Tuesday, November 25, 2008

Mineral zink penting untuk kesihatan prostat


"SELAIN mengambil suplemen herba untuk masalah melegakan simptom-simptom pembesaran prostat, saya dicadangkan agar turut mengambil suplemen zink. Apakah manfaat zink kepada kesihatan?"

Jawapan:
Walaupun mineral zink tidak banyak dibincangkan, namun sejumlah kecil mineral zink memainkan pelbagai peranan kepada fungsi tubuh. Zink diperlukan untuk penyerapan vitamin B kompleks, penyembuhan luka dan parut, membantu penghadaman karbohidrat dan pelbagai lagi.

Zink juga diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan organ reproduktif, kesihatan rambut serta kuku. Bagi prostat, ia menggunakan mineral zink jauh lebih banyak berbanding organ lain. Zink terlibat dalam mengurangkan paras hormon prolaktin yang turut memainkan peranan dalam penukaran hormon testosteron kepada dihidrotestosteron. Dengan itu, kekurangan zink dikaitkan dengan keradangan dan pembesaran prostat.

Pengambilan mineral zink mungkin boleh mengelak dan mengurangkan simptom pembesaran kelenjar prostat. Prostat yang membesar didapati mengandungi paras zink yang rendah berbanding biasa. Makanan yang kaya dengan zink termasuklah bijirin penuh, daging merah, kerangan seperti tiram, udang, kekacang dan bijian terutamanya walnut, kacang hazel dan badam dan kacang soya. Sebagai alternatif, anda boleh mengambil suplemen zink yang digabungkan dengan vitamin C untuk kesan sinergistik.

No comments: