Oleh NORAINI ABD. RAZAK
PESERTA bengkel mencuba hormon biodidentikal semasa bengkel anjuran Aptomed Sdn. Bhd. di Kuantan, Pahang.
TOPIK Hormon Untuk Lelaki yang disiarkan Kesihatan baru-baru ini menerima banyak respons. Rata-rata yang menelefon dan menghantar e-emel sangat berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang hormon tersebut.
Kalangan pembaca kebanyakannya lelaki tidak mahu ketinggalan mengikuti perkembangan dunia perubatan estetik dan tertanya-tanya tentang hormon tersebut.
Ada juga yang tahu mengenainya tetapi tidak tahu di Malaysia hormon bioidentikal itu telah ada di dalam negara dan dikendalikan oleh doktor-doktor yang mendapat sijil dalam bidang estetik.
Menyedari kesedaran serta minat orang ramai tentang hormon bioidentikal terutamanya selepas ia dikupas secara mendalam di akhbar, satu bengkel diadakan di Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Bengkel anjuran Aptomed Sdn. Bhd., syarikat pertama ditubuhkan di Malaysia yang mengendalikan True Bio-Identical Hormone Therapy (BIHRT). Aptomed menawarkan alternatif terapi pengganti hormon secara natural turut mengendalikan bengkel kesihatan untuk pengamal perubatan dengan kerjasama Persatuan Anti Penuaan dan Perubatan Estetik Malaysia (SAAAMM).
Kira-kira 30 peserta menghadiri bengkel yang menampilkan Dr. Rushmini Maris Ismail sebagai penceramah. Menariknya tiga wanita dari Amerika Syarikat (AS) turut mengambil bahagian dalam bengkel tersebut.
Sepanjang bengkel tersebut, perkara yang ditekankan adalah tentang kurangnya kesedaran rakyat Malaysia tentang pentingnya hormon dalam tubuh badan.
Penurunan hormon sering dikaitkan dengan penuaan sedangkan hakikatnya kita tua disebabkan kekurangan hormon. Tanggapan yang silap mengenai hormon dan penuaan menyebabkan kita tidak peka tentang keperluan menggantikan hormon yang semakin berkurangan.
Di akhir bengkel, para peserta diberi peluang untuk melihat dan mencuba sendiri hormon bioidentikal dan ada kalangan mereka yang dapat merasakan perubahan segera pada diri sebaik menyapu hormon tersebut di nadi tangan.
Sementara itu, Universiti Teknologi Malaysia Sekudai yang turut tertarik dengan topik hormon bioidentikal turut menganjurkan ceramah mengenainya.
Dr. Rushmini dijemput untuk berkongsi maklumat berkenaan hormon bioidentikal dalam bengkel Transformasi Personaliti anjuran universiti tersebut. Ceramah kira-kira tiga jam itu berkisar kepada pelbagai persoalan berkaitan hormon, penuaan dan kecantikan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment