Thursday, November 8, 2012

Manfaat susu manusia


SAYA baru sahaja selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Saya ingin menyusukan anak saya ini. Apakah kebaikan susu ibu dan bagaimana saya mahu menambah susu badan? Adakah suplemen tambahan yang sering diiklankan oleh media dapat membantu? Saya juga keliru kerana ibu menyuruh saya memakan jamu ketika berpantang. Tidakkah ia memberi kesan kepada bayi saya?
* Zu, Pulau Pinang
JAWAPAN
Amalan penyusuan ibu bukan sahaja sesuatu yang digalakkan oleh agama Islam malahan disokong oleh asas-asas saintifik. Dari segi isi kandungannya, susu ibu memang begitu lengkap sebagai makanan pertama dan utama bagi bayi.
Susu ibu mengandungi zat-zat makanan yang cukup. Malahan nisbah zat-zat tersebut juga seimbang dengan keperluan seseorang bayi bermula dari masa kelahiran dan seterusnya. Kandungan zat tersebut juga sentiasa berubah mengikut keperluan seorang bayi dari semasa ke semasa. Tambahan pula susu badan mengandungi beberapa jenis antibodi yang dapat melindungi seseorang bayi itu daripada diserangi oleh cirit-birit, penyakit saluran pernafasan serta beberapa penyakit kulit yang tertentu.
Penyusuan susu ibu tiada bandingan dengan susu tepung atau susu formula atau susu lembu. Dengan memeluk anak kecil dan mengalirnya air susu daripada ibu kepada anak, maka kasih sayang ibu turut mengalir.
Kesimpulannya, dengan penyusuan itu, semua kemahuan asas anak-anak dapat disempurnakan dan anak akan berpeluang hidup dengan baik dan teratur semasa dewasa kelak.
RangsanganSeperti yang anda sedia maklum, payu dara perlu mendapat lebih banyak rangsangan daripada bayi bagi meningkatkan penghasilan susu. Selanjutnya, anda perlu melakukan beberapa perkara penting lain dalam usaha membuahkan hasil seperti yang diimpikan seperti kerap menyusu. Susukan bayi sekurang-kurangnya setiap tiga jam pada siang hari.
Jika bayi tidur lebih daripada tiga jam, kejutkan dia untuk menyusu. Pada waktu malam pula, kejutkan bayi untuk menyusu terutamanya jika dia tidur lebih daripada empat hingga lima jam. Semakin kerap anda menyusukan bayi, semakin banyak susu yang akan terhasil. Jadi galakkan bayi untuk lebih kerap menyusu. Penyusuan sebanyak 10 hingga 12 kali atau lebih dalam tempoh 24 jam akan merangsang hormon prolaktin bagi menghasilkan lebih banyak susu. Ketika bayi menyusu, rangsangan sensori itu akan dikirim ke otak. Otak kemudian memberi reaksi mengeluarkan hormon prolaktin yang masuk ke dalam aliran darah menuju kembali ke payu dara. Hormon prolaktin merangsang sel-sel pembuat susu untuk bekerja dengan lebih kuat bagi mengeluarkan lebih susu.
KekerapanSelepas itu, anda juga perlu menambah masa dan kekerapan untuk bayi menghisap susu. Ini adalah asas dalam penyusuan susu ibu kerana secara dasarnya pengeluaran susu ibu adalah mengikut konsep pemberian susu mengikut kemahuan (supply and demand).
Jika seseorang ibu lebih kerap menyusukan bayi mereka, maka lebih banyak susu yang akan dihasilkan. Anda juga perlu mengepam setiap kali selepas menyusukan bayi. Hormon prolaktin banyak dihasilkan pada waktu pagi, oleh itu luangkan sedikit masa untuk mengepam sebaik sahaja bangun tidur. Luangkan juga masa untuk menyusukan bayi sekerap yang mungkin ketika bersama mereka. Keberkesanan biasanya boleh dilihat selepas sekurang-kurangnya tujuh hari anda mempraktikkannya. Ada juga yang perlu menunggu lama sehingga dua minggu bagi melihat hasilnya.
Mengikut pengalaman saya sendiri, mengepam pada masa yang tetap juga mempengaruhi pengeluaran. Walaupun ketika berada di tempat kerja, kita seringkali sibuk dan terleka dalam menyiapkan tugas yang diberikan, cuba sedaya upaya untuk menetapkan masa yang tetap untuk memerah setiap hari. Sediakan satu jadual mengepam yang tetap dan tuliskan jumlah hasil yang diperolehi setiap kali. Oleh itu, anda akan dapat melihat sendiri perubahan pada hasil perahan setiap kali memerah.
PemakananPengambilan pemakanan yang seimbang amatlah penting bagi ibu yang menyusu. Secara peribadinya, saya mendapati saya menghasilkan lebih banyak susu ketika kenyang berbanding dalam keadaan lapar. Sekiranya ibu-ibu sedang dalam usaha menurunkan berat badan, makan pada jumlah yang sedikit tetapi kerap bagi mengelakkan rasa lapar. Ini kerana dalam keadaan yang lapar, kita lebih cenderung makan berlebihan. Utamakan sarapan pagi kerana ia adalah permulaan hari anda.
Terdapat pelbagai jenis pemakanan atau suplemen yang menggalakkan pengeluaran susu telah dikomersialkan. Keberkesanannya bergantung kepada individu.
Halba, oat, alfalfa, air soya, sawi, lobak putih, longan kering, daun kucai, kurma, jantung pisang dan betik muda merangsang pengeluaran susu ibu. Terdapat banyak juga suplemen yang dirumus bagi membantu ibu-ibu yang mengalami masalah pengeluaran susu di pasaran. Elok dapatkan nasihat yang lebih lanjut daripada pakar laktasi!
Makanan atau jamu (ramuan herba) yang dimakan oleh ibu dalam pantang akan memberi kesan kepada bayi susuan.
Kesan tersebut akan disekresi melalui susu yang dihisap oleh bayi. Daripada pengamatan saya, ada bayi yang mengalami masalah kekuningan (jaundis) berpanjangan dan cirit-birit disebabkan ibu mengambil jamu semasa dalam tempoh berpantang. Pemakanan yang seimbang sudah mencukupi bagi ibu-ibu ini.
Saya memohon berbanyak maaf jika maklum balas yang saya berikan berkenaan jamu menimbulkan ketidakpuasan sesetengah pihak.

Fungsi agen antioksidan


TENTU ramai pernah dengar, antioksidan membantu kita jadi sihat dan cantik tetapi bagaimanakah caranya? Contoh paling mudah ambil sebiji epal, makan separuh, tinggalkan dalam suhu bilik dan perhatikan perubahannya.
Epal yang berubah menjadi perang disebabkan oleh proses pengoksidaan yang menghasilkan produk sampingan iaitu radikal bebas. Ini juga berlaku di dalam badan antaranya radikal bebas yang dihasilkan oleh badan melalui tindak balas biokimia.
Bagaimanapun radikal bebas yang terlalu banyak akan mendatangkan bahaya kepada tubuh badan. Faktor lain seperti merokok, minum arak, lemak, cahaya matahari, pendedahan kepada radiasi dan pencemaran persekitaran akan menghasilkan lebih banyak radikal bebas dalam badan.
Jadi badan memerlukan antioksidan seperti vitamin, mineral dan enzim yang dapat melindungi tubuh dan memperlahankan kemusnahan sel disebabkan pengoksidaan bagi memelihara kesihatan tubuh.
Antara contoh antioksidan Vitamin A,C dan E, lycopene, beta carotene dan beberapa lagi.
Sebaik-baiknya kita perlu mendapatkan diet yang kaya dengan antioksidan dalam makanan bagi menjamin pelbagai zat berbanding nutrien khusus dalam satu-satu jenis suplemen.
Antara antioksidan yang terbaik untuk badan adalah glutathion - amat diperlukan bagi melindungi molekul dalam badan. Glutathion dihasilkan oleh sel badan secara semulajadi dan berperanan menyingkirkan toksik badan, menggalakkan sistem imun badan dan memelihara protein sel badan.
Bagaimanapun glutathione berkurangan apabila usia meningkat dan menghidap penyakit seperti Alzheimer, Parkinson dan kanser. Bercerita mengenai antioksidan, buah-buahan dalam kumpulan beri mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi berbanding buah dan sayur.
Menyedari betapa pentingnya antioksidan, dua sahabat Amiza Amiruddin dan Reni Diana Sulaiman membangunkan produk Ephyra yang kaya dengan bahan antioksidan selain kolagen ikan laut dalam terhidrolisis bagi awet muda.
Sebagai pengasas dan Pengarah Oceanlife Marketing Sdn. Bhd., Amiza yang amat mementingkan kesihatan dan kecantikan terpanggil untuk menghasilkan produk yang berfaedah bagi pengguna.
"Produk yang ditambah dengan gam akasia atau manna dalam Bahasa Arab menjadikannya produk pintar.
"Manna disebut dalam Al-Quran sebagai makanan terbaik kepada manusia seperti dalam Surah Al-Baqarah ayat 57," katanya.
Produk yang telah memperoleh jaminan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Amalan Pengilang Baik (GMP) ini boleh di dapati dengan melayari www.oceanlife2u.com .

Pembedahan untuk kurus


RAMAI yang tidak sedar bahawa obesiti antara punca tertinggi kematian yang tidak disangka-sangka. Setiap tahun, angka yang meninggal dunia akibat daripada komplikasi berkait rapat dengan obesiti cukup besar. Kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tahun lalu mendapati Malaysia adalah negara yang mempunyai paling ramai penduduk obes atau gemuk di Asia Tenggara iaitu sebanyak 16.3 peratus daripada jumlah penduduk.
Berat badan yang jauh melebihi daripada sepatutnya boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung, strok, masalah tidur, asma, gagal kawalan air kencing, sakit belakang, ketidaksuburan dan pelbagai lagi.
Hilang berat yang berlebihan itu sebenarnya mampu mengurangkan malah merawati masalah kesihatan yang serius itu.
Pelbagai cara mengurangkan berat badan boleh dilakukan seperti berdiet, aktif bersenam atau mengambil pil kurus tetapi bukan semua orang dapat keputusan seperti yang diingini atas faktor tertentu.
Pembedahan bariatrik seperti pintasan gastrik dan pembedahan sleeve gastrik antara penyelesaian kepada dilema individu obes.
Pembedahan bariatrik adalah teknik pembedahan bertujuan mengurangkan berat badan dengan cara meletakkan alat bantuan seperti pengikat gastrik mahupun pembuangan beberapa bahagian pada perut.
Menurut Pakar Bedah, Pusat Pengurusan Berat Badan dan Pembedahan Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr. Haron Ahmad, pembedahan bariatrik dicadangkan kepada mereka yang indeks jisim badan (BMI) melebihi 38 dan gagal melalui cara pengurangan berat badan yang lain.
"Bagi mereka yang mencapai BMI 35 dan menderita penyakit seperti diabetes kronik dan masalah jantung berkait dengan obesiti turut disyorkan menjalani pembedahan.
"Selalunya, doktor akan mengesyorkan diet atau senaman bagi mengurangkan berat badan ke tahap yang sihat.
"Namun jika sudah lebih setahun berusaha tetapi masih tidak berjaya, pembedahan bariatrik dicadangkan bagi mengurangkan atau merawat masalah penyakit kronik yang berkait rapat dengan obesiti.
"Fungsi utama pembedahan bariatrik bukan sekadar tampak kurus tetapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti punca pelbagai penyakit kronik
"Jangan salah tafsirnya sebagai pembedahan kosmetik," ujarnya yang telah berjaya melakukan pembedahan bariatrik terhadap 87 pesakit di Hospital Pakar KPJ Damansara.
Antara yang pernah menjalani pembedahan ini pelakon Syanie.
Cara rawatanRawatan untuk obesiti antaranya pintasan gastrik, pembedahan sleeve gastrik, ikatan gastrik dan belon intragastrik.
Terangnya, selepas pembedahan, pesakit akan berasa cepat kenyang dan kurang selera makan.
Lalu ia membuatkan sistem tubuh mengambil tenaga daripada lemak pada badan sebagai ganti kepada makanan yang sering diambil.
Dr. Haron berkata, kehilangan sebanyak 30 peratus daripada berat badan berlebihan sudah mampu mengurangkan risiko-risiko penyakit yang berkait rapat dengan obesiti.
KelebihanPembedahan bariatrik mampu memperbaiki kualiti hidup pesakit.
Selepas pembedahan, pesakit akan dapat melihat kesan positif seperti pengurangan berat badan yang ketara, tekanan darah menurun, memulihkan pesakit yang mengalami diabetes tahap 2 serta merendahkan kolesterol.
Selain itu, ia dapat memulihkan masalah pernafasan ketika tidur, pedih ulu hati, memperbaiki pergerakan anggota badan malah menghilangkan sakit teruk pada sendi-sendi tulang akibat berat badan yang berlebihan.
Masalah kitaran haid wanita obes yang tidak teratur sehingga mengganggu kesuburan juga dapat diperbaiki.
"Dari segi psikologi juga semakin bagus kerana ia meningkatkan semangat dan pengawalan emosi kerana pesakit obes selalunya berasa rendah diri," terang Dr. Haron.
KomplikasiApa saja pembedahan pasti ada komplikasi atau risikonya, begitu juga dengan pembedahan bariatrik.
Namun ia berbeza bagi setiap pesakit bergantung kepada sejarah kesihatan dan prosedur yang dijalani.
Terang Dr. Haron, dengan rawatan susulan, sesi bersama pakar diet dan kaunseling memastikan perawatan total kepada pesakit.
"Risiko untuk pembedahan pintasan gastrik atau sleeve gastrik untuk bocor ada sebanyak satu peratus.
"Selain itu, pesakit akan dibekalkan dengan pil vitamin bagi memberi nutrisi yang tidak mencukupi akibat pembedahan tersebut.
"Sebab itu pesakit perlu berterus an bertemu doktor bagi memastikan segalanya dikawal dan menyediakan pesakit dengan masalah yang mungkin dihadapi," ujarnya.
Pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik juga perlu bertemu dengan pakar kaunseling kerana cara pemakanan selepas pembedahan agak berbeza berbanding sebelum itu.
Pesakit mungkin akan muntah jika masih kekal mengambil jumlah makanan yang banyak seperti sebelum pembedahan kerana perut yang semakin kecil.

Bebas sakit lutut


KESAKITAN yang dilaluinya setahun lalu sukar digambarkan dengan kata-kata. Malah kekecewaan akibat dilanda penyakit secara tiba-tiba menyebabkan dia sukar melakukan kerja. Namun bertemankan sokongan suami serta semangat yang ada pada dirinya, Roszitah Zulkipli meneruskan kehidupan.
Segala-galanya bermula apabila wanita berusia 47 tahun itu mengalami sakit belakang yang kemudian berpindah ke sendi lutut.
Dia menganggap sakit yang tidak diketahui apa puncanya itu akan sembuh selepas memakan ubat dan menjalani rawatan tradisional.
Bagaimanapun, keadaan tidak berubah. Roszitah yang mempunyai gaya hidup aktif terpaksa menahan kesakitan setiap kali bergerak.
Bagi mendapatkan kepastian penyakit yang dialaminya itu, dia pergi berjumpa pakar perubatan dan Roszitah disahkan menghidap sakit belakang, 'slip disc' yang serius. Kesakitan yang bermula di bahagian belakang beralih ke lutut kanan.
"Kesakitan berterusan menyebabkan saya hampir berputus asa akibat keadaan diri yang kurang upaya. Saya terpaksa berjalan amat perlahan menggunakan tongkat. Selain itu, saya tidak boleh berdiri dalam tempoh yang lama.
"Memang keadaan sangat perit ketika itu. Sehingga satu peringkat saya tidak boleh memandu kereta dan menjahit. Mujur ada suami yang membantu,'' katanya yang ditemui di kediamannya di Sungai Ramal Luar, Kajang, Selangor.
l Sukar
Wanita itu turut berkongsi cerita tentang kesukaran untuk membongkok badan selain tidak boleh naik atau turun tangga.
Namun nasib menyebelahinya lantaran dikurniakan suami yang setia dan sentiasa memberi sokongan.
''Sebelum diserang penyakit ini, saya gemar memasak dan menyediakan makanan sendiri. Segalanya berubah apabila saya jatuh sakit. Saya hilang selera makan dan berat badan saya turun mendadak. Suami terus menyokong saya. Dialah yang membeli makanan dari luar dan membantu saya menguruskan kerja rumah," katanya ketika mengimbau penderitaannya.
Selain rawatan fisioterapi, Roszitah turut mencuba pelbagai suplemen termasuk IZ Wellin.
Menurutnya, IZ Wellin diperbuat daripada bahan-bahan aktif iaitu herba yang tumbuh subur di India yang bertindak sebagai ejen antiinflamasi dengan kehadiran asid boswellic.
"Suplemen ini mampu memberi isian (kartillage) kepada sendi agar tulang tidak bergesel. Alhamdulillah selepas mendapatkan rawatan doktor secara berterusan, fisioterapi dan mencuba suplemen ini, sakit lutut saya semakin berkurangan.
"Kini saya boleh menaiki tangga dan mengambil tempahan jahitan baju. Saya tidak lagi bergantung pada ubat penahan sakit. Doktor turut menasihatkan saya supaya tidak melakukan kerja berat," katanya yang kini menjadi pengedar IZ Wellin.
Roszitah turut menasihati wanita lain agar menjalani pemeriksaan awal jika mengalami tanda-tanda awal sakit sendi seperti di bahagian lutut.
"Penyakit saya didiagnosis pada umur yang agak lewat tetapi mujur dapat dirawat segera. Mungkin saya cepat bertindak dan tidak segan silu bertanya pada orang lain berkenaan penyakit ini. Sebenarnya keadaan ini bergantung kepada seseorang.
"Saya juga tidak pernah berputus asa mencuba pelbagai rawatan moden dan tradisional selain mengamalkan suplemen.
"Saya yakin setiap penyakit ada rawatan. Saya percaya sifat tabah, sabar, berusaha, tidak putus asa dan sokongan keluarga menjadi kekuatan setiap pesakit dan keluarga untuk meneruskan hidup," katanya yang gembira dengan perubahan sakit sendinya.
Info rawatan
* Senaman dan fisioterapi.
* Ubat penahan sakit.
* Suplemen-suplemen seperti glucosamine sulfate dan chondroitin untuk kes-kes awal, yang boleh diperoleh di farmasi tanpa preskripsi doktor.
* Suntikan viskosuplemen untuk kelinciran sendi
* Pencucian artroskopi iaitu pembedahan segera mengeluarkan agen-agen radang di dalam lutut di samping mencuci rawan.
* Pembedahan gantian sendi.

Saturday, November 3, 2012

Lumpuh selepas lahirkan anak


Diam tak diam sudah enam tahun usia anak perempuan Suhaila. Dalam tempoh itu jugalah ibu muda berusia 21 tahun itu bergantung penuh pada kudrat kedua orang tuanya untuk menguruskan diri.
Suhaila (bukan nama sebenar) dahulu seorang remaja yang lincah dan periang sebelum diuji dengan dugaan cukup berat apabila sebahagian tubuhnya lumpuh akibat melahirkan anak.
Tiada siapa menduga, kerana keadaan yang menimpanya itu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Sudahlah malu keluarganya terhadap cacian orang kampung masih berbekas, dia pula terpaksa menanggung kesakitan dan kecacatan seumur hidup.
Anak perempuan yang dilahirkan hasil hubungan haram dengan teman lelakinya kini dijaga oleh ibunya. Biarpun kelahiran 'tidak dipinta', cucu perempuan itu ditatang bagai minyak yang penuh oleh nenek dan datuknya.

Friday, November 2, 2012

Pertanyaan

sebarang pertanyaan dan kemusykilan boleh dihantar ke aristonshah@gmail.com

Baki susu bawa mudarat


Mengambil tahu tentang cara pengambilan susu yang betul penting terutamanya kepada pelajar sekolah.
PENGAMALAN tabiat ini bukanlah sekadar rekaan, namun dapat dilihat dengan ketara tatkala pembekalan susu ke sekolah-sekolah rendah kawasan luar bandar yang dilaksanakan menerusi Program Susu 1Malaysia (PS1M).
Menganggapnya sebagai minuman mahal, menyebabkan ada sesetengah murid mengamalkan tabiat berkenaan, tanpa menyedari bahawa perlakuan itu sebenarnya mendedahkan mereka kepada bahaya!
Tabiat minum sedikit dan simpan dalam tempoh penyimpanan agak panjang berpotensi mendedahkan susu kepada penyerangan bakteria.
Ini akan mengakibatkan kerosakan susu dan berupaya menyebabkan seseorang itu mengalami tanda-tanda klinikal seperti cirit-birit dan muntah.
"Apabila diberikan susu UHT (pek menggunakan kotak), kepada murid-murid, mereka seharusnya minum sehingga habis. Sekiranya mengalami kesukaran untuk menghabiskannya, mereka perlu buang dan tidak boleh simpan.