KERJA pejabat dan penggunaan komputer berpanjangan dikaitkan dengan peningkatan masalah sakit leher dan bahu yang kini hampir menyamai jumlah penghidap masalah sakit belakang.
TIBANYA tahun ke-10 abad ke-21 disambut meriah penduduk seluruh dunia. Hidup di zaman moden ini juga diraikan sebagai yang paling selesa dan mewah bagi tamadun manusia di kebanyakan bandar-bandar utama. Namun, betulkah badan kita semakin 'selesa' di ketika tekanan hidup semakin meningkat serta bebanan kerja yang memuncak sehinggakan frasa kata 'tiada masa' menjadi satu kebiasaan?
Walaupun manusia kini semakin kurang menjalankan aktiviti fizikal berat hasil bantuan mesin dan teknologi moden, tidak dapat disangkal kebanyakan daripada kita yang sering berasa letih, lesu, sakit-sakit badan atau kekejangan. Ini merupakan antara kesan-kesan jangka panjang tekanan yang ditanggung badan yang menahan beban berterusan.
Sememangnya kita kurang menghadapi beban fizikal yang berat, tetapi beban sederhana atau ringan yang berulang kali dan berpanjangan juga sama kesannya seperti mengangkat beban berat. Sering kali diabaikan adalah tabiat-tabiat kecil yang memberikan tekanan pada badan dan lama-kelamaan akan menyebabkan kecederaan dan kesakitan berpanjangan.
Postur ketika duduk, berdiri, bersandar, tidur, mengangkat barang mahupun akibat kecederaan bukan hanya memberi kesan pada otot malahan tulang dan sendi. Seperti tayar kereta, sistem badan manusia juga asalnya mempunyai pelarasan seimbang sama ada pada tulang, otot mahupun sendi bagi mengimbangkan beban yang ditanggung dan mengelakkan kecederaan.
Jika otot, sendi dan tulang mula berasa sengal, sakit atau kekejangan tanpa sebab, ia mungkin menandakan pelarasan semula jadinya sudah tidak seimbang. Ini mungkin berpunca daripada penyakit tertentu atau akibat peralihan susunan tulang, kekuatan otot serta keanjalan sendi.
Pengalaman peribadi
Hampir 10 tahun lamanya hidup dengan rasa sakit dan kejang akibat kecederaan ketika menjalankan aktiviti terjun cenuram, Dr. Michael Wilkinson akhirnya berjaya memulihkan masalah tulang belakangnya melalui rawatan kiropraktik.
"Kecederaan yang saya alami ketika berumur 16 tahun itu berterusan dan gagal dirawat melalui penggunaan ubat.
"Ketika saya berumur 25 tahun dan bekerja sebagai seorang ahli kimia, kesakitan pada tulang belakang itu hilang sepenuhnya melalui rawatan kiropraktik," katanya.
Hasil pengalaman tersebut, beliau mengubah kerjaya kepada dunia perubatan, khususnya kiropraktik dan kini merupakan Pakar Kiropraktik di Pusat Kiropraktik dan Kecederaan Sukan LivingWell.
Antara sebab memilih kiropraktik katanya, adalah untuk membantu mereka yang mempunyai masalah serupa tanpa perlu menggunakan ubat-ubatan.
Dengan latar belakang biologi, kimia dan perubatan, Dr. Wilkinson kini telah 10 tahun mempraktikkan kaedah rawatan ini untuk kecederaan sukan, sendi dan tulang belakang.
Mungkin masih ramai yang tidak tahu mengenai kiropraktik memandangkan ia masih baru di Malaysia sedangkan ianya merupakan kerjaya perubatan ketiga terbesar di dunia kini. Mengambil dari perkataan Greek, Chiropraktikos, kiropraktik membawa maksud "rawatan berkesan menggunakan tangan" yang melibatkan kesihatan sistem tulang dan otot kerangka serta sistem saraf, selalunya berkait dengan rasa sengal, kejang dan sakit akibat beban dan tekanan.
Bidang ini bermula sejak 2,700 tahun Sebelum Masihi lagi dan terus dikembangkan sejak awal abad ke-19 di Eropah. Tidak sama dengan konsep urutan yang memberi tekanan fizikal, kiropraktik bertumpu kepada penyelarasan kembali mana-mana tulang ke kedudukan semula jadinya.
Pakar kiropraktik juga bertauliah sebagai doktor dan mempunyai latar belakang perubatan tetapi tidak memberi preskripsi atau menggunakan ubat-ubatan dalam rawatan. Kaedah rawatan ini bagaimanapun bukan bertujuan merawat penyakit seperti artritis, tetapi memberi kelegaan dari rasa sakit dan lenguh dengan mengembalikan keseimbangan susunan tulang dan bebanan otot sekitar tulang.
Kelegaan
Perkara utama yang ditekankan untuk rawatan kiropraktik adalah pendidikan dalam penjagaan sendi dan tulang, terutamanya tulang belakang, untuk kekal sihat dan cergas.
Dr. Wilkinson menjelaskan kaedah rawatan ini digunakan untuk susunan tulang yang tidak melibatkan penyakit tulang.
"Sejarah kesihatan dan pemeriksaan awal ke atas pesakit adalah perlu supaya mereka menerima rawatan bersesuaian.
"Jika mereka mempunyai penyakit tertentu yang menjadi punca rasa sakit atau sengal berkenaan, ia mungkin perlu dirujuk kepada doktor pakar terlebih dahulu," ujarnya.
Menurut beliau, rawatan kiropraktik seperti menekan butang 'reset' untuk menyelaraskan kembali susunan tulang. Susunan tulang yang teratur dan seimbang akan mengurangkan bebanan dan tekanan pada otot di sekitarnya.
Seperti mana-mana kaedah rawatan, penilaian awal perlu dijalankan untuk memastikan tahap kesihatan dan mengesan punca masalah pada bahagian badan terbabit. Seterusnya, pemeriksaan rapi mungkin perlu dijalankan, termasuk imbasan sinar-X bagi memastikan tiada masalah atau penyakit tulang yang serius.
Dr. Wilkinson menyatakan penilaian perlu dibuat bagi menentukan cara terbaik merawat bahagian terbabit.
"Imbasan sinar-X hanya dijalankan untuk kes tertentu sahaja. Secara peribadi saya memilih untuk tidak melakukannya kecuali perlu memandangkan ia mendedahkan pesakit kepada bahaya radiasi.
"Imbasan sinar-X bagaimanapun dapat menunjukkan sebarang kerosakan atau peralihan kedudukan tulang di bahagian yang terlibat," jelasnya.
Memberi contoh pelarasan bahagian bawah tulang belakang, beliau memaklumkan ia dapat dilihat melalui panjang kedua belah kaki pesakit. Kaki yang panjang sebelah mungkin menunjukkan peralihan kedudukan tulang atau menandakan masalah pelvis.
Kedudukan tulang yang senget sebelah sebegini boleh memberi kesan kepada fungsi saraf dan menyebabkan rasa sakit atau kebas pada kaki, betis dan paha, sedangkan punca masalahnya adalah pada tulang belakang.
Dr. Wilkinson menjelaskan masalah pelvis sedemikian mungkin memerlukan antara enam hingga lapan minggu untuk dibetulkan.
"Badan memerlukan masa untuk 'dibentuk semula'. Selain itu, faktor penyumbang masalah seperti postur duduk atau tidur juga perlu diubah.
"Tiada guna membetulkan kedudukan tulang jika gaya hidup tidak diubah dan masalah serupa akan berulang lagi kelak," tegasnya.
Menurut beliau, selepas membetulkan susunan tulang dan mengesan faktor penyumbang masalah, pesakit hanya perlu menjalani rawatan pemulihan atau fisioterapi.
Tambahnya, fisioterapi menggunakan ultrasound, beg panas, beg sejuk dan mesin stimulasi elektrik dapat membantu merehatkan dan mengurangkan ketegangan otot yang selama ini menyokong beban daripada masalah susunan tulang.
"Pelarasan semula tulang, terutamanya sekitar tulang belakang juga akan membantu dalam terapi otot yang lemah," ujarnya.
Tulang
Dr. Wilkinson menegaskan tulang yang terhakis, seperti spinedolosis pada tulang belakang, tidak boleh diganti semula.
"Apabila tulang sudah rosak dan terhakis, ianya tiada ganti lagi. Tetapi, otot di sekitar tulang itu boleh dikuatkan bagi menyokong fungsi sendi dan tulang yang terjejas di samping dapat memperlahankan proses kerosakan tulang.
"Sebarang jenis artritis akan memberi kesan kepada sendi. Kiropraktik boleh digunakan untuk cuba mengembalikan fungsi normal dan juga mengurangkan rasa sakit atau sengal sendi terbabit," katanya.
Bagaimanapun jelasnya, seperti kes osteoartritis, apa yang cuba dirawat adalah fungsi sendi terbabit dan bukannya untuk menyembuhkan penyakit berkenaan.
Tambahnya, rawatan kiropraktik membantu dalam masalah mekanikal sendi dan tulang bagi memberi kelegaan dari rasa sakit tetapi ianya bukan satu bentuk penawar penyakit berkenaan.
Kiropraktik untuk masalah osteoporosis juga perlu dijalankan dengan lebih lembut dan cermat kerana keadaan tulang yang rapuh. Osteoporosis yang lebih banyak menyerang wanita selepas menopaus, perlu dipastikan sebelum rawatan dimulakan, terutamanya jika melibatkan tulang belakang.
Dr. Wilkinson bagaimanapun menegaskan masalah lumpuh akibat patah tulang belakang tidak dapat dirawat melalui kiropraktik.
"Masalah utama kelumpuhan adalah sambungan saraf tunjang yang terputus dan bukannya masalah tulang.
"Tiada gunanya susunan tulang belakang dibetulkan jika sambungan saraf sudah putus sepenuhnya," jelasnya.
Pop
Antara kesan yang diharapkan seseorang dalam usaha melegakan rasa lenguh atau ketegangan otot adalah bunyi pop tulang. Namun, bunyi ini bukanlah petanda rawatan berkesan dan ianya bergantung kepada komposisi kimia badan seseorang.
Dr. Wilkinson menjelaskan rawatan kiropraktik juga tidak menumpukan kepada bunyi pop tetapi kepada pelarasan semula kedudukan tulang.
"Bunyi pop dihasilkan gas yang bebas dari larutan sel badan, seperti ketika membuka air berkarbonat.
"Pakar kiropraktik terlatih untuk mengesan susunan sekata tulang dan bukan hanya bergantung kepada bunyi tersebut," katanya.
Beliau menyatakan rawatan juga lebih bergantung kepada kemampuan badan melentur dan mengikut perubahan struktur tulang, bukannya memberi tekanan besar semata-mata untuk bunyi pop.
Berbeza dengan fisioterapi, pakar kiropraktik mempelajari ilmu perubatan dengan lebih mendalam tetapi tidak mengeluarkan preskripsi ubat atau menjalankan pembedahan. Pakar kiropraktik bagaimanapun berkelayakan menilai punca masalah seperti kanser ataupun jangkitan kuman yang akan dirujuk kepada doktor pakar.
Dalam pada itu, Dr. Wilkinson turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan mereka yang mengaku sebagai pakar kiropraktik.
"Undang-undang untuk mengawal bidang ini masih berkembang. Kaedah yang digunakan di Barat dan di China juga berbeza.
"Bukannya untuk mengatakan tiada pakar kiropraktik tempatan yang berkelayakan, tetapi orang ramai perlu memastikan mereka mempunyai kelulusan yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," jelasnya.
Di samping usaha mencari kelegaan, tidak kira melalui ubat, herba, urutan mahupun kiropraktik, orang ramai perlu berwaspada dengan apa yang didakwa dan ditawarkan. Selain memastikan rawatan hanya dari mereka yang bertauliah, pastikan juga baik dan buruk sesuatu kaedah sebelum anda mencubanya.
Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai kiropraktik atau mendapatkan pemeriksaan tulang belakang percuma, sila layari laman web www.livingwell.com.my atau hubungi talian 03-76605733 atau 03-76605731.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment