“Perlu diingat disc tergelincir mengambil masa yang panjang untuk terjadi. Pergerakan yang tidak dikawal terutama ketika duduk, baring, bersandar, mengambil dan mengangkat barang menyumbang kepada masalah ini untuk jangka masa yang panjang,” katanya.
Rawatan terkini
Bergantung kepada tahap kecederaan jelas Dr. Lim, jenis rawatan untuk pesakit berbeza.
Ia bermula dengan rehat secukupnya bagi melegakan tekanan untuk kecederaan ringan dan membolehkan disc melalui proses penyembuhan semula jadi. Biasanya mengambil masa lebih kurang enam minggu.
Pesakit juga boleh mengambil tiga jenis ubat bagi melegakan kesakitan ringan, antibiotik dan ubat penenang.
Dalam satu kajian yang pernah dijalankan, lebih 70 peratus pesakit pulih selepas 12 minggu tanpa menjalani pembedahan, ujar beliau.
Menjalani rawatan fisioterapi adalah satu cara yang berkesan. Namun seandainya rawatan di atas tidak berjaya, pesakit perlu menjalani pembedahan yang sesuai bagi merawat masalah mereka.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa terdapat pesakit masih mengalami kesakitan walaupun selepas dibedah?
Kata Dr. Lim. “Ini disebabkan rawatan yang tidak betul diberikan kepada mereka. Paling utama adalah merawat bahagian disc yang koyak supaya bahan jeli yang menyebabkan saraf berasa sakit tidak mengalir keluar dan menekan saraf.”
Antara rawatan pembedahan yang biasa digunakan:
l Pembedahan invasif minimal Intra Discal Electro Thermal (IDET) dengan cara mengecilkan kawasan benjolan pada disc menggunakan tenaga haba.
l Nucleoplasty untuk kecederaan tidak begitu serius. Menggunakan sejenis bahan seperti jarum panjang dimasukkan ke bahagian tulang belakang (tempat masalah), doktor akan membuang lebihan tisu pada disc menggunakan tenaga radiofrekuensi. Kaedah ini hanya mengambil masa kira-kira 60 minit atau kurang. Namun nucleoplasty tidak boleh dilakukan andai disc terlalu sempit atau tulang belakang tidak stabil dan berada pada kedudukan sewajarnya.
Rawatan terkini PercuDyn.
Secara klinikal, bahan ini berkebolehan merawat disc tergelincir dengan mengurangkan pergerakan tambahan dan tekanan antara disc di kawasan yang dirawat tanpa menyebabkan kesan degeneratif jangka panjang. Ia seakan satu skru berputar yang boleh dipasang pada semua paras tulang lumbar termasuk L5-S1.
Nasihat Dr. Lim:
l Masalah disc tergelincir kebanyakan berpunca daripada kecuaian sendiri yang tidak mengambil berat tentang postur badan dan cara pergerakan.
l Masalah yang berpunca daripada kemalangan juga boleh diatasi secara perlahan-lahan dengan tidak membebankan lagi pergerakan di bahagian tersebut.
l Ahli sukan seperti pemain golf dan tenis lebih cenderung mendapat disc tergelincir andai tidak menggunakan pergerakan yang betul. Misalnya ketika melakukan hayunan, bahagian yang perlu berputar adalah pinggul bukannya pinggang.
l Senaman regangan perlu dilakukan secara perlahan-lahan. Jika dilakukan dengan kasar, sedikit demi sedikit bahagian disc akan tercedera.
l Senaman dan bersukan mengikut cara yang betul membantu menguatkan tulang.
l Beri peluang badan untuk sembuh secara semula jadi.
l Tilam berjenama mahal yang dikatakan mampu melegakan sakit belakang belum tentu berkesan. Secara asasnya, tilam tersebut memadai berkeadaan baik dan tidak menyebabkan badan kita tenggelam ketika baring di atasnya.
l Pengambilan kalsium melalui suplemen dan makanan tidak menjamin mencegah disc tergelincir. Ia membantu mencegah osteoporosis (ketumpatan tulang merosot).
l Rawatan alternatif seperti akupuntur hanya membantu mengurangkan rasa sakit kerana ia menghalang aktiviti saraf. Namun, pesakit boleh mencuba terutama jika melibatkan kecederaan gred ringan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment