Saturday, August 27, 2011

Kawal keadaan penyakit

DATUK Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Pakar Perunding Gastroenterologi dan bekas Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Heapatologi Malaysia (MSGH), memperkatakan tentang beberapa garis panduan berpuasa untuk umat Islam yang sakit atau uzur.

Wajib atau dikecualikan?

Umat Islam yang menghidap penyakit tidak kronik masih boleh berpuasa selagi ia tidak memudaratkan kesihatan. Bagaimanapun, mereka yang menghidap penyakit lebih serius dan perlu mengambil ubat setiap hari atau 2-3 kali sehari, mungkin perlu mendapatkan nasihat mengenai sama ada mereka masih boleh berpuasa, mungkin dengan mengubah masa mengambil ubat. Sebagai contoh, ubat seperti antibiotik, yang perlu diambil dalam jarak waktu yang tetap, boleh menimbulkan masalah kepada pesakit yang berpuasa. Sebagai alternatif, ia boleh digantikan dengan ubat dengan jangka hayat lebih panjang, iaitu ubat yang boleh diambil secara kurang kerap, seperti setiap 12 jam atau sekali sehari.

Berpuasa bagi pesakit kronik

Pesakit diabetes (kencing manis) yang boleh dikawal penyakit dengan diet sahaja boleh berpuasa. Malah, dengan berpuasa, terdapat kemungkinan keadaannya akan bertambah baik sedikit. Bagaimanapun, pesakit diabetes yang bergantung pada ubat dan juga kawalan diet, perlu berhati-hati jika mereka mahu berpuasa. Pesakit hendaklah mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor mereka terlebih dahulu, khususnya mengenai pertukaran dos ubat. Di samping itu, jika mereka mengalami gejala paras gula darah rendah, mereka patut menghentikan puasa dengan serta-merta.

Pesakit jantung tetapi dalam keadaan stabil selagi mereka mengambil ubat, juga boleh berpuasa. Pesakit ini perlu menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu, untuk memastikan mereka boleh berpuasa, dan untuk mendapatkan nasihat tentang pengambilan ubat mereka. Mereka tetap perlu mengambil ubat; tetapi waktu dan dosnya boleh ditukar untuk memastikan kesan terbaik. Sebagai contoh, jika pesakit biasanya mengambil aspirin bersama sarapan pada sebelah pagi, doktor boleh menukar waktunya kepada selepas berbuka puasa. Ini kerana aspirin boleh menyebabkan gastrik di kalangan sesetengah orang, dan keadaan perut kosong untuk tempoh yang lama semasa berpuasa boleh memburukkan lagi keadaan.

Mereka yang menghidap hipertensi, atau tekanan darah tinggi, juga boleh berpuasa, dengan syarat mereka mengambil ubat mereka mengikut jadual. Malah, hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa membantu menurunkan tahap tekanan darah, meskipun faktor lain seperti rehat dan kurang tekanan juga boleh memainkan peranan. Pesakit perlu memastikan mereka berjumpa doktor untuk menukar dos ubat atau waktu pengambilan, dan pastikan doktor memberi kebenaran sebelum berpuasa.

Pendek kata, individu yang mengalami masalah perubatan dan perlu mengambil ubat setiap hari, seperti yang tersebut di atas, dan pesakit penyakit lain termasuk pesakit artritis, hipotiroidisme, atau asma, perlu mendapatkan kebenaran daripada doktor sebelum berpuasa. Sesetengah daripada individu ini masih boleh berpuasa, manakala mereka yang tidak stabil, atau perlu mengambil ubat 3-4 kali sehari, dinasihatkan supaya mengutamakan kesihatan mereka dan tidak berpuasa.

Terdapat juga keadaan kesihatan lain yang tidak kronik tetapi yang lebih membimbangkan semasa berpuasa. Satu daripadanya ialah batu karang dalam ginjal. Risiko mereka yang mempunyai sejarah batu karang dalam ginjal selalunya lebih tinggi semasa bulan Ramadan. Kurang minum air boleh menyebabkan penyahhidratan, yang seterusnya boleh meningkatkan risiko batu karang dalam ginjal. Justeru, individu yang mudah mendapat batu karang dan sukar untuk menguruskan keadaan mereka, dikecualikan berpuasa.

Penyakit penghadaman semasa Puasa

Penyakit penghadaman lazimnya meningkat sepanjang Ramadan. Masalah seperti pedih hulu hati, gastrik, dan ulser peptik meningkat semasa bulan puasa. Peningkatan tahap asid dalam perut kosong memburukkan lagi keadaan yang tersebut. Dengan mengambil makanan yang sihat dan seimbang semasa sahur dan iftar, kita boleh mengurangkan gangguan ini. Sebaik-baiknya, elakkan makanan berempah, makanan berlemak, dan juga minuman berkafeina bagi mengelakkan gejala penyakit menjadi lebih buruk.

No comments: