Saturday, November 3, 2012

Lumpuh selepas lahirkan anak


Diam tak diam sudah enam tahun usia anak perempuan Suhaila. Dalam tempoh itu jugalah ibu muda berusia 21 tahun itu bergantung penuh pada kudrat kedua orang tuanya untuk menguruskan diri.
Suhaila (bukan nama sebenar) dahulu seorang remaja yang lincah dan periang sebelum diuji dengan dugaan cukup berat apabila sebahagian tubuhnya lumpuh akibat melahirkan anak.
Tiada siapa menduga, kerana keadaan yang menimpanya itu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Sudahlah malu keluarganya terhadap cacian orang kampung masih berbekas, dia pula terpaksa menanggung kesakitan dan kecacatan seumur hidup.
Anak perempuan yang dilahirkan hasil hubungan haram dengan teman lelakinya kini dijaga oleh ibunya. Biarpun kelahiran 'tidak dipinta', cucu perempuan itu ditatang bagai minyak yang penuh oleh nenek dan datuknya.
Walaupun pernah menconteng arang pada keluarga ditambah pula dengan keadaannya yang tidak berupaya, Suhaila masih bersyukur kerana mempunyai keluarga yang menyayangi dirinya.
"Mereka sanggup bersusah payah menjaga dan berusaha pelbagai cara untuk mengubati penyakit yang saya dihidapi sekarang. Saya tidak sanggup melihat kesedihan pada wajah ibu tiap kali dicemuh oleh orang kampung.
"Sehingga hari ini, walaupun peristiwa hitam itu sudah lama berlalu saya sangat bersyukur kerana dapat melihat anak membesar di depan mata ," katanya.
Bercerita lanjut mengenai kisah hidupnya yang menyebabkan dia terjebak melahirkan anak luar nikah, segalanya bermula apabila Suhaila terlalu mengejar keseronokan dan mudah dibuai dengan pujukan rayu seorang lelaki.
"Saya berkenalan dengan lelaki tersebut ketika berusia 15 tahun. Jarak umur antara kami lebih enam tahun. Perkenalan kami diatur oleh rakan yang merupakan rakan sekelas ketika itu.
"Amran (bukan nama sebenar) sudah bekerja dan berkahwin ketika itu. Saya pula masih belajar dan akan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Saya tidak hiraukan statusnya sebagai suami orang kerana perasaan sayang dan cinta yang semakin membuak-buak.
"Tambahan pula usia saya yang masih mentah dan mudah terpengaruh dengan pujuk rayu seorang lelaki sehingga sanggup menggadai maruah dan harga diri.
"Semasa mula berkenalan kami hanya berjumpa selepas habis waktu sekolah sahaja. Kebetulan jarak tempat kerja Amran dengan sekolah dekat. Jadi kami selalu menghabiskan masa bersama-sama sehingga lewat malam.
"Adakalanya kerana terlalu mabuk dengan cinta Amran, saya beberapa kali membohongi ibu. Saya kata pada ibu mahu ke sekolah, sebaliknya masa saya dihabiskan berseronok dengan Amran.
"Selalunya, kawasan sunyi daripada kelibat orang ramai seperti tepi tasik menjadi tempat kami sering berjumpa untuk melepaskan perasaan rindu masing-masing," katanya.
Ujar Suhaila lagi, hubungan yang terjalin itu akhirnya dapat dihidu oleh keluarga menyebabkan kedua ibu bapanya mula meragui setiap tindak-tanduk yang dilakukan oleh Suhaila.
"Mereka mula memarahi jika saya sering pulang lewat malam, tetapi nasihat itu hanya dibiarkan begitu sahaja.
"Perasaan sayang pada lelaki itu menyebabkan saya tidak menghiraukan nasihat ibu malah kedegilan saya semakin menjadi-jadi selepas dikongkong oleh ibu," katanya.
Semestinya setiap perkara yang dilakukan sama ada secara sedar atau sengaja pasti seseorang itu perlu menanggung kesannya.
"Saya menyedari telah mengandung selepas mengalami alahan teruk seperti yang dialami oleh wanita lain yang sedang mengandung.
"Ketika itu, saya tidak mengesyaki saya mengandung sehinggalah ibu membawa ke klinik selepas mengalami demam dan muntah teruk," katanya.
Menurut Suhaila selepas disyaki mengandung, Amran mula menghilangkan diri dan tidak ingin bertanggungjawab ke atas anak yang dikandungnya itu.
"Ketika itu, baru saya sedar bahawa Amran tidak menyintai saya, sebaliknya dia hanya ingin mengambil kesempatan ke atas diri saya.
"Disebabkan malu kerana mengandung luar nikah saya bertindak berhenti sekolah. Kini walaupun niat untuk belajar masih membara impian itu terpaksa dipendam kerana keadaan saya yang tidak mengizinkan," katanya mengakhiri bicara.

No comments: