Saturday, October 9, 2010

Mahu dagu bulat atau panjang?

TEKNOLOGI moden menaawarkan pelbagai kaedah untuk mendapatkan dagu yang cantik bersesuaian dengan bentuk wajah.

Sahabat saya Sherry gemar membelek belek gambar-gambar artis dan model dari luar negara. Dia sukakan wajah jelita model tersebut yang rata-ratanya berhidung mancung dan berdagu runcing.

"Kalaulah saya dapat wajah macam ni....alangkah seronoknya,'' kata Sherry. ''Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan bentuk wajah yang sempurna seperti ini?" Tanya Sherry kepada saya pada suatu hari.

Sebenarnya wajah model-model tersebut kelihatan cantik didalam gambar kerana ia sangat simetri. Simetri memainkan peranan yang penting bagi membolehkan seseorang kelihatan menarik di dalam gambar atau fotogenik. Fotogenik adalah suatu aset yang penting sekiranya seseorang ingin menjadi model foto.

Lagipun dengan kemajuan teknologi komputer dan wujudnya facebook ramai juga yang ingin tampil fotogenik kerana mahu setiap gambar yang dimuat naik ke facebook kelihatan cantik dan persis gaya seorang model.

Simetri wajah boleh dicapai apabila peratusan jarak dari dahi ke hidung, dari hidung ke bibir dan dari bibir ke dagu adalah 33 peratus iaitu sama banyak. Apabila wajah tidak simetri maka ia kelihatan tidak sempurna.

Tulang rahang atau mandible ialah satu struktur yang membentuk dagu kita dan mempunyai struktur khusus bagi perlekatan gigi. Didalamnya terdapat saraf yang menghubungkan gigi kita dan juga salur darah halus yang memberi nutrisi pada gigi. Di kiri dan kanan tulang mandible bersambung dengan tulang tengkorak yang dinamakan tulang temporal. Penyambungan ini dinamakan TMJ (temporo mandibular joint).

TMJ merupakan satu struktur penting kerana ia merupakan tempat yang membolehkan kita menggerakkan rahang untuk bercakap, makan dan sebagainya.

Selain tulang ini dagu juga dibentuk oleh sekelompok tisu yang terdiri daripada sel lemak, sel kolagen, sel elastin dan hyaluronik yang di sebut sebagai tisu tisu konektif. Kehadiran tisu-tisu sebegini yang seimbang membentuk dagu runcing dan tajam membawa kepada keseimbangan wajah.

Sebenarnya tidak semua orang perlukan dagu yang runcing bagi kelihatan cantik dan menarik. Seseorang berwajah bulat memerlukan dagu yang tajam bagi kelihatan menarik manakala seseorang yang berwajah panjang dan cengkung pula perlu mempunyai bentuk dagu yang bulat sedikit bagi menghasilkan wajah yang simetri. Pendek kata bentuk dagu perlulah disesuaikan juga dengan wajah seseorang bagi menghasilkan bentuk yang seimbang. Ada juga mereka yang mempunyai dagu berlekuk. Dagu berlekuk berlaku di sebabkan struktur tulang mandible.

Dagu yang pendek membuatkan wajah tampak bulat. Lemak di bawah dagu juga mudah berkumpul di kalangan mereka yang mempunyai dagu pendek.

Apabila saya diminta membuat analisis wajah seseorang, saya akan terlebih dahulu melihat keadaan simetri pada wajahnya. Selepas itu barulah perbincangan diadakan bagi memastikan apakah yang di mahukan oleh para pelanggan itu.

Rawatan bagi membentuk simetri pada wajah boleh dilakukan dengan banyak cara. Teknik serdev misalnya mengangkat pipi agar tidak kendur. Ia juga boleh mengubah bentuk dagu. Teknik serdev bagi dagu menggunakan benang serdev yang sangat halus. Ia boleh memanjangkan dagu dan menjadikan dagu tampak kecil dan runcing. Teknik ini juga sesuai digunakan bagi mereka yang mahu kan dagu yang bulat. Teknik berbeza akan menghasilkan bentuk yang berbeza. Kelebihan teknik serdev adalah kita tidak memasukkan apa apa pun ke dalam kulit. Benang halus di gunakan bagi mengikat dan mengumpulkan lelemak dan elastin semula jadi pada dagu. Ia di ikat bagi menghasilkan bentuk yang dikehendaki. Ubat bius suntikan sahaja yang digunakan dan ia juga tidak mengambil masa yang panjang. Memadai hanya sepuluh minit sahaja bagi mendapatkan hasil yang baik.

Selepas rawatan tidak ketara bengkaknya dan dalam masa tiga hingga lima hari sudah pasti kita dapat melihat perubahan yang sangat ketara.

Kaedah filler juga sesuai bagi membentuk wajah terutamanya dagu. Filler dari jenis bio alcamid bagus digunakan kerana ia tahan lama dan mampu memberikan bentuk yang cantik dan runcing. Dewasa ini terdapat juga jenis filler yang berasaskan kalsium. Ia juga sangat baik kerana mudah di bentuk dan memberikan rupa bentuk yang sangat natural.

Cara suntikan filler dibuat juga terdapat banyak cara. Doktor akan memastikan bentuk yang paling sesuai sebelum suntikan dibuat. Dengan penggunaan filler kita juga dapat mendapat bentuk dagu yang kita sukai.

Sudah tentulah teknologi implan merupakan yang paling baik kerana kita dapat memilih saiz dan bentuk implan yang sesuai dengan bentuk wajah seseorang. Implan yang diperbuat daripada plastik tahan lama. Dagu yang comel menarik perhatian. Ia menjadikan wajah seseorang tampak lebih jelita.

Selain wajah yang simetri mempunyai kulit yang licin juga adalah penting. Kulit yang licin dan pori-pori yang kecil apabila disapukan mekap akan tampak licin dan cerah. Ini membantu menjadikan seseorang tampak lebih jelita apabila berfoto.

Untuk mendapatkan kulit yang licin tanpa noda hitam dan biji-biji putih, rawatan yang sesuai adalah laser pixel yang mencerahkan kulit dan laser jenis Isolaz yang membuang sebum serta mematikan kuman jerawat dalam kulit.

Laser isolaz baik bagi menyedut semua minyak dan mematikan jerawat. Ia mempunyai dua fungsi iaitu mematikan kuman jerawat manakala dan mengurangkan sebum. Apabila simetri wajah dicapai dan kulit pula mulus dan halus sudah tentu penampilan lebih cantik dan bergaya.

Saturday, October 2, 2010

Resipi mata sihat

Mata memainkan peranan paling penting dalam kehidupan manusia. Jika mata terjejas maka keindahan dunia tidak dapat dinikmati. Oleh sebab itu, mata hendaklah dijaga dengan baik setiap masa kerana kornea mata amat sensitif sifatnya.

Berbicara tentang masalah mata, Prof. Muhaya Muhamad mempunyai ramuan untuk segera sembuh.

Selain yakin dengan kemajuan teknologi perubatan, beliau berkata, doktor dan pesakit perlu menyembuhkan diri sendiri.

"Sebelum menyembuhkan orang lain, perlunya seseorang menyembuhkan terlebih dahulu dirinya dari segi fizikal, spiritual, emosi dan sosial. Begitu dengan pesakit khususnya mereka yang percaya penglihatan mata penting untuk menjalankan ibadat dengan sempurna," ujarnya setiap kali penulis bertemu dengannya.

Pertemuan bersama pesakit turut diselitkan sedikit nasihat agar mereka celik hati dan mata.

Bagi Prof. Muhaya doktor dan pesakit Muslim perlu memiliki kebersihan rohani sebelum mampu merawat penyakit. Berdasarkan pengalaman beliau, pesakit Muslim yang tidak pernah meninggalkan suruhan Tuhan, melalui prosedur pembedahan dengan lancar.

Begitu seorang doktor, Prof. Muhaya ingin mengejar pahala dengan tidak meninggalkan suruhan Allah dan ikhlas membantu insan lain. Ia merupakan resipi terbaik bergelar doktor.

"Sebenarnya menjadi doktor paling mudah untuk kita mendapat pahala kerana menerusinya kita lebih mudah berdakwah dan menyampaikan nasihat kepada pesakit. Sepanjang pengalaman saya sebagai doktor, selalunya saya akan menyampaikan ingatan dan pesanan kepada pesakit, tidak sekadar merawat semata-mata," katanya.

Mata berair tanda mata kering????

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

HEW Hoi Sim tidak mempunyai masalah penglihatan mata. Tanpa memakai cermin mata, dia bebas bergerak. Namun, seharian berada di pejabat yang berhawa dingin dan berdepan dengan komputer, membuatkan matanya berasa pedih.

Bukan itu sahaja, matanya sering berair dan dia berasa tidak selesa. Dengan sedikit pengetahuan tentang masalah mata, Hoi Sim melakukan ujian mata. Baginya, kesihatan mata bukan sesuatu yang dianggap mudah.

Melalui Pakar Mata dan Lasik Pusat Perubatan Prince Court (PCMC), Profesor Dr. Muhaya Mohamad, Hoi Sim melakukan ujian air mata. Ujian ini mengukur kadar kelembapan mata.

Menurut Prof Muhaya, Hoi Sim mungkin mengalami mata kering.

Selepas lima minit melakukan ujian ringkas, Prof Muhaya mendapati Hoi Sim mengalami masalah mata kering dan air matanya sangat kurang.

Tambah beliau, air mata sangat penting sebagai bahan pelincir mata dan untuk menyingkir segala kekotoran (termasuk bahan asing) bagi memastikan mata sentiasa sihat.

Bagaimanapun, jika terlalu banyak air mata, ia boleh membuatkan kita berasa tidak selesa. Air mata bukan sekadar air. Ia cecair yang kompleks; mengandungi air, lemak, protein, elektrolit, bahan pembasmi bakteria dan faktor pertumbuhan yang mengawal pelbagai proses di dalam sel. Gabungan ini membantu menjadikan permukaan mata bersih dan licin.

"Tanpa air mata, kita tidak dapat melihat dengan jelas. Masalah mata berair sering berlaku pada orang tua berumur melebihi 60 tahun. Uniknya, gejala mata berair biasanya disebabkan masalah mata kering. Secara umumnya, kebanyakan orang tua mengalami masalah mata kering kerana kekurangan air mata yang dikeluarkan kelenjar air mata akibat faktor umur. Secara semula jadi, pengeluaran air mata berkurang apabila umur meningkat," ujar beliau.

Walaupun masalah mata kering boleh berlaku kepada lelaki dan wanita pada semua peringkat umur, biasanya ia lebih kerap dialami wanita, terutama selepas menopaus. Ia mungkin disebabkan perubahan hormon. Apabila mata kering, seseorang berasa tidak selesa dan kelenjar airmata mengeluarkan air mata (tindakan refleks yang berlaku secara semula jadi) sebagai langkah perlindungan. Keadaan ini sama seperti air mata yang dikeluarkan ketika mata dimasuki habuk.

Adakah masalah mata berair berbahaya dan boleh menyebabkan kebutaan?

Menurut Prof Muhaya, ia bergantung kepada punca masalah.

"Untuk mengetahui sama ada ia berbahaya atau tidak, seseorang harus memerhatikan dua gejala, iaitu mata menjadi merah dan penglihatan terganggu. Harus diingat, ada penyebab masalah mata berair yang berbahaya dan boleh menyebabkan kebutaan seperti glaukoma akut dan ulser kornea. Pada kedua-dua keadaan ini (glaukoma akut dan ulser kornea), mata menjadi merah dan penglihatan terganggu. Jika dua gejala ini tiada, anda tidak perlu risau," katanya.

Apa rawatan untuk mata kering?

Masalah mata kering boleh diatasi dengan menitiskan air mata palsu, iaitu sejenis cecair yang diolah menyerupai keadaan air mata sebenar. Air mata palsu ini boleh dititiskan ke dalam mata tanpa kesan sampingan. Malah, ia juga boleh dianggap sebagai losen mata.

Apa rawatan untuk kanak-kanak yang alami penyumbatan nasolakrimal?

Pada peringkat awal sebelum berusia enam bulan, bahagian yang tersumbat boleh diurut untuk menggalakkan pembukaan saluran nasolakrimal. Jika saluran masih tidak terbuka selepas berumur enam bulan, ibu bapa tidak perlu risau kerana ia boleh diperbaiki melalui pembedahan kecil. Anda tidak perlu bimbang jika mengalami masalah mata berair, kecuali ia mengakibatkan mata menjadi merah dan mengganggu penglihatan. Walaupun ia menyebabkan ketidakselesaan, tetapi secara umumnya masalah ini boleh diatasi dengan mudah. Bagaimanapun, jika perkara ini berlanjutan, dapatkan bantuan doktor mata anda.

Isolaz rawat jerawat bisul

FAZLI benar-benar risau. Jerawat di wajahnya semakin hari semakin bertambah. Jerawat tumbuh melata dan bernanah. Kulit mukanya terasa pedih dan sakit. Apabila dipicit nanah dan darah mula keluar menyebabkan dia malu ditegur kawan-kawannya.

Seingat Fazli sejak di bangku sekolah lagi masalah jerawat telah mula mengganggunya. Semasa itu jerawat itu hanya kecil-kecil sahaja. Namun kini saiz jerawat semakin besar dan sangat hodoh tampaknya.

Fazli sudah pun mencuba pelbagai cara untuk mengubatinya. Malahan dia sudah mencuba ubat yang disarankan oleh doktor dan juga pakar kulit. Jerawat reda seketika namun selepas itu muncul kembali. Dia juga banyak mencuba pelbagai produk kosmetik dan ubat ubatan tradisional namun tiada hasil. Jerawat bagaikan tidak mahu surut dan dia hampir berputus asa dengan keadaan tersebut.

Setelah membaca kaedah terkini merawat jerawat menggunakan laser, Fazli datang bertemu saya.

"Boleh doktor jelaskan kepada saya dengan terperinci apakah maksud laser dan adakah ia sesuai bagi mengatasi masalah seperti yang saya hadapi?" tanya beliau.

Saya menjelaskan tentang laser iaitu satu jalur cahaya dalam jarak gelombang yang tertentu dan tindakannya jauh ke dalam kulit. Ia mampu mengurangkan aktiviti sel-sel jerawat.

"Saya banyak mendengar mengenai laser. Di sana sini orang memperkatakan mengenai laser. Adakah semuanya sama?" tanya beliau lagi.

Semua laser adalah tidak sama. Tindakan laser amat spesifik. Jenis laser pun begitu. Ada laser yang sesuai bagi mencerah kulit namun tidak sesuai bagi jerawat kerana ia mengaktifkan sel-sel jerawat pada kulit. Jenis-jenis laser juga ada pelbagai dan penggunaannya haruslah berasas. Para doktor yang mengikuti kursus-kursus laser yang ditauliahkan pasti akan memilih laser terbaik buat pelanggan mereka.

"Laser bagaimana yang sesuai bagi saya?" Tanya Fazli.

Bagi mengatasi masalah jerawat saya menggunakan laser Isolaz yang telah lulus FDA (Food and Drug Administration) bagi rawatan jerawat di pelbagai peringkat. Di Marissa Esthetic penggunaan laser dipilih dengan berhati hati berdasarkan masalah yang dihadapi oleh pelanggan kami.

Teknologi yang digunakan oleh pengeluar Isolaz dikenali sebagai photopneumatic. Ia menggabungkan penggunaan vakum yang boleh menyedut kekotoran dari dalam pori-pori dengan mengecutkan liang sebum dan menanggalkan noda-noda hitam. Tidak ada satu pun laser lain yang mampu menjalankan tugas sebagaimana yang mampu dilakukan oleh teknologi seumpama ini. Sedutannya amat bertenaga dan mampu mengeluarkan semua nanah dan sebum yang menyumbat liang roma dengan sempurna.

Oleh kerana sifat vakum nya yang handal dan unik, sel kulit langsung tidak terjejas dan kulit tidak rosak sebaliknya kembali pulih dengan cepat. Ini amat bersesuaian sekali bagi rawatan jerawat.

Jerawat aktif apabila sebum di dalam kulit tersumbat dan menjadi pusat pembiakan kuman. Sesetengah krim muka yang berminyak dan kosmetik juga boleh menghasilkan jerawat kerana ia masuk ke dalam pori-pori dan menyebabkannya tersumbat. Ini menyebabkan bakteria pencetus jerawat menjadi aktif dan mudah membiak. Oleh itu aspek pembersihan muka juga perlulah dititikberatkan bagi mengelakkan jerawat.

Cahaya broadband yang dipancarkan oleh laser Isolaz juga membunuh kuman. Apabila cahaya dari laser dipancarkan ia akan membuatkan kuman mati dan dinding bakteria juga mula pecah akibat daripada cahaya laser. Tindakan laser seumpama ini amat spesifik. Ia mematikan kuman yang tidak mudah dibunuh dengan ubat-ubatan antibiotik semata-mata. Gandingan laser dan antibiotik pasti memberikan kesan yang jauh lebih baik berbanding jika hanya mengamalkan antibiotik.

"Apakah perbezaan antara rawatan laser dan rawatan chemical peeling? Yang manakah yang lebih baik?" tanya Fazli lagi.

Rawatan laser sangat berbeza dengan rawatan chemical peeling yang menggunakan asid lembut atau asid buah-buahan bagi mengupas kulit dan sekali gus memudahkan kuman jerawat dan nanah dikeluarkan. Ia juga membolehkan jerawat cepat sembuh dan merangsang sel-sel kulit kita. Kedua-duanya merupakan rawatan yang baik kerana ia membuat kulit kita menjadi lebih muda dan cantik. Bagi saya, saya akan mencadangkan chemical peeling bagi sesi pertama pertemuan dan diikuti dengan laser selepas dua minggu peeling dibuat. Ini kerana proses peeling memudahkan laser menembusi dengan lebih efektif lagi.

Biasanya selepas chemical peeling cystic nodules yang mengandungi nanah akan mula pecah dan menjadi nipis. Jadi pancaran laser dapat menembusi dan memusnahkan kesemua kuman yang bersembunyi di dalamnya.

Laser juga mengecutkan kelenjar sebum dan mengurangkan radang akibat jangkitan kuman. Selepas laser pelanggan berasa lebih selesa kerana kulit muka tidak berasa sakit. Masalah kesakitan dan keperitan pada kulit amat mengganggu terutamanya remaja yang masih bersekolah. Jerawat yang teruk ibarat bisul kecil pada muka dan kesakitan yang ditanggung akibat bisul-bisul ini amatlah menyiksakan.

Kelebihan yang lain ialah tidak sakit, cepat dan berkesan untuk semua jenis kulit. Berbeza dengan laser jenis lain yang rata-ratanya merengsakan, laser ini tidak menyakitkan. Ia sesuai digunakan oleh remaja dan semua lapisan usia. Ia juga sesuai digunakan oleh semua jenis kulit dan sangat universal.

Satu lagi kelebihannya ialah ia mencantikkan kulit dengan mengecilkan pori pori. Apabila pancaran laser terkena kulit ia meningkatkan kandungan kolagen dan merangsang sel-sel yang lebih baru dan cantik untuk lebih segar lagi.

Bahaya ubat tahan sakit

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

APA yang anda lakukan andai mengalami sakit kepala atau lenguh-lenguh badan berpanjangan? Terus-terang ramai daripada kita mengambil jalan mudah dengan mendapatkan ubat biasa yang dijual di kebanyakan farmasi atau kedai ubat tanpa merujuk kepada doktor terlebih dahulu.

Walaupun sedar ia bukanlah penyelesaian terbaik, namun ramai yang tidak kisah kerana menganggap keadaan tersebut tidak serius dan akan pulih dengan sendirinya.

Sakit kepala dan lenguh-lenguh biasa mungkin boleh diubati dengan ubat yang boleh didapati di farmasi dan kedai ubat. Namun jika berlarutan melebihi enam minggu, ia boleh diklasifikasikan sebagai sakit kronik yang memerlukan pengawasan doktor.

"Sakit kronik adalah keadaan yang kompleks dan pesakit seharusnya mendapatkan pandangan pakar di peringkat awal untuk perubatan yang selamat, efektif dan berkesan," kata Pengarah Klinik Pakar, Hospital Mount Elizabeth Singapura, Dr. Alex Yeo.

Sakit kronik menurutnya, didefinisi sebagai sakit yang melebihi enam minggu dan bersangkut dengan keadaan seperti artritis, sakit kepala berterusan, migrain, sakit belakang dan pergelangan yang kronik.

Kata beliau, banyak kajian melaporkan sakit kronik sebagai penyakit senyap yang sentiasa berlaku kepada masyarakat hari ini.

"Sakit sebegini walaupun ada kalanya dianggap remeh namun ia menjejaskan aktiviti harian termasuk kerja, tidur dan membuatkan seseorang tidak memberi perhatian sepenuhnya pada sesuatu tugasan atau menikmati hobi serta aktiviti yang lain," katanya.

Dr. Alex Yeo berkata demikian pada pembentangan satu kajian mengenai perubatan sendiri untuk sakit kronik di beberapa negara Asia di ibu negara baru-baru ini.

Menurut beliau, kajian tersebut mendapati kira-kira 60 peratus individu yang menderita sakit kronik tidak mendapatkan rawatan sewajarnya malah mengambil langkah mudah dengan berubat cara sendiri.

Kajian melibatkan 1,220 pesakit kronik di China, Taiwan dan Thailand yang ditaja oleh Pfizer itu menunjukkan daripada pesakit yang tidak merujuk pakar, lebih 30 peratus tidak berbuat begitu kerana percaya mereka mampu menanganinya. Hanya lima peratus pesakit mengambil ubat tahan sakit.

Kata Dr. Alex, ubat tahan sakit biasa yang digunakan di seluruh dunia adalah ubat anti-keradangan bukan steroid (NSAIDs). Contoh-contoh ubat tersebut termasuk ibuprofein, diclofenac dan naproxen.

Sesetengah NSAIDs boleh diperolehi tanpa preskrip doktor dan mudah didapati di kaunter-kaunter.

Walaupun terdapat label pada ubat yang mengatakan ia untuk penggunaan jangka masa pendek, kebanyakan pesakit tidak menghiraukannya serta tidak sedar dengan risiko yang akan datang.

Beliau berkata, biar pun dos lebih rendah berbanding ubat preskripsi doktor, penggunaan ubat tersebut secara berpanjangan boleh menyebabkan kesan sampingan terutama berkaitan gastrousus dan juga masalah buah pinggang. Penyakit akibat penggunaan NSAIDs jangka panjang juga dikatakan agak serius dan boleh mengundang maut.

Berdasarkan kajian yang dijalankan kata Dr. Alex, lebih separuh daripada responden dari China dan Thailand serta suku responden di Taiwan mengaku mereka menggabungkan dua jenis perubatan iaitu alternatif dengan ubat preskripsi doktor atau ubat yang dibeli di kaunter.

"Juga lebih 70 responden menyatakan mereka biasanya lebih mempercayai perubatan alternatif berbanding perubatan moden dalam merawat sakit kronik.

"Ini berikutan kepercayaan perubatan alternatif kurang memberi kesan sampingan," katanya.

Dr. Alex berkata, hampir 30 peratus pesakit mengaku mereka mengalami kesan sampingan akibat pengambilan NSAIDs seperti gastrik dan sakit dalam perut.

Menurut beliau lagi, masalah kesan sampingan akibat penggunaan ubat tahan sakit berpanjangan bukan sahaja dialami penduduk Asia, malah ia berlaku di seluruh dunia.

Rawatan lebih selamat

Pembentangan tersebut turut mengupas mengenai penggunaan ubat preskripsi celecoxib dalam meredakan kesakitan artritis yang terbukti kurang berisiko terhadap usus berbanding lain-lain NSAIDs.

Keputusan itu berdasarkan kajian yang dijalankan di 32 buah negara melibatkan lebih 4,000 pesakit.

Menurut Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi Chinese University of Hong Kong, Dr. Francis Ka-Leung Chan, kajian menunjukkan celecoxib mempunyai kadar empat kali kurang kesan terhadap usus berbanding NSAIDs lain.

"Keputusan kajian membantu pakar perubatan memilih rawatan yang bersesuaian untuk artritis berdasarkan ia selamat pada usus," kata beliau yang juga merupakan ketua kajian.

Kunci sistem imun yang kuat

IMUNISASI badan yang lemah menyebabkan badan cepat letih dan mudah dijangkiti demam.
IMUNISASI badan yang lemah menyebabkan badan cepat letih dan mudah dijangkiti demam.

Kita bergantung kepada sistem pertahanan badan (sistem imun) yang mempertahankan badan kita secara semulajadi daripada dijangkiti kuman (bakteria, virus seperti A H1N1, Avian Flu, SARS dan juga virus demam dan selesema).

Demam atau selesema adalah tanda ketara menunjukkan sistem imun kita gagal untuk menentang kuman. Penyakit lain seperti tuberculosis dan pneumonia boleh juga terjadi kepada mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah. Oleh itu, tidak ada alasan untuk anda mempunyai sistem pertahanan yang lemah yang boleh memberi ruang untuk anda dihidapi penyakit.

Kemodenan Hidup Melemahkan Sistem Pertahanan

Mengekalkan sistem imun yang sihat pada zaman sekarang adalah sangat mencabar. Secara amnya, kita tidak mendapat tidur yang cukup, kurang bersenam, makan makanan yang diproses dan mengalami tekanan hidup. Ini melemahkan sistem pertahanan, membuatkan kita terdedah kepada masalah kesihatan.

"Terdapat banyak penyelidikan menunjukkan yang tekanan hidup daripada segi mental dan fizikal boleh melemahkan sistem imun," kata Don Cox, PhD, Naib Presiden kepada kumpulan kajian dan perkembangan kesihatan di Biothera, Eagan MN. "Sudah tentu tekanan gaya hidup bukan perkara asing lagi kepada pengguna generasi sekarang.

Walaubagaimanapun, penemuan saintifik telah membawa kepada perkembangan ramuan baru yang boleh menyokong fungsi sistem imun.

Tambahan pula, masyarakat sekarang ini telah menjadi taksub kepada kebersihan (sanitized society). Ini membuatkan kita tidak memberikan "alat" yang diperlukan badan untuk menentang pencemaran dengan sendiri.

"Masyarakat moden yang taksub dengan kebersihan sehingga terlampau bersih telah menghapuskan semua antigen (sebatian antibodi) tidak berbahaya yang sepatutnya melatih badan kita untuk tidak bertindak balas dengan melampau.

Oleh itu, kita mudah terkena jangkitan pada masa kini." Kata Larry Robinson, PhD, Naib Presiden Hal Ehwal Saintifik di Embria Health Sciences "dengan itu ramai pengguna mengambil suplemen vitamin untuk sokongan tambahan."

"Whole Glucan Particle" (WGP) - Penambah Imun yang Paling Kuat daripada Alam Semula jadi

Daripada semua sebatian semula jadi yang diketahui boleh mengaktifkan sistem yang terpendam ini, yang paling lengkap didokumentasikan dan juga yang paling berkesan ialah WGP, yang diambil daripada sejenis. Sebenarnya, apabila ahli Jabatan Pertahanan NATO yang terkemuka menilai lebih 300 penggalak imun yang berpotensi, didapati WGP mempunyai markah yang tertinggi.

Bagaimanakah WGP Beta Glucan Berfungsi?

Di samping penyelidikan klinikal yang telah menunjukkan manfaat perlindungan terhadap tekanan dan cabaran kesihatan yang lain (seperti bakteria dan virus), banyak kajian telah menghuraikan mekanisme tindakan WGP dalam badan kita diperingkat sel. Satu kajian penting yang diterbitkan dalam majalah Journal of Immunology, menggunakan WGP yang berlabelkan cahaya kalimantang yang boleh dijejaki dengan mikroskop sambil ia menggerakkan berbagai sel imun dalam badan untuk mewujudkan aktiviti bio. Para penyelidik mendapati WGP diserapi ke dalam badan melalui Peyer's Patches, iaitu bahagian yang khusus dalam usus kecil. Di sini sel imun yang dikenali sebagai makrofaj menyelubungi WGP dan memecahkannya menjadi serpihan kecil yang kemudian membaluti neutrophil, iaitu sel imun yang paling banyak dijumpai dalam badan. Sebaik sahaja serpihan WGP itu membaluti neutrophil, ia akan menggerakkan neutrophil untuk menjadi lebih berkesan dalam kegiatannya membunuh pathogen (iaitu bakteria dan virus-virus).

Banyak kajian klinikal dan pra klinikal menunjukkan WGP dapat mengaktifkan sel imun penting dalam badan manusia, termasuk makrofaj dan neutrophil dengan itu membolehkannya menjadi lebih cepat mengenali unsur asing kemudian membunuhnya. Lebih satu dozen jurnal perubatan dan sains dibawah kajian golongan ini sendiri telah menerbitkan hasil kajian mengenai keselamatan dan keberkesanan WGP sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini. WGP mempunyai lebih 40 paten yang diluluskan serta yang sedang menunggu kelulusan.

Terdapat 3 ujian klinikal yang berbentuk double-blind placebo yang dilakukan pada tahun 2007 dan 2008 dengan WGP. Satu kajian melibatkan subjek yang mengalami tekanan fizikal (iaitu para pelari maraton) dan dua kajian yang lain lagi itu melibatkan para pemadam kebakaran dan mereka yang mengalami tekanan tinggi disebabkan oleh gaya hidup dan kerjaya pilihan mereka. Tekanan akan merendahkan daya keimunan dan mereka yang selalu mengalami tekanan menjadi lebih rentan terhadap jangkitan. Dalam kajian itu, didapati WGP mengurangkan kejadian gejala yang dikaitkan dengan jangkitan saluran pernafasan atasan dan pada masa yang sama subjek ini menunjukkan peningkatan kecergasan dan kejernihan mental serta kurang keletihan.

WGP Beta Glucan Sebagai Suplemen Harian

Kita ketahui bahawa jangkitan bakteria dan virus, seperti H1N1, merupakan akibat sama ada secara langsung atau tidak langsung, daripada sistem imun yang berfungsi pada tahap yang kurang optimum. Perbezaannya sama ada kita sebenarnya akan menghidapi jangkitan virus adalah bergantung kepada sama ada kita mempunyai sistem imun yang sihat atau tidak. Dengan mengambil 1 kapsul (200mg) WGP setiap hari boleh membantu mengekalkan sistem imun anda serta anda berada dalam keadaan bersedia untuk menentang sebarang serangan kuman. Sebaik sahaja mendapat tanda-tanda awal jangkitan, anda hendaklah meningkatkan dos kepada 4-6 kapsul sehari. WGP telah terbukti sebagai selamat dan tidak bertoksik walaupun diambil dengan dos-dos yang lebih tinggi.

Adalah jelas sekali bahawa mengekalkan kesihatan dan kekuatan sistem imun seharusnya menjadi keutamaan sekiranya kita ingin mengelak daripada penyakit dan mencapai kesihatan yang optimum. Bagaimana proses penuaan kita dan mutu hidup kita adalah pada sebahagian besarnya bergantung kepada kesihatan sistem imun. Mengambil WGP setiap hari akan memberi kesan yang amat mendalam lagi meluas terhadap kesihatan anda.

Monday, September 27, 2010

Kawal paras gula

SEPANJANG bulan puasa saya gembira kerana mampu mengawal paras gula dalam darah dengan baik. Namun malangnya, pemeriksaan selepas hari raya mendapati ia meningkat dengan banyak. Bagaimana saya ingin mengembalikan paras gula gula dalam darah saya?

JAWAPAN,

Keberkesanan pengawalan gula darah banyak bergantung pada cara pemakanan dan gaya hidup. Antara cara yang masih praktikal sehingga kini adalah mengawal pemakanan, terutamanya makanan manis seperti biskut, kek dan pelbagai manisan di musim perayaan dan rumah terbuka. Tidak terkecuali juga hidangan berkarbohidrat tinggi, makanan berlemak dan berminyak yang boleh memburukkan masalah kesihatan sedia ada.

Sekiranya anda dapati peningkatan glukosa darah kian meningkat, tingkatkan aktiviti senaman. Ia merupakan antara cara berkesan untuk mengembalikan kesihatan termasuklah mengawal peningkatan berat badan. Ini tentunya penting, di mana rata-rata daripada kita mula merasai peningkatan berat badan selepas musim perayaan.

Pengambilan suplemen yang sesuai akan meningkatkan keberkesanan pelan kesihatan anda. Dalam usaha mengawal peningkatan paras gula dalam darah, kajian menunjukkan pengambilan ekstrak gymnema memberikan hasil positif. Begitu juga dengan herba-herba lain seperti peria, Holy basil (sejenis daun selasih) dan biji halba. Gabungan herba-herba ini memberikan sinergistik dalam usaha anda mengawal gula darah.