MASALAH jerawat mesti dirawat bagi mengelak kesan parut dan jerawat berulang biar pun pada usia matang.
NORA risau apabila wajahnya ditumbuhi jerawat. Seingat Nora sewaktu beliau berusia belasan tahun dahulu jerawat pernah menjadi satu masalah. Namun setelah membeli ubat sapu dari farmasi dan mengamalkan pencuci muka berjenama yang dibelikan oleh ibunya, masalah tersebut selesai.
Semasa usianya menganjak 20-an sehingga 30-an, masalah jerawat tidak lagi mengganggu. Jerawat hanya tumbuh sekali sekala tatkala menghampiri waktu haid. Kini pada usia 45 tahun tiba-tiba saja Nora diserang masalah jerawat yang agak serius. Keadaan itu membuatkan Nora berasa hairan. Jerawat kecil dan besar tumbuh melata bagaikan tidak mahu surut. Selepas mengecut ia meninggalkan kesan parut yang kehitaman dan hodoh. Jerawat tumbuh pada pipi, bawah dagu dan hidung. Apabila disentuh memang berasa sakit. Nora cuba menyapu ubat dan mencuci muka dengan lebih kerap namun kekerapan itu menjadikan kulitnya kering.
Parut jerawat juga tidak mahu hilang menyebabkan Nora terpaksa menggunakan mekap dan bedak yang tebal bagi menutup masalah tersebut. Namun menurut Nora penggunaan mekap yang tebal menyebabkan jerawat tumbuh menjadi-jadi. Ini membuatkan hati Nora berasa risau.
Bagi wanita berusia empat puluhan seperti Nora, masalah kekurangan hormon mungkin antara penyebab utama terjadinya jerawat. Kulit kita sangat sensitif dengan perubahan hormon. Kelenjar minyak, sel-sel pigmen dan bulu roma pada kulit sangat sensitif dengan hormon yang berkitar. Seawal usia 35 tahun hormon di dalam tubuh seorang wanita mula merosot. Di samping itu wujudnya agen perosak hormon yang begitu berleluasa sekali di dalam alam sekitar membuatkan timbulnya gejala kekurangan hormon. Kulit menjadi lebih berminyak dan Ph kulit seseorang turut berubah menyebabkan kulit lebih mudah dijangkiti kuman jerawat.
Kuman jerawat merupakan kuman yang hidup secara semula jadi pada kulit kita. Kehadiran minyak dan sebum yang tinggi mengundang kuman hidup dan membiak dengan lebih banyak sehingga tercetusnya jerawat. Jerawat bolehlah dianggap sebagai kudis kecil yang membiak pada muka. Ia bernanah dan berasa sakit disebabkan nanah di dalam memberi tekanan kepada kulit. Jerawat yang aktif berasa sakit. Ia boleh berada jauh ke bawah kulit ataupun di permukaan kulit. Jerawat yang berada di permukaan tampak merah manakala yang jauh ke dalam kulit hanya berasa sakit bila ditekan dan tidak berwarna merah.
Rawatan jerawat sebagaimana bisul, nanah perlu dibuang dan di beri antibiotik iaitu bahan pembunuh kuman. Rawatan muka yang melibatkan stim bagus bagi membuka pori-pori dan mengeluarkan minyak yang menyebabkan jerawat. Setelah stim rawatan laser Isolaz dibuat. Laser jenis ini bertindak jauh ke dalam kulit sehingga mencapai kelenjar minyak dan mengecilkannya. Hasilnya kelenjar minyak menjadi kurang aktif. Kelenjar minyak yang kecil membuatkan kulit lebih cantik dan kuman jerawat sukar hidup. Selain daripada itu ia turut membuatkan bintik-bintik kurang terhasil.
Setelah membuat ujian darah analisis hormon ke atas Nora saya mendapati Nora mengalami masalah hormon progesterone yang semakin merosot. Ini mungkin menjadi penyebab utama masalah jerawat yang dihadapinya. Kekurangan progesterone membuatkan testosteron menjadi dominan dan ini adalah sebab Nora mendapat jerawat dan bulu halus tumbuh pada atas bibirnya menyerupai misai.
Bagi menghilangkan kesan parut saya mencadangkan laser ablative iaitu pixel yang baik bagi meningkatkan kolagen dan menanggalkan parut pada muka. Selepas laser pixel dibuat kulit wajah akan mula berubah menjadi lebih baik dalam tempoh 2 minggu. Rawatan pixel sebulan sekali dapat meningkatkan kecantikan kulit wajah dan membuatkan parut kurang ketara. Laser jenis pixel bertindak jauh ke dalam kulit untuk merangsang kulit mengeluarkan sel-sel baru. Sel-se baru yang keluar lebih rapat kedudukannya dan ini membantu menutupi lubang-lubang parut yang terdapat pada kulit. Kolagen yang terhasil daripada tindakan pixel juga lebih teguh membuatkan kulit menjadi lebih cantik.
Hormon tambahan seperti bioidentkal hormon baik bagi meninggikan paras hormon dalam tubuh kita. Kehilangan hormon ini wajar ditambah semula kerana kekurangan hormon pada jangkamasa panjang bukan sahaja menyebabkan masalah kulit namun menyebabkan gangguan pada tubuh badan seperti hot flushes, kebas, tekanan, gangguan emosi, sakit tulang dan sebagainya. Saya menerangkan kepada Nora cara penggunaannya yang mudah iaitu dengan menyapukan kepada pergelangan tangan sebelum tidur.
Kini setelah beberapa bulan menjalani rawatan saya nampak banyak perubahan pada Nora. Bukan sahaja kulit wajahnya cantik dan licin namun beliau juga tampak lebih bertenaga dan ceria. Paras hormon dalam darahnya juga meningkat dengan baik sekali.
Nora merasa gembira dan kini beliau tidak lagi didatangi jerawat yang menghodohkan wajah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment