SEMENJAK berkembangnya bidang perubatan di Malaysia, bilangan warga emas juga telah banyak meningkat.
Peningkatan ini juga menyebabkan bertambahnya bilangan penyakit, yang secara langsung atau tidak, berkait rapat dengan proses penuaan.
Osteoartritis adalah salah satu di antara masalah yang sering dikaitkan dengan warga emas. Osteoartritis berasal dari dua perkataan iaitu ‘osteo’ dan ‘artritis’ yang membawa maksud radang sendi tulang.
Secara dasarnya, ianya adalah disebabkan oleh masalah degenerasi (kemerosotan) tulang rawan yang meliputi sendi-sendi sinovial seperti di lutut, paha, bahu, siku dan sebagainya.
Rawan sendi ini terbina dari sejenis protein yang memberi kesan ‘kusyen’ kepada sendi, terutamanya sendi-sendi yang menampung berat badan seperti paha dan lutut.
Proses degenerasi ini mengambil masa yang lama untuk terbentuk dan ia juga bergantung kepada banyak faktor-faktor penyumbang lain.
Terdapat lebih 100 jenis artritis tetapi osteoartritis adalah yang paling kerap dialami oleh warga tua.
Di Malaysia sahaja, dijangkakan terdapat lebih dari 1 juta pesakit osteoartritis dan jumlah ini semakin bertambah dari tahun ke tahun.
Lebih daripada 30 peratus warga emas yang berusia 65 tahun ke atas menghidap osteoartritis yang memerlukan rawatan.
Sebelum usia 45 tahun, lelaki lebih mudah mendapat osteoartritis manakala wanita pula lebih terdedah kepada penyakit ini setelah usia mereka melebihi 55 tahun.
Pada usia tersebut, wanita didapati berisiko dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi mudah mendapat osteoartritis berbanding lelaki.
Punca
Setakat ini, tidak ada kajian saintifik yang dapat mengesahkan punca-punca sebenar yang menyebabkan osteoartritis.
Bagaimanapun, terdapat banyak faktor-faktor berkait rapat yang dapat menyumbang kepada osteoartritis.
Secara amnya, peningkatan usia adalah faktor yang paling besar di dalam menentukan tahap osteoartritis.
Satu kajian di Malaysia sebelum ini mendapati sebanyak 9.3 peratus dari penduduk dewasa di Malaysia mendapat sakit lutut.
Jumlah ini meningkat kepada 23 peratus bagi golongan yang berumur melebihi 55 tahun dan 39 peratus bagi yang melebihi 65 tahun.
Secara umumnya, osteoartritis boleh diklasifikasikan kepada osteoartritis primer dan osteoartritis sekunder.
Osteoartritis primer merupakan yang paling banyak berlaku dan ianya berkait rapat dengan proses penuaan.
Pada peringkat ini, kandungan air pada rawan meningkat dan kandungan protein rawan pula makin berkurangan. Ini menyebabkan keanjalan rawan terjejas, mudah rosak dan terhakis.
Degenerasi rawan akan berterusan sehinggalah rawan semakin berkurangan dan tidak lagi bertindak sebagai kusyen di dalam sendi.
Kehilangan rawan seterusnya membawa kepada peningkatan kesan geseran pada sendi dan menyebabkan sendi berkenaan berasa sakit.
Pergerakan sendi yang terjejas juga menjadi semakin terbatas disebabkan geseran dan rasa sakit.
Radang pada rawan juga menyebabkan berlakunya pembentukan tulang-tulang lebihan (osteophytes) pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya.
Osteophytes ini juga memberikan kesan sampingan seperti sakit di sekitar sendi dan boleh mengurangkan kemampuan pergerakan sendi.
Osteoartritis sekunder pula melibatkan banyak faktor-faktor tambahan seperti penyakit atau pun sesuatu keadaan tertentu.
Antara faktor yang boleh menyebabkan osteoartritis sekunder termasuklah obesiti, jangkitan kuman pada sendi, trauma, masalah hormon, gout, masalah sendi kongenital (sejak lahir) dan banyak lagi.
Faktor keturunan juga mungkin ada kaitan dengan osteoartritis, tetapi setakat ini ianya masih belum dapat dibuktikan secara saintifik.
Pendek kata, apa sahaja masalah yang menyebabkan sendi menjadi tidak normal, boleh menjadi punca atau penyumbang kepada osteoartritis sekunder.
Tanda-tanda
Pada peringkat awalnya, osteoartritis tidak memberikan sebarang tanda dan kebanyakan pesakit masih boleh meneruskan aktiviti harian tanpa terpaksa mengubah cara hidup masing-masing.
Lenguh-lenguh sendi adalah antara tanda-tanda yang mungkin dialami oleh pesakit pada peringkat permulaan penyakit ini.
Setelah osteoartritis masuk ke tahap yang lebih serius, tanda-tanda yang kerap dialami oleh pesakit-pesakit osteoartritis ialah termasuk sendi-sendi menjadi sakit, bengkak, panas dan kaku.
Sakit sendi adalah gejala yang paling utama dan menyusahkan bagi pesakit-pesakit osteoartritis. Rata-rata pesakit yang mendapatkan rawatan untuk osteoartritis adalah kerana sakit sendi yang berpanjangan dan mengganggu aktiviti harian mereka.
Di peringkat awal, sakit sendi meningkat akibat penggunaan sendi yang berulang- ulang. Di tahap yang teruk, di mana tulang bergeser sesama sendiri akibat ketiadaan rawan, sendi boleh sakit walaupun hanya dengan sedikit pergerakan ataupun ketika rehat.
Jika gejala ini tidak dirawat, aktiviti-aktiviti biasa yang mudah seperti mencangkung, turun atau naik tangga dan sebagainya akan menjadi lebih sukar dan menjejaskan kesinambungan aktiviti-aktiviti harian pesakit.
Pesakit yang beragama Islam mungkin akan mengadu sudah tidak dapat bersolat seperti biasa dan terpaksa duduk di atas kerusi untuk solat atau solat secara berlunjur.
Di peringkat yang lebih teruk lagi, rehat atau tidur mungkin akan terganggu akibat daripada kesakitan sendi yang berpanjangan. Pesakit juga mungkin mengadu terdapat bunyi geseran (crepitus) semasa pergerakan sendi dan kadang-kala sendi menjadi lebih kaku.
Tanda-tanda ini disebabkan oleh kehilangan lapisan rawan pada permukaan sendi. Di Asia, sendi lutut merupakan sendi yang paling kerap mendapat osteoartritis.
Walaupun begitu, osteoartritis turut melibatkan mana-mana sendi lain terutamanya yang menampung berat badan seperti lutut, pinggul dan tulang belakang.
Selain daripada sendi-sendi yang disebutkan tadi, sendi-sendi kecil pada jari tangan dan ibu jari juga boleh juga mendapat osteoartritis.
Pada tahap yang teruk, sendi-sendi boleh menjadi bengkok kerana kehilangan rawan dan juga kehilangan sebahagian dari tulang pada permukaan sendi.
Kesan yang selalu dapat dilihat ialah lutut menjadi pengkar (bengkok) akibat osteoartritis yang teruk. Otot-otot, terutamanya di paha, pula boleh menjadi kecut (atropi) dan lemah akibat jarang digunakan.
Tanda-tanda awal yang disebabkan oleh osteoartritis ini boleh berlanjutan sehingga lebih dua minggu.
Sekiranya pesakit mendapati gejala-gejala awal seperti yang dinyatakan tadi pada sendi-sendi penting, terutamanya pada lutut atau pinggul yang berlanjutan lebih dari dua minggu, mereka disaran supaya mendapatkan nasihat dan pemeriksaan dari doktor.
Diagnosis
Kebanyakan doktor dapat membuat diagnosis awal osteoartritis secara klinikal iaitu berdasarkan tanda-tanda seperti yang disebutkan tadi.
Doktor juga akan membuat pemeriksaan imbasan sinar-X terhadap pesakit-pesakit bagi mengesahkan diagnosis osteoartritis.
Imej dari imbasan sinar-X dapat menunjukkan kepada doktor tahap kerosakan sendi yang dialami pesakit osteoartritis.
Imbasan sinar-X juga dapat menolong doktor merancang pembedahan tukar ganti sendi sekiranya ianya diperlukan.
Artroskopi, iaitu penggunaan alat untuk pemeriksaan terus ke dalam sendi, juga digunakan segelintir doktor untuk mengesahkan osteoartritis dan pada masa yang sama boleh membuat rawatan mencuci sendi terbabit.
Bagaimanapun, cara ini lazimnya terhad kepada sendi-sendi yang besar seperti sendi lutut dan ianya tidak begitu popular kerana ia melibatkan pembedahan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment