Saturday, August 27, 2011

Kekal langsing selepas raya

TANPA kita sedari, hanya tinggal dua hari sahaja kita berpuasa. Di bulan Ramadan yang mulia, umat Islam berpuasa selama sebulan menahan lapar dan dahaga menunaikan tuntutan agama.

Di bulan Ramadan jugalah ramai di antara kita mengambil kesempatan berhenti merokok dan menurunkan berat badan. Tetapi menjelang hari raya ramai pula yang menambah semula berat badan yang 'disusutkan' semasa berpuasa. Kenapa ini boleh berlaku kepada badan kita? Kenapa segala usaha dan pengorbanan kita di bulan Ramadan menjadi sia sia . Malah ada juga di antara kita yang menambah kembali berat badan lebih daripada yang kita hilang semasa berpuasa. Paling mengecewakan adalah, berat badan yang kita hilangkan semasa 30 hari berpuasa, datang kembali dengan tiba-tiba hanya selepas hari raya ketiga.

Semasa berpuasa terdapat perubahan di dalam badan yang membolehkan kita menahan lapar dan dahaga. Selepas hari ketiga berpuasa, badan mula memecahkan lemak untuk mendapatkan tenaga. Pemecahan lemak ini menghasilkan " 'ketone' yang akan digunakan oleh badan untuk mendapatkan tenaga. Ketone juga bertindak di otak untuk membuatkan kita berasa kenyang. Badan kini menyediakan diri untuk bertahan semasa kekurangan makanan dan minuman. Metabolisme menjadi perlahan, proses pemecahan lemak juga begitu kerana badan cuba "berjimat" agar boleh bertahan selama mungkin menghadapi kekurangan makanan dan minuman. Ini adalah respons semula jadi badan manusia.

Apabila menjelang hari raya, kita berhenti berpuasa. Badan akan mula berfungsi semula seperti sebelum berpuasa. Metabolisme meningkat semula, lemak disimpan kembali sebagai tenaga simpanan. Aktiviti di dalam badan menjadi normal semula. Tetapi sebahagian daripada kita ia tidak menjadi normal. Kita menambah berat badan terlalu cepat malah lebih daripada sebelumnya. Kenapa ini berlaku?

karbohidrat

Semasa hari raya, kita makan terlalu banyak karbohidrat. Di antara makanan yang terdiri daripada karbohidrat adalah seperti ketupat, lontong, lemang, nasi, kuih muih dan kek. Karbohidrat akan ditukarkan kepada gula di dalam badan. Paras gula akan naik di dalam darah dan merangsang badan untuk menghasilkan hormon insulin yang akan menukarkan gula kepada lemak dan disimpan di dalam badan. Disebabkan metabolisme badan rendah akibat berpuasa , penggunaan dan penghasilan lemak tidak seimbang. Pemecahan lemak lambat tetapi pembentukan lemak terlalu pantas dan banyak. Jika ada hormon penyimpan lemak, mesti ada hormon pemecah lemak. Bagi mereka yang mempunyai paras hormon pemecah lemak yang rendah seperti hormon tiroid, hormon tumbesaran dan glucagon, proses pemecahan lemak dalam badan akan menjadi lebih perlahan.

Apakah yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan penambahan berat badan yang tiba tiba? Berpuasa sebulan menyebabkan peningkatan nafsu makan yang mendadak semasa hari raya.

Langkah pertama adalah mengelakkan peningkatan paras hormon insulin secara mendadak. Untuk mengisi keperluan nafsu makan di hari raya, mungkin anda boleh meningkat kan pengambilan protein seperti daging, ayam dan ikan. Makan makanan yang mempunyai karbohidrat sihat seperti sayur sayuran. Pengambilan lebih protein boleh meningkatkan metabolisme badan kerana badan memerlukan lebih tenaga untuk mencernakan makanan protein berbanding karbohidrat. Elakkan memakan makanan yang tinggi karbohidrat. Peningkatan pengambilan protein juga membuatkan kita cepat kenyang dan boleh melawan nafsu untuk makan banyak. Cuba elak minum minuman manis. Di antara tanda-tanda peningkatan paras hormone insulin terlalu tinggi adalah rasa mengantuk selepas makan. Kita juga boleh mengambil makanan tambahan untuk mengawal paras gula agar tidak terlalu tinggi dan stabil. Di antara makanan tambahan yang boleh kita ambil adalah L Carnitine, Co Enzyme Q10 dan Kromium.

Untuk membantu badan meningkatkan paras hormon pemecah lemak kita perlu melakukan senaman. Melakukan senaman juga meningkatkan penggunaan tenaga, metabolisme badan dan pemecahan lemak.

Mungkin tip-tip yang saya berikan boleh diambil pakai dalam suasana sambutan hari raya ini. Jalan lain yang lebih mudah adalah melangsingkan badan dengan rawatan bioidentical hormone. Kebanyakan orang yang mempunyai paras hormon pemecah lemak yang rendah akan mempunyai masalah untuk menguruskan badan. Mereka juga mudah menyimpan lemak dan dalam jangka masa yang panjang akan lebih terdedah untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi dan jantung. Rawatan menggunakan bioidentical hormone bukan sahaja boleh membantu badan mengurangkan lemak malah ia juga boleh memudakan kita. Ia juga boleh mengelakkan penyakit seperti masalah kencing manis, darah tinggi dan tinggi kolesterol. Hormon badan berada di dalam paras optimum semasa kita muda. Sebab itulah semasa muda kita tidak berpenyakit, badan sentiasa kurus dan cergas. Peningkatan usia selari dengan penurunan paras hormon dalam badan. Lagi cepat kehilangan hormon dalam badan lagi cepat mereka kelihatan tua dan mendapat penyakit "tua". Oleh itu rawatan bioidentical hormone adalah cara terbaik untuk menghilangkan berat badan, menjadi lebih muda dan lebih sihat.

lemak

Namun begitu ada juga di antara kita yang mempunyai masalah lebihan lemak di bahagian tertentu. Kawasan lemak berlebihan selalunya tertumpu di bahagian dagu (double chin), perut, lengan atau paha. Rawatan yang terbaik adalah menggunakan laser lipolysis. Teknik ini adalah doktor menggunakan laser Nd:Yag untuk mencairkan lemak di kawasan tertentu. Laser ini bukan sahaja boleh mencairkan lemak, ia juga akan menegangkan kulit agar tidak menggeleber selepas prosedur. Prosedur ini lebih kepada pembentukan badan. Kelebihan prosedur ini adalah hasilnya cepat, terjamin, selamat dan kekal. Doktor yang berpengalaman pasti akan memberikan hasil yang memuaskan serta bernilai dengan wang yang dikeluarkan hanya dengan satu rawatan. Dengan teknologi moden juga membolehkan anda terus pergi kerja keesokan hari tanpa perlu mengambil cuti.

Di kesempatan ini saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya dan memohon ampun dan maaf jika ada tersilap kata dan mengguris hati perasaan pembaca.

PENULIS boleh dihubungi di 0195902511.

Tekanan emosi punca jerawat

MUKA saya banyak ditumbuhi jerawat sejak akhir-akhir ini. Rakan saya memberitahu, ia berpunca daripada aturan tidur saya yang tidak menentu. Adakah perkara ini benar atau ia berpunca daripada makanan berminyak? Apakah yang perlu saya lakukan doktor.

Jerawat adalah masalah anak remaja tetapi ia juga melibatkan orang dewasa. Jerawat terjadi bila kelenjar minyak mengeluarkan terlalu banyak minyak dan sebum di kulit terutamanya di muka, dada dan belakang. Punca jerawat boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor hormon adalah penyebab utama jerawat bagi wanita dalam lingkungan umur subur.

Majoritinya adalah dalam lingkungan belasan tahun dan awal 20-an. Faktor seperti ahli keluarga yang banyak jerawat juga memainkan peranan. Penggunaan pil perancang, ubat steroid, vitamin B12, kosmetik, pakaian yang ketat atau apa saja yang menutup liang minyak menyebabkan masalah jerawat.

Sebahagian jerawat timbul dari ketegangan dan tekanan emosi yang dihadapi setiap hari. Ini mungkin dari penghasilan minyak dan sebum di kulit yang bertambah dan terdedah kepada asap dan bahan kimia atau faktor alam sekitar seperti cuaca panas. Kebanyakan jerawat akan hilang sendiri jika kulit sentiasa bersih dan sihat.

Tetapi sesetengahnya boleh menjadi teruk dan kronik.

Jerawat juga disebabkan oleh masalah gula dalam darah, radang kulit yang kronik dan juga stres yang melampau. Untuk pengetahuan anda, banyak jenis makanan yang boleh memburukkan lagi keadaan kulit anda yang sedia bermasalah dan seterusnya menyebabkan pertumbuhan jerawat.

Contohnya, jerawat akan tumbuh jika anda kekurangan tidur, menyedut udara yang tercemar dan juga menghadapi tekanan yang teruk akibat kerja dan hal peribadi. Jadi elok adik dapatkan rehat yang secukupnya kerana jerawat mungkin timbul dari perasaan tertekan dan bermasalah yang juga secara tak langsung boleh menganggu aturan tidur seseorang.

Kawal keadaan penyakit

DATUK Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Pakar Perunding Gastroenterologi dan bekas Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Heapatologi Malaysia (MSGH), memperkatakan tentang beberapa garis panduan berpuasa untuk umat Islam yang sakit atau uzur.

Wajib atau dikecualikan?

Umat Islam yang menghidap penyakit tidak kronik masih boleh berpuasa selagi ia tidak memudaratkan kesihatan. Bagaimanapun, mereka yang menghidap penyakit lebih serius dan perlu mengambil ubat setiap hari atau 2-3 kali sehari, mungkin perlu mendapatkan nasihat mengenai sama ada mereka masih boleh berpuasa, mungkin dengan mengubah masa mengambil ubat. Sebagai contoh, ubat seperti antibiotik, yang perlu diambil dalam jarak waktu yang tetap, boleh menimbulkan masalah kepada pesakit yang berpuasa. Sebagai alternatif, ia boleh digantikan dengan ubat dengan jangka hayat lebih panjang, iaitu ubat yang boleh diambil secara kurang kerap, seperti setiap 12 jam atau sekali sehari.

Berpuasa bagi pesakit kronik

Pesakit diabetes (kencing manis) yang boleh dikawal penyakit dengan diet sahaja boleh berpuasa. Malah, dengan berpuasa, terdapat kemungkinan keadaannya akan bertambah baik sedikit. Bagaimanapun, pesakit diabetes yang bergantung pada ubat dan juga kawalan diet, perlu berhati-hati jika mereka mahu berpuasa. Pesakit hendaklah mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor mereka terlebih dahulu, khususnya mengenai pertukaran dos ubat. Di samping itu, jika mereka mengalami gejala paras gula darah rendah, mereka patut menghentikan puasa dengan serta-merta.

Pesakit jantung tetapi dalam keadaan stabil selagi mereka mengambil ubat, juga boleh berpuasa. Pesakit ini perlu menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu, untuk memastikan mereka boleh berpuasa, dan untuk mendapatkan nasihat tentang pengambilan ubat mereka. Mereka tetap perlu mengambil ubat; tetapi waktu dan dosnya boleh ditukar untuk memastikan kesan terbaik. Sebagai contoh, jika pesakit biasanya mengambil aspirin bersama sarapan pada sebelah pagi, doktor boleh menukar waktunya kepada selepas berbuka puasa. Ini kerana aspirin boleh menyebabkan gastrik di kalangan sesetengah orang, dan keadaan perut kosong untuk tempoh yang lama semasa berpuasa boleh memburukkan lagi keadaan.

Mereka yang menghidap hipertensi, atau tekanan darah tinggi, juga boleh berpuasa, dengan syarat mereka mengambil ubat mereka mengikut jadual. Malah, hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa membantu menurunkan tahap tekanan darah, meskipun faktor lain seperti rehat dan kurang tekanan juga boleh memainkan peranan. Pesakit perlu memastikan mereka berjumpa doktor untuk menukar dos ubat atau waktu pengambilan, dan pastikan doktor memberi kebenaran sebelum berpuasa.

Pendek kata, individu yang mengalami masalah perubatan dan perlu mengambil ubat setiap hari, seperti yang tersebut di atas, dan pesakit penyakit lain termasuk pesakit artritis, hipotiroidisme, atau asma, perlu mendapatkan kebenaran daripada doktor sebelum berpuasa. Sesetengah daripada individu ini masih boleh berpuasa, manakala mereka yang tidak stabil, atau perlu mengambil ubat 3-4 kali sehari, dinasihatkan supaya mengutamakan kesihatan mereka dan tidak berpuasa.

Terdapat juga keadaan kesihatan lain yang tidak kronik tetapi yang lebih membimbangkan semasa berpuasa. Satu daripadanya ialah batu karang dalam ginjal. Risiko mereka yang mempunyai sejarah batu karang dalam ginjal selalunya lebih tinggi semasa bulan Ramadan. Kurang minum air boleh menyebabkan penyahhidratan, yang seterusnya boleh meningkatkan risiko batu karang dalam ginjal. Justeru, individu yang mudah mendapat batu karang dan sukar untuk menguruskan keadaan mereka, dikecualikan berpuasa.

Penyakit penghadaman semasa Puasa

Penyakit penghadaman lazimnya meningkat sepanjang Ramadan. Masalah seperti pedih hulu hati, gastrik, dan ulser peptik meningkat semasa bulan puasa. Peningkatan tahap asid dalam perut kosong memburukkan lagi keadaan yang tersebut. Dengan mengambil makanan yang sihat dan seimbang semasa sahur dan iftar, kita boleh mengurangkan gangguan ini. Sebaik-baiknya, elakkan makanan berempah, makanan berlemak, dan juga minuman berkafeina bagi mengelakkan gejala penyakit menjadi lebih buruk.

Ruqyah penawar gangguan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto ZAINI HUSIN

GELAGAT orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan menyambut kedatangan penulis ke Pusat Rawatan Darul Ruqyah, Sunway Batu Caves petang Jumaat itu.

Walaupun hujan lebat di luar, semua itu tidak mengganggu penantian mereka, malah bilangan yang baru datang tetap bertambah. Semuanya dengan hajat yang sama - mencuba perubatan yang semakin menjadi sebutan ramai itu.

Pelbagai gaya dan ragam, ada yang membawa anak kecil dan ada juga yang kelihatan seperti sihat-sihat sahaja.

"Bulan puasa kurang sikit pengunjung. Kalau tidak, boleh mencecah 200 orang untuk tempoh dari pukul 3 hingga 10 malam. Mungkin syaitan dah banyak kena ikat, jadi gangguan pun kurang," seloroh Mohd. Suhaimi Rohani@Rozali memulakan perbualan.

Kebiasaannya, kata beliau, pesakit yang mendapatkan rawatan di situ mengalami gangguan makhluk halus seperti saka, sihir, santau, histeria dan juga gangguan psikologi seperti gila. Tidak terkecuali mereka yang mengalami sakit fizikal seperti diabetis, darah tinggi, jantung tersumbat, kanser, sawan dan pelbagai lagi.

Beliau yang mesra disapa Ustaz Suhaimi berkata, biasanya pesakit menjadikan Darul Ruqyah sebagai destinasi terakhir berikhtiar sekiranya gagal sembuh dengan rawatan moden atau alternatif lain. Menurutnya, keadaan itu lebih memudahkan rawatan kerana pesakit biasanya sedar dengan penyakit yang dialami.

Kaedah ruqyah jelasnya menggunakan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan ia memerlukan pesakit menjalani proses imbasan yang dilakukan pengamal perubatan bagi menentukan sama ada mereka mengalami gangguan atau tidak.

"Biasanya kalau seseorang itu mempunyai gangguan yang teruk seperti saka, dia akan mengalami histeria dan menjerit-jerit sejurus dilakukan imbasan," kata Ustaz Suhaimi yang berasal dari Pendang, Kedah.

Sebenarnya dalam perubatan Islam katanya, sebarang penyakit berpunca daripada gangguan makhluk halus dalam darah kita. Penyakit ini katanya tidak akan hilang dan ia hanya boleh diredakan melalui amalan dan ibadat. Namun begitu, ia tetap diwarisi kepada anak cucu pesakit kelak.

"Kalau kita fahami penyakit keturunan seperti talasemia, begitu juga dengan masalah gangguan dari segi perubatan Islam. Cuma untuk memberi penerangan yang lebih jelas agak sukar," katanya.

Kata Ustaz Suhaimi lagi, untuk mengenal pasti seseorang itu mengalami gangguan sebenarnya tidak sukar. Kebiasaannya individu tersebut cepat marah, lesu, letih manakala bagi wanita pula tanda-tanda seperti masalah haid yang tidak teratur.

Mantera

Penawar ruqyah kata Ustaz Suhaimi menggunakan bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi merawat semua jenis penyakit. Ruqyah bermaksud mantera atau jampi dan ia diajar oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengalami gangguan makhluk halus.

Selain bacaan ruqyah, rawatan itu menggabungkan terapi menggunakan air penawar (sumber air zamzam), limau purut dan garam bukit. Pesakit kata beliau, akan menjalani rawatan bersama pengamal dan kemudian dia akan dibekalkan dengan cakera padat bacaan ruqyah untuk dipasang di rumah. Pesakit juga dibekalkan terapi sampingan seperti minyak dan bahan mandian.

Menurutnya, terapi yang diberi bukan sebarangan kerana ia mengandungi bacaan ruqyah dan zikir yang telah diswastakan kepada pihak lain seperti pelajar tahfiz dan sekolah pondok.

"Pesakit terlalu ramai. Mustahil saya mampu membaca ruqyah dan berzikir untuk semua. Jadi dalam zaman serba moden ini, zikir pun secara online," katanya.

Beliau juga akan melakukan solat hajat berdasarkan masalah yang dialami pesakit pada borang yang ditulis ketika mendaftarkan diri.

Ustaz Suhaimi berkata, boleh dikatakan 80 peratus pesakit yang datang ke Darul Ruqyah sembuh dengan izin Allah kecuali penyakit serius yang berada di tahap akhir seperti kanser.

Bagi pasangan suami isteri yang mengalami masalah pula, dinasihatkan kedua-dua menjalani rawatan kerana ia saling berkait rapat. Begitu juga dengan penyakit yang dialami oleh kanak-kanak.

"Saya pernah merawat seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang mengalami sawan. Bukan kanak-kanak tadi yang menjalani rawatan sebaliknya hanya ibunya dan kemudian Alhamdulillah, penyakit itu hilang," kata beliau.

Kesempatan

Kepercayaan ramai terhadap keberkesanan rawatan Islam menyebabkan banyak pihak yang mengambil kesempatan sejak akhir-akhir ini, kata Ustaz Suhaimi.

Menurutnya, ada yang meletakkan harga tinggi untuk rawatan dan ada juga yang tidak menetapkan sebarang bayaran.

Berbeza dengan dirinya yang meletakkan harga pendaftaran sebanyak RM10 dan pengesanan juga dalam jumlah yang sama, beliau menjelaskan ia perlu kerana mahu melayan semua pesakit secara saksama serta tidak mahu terdetik sebarang perasaan dalam hati.

"Katakan ada yang bayar saya sampai beribu ringgit untuk merawat penyakitnya, tentu dalam hati saya nak merawat bersungguh-sungguh, berbeza pula layanan saya dengan orang yang memberi RM2 sahaja misalnya kerana bila ia menyentuh soal kepuasan hati, ia menjadi suatu perkara yang sukar untuk kita tentukan," katanya.

Selain daripada bayaran tadi, pesakit hanya perlu membayar mengikut jenis terapi yang diperlukan dan biasanya ia tidak melebihi RM100.

Menurutnya, pesakit walaupun datang daripada mereka yang berpendidikan namun apabila berada di tempat sebegitu mereka mudah terpedaya kerana percaya dengan janji untuk sembuh.

Justeru tidak hairanlah ramai yang tertipu dan tidak kurang juga percaya kepada perubatan berbentuk khurafat.

Menurutnya tidak sukar untuk mengetahui sama ada sesuatu perubatan itu khurafat iaitu melalui mantera (tidak menggunakan bacaan Al-Quran atau jika dalam bahasa lain berbunyi janggal), kemenyan, besi, benda berwarna (contoh kain kuning), batu dan juga memerlukan hari tertentu.

Elak gangguan makanan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

l Mary Kate Olsen Pernah menjalani rawatan anoreksia setelah banyak spekulasi tentang bentuk tubuhnya.

CUBA tengok badan saya. Kenapa makin gemuk? Saya makan sikit sahaja. Kenapa masih tidak kurus?" Begitulah keluhan Rafida (bukan nama sebenar). Sebelum bekerja, Rafida langsung tidak kisah tentang bentuk badannya yang agak gempal.

Masuk tahun pertama bekerja, Rafida mula merasakan bentuk badannya membuatkan dia tidak selesa. Dia beranggapan tidak mungkin dia dapat menarik perhatian orang lain kerana bentuk badannya yang gempal.

Lebih menyedihkan dirinya, rakan-rakan memberi komen yang kurang baik tentang bentuk badannya. Sejak hari itu, Rafida mula mengurangkan makanan yang diambil. Selepas dua bulan, berat badan masih tidak merosot dan ini mendorongnya berusaha dengan lebih agresif. Rafida hanya mengambil buah-buahan untuk sarapan pagi dan makan malam dan tidak makan tengah hari.

Setahun kemudian berat badannya telah kurang hampir separuh daripada berat asal. Namun dia semakin lesu, tidak ceria, badannya sentiasa sejuk dan kerap menggigil. Suatu hari, Rafida tiba-tiba pengsan di tempat kerja. Rakan-rakannya membawa ke hospital dan doktor mengesahkan dia menghidapi anoreksia dan mesti menerima rawatan demi keselamatan nyawanya.

DALAM kita sibuk berbicara tentang pengawalan makanan di bulan Ramadan dan Syawal untuk mengawal wabak obesiti, masih ramai lagi antara kita yang mahu menjadi kurus sehingga sanggup menahan lapar.

Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik dan Ginekologi) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, anoreksia atau nama saintifiknya 'Anorexia Nervosa' berasal daripada gabungan perkataan Greek (Anerektos) dan Latin (Nervosa) yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk.

“ Ia adalah sejenis gangguan disebabkan oleh peraturan sendiri yang terlalu ketat berhubung dengan cara berdiet dan akhirnya mengakibatkan gangguan makan yang dimanifestasi oleh penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan berkurangan sampai ke tahap yang membahayakan,” ujarnya.

Mengulas kenapa anoreksia berlaku, Dr. Nik Hazlina berkata, penyebab sebenar anoreksia tidaklah diketahui.

Namun, faktor sosial memainkan peranan yang amat penting.

Dalam konteks ini, penderita ingin menjadi kurus kerana kegemukan dianggap tidak menarik, tidak sihat, tidak mengikut 'trend' dan juga tidak diinginkan.

Siapa yang mahu kurus?

Kebanyakan wanita dan lelaki ingin memiliki tubuh badan yang menawan tetapi kecelaruan gaya pemakanan ini merujuk kepada obsesi seseorang yang terlalu memikirkan mengenai berat badan dan apa yang dimakan.

“Obsesi ini mempengaruhi tabiat dan gaya makan serta segala aktiviti harian yang berkait langsung dengan makanan. Lebih kurang 90 peratus daripada mereka yang mengalami kecelaruan gaya pemakanan adalah terdiri dari golongan wanita. Penyakit ini lazimnya bermula semasa zaman remaja atau menjelang alam dewasa,” tambahnya.

Kecelaruan gaya pemakanan boleh juga berlaku seiring dengan penyakit mental lain seperti kemurungan, keresahan dan berasa ketakutan.

Kesan

Jika anda mempunyai masalah imej diri, Dr. Nik Hazlina memberitahu, kemungkinan anda akan mendapati diri terlalu obses dengan cara untuk mengubah tubuh.

“Ini akan menyebabkan anda mengamalkan diet yang tidak sesuai, melakukan senaman yang berlebihan, mencuba pelbagai cara untuk meningkatkan atau melindungi beberapa bahagian, mempunyai keyakinan diri yang rendah, mudah merasa sensitif dengan pandangan orang lain terhadap anda dan sentiasa memikirkan bagaimana rupa paras anda dan mahu kelihatan yang berlainan. Akhirnya, anda juga akan mengalami kemurungan,” katanya.

Tambah beliau, disebabkan anoreksia, seseorang itu tidak mendapat nutrisi yang mencukupi, maka dengan itu dia akan kelihatan dan merasa tidak sihat.

Gejala lain yang mungkin dialami adalah gigi dan kulit bertukar menjadi warna kekuningan, rambut dan kuku menjadi rapuh dan pecah, rambut menjadi mudah gugur. Selain itu, rambut halus (dikenali sebagai rambut lanugo) akan tumbuh di seluruh badan. Fungsinya untuk memanaskan badan anda (kerana tiadanya lemak di tubuh anda).

Remaja wanita pula mungkin akan lewat didatangi haid atau mengalami haid yang amat sedikit dan amat tidak teratur, mungkin hanya mengalami haid sekali dalam setahun.

“Anoreksia boleh menyebabkan kematian akibat kelaparan atau cubaan membunuh diri. Dianggarkan satu dari sepuluh orang meninggal dunia akibat penyakit ini. Akibat-akibat lain termasuklah gangguan degupan jantung, rembesan hormon yang terjejas, infertiliti (kemandulan), osteoporosis (tulang rapuh atau mudah mengalami kepatahan), ketidakseimbangan bahan nutrien dan garam galian dalam badan dan juga gangguan pada sistem saraf.

Masalah ini juga boleh membawa maut sebelum anda menjadi cukup kurus kerana kegagalan organ-organ badan untuk berfungsi dengan normal,” tambahnya.

Rawatan dan cabaran

Rawatan untuk penghidap anoreksia merupakan satu cabaran yang amat besar kepada si penghidap, ahli keluarga dan juga sekumpulan doktor yang merawat.

Menurut Dr. Nik Hazlina, pada kebiasaannya perawat bagi penghidap anoreksia terdiri dari sekumpulan pakar dalam bidang psikologi, pemakanan, kaunselor, dan juga doktor sakit puan jika penghidap juga mengalami masalah amenorea (tiada haid).

“Kecelaruan ini boleh berhubungkait dengan masalah kesihatan yang serius. Ramai anak gadis yang menghadapi masalah sedemikian enggan menerima rawatan di hospital. Bagi kes-kes yang serius, pesakit tidak dapat mengambil makanan melalui mulut dan terpaksa disuap menggunakan tiub nasogastrik.

Ubat anti-kemurungan juga sering digunakan dalam rawatan kecelaruan makan bagi merangsang pengambilan makanan kerana individu yang menghidap anoreksia juga sering mengalami kemurungan,” tambahnya.

Dr. Nik Hazlina memberitahu, kebanyakan penghidap anoreksia berjaya meningkatkan berat badan secara signifikan selepas rawatan melalui pengambilan ubat anti-kemurungan (kebiasaannya lebih kurang dalam masa 3 bulan). “Selain pengambilan ubat anti-kemurungan, terapi keluarga dan terapi tingkah laku kognitif turut digalakkan. Untuk terapi keluarga misalnya, kesabaran ahli keluarga dalam memahami masalah si penghidap serta memberikan sokongan moral sepanjang sesi dapat meningkatkan keberkesanan rawatan,” ujarnya.

Mereka yang dihantar ke hospital pula sebenarnya mengalami kerumitan perubahan yang serius akibat kekurangan zat makanan untuk jangka masa yang panjang. Pesakit mempunyai purata berat badan 25 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding dengan yang normal.

Bagi kes yang serius, kemasukan ke wad diperlukan bagi rawatan yang berkesan. Ini termasuk untuk menyeimbangkan cecair dan bahan galian dalam badan, serta mengembalikan status pemakanan kepada tahap yang normal dan sihat.

“Pakar pemakanan dapat membantu merangka satu kaedah pemakanan yang seimbang lagi sihat agar berat badan dapat dicapai dengan jayanya. Rawatan kognitif dan tingkah-laku berkesan dapat membantu dalam memperbetulkan salah tanggapan berkaitan cara pemakanan.

Terapi keluarga pula membantu ke arah pemulihan. Ubat-ubat khusus juga digunakan untuk merawat penyakit mental yang berkaitan.

Namun langkah pencegahan juga amatlah penting sebagai perawatan bagi masalah ini. Memaparkan bentuk dan susuk badan wanita secara realistik di media masa sangat penting kerana ia mempunyai pengaruh yang kuat kepada remaja dan golongan dewasa muda masa kini,” tambah Dr. Nik Hazlina.

Justeru itu, memiliki susuk badan yang terlalu kurus tidak harus digalakkan untuk paparan di media-media.

Dr. Nik Hazlina menasihatkan, keyakinan dan harga diri yang baik serta hubungan kekeluargaan yang positif dapat membendung masalah kecelaruan gaya pemakanan yang tidak sihat ini.

Saturday, August 20, 2011

Cantik dengan berpuasa

Dr. Siti Mariam Yusof
marissaestheticbangi@gmail.com


BERPUASA merupakan ibadah yang sangat banyak manfaatnya . Meskipun umat Islam diwajibkan berpuasa sebagai melaksanakan salah satu Rukun Islam namun puasa juga boleh meningkatkan kecantikan dan kesihatan seseorang.

Apabila seseorang berpuasa perutnya rehat dari sebarang beban. Perut mula mengempis dan fungsi perut menjadi lebih baik lagi.

Obesiti morbid merujuk kepada mereka yang mempunyai ukur lilit pinggang melebihi 35 inci bagi wanita dan 40 inci bagi lelaki.

Kumpulan ini mempunyai risiko tiga kali ganda mengidap masalah kolestrol tinggi dan empat kali ganda risiko kencing manis. Bagi pengidap obesiti morbid banyak halangan dilalui bagi menurunkan berat badan. Ini kerana kerosakan hormon dan enzim yang teruk. Namun sepanjang bulan puasa mereka akan mendapat penurunan berat badan.

Bagi memastikan penurunan berat badan yang ketara dan berkesan sewaktu berpuasa beberapa perkara perlu diambil berat.

1) Jangan minum minuman manis sewaktu berbuka.

Oleh kerana sewaktu berbuka kita dihidangkan dengan sajian kuih muih yang pelbagai maka minuman manis harus dielakkan. Terdapat banyak gula dalam kuih muih tersebut. Kurma baik dimakan kerana mempunyai gula semula jadi yang banyak di dalamnya. Pengambilan kurma sudah tentu lebih baik daripada air manis.

2) Kurangkan kuih manis

Pengambilan kuih manis perlulah sekadar sahaja dan tidak berlebihan. Kalori tinggi disebabkan kandungan gula yang tinggi membuatkan tubuh tidak mampu melepaskan lemak yang dikandung. Mereka yang gemar makan banyak kuih sewaktu berbuka sukar kurus.

3) Makan nasi nasi sedikit sahaja

Nasi haruslah diambil dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Pengambilan nasi yang banyak akan membuatkan seseorang menjadi semakin lapar dan sukar menyekat nafsu makan. Ini kerana nasi menyebabkan insulin dirembes dengan banyak dari kelenjar pankreas. Peningkatan insulin ini membuatkan kandungan gula turun dengan cepat dan kita kembali lapar. Insulin juga meningkatkan lemak berkumpul pada perut kita.

4) Banyakkan pengambilan sayur-sayuran

Mengambil banyak sayur-sayuran boleh meningkatkan serat dalam perut kita. Serat yang tinggi membantu membuang lemak melalui najis. Serat juga merupakan karbohidrat yang baik dan merangsang penurunan insulin sekali gus mengurangkan lemak daripada berkumpul di perut.

5) Tingkatkan pengambilan buah-buahan

Pengambilan buah-buahan yang banyak boleh meningkatkan vitamin dalam tubuh kita dan mencantikkan kitaran tenaga dalam tubuh kita.

Ini menjadikan kita segar dan bertenaga semasa puasa.

6) Bersenam setengah jam setiap hari

Meskipun berpuasa, amalan bersenam haruslah diteruskan. Berpuasa dan bersenam setengah jam setiap hari merupakan amalan menurunkan berat badan yang paling berkesan. Apabila kita berpuasa kadar metabolik semula jadi tubuh akan menurun. Ini membuatkan pembakaran lemak menjadi perlahan. Bersenam pda bulan puasa menigkatkan metabolik, menjadikan kita cepat membakar lemak.

7) Pengambilan protein yang tinggi

Mengambil makanan berprotein tinggi seperti ikan, daging merah dan telur membantu menaikkan metabolik tubuh kita. Protein akan merangsang pembakaran lemak dengan meningkatkan glukargon iaitu hormon pembakar lemak dalam darah kita.

8) Suplemen

Suplemen yang sangat perlu sewaktu puasa ialah kalsium, potasium dan zink. Pengambilan makanan suplemen ini akan menjadikan kita lebih bertenaga. Ia juga membantu fungsi hormon dan enzim yang lebih baik lagi.

Meskipun berpuasa kecantikan kulit dan keceriaan wajah haruslah dititikberatkan. Seseorang boleh meningkatkan kecantikan wajah sewaktu berpuasa dengan mengamalkan tip di bawah.

1) Pelembap wajah

Amalkan memakai pelembap wajah bagi memastikan kulit wajah tidak kusam dan kering sewaktu puasa

2) Solekan sederhana

Bersolek dengan sederhana akan menyerlah kecantikan seorang wanita dalam bulan puasa. Memakai gincu, pelembab bibir dan celak sudah mencukupi.

3) Jangan banyak tidur

Banyak tidur di bulan puasa menjadikan wajah tampak sembap dan lesu. Oleh itu lakukan aktiviti bagi mengelakkan banyak tidur.

Amalan sebegini sudah tentu akan menjadikan anda lebih jelita menjelang hari raya. Anda kini boleh tampil dengan imej yang lebih langsing dan wajah yang lebih berseri di pagi raya. Sudah tentu ini akan menjadi satu bonus buat anda yang berpuasa.

PENULIS boleh dihubungi di 03-89252334.

Bengkung sokongan perubatan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

(Dari kiri) Nor Kartini Suriati Mansor, Siti Zuraifah Sheikh Abdul Mutalib, Najibah Dasar, dan Wazlina Wahi.

SEBAGAI kakitangan dalam industri penjagaan kesihatan selama 15 tahun tahun, Wazlina Wahi, 36 menyaksikan banyak cabaran dihadapi oleh para ibu bersalin secara pembedahan.

“Takut melihat ibu yang baru bersalin secara pembedahan cuba berdiri dan bergerak ketika luka jahitan masih baru dan menyakitkan.

Dahulu saya sering menggalakkan para ibu untuk berdiri dan bergerak sebaik sahaja kesan bius hilang supaya dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

“Kami mengajar para ibu supaya menyokong bahagian perut dengan tangan ketika bergerak untuk mengurangkan rasa sakit. Namun hasilnya menyebabkan para ibu tersebut akan membongkok ketika berjalan walaupun sering ditegah berbuat demikian. Ada sesetengahnya enggan bergerak atau menyusukan anak mereka kerana tidak tahan menanggung rasa sakit,” ujarnya.

Justeru melihat pengalaman secara langsung menjaga para ibu yang bersalin melalui kaedah pembedahan menyebabkan Wazlina sentiasa mahu bersalin secara normal.

Walaupun anak pertama dapat dilahirkan secara kaedah normal, dia tidak begitu bernasib baik bagi kelahiran anak yang kedua kerana mengalami tekanan darah tinggi menyebabkan terpaksa menjalani proses pembedahan

“Hari pertama selepas pembedahan terasa teruk sekali sekali. Saya cuba mempraktikkan apa yang telah diajar iaitu untuk bangun dan bergerak sebaik sahaja kesan bius hilang tetapi memang terasa amat menyakitkan. Perut yang membengkak tersa terbuai-

buai setiap kali saya berjalan.

Proses menyusukan bayi juga menyebabkan saya menjadi letih kerana sebelah tangan perlu memangku bayi dan sebelah lagi perlu menyokong perut.

Saya sendiri hampir-hampir mengalah tiap kali tiba masa untuk menyusukan bayi, ubat penahan sakit yang diberikan doktor pun tidak banyak membantu,” luah Wazlina.

Keadaan ini turut dirasai oleh tiga lagi rakannya, Nor Kartini Suriati Mansor, Najibah Dasar dan Siti Zuraifah Sheikh Abdul Mutalib.

Mereka mencari alternatif untuk membantu mereka berdiri dengan muda dan menyokong perut mereka khususnya ketika menyusukan anak mereka.

Mujurlah mereka dikunjungi konsultan produk Design Veronique selepas pembedahan bersalin di hospital.

Setelah diukur dan diberikan saiz yang bersesuaian, saya dinasihati supaya memakai pakaian tersebut pada hari mereka akan keluar wad.

Menurut Nor Kartini, ketika mencuba pakaian sokongan tersebut, dia merasakan segala kepayahan yang dialami serta-merta hilang.

Nor Kartini dapat berdiri dengan postur yang betul, tidak lagi membongkok untuk menyokong perut yang membengkak dan menggeleber.

Pengalaman yang sama turut dirasai Siti Zuraifah dan Najibah yang tidak lagi berasa sakit ketika bergerak dan proses penyusuan bayi pun dapat dilakukan dengan lebih selesa dan dalam posisi yang betul kerana kedua-dua belah tangan dapat digunakan untuk mengampu kedudukan bayi.

Bagi mereka, pakaian sokongan Design Veronique ini sememangnya pakaian sokongan mesra pengguna.

Bukan sahaja rekaannya yang hebat dapat memberikan sokongan dan perlindungan pada bahagian luka pembedahan malahan memudahkan para ibu melaksanakan proses penyusuan bayi serta menjalani proses dalam pantang dengan lebih lancar.

Pakar Sakit Puan dan Obstetrik, Dr Zarul Azham, yang juga Pengarah Pusat Perubatan Putra, Sungai Buloh memberitahu, bengkung yang ada di pasaran tidak sesuai untuk wanita melahirkan anak menerusi pembedahan kerana fabriknya lebih keras serta menghalang pengaliran udara dan penyembuhan luka.

Jelasnya, tubuh ibu selepas bersalin akan melalui proses berpanjangan sebelum dapat kembali kepada bentuk asal.

Ini membabitkan proses seperti penyelarasan semula tulang belakang, posisi organ, kontraksi otot dan penstabilan ligamen.

Dengan adanya pakaian sokongan perubatan yang diperbuat daripada fabrik powernet, ia memberikan sokongan 360 darjah pada bahagian abdomen dan bekas pembedahan.

Selain itu, pakaian perubatan ini mendapat pengiktirafan daripada pakar perubatan sebagai satu-satunya ‘bengkung’ yang boleh digunakan ibu yang melahirkan anak menerusi pembedahan.

“Sebelum ini saya menasihatkan pesakit yang bersalin secara pembedahan supaya tidak memakai bengkung kerana dikhuatiri akan memudaratkan kesan luka. Selepas melihat pakaian sokongan dan diuji beberapa pesakit, saya melihat ia memudahkan pengudaraan dan menjadikan luka kering dan sembuh dengan cepat. Bahkan ia mendapat reaksi yang baik daripada pesakit,”ujarnya.

Dalam masa 24 jam selepas pembedahan, mereka boleh memakai pakaian sokongan perubatan bagi memberi sokongan kepada otot yang sedang meregang, sekali gus menstabilkan ligamen. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Saja Ambar di talian 019-2273657.