Saturday, March 5, 2011

Jejas fungsi usus

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

ANDA menghidap sakit abdomen berulang dengan sembelit atau cirit-birit berterusan untuk tempoh beberapa tahun lamanya?

Jika jawapan ya, itu bermakna anda berhadapan dengan sindrom usus rengsa (Irritable Bowel Syndrome) yang sering diringkaskan sebagai IBS.

Walaupun sindrom itu bukan bersifat kritikal namun IBS sememangnya mengganggu aktiviti harian sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti sakit kerana sakit perut atau cirit-birit berterusan.

Simptom-simptom biasa IBS adalah sakit di bahagian abdomen yang kebiasaannya dilegakan selepas buang angin atau buang air besar. Simptom lain najis bercampur mukus, cirit-birit yang biasanya pada waktu pagi dan sembelit.

''Pesakit juga akan mengalami sakit perut yang memulas-mulas," kata Pakar Perubatan dan Gastroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Dr. Abdul Malik Jamal Buhari.

IBS menurut beliau adalah gangguan fungsi usus dan bukannya struktur usus seperti sekatan, tersumbat, ketumbuhan atau tumor.

Kembung perut

Seseorang yang kerap mengalami masalah kembung perut juga sering dikaitkan IBS malah katanya, sindrom tersebut melibatkan beberapa gejala gastro usus atau organ pencernaan yang penting.

''Ia tidak sama dengan kanser kolon dan orang ramai perlu faham IBS tidak menyebabkan penyakit tersebut,'' katanya.

Dr. Abdul Malik menjelaskan, rengsa perut, sembelit atau cirit-birit yang dialami pesakit mungkin berpanjangan untuk beberapa hari, minggu atau berbulan-bulan. Setiap simptom, katanya, berbeza untuk setiap individu.

Walaupun gejala utama mungkin lebih ketara berbanding gejala lain namun simptom paling biasa adalah cirit-birit dan sembelit.

''Spektrum kesakitan pula mungkin berbeza daripada kesakitan ringan sehingga kepada sangat teruk. Kehadiran gejala itu kebiasaannya pada waktu malam ketika hendak tidur,'' katanya.

Berpunca daripada stres?

Ditanya sama ada IBS turut berpunca akibat stres, Dr. Abdul Malik memberitahu, setiap orang akan mengalami stres dalam kehidupan. Tidak dinafikan stres yang keterlaluan akan menimbulkan rasa bimbang berterusan dan tidak mustahil menjadi punca sesuatu penyakit.

"Seperti penyakit-penyakit lain, anda yang mengalami gejala gastro usus memerlukan perhatian kerana keadaan yang dialami mungkin IBS

''Belajarlah untuk bertenang. Anda tidak dapat mengelak daripada stres tetapi anda boleh membantu tubuh anda menyesuaikan diri untuk menerima keadaan tersebut,'' katanya.

Sehubungan itu, tegas Dr. Abdul Malik, stres hanya salah satu faktor yang mendorong IBS tetapi bukan semua kes berpunca daripada stres.

Secara spesifik, belum ada kajian yang menunjukkan faktor utama penyebab IBS.

Anda dinasihatkan menemui pakar gastroenterologi untuk menjalani beberapa ujian lanjut bagi melihat kemungkinan masalah kesihatan lain sebelum didiagnosis IBS.

Rawatan baru

Penyelidikan profesor mikrobiologi dari Michigan State University, Dr. Linda Mansfield tentang rawatan baru pastinya khabar gembira buat mereka yang menderita IBS.

Tetapi sanggupkah anda menelan telur cacing?

Mingguan Malaysia pernah menyiarkan hasil penyelidikan tersebut yang bertajuk

"Telur cacing ubati IBS"

Mansfield memberitahu Lansing State Journal, penyakit tersebut sememangnya meletihkan seseorang.

Beliau mengkaji penggunaan parasit usus seperti benang yang dipanggil cacing cambuk untuk merawat IBS yang boleh menyebabkan pendarahan usus.

"Ada pesakit yang mengalami 256 kali cirit- birit setahun. Sesetengah daripada mereka tidak dapat keluar bekerja," tambahnya.

IBS semakin kerap berlaku di negara-negara perindustrian dan jumlah pengidap di negara membangun juga bertambah.

Saintis mempunyai beberapa penjelasan termasuk diet yang tinggi lemak, makanan diproses dan tahap kebersihan yang tinggi sebagai punca IBS.

"Sistem imun sebenarnya memerlukan jangkitan dalam keadaan tertentu untuk berkembang dengan sempurna. Oleh itu, terdedah kepada debu, kekotoran, bakteria mahu pun cacing ada kebaikannya.

"Hidup dalam persekitaran yang terlalu bersih menyebabkan kita mengalihkan benda-benda yang membantu 'mengajar' sistem imun kita," ujar beliau.

No comments: