Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Ismail Wahab, 70 sanggup berbelanja besar demi memulihkan penglihatan yang semakin hari semakin kabur. Walaupun pelbagai rawatan tradisional disarankan, dia lebih yakin dengan perubatan yang ditawarkan di hospital.
Mengakui pelbagai penyakit akan dihidapinya apabila usia semakin meningkat, Ismail lebih bersedia melakukan rawatan daripada membiarkannya menjadi lebih teruk. Atas cadangan seorang rakannya, Ismail menjalankan pemeriksaan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Ismail disahkan mengalami masalah degenerasi makular berkaitan umur (AMD).
"Ketika doktor memberitahu saya bahawa penyakit ini boleh membawa kebutaan, saya agak terkejut. Namun, saya bertekad untuk merawatnya daripada membiarkannya menjadi lebih serius. saya akui sebelum ini penglihatan saya semakin teruk. Nak memandu pun saya kena bawa dengan perlahan dan sentiasa ditemani oleh isteri," katanya pada sidang akhbar mengenai AMD di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Apa yang lebih membimbangkan Ismail, pandangan sebelah kanan nampak senget walaupun mata kirinya baik.
"Ia masih menyukarkan saya memandang sesuatu. Walaupun saya masih boleh menjaga kedai runcit, pergerakan saya masih perlahan.Akhirnya, doktor menyarankan mata saya disuntik. Alangkah terkejutnya ketika itu. Apa akan jadi pada mata saya? Namun, saya tahu doktor pakar lebih memahami keadaan saya. Atas bantuan keluarga, saya bersetuju melakukan rawatan tersebut walaupun menelan perbelanjaan yang agak tinggi. Mujur saya masih ada anak yang boleh membantu kewangan saya," ujarnya.
Doktor memberitahu Ismail, matanya masih sempat dirawat kerana masalah AMD yang dihidapi masih di peringkat awal. Secara keseluruhan, Ismail memerlukan tiga suntikan untuk merawat mata kanannya.
Mungkin ramai yang takut apabila mendengar mata anda akan disuntik tetapi bagi Ismail, dia bersedia berhadapan dengan risiko sakit agar penglihatannya kembali pulih.
"Mulanya agak terkejut apabila melihat ternampak buih dalam mata. Ia sebenarnya adalah buih daripada cecair ubat yang disuntik. Memang tak sakit dan penglihatan semakin baik selepas sepuluh hari disuntik. Selepas suntikan pertama ini, benda yang bengkok sudah nampak lurus sikit," katanya.
Penglihatan Ismail semakin pulih dan dia kini boleh melihat semua objek dalam keadaan lurus selepas tiga suntikan.
Nasihat Ismail kepada orang ramai, kalau ada penyakit seperti yang dialaminya, segeralah berjumpa doktor. Walaupun kos yang ditanggung hampir mencecah RM12,000 Ismail amat berpuas hati kerana penglihatannya kini semakin baik.
Dalam pada itu, Perunding Oftalmologi, Prof Madya Dr. Fong Choong Sian menjelaskan, kaedah terbaik untuk mengesan AMD adalah dengan menjalani pemeriksaan mata tahunan terutama pada individu berumur 60 tahun ke atas.
Rawatan yang biasa diberikan kepada pesakit AMD lanjutan basah adalah suntikan intra-vitreal seperti ranibizumab.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment