Pendedahan terbaru oleh kumpulan pakar dalam bidang kesihatan, nutrisi dan kecergasan mendorong isu itu turut di bincangkan ketika Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland baru-baru ini.
Kumpulan pakar tersebut mengesa agar langkah-langkah segera diambil, bukan hanya sekadar menyalahkan individu-individu terbabit yang tidak bersungguh-sungguh untuk menangani masalah ini.
Mereka berkata, krisis obesiti yang semakin meningkat dan membawa maut perlu ditangani dengan kesungguhan di peringkat pembuat dasar sebagaimana mereka memerangi gejala merokok selama ini.
Dengan keadaan makanan yang semakin hari semakin tidak sihat serta gaya hidup bersenang-senang (sedentary) yang semakin meningkat, jawapan segera perlu dicari bagi krisis yang telah membawa kepada peningkatan kes diabetes dan serangan jantung.
Krisis obesiti sendiri telah membunuh 2.8 juta orang dewasa setiap tahun.
Dekan School of Public Health di Universiti Columbia Amerika Syarikat, Linda Fried, berkata, perangkaan terbaru menunjukkan 1.4 bilion individu dewasa di seluruh dunia mengalami berat badan berlebihan.
"Jumlah itu dijangka meningkat dari setahun ke setahun dan dalam tempoh 20 tahun lagi jika terus meningkat seperti corak sekarang, kemungkinan besar 50-60 peratus penduduk dewasa dunia adalah individu yang berat badannya berlebihan.
"Jika ini (obesiti) adalah penyakit berjangkit kita sudah boleh isytiharkan ia sebagai wabak. Ini bukan lagi masalah serantau, sebaliknya global kerana meningkat dengan begitu cepat dan berterusan. Semua itu adalah definisi asas bagi istilah wabak," katanya.
Para pakar sepakat menyatakan bahawa langkah pertama bagi menyelesaikan krisis ini adalah dengan mengubah tanggapan orang ramai terhadap obesiti iaitu dengan menyalahkan mereka yang obes, bukannya keadaan persekitaran mereka.
"Dalam tempoh 30 tahun, peratus penduduk dunia yang berlebihan berat badan atau obes telah meningkat dua kali ganda.
"Setakat ini tidak ada bukti secara global bahawa ia berpunca daripada kurang keazaman atau kesungguhan individu terbabit.
"Sebaliknya kesalahan patut diletakkan pada makanan berkalori tinggi yang mudah diperolehi dan secara relatifnya murah.
"Selain itu proses urbanisasi yang meningkat di seluruh dunia juga telah membawa kepada gaya hidup kurang aktif," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Nike bagi Akses untuk Sukan, Lisa MacCallum Carter, berkata, obesiti dikaitkan dengan krisis hidup tanpa aktiviti, hasil daripada proses urbanisasi.
Beliau berkata, jumlah waktu untuk senaman harian terutama pergerakan yang tidak secara langsung (seperti berjalan kaki) telah berkurang dengan begitu ketara.
Sebagai contoh katanya, masyarakat hari ini lebih mudah menghantar emel daripada berjalan ke pejabat di seberang jalan untuk berbual dengan rakan sekerja mereka.
Pada masa sama, makanan yang diambil juga semakin kurang sihat dengan produk yang kandungan lemak dan garamnya tinggi, serta makanan tiruan, semakin mudah dihasilkan dan dipasarkan.
"Cara pasaran yang kita lihat sekarang turut membantu meningkatkan trend ini dengan lebih cepat," kata Marc Van Ameringen, Pengarah Eksekutif Global Alliance for Improved Nutrition (GAIN).
Katanya, sesetengah negara, seperti AS, turut menggalakkan senario ini dengan memberi subsidi kepada industri pengeluaran makanan seperti pengeluaran sirap jagung.
Siap jagung digunakan secara meluas dalam penyediaan makanan sebagai pemanis dan pemekat makanan.
"Lihat saja wang yang mengalir dalam industri pengeluaran produk jagung dan sirap jagung berbanding subsidi yang diberi bagi pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran," katanya.
Begitu pun Fried berkata, sesetengah pembuat dasar telah mengambil langkah yang menggalakkan dalam memerangi obesiti seperti yang dilakukan oleh Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg terhadap penduduk bandar raya itu.
Perjuangan Bloomberg menentang makanan rapu telah menyaksikan pihak berkuasa bandar itu mengharamkan penjualan minuman ringan karbonat bersaiz besar dan mengehendaki restoran-restoran makanan segera meletakkan maklumat kandungan kalori dalam menu mereka.
Para pakar berkata, langkah seperti menguatkuasakan undang-undang melabelkan kalori, mengehadkan saiz sesuatu makanan dan meningkatkan cukai ke atas makanan yang dikategorikan tidak sihat sedikit sebanyak
"Ini adalah satu isu kesihatan yang mencemaskan dan bersifat global yang memerlukan pandangan dari sudut dimensi yang besar. Ia boleh diselesaikan jika semua orang bekerjasama," kata Fried. - afp
No comments:
Post a Comment