Saturday, August 27, 2011

Elak gangguan makanan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

l Mary Kate Olsen Pernah menjalani rawatan anoreksia setelah banyak spekulasi tentang bentuk tubuhnya.

CUBA tengok badan saya. Kenapa makin gemuk? Saya makan sikit sahaja. Kenapa masih tidak kurus?" Begitulah keluhan Rafida (bukan nama sebenar). Sebelum bekerja, Rafida langsung tidak kisah tentang bentuk badannya yang agak gempal.

Masuk tahun pertama bekerja, Rafida mula merasakan bentuk badannya membuatkan dia tidak selesa. Dia beranggapan tidak mungkin dia dapat menarik perhatian orang lain kerana bentuk badannya yang gempal.

Lebih menyedihkan dirinya, rakan-rakan memberi komen yang kurang baik tentang bentuk badannya. Sejak hari itu, Rafida mula mengurangkan makanan yang diambil. Selepas dua bulan, berat badan masih tidak merosot dan ini mendorongnya berusaha dengan lebih agresif. Rafida hanya mengambil buah-buahan untuk sarapan pagi dan makan malam dan tidak makan tengah hari.

Setahun kemudian berat badannya telah kurang hampir separuh daripada berat asal. Namun dia semakin lesu, tidak ceria, badannya sentiasa sejuk dan kerap menggigil. Suatu hari, Rafida tiba-tiba pengsan di tempat kerja. Rakan-rakannya membawa ke hospital dan doktor mengesahkan dia menghidapi anoreksia dan mesti menerima rawatan demi keselamatan nyawanya.

DALAM kita sibuk berbicara tentang pengawalan makanan di bulan Ramadan dan Syawal untuk mengawal wabak obesiti, masih ramai lagi antara kita yang mahu menjadi kurus sehingga sanggup menahan lapar.

Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik dan Ginekologi) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, anoreksia atau nama saintifiknya 'Anorexia Nervosa' berasal daripada gabungan perkataan Greek (Anerektos) dan Latin (Nervosa) yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk.

“ Ia adalah sejenis gangguan disebabkan oleh peraturan sendiri yang terlalu ketat berhubung dengan cara berdiet dan akhirnya mengakibatkan gangguan makan yang dimanifestasi oleh penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan berkurangan sampai ke tahap yang membahayakan,” ujarnya.

Mengulas kenapa anoreksia berlaku, Dr. Nik Hazlina berkata, penyebab sebenar anoreksia tidaklah diketahui.

Namun, faktor sosial memainkan peranan yang amat penting.

Dalam konteks ini, penderita ingin menjadi kurus kerana kegemukan dianggap tidak menarik, tidak sihat, tidak mengikut 'trend' dan juga tidak diinginkan.

Siapa yang mahu kurus?

Kebanyakan wanita dan lelaki ingin memiliki tubuh badan yang menawan tetapi kecelaruan gaya pemakanan ini merujuk kepada obsesi seseorang yang terlalu memikirkan mengenai berat badan dan apa yang dimakan.

“Obsesi ini mempengaruhi tabiat dan gaya makan serta segala aktiviti harian yang berkait langsung dengan makanan. Lebih kurang 90 peratus daripada mereka yang mengalami kecelaruan gaya pemakanan adalah terdiri dari golongan wanita. Penyakit ini lazimnya bermula semasa zaman remaja atau menjelang alam dewasa,” tambahnya.

Kecelaruan gaya pemakanan boleh juga berlaku seiring dengan penyakit mental lain seperti kemurungan, keresahan dan berasa ketakutan.

Kesan

Jika anda mempunyai masalah imej diri, Dr. Nik Hazlina memberitahu, kemungkinan anda akan mendapati diri terlalu obses dengan cara untuk mengubah tubuh.

“Ini akan menyebabkan anda mengamalkan diet yang tidak sesuai, melakukan senaman yang berlebihan, mencuba pelbagai cara untuk meningkatkan atau melindungi beberapa bahagian, mempunyai keyakinan diri yang rendah, mudah merasa sensitif dengan pandangan orang lain terhadap anda dan sentiasa memikirkan bagaimana rupa paras anda dan mahu kelihatan yang berlainan. Akhirnya, anda juga akan mengalami kemurungan,” katanya.

Tambah beliau, disebabkan anoreksia, seseorang itu tidak mendapat nutrisi yang mencukupi, maka dengan itu dia akan kelihatan dan merasa tidak sihat.

Gejala lain yang mungkin dialami adalah gigi dan kulit bertukar menjadi warna kekuningan, rambut dan kuku menjadi rapuh dan pecah, rambut menjadi mudah gugur. Selain itu, rambut halus (dikenali sebagai rambut lanugo) akan tumbuh di seluruh badan. Fungsinya untuk memanaskan badan anda (kerana tiadanya lemak di tubuh anda).

Remaja wanita pula mungkin akan lewat didatangi haid atau mengalami haid yang amat sedikit dan amat tidak teratur, mungkin hanya mengalami haid sekali dalam setahun.

“Anoreksia boleh menyebabkan kematian akibat kelaparan atau cubaan membunuh diri. Dianggarkan satu dari sepuluh orang meninggal dunia akibat penyakit ini. Akibat-akibat lain termasuklah gangguan degupan jantung, rembesan hormon yang terjejas, infertiliti (kemandulan), osteoporosis (tulang rapuh atau mudah mengalami kepatahan), ketidakseimbangan bahan nutrien dan garam galian dalam badan dan juga gangguan pada sistem saraf.

Masalah ini juga boleh membawa maut sebelum anda menjadi cukup kurus kerana kegagalan organ-organ badan untuk berfungsi dengan normal,” tambahnya.

Rawatan dan cabaran

Rawatan untuk penghidap anoreksia merupakan satu cabaran yang amat besar kepada si penghidap, ahli keluarga dan juga sekumpulan doktor yang merawat.

Menurut Dr. Nik Hazlina, pada kebiasaannya perawat bagi penghidap anoreksia terdiri dari sekumpulan pakar dalam bidang psikologi, pemakanan, kaunselor, dan juga doktor sakit puan jika penghidap juga mengalami masalah amenorea (tiada haid).

“Kecelaruan ini boleh berhubungkait dengan masalah kesihatan yang serius. Ramai anak gadis yang menghadapi masalah sedemikian enggan menerima rawatan di hospital. Bagi kes-kes yang serius, pesakit tidak dapat mengambil makanan melalui mulut dan terpaksa disuap menggunakan tiub nasogastrik.

Ubat anti-kemurungan juga sering digunakan dalam rawatan kecelaruan makan bagi merangsang pengambilan makanan kerana individu yang menghidap anoreksia juga sering mengalami kemurungan,” tambahnya.

Dr. Nik Hazlina memberitahu, kebanyakan penghidap anoreksia berjaya meningkatkan berat badan secara signifikan selepas rawatan melalui pengambilan ubat anti-kemurungan (kebiasaannya lebih kurang dalam masa 3 bulan). “Selain pengambilan ubat anti-kemurungan, terapi keluarga dan terapi tingkah laku kognitif turut digalakkan. Untuk terapi keluarga misalnya, kesabaran ahli keluarga dalam memahami masalah si penghidap serta memberikan sokongan moral sepanjang sesi dapat meningkatkan keberkesanan rawatan,” ujarnya.

Mereka yang dihantar ke hospital pula sebenarnya mengalami kerumitan perubahan yang serius akibat kekurangan zat makanan untuk jangka masa yang panjang. Pesakit mempunyai purata berat badan 25 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding dengan yang normal.

Bagi kes yang serius, kemasukan ke wad diperlukan bagi rawatan yang berkesan. Ini termasuk untuk menyeimbangkan cecair dan bahan galian dalam badan, serta mengembalikan status pemakanan kepada tahap yang normal dan sihat.

“Pakar pemakanan dapat membantu merangka satu kaedah pemakanan yang seimbang lagi sihat agar berat badan dapat dicapai dengan jayanya. Rawatan kognitif dan tingkah-laku berkesan dapat membantu dalam memperbetulkan salah tanggapan berkaitan cara pemakanan.

Terapi keluarga pula membantu ke arah pemulihan. Ubat-ubat khusus juga digunakan untuk merawat penyakit mental yang berkaitan.

Namun langkah pencegahan juga amatlah penting sebagai perawatan bagi masalah ini. Memaparkan bentuk dan susuk badan wanita secara realistik di media masa sangat penting kerana ia mempunyai pengaruh yang kuat kepada remaja dan golongan dewasa muda masa kini,” tambah Dr. Nik Hazlina.

Justeru itu, memiliki susuk badan yang terlalu kurus tidak harus digalakkan untuk paparan di media-media.

Dr. Nik Hazlina menasihatkan, keyakinan dan harga diri yang baik serta hubungan kekeluargaan yang positif dapat membendung masalah kecelaruan gaya pemakanan yang tidak sihat ini.

No comments: