Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
Rosnah Abdul Rashid Shirlin (tiga dari kiri) pada sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 Peringkat Institut Perubatan Respiratori di Institut Perubatan Respiratori, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
SEMUA setuju jika dikatakan golongan wanita pada zaman ini lebih maju, berpelajaran dan berjaya. Peningkatan taraf hidup serta kejayaan ini membolehkan mereka mempunyai kuasa maksimum untuk berbelanja dan membuat pilihan membeli apa yang diingini melalui pendapatan yang diperoleh.
Namun, di sebalik semua kecemerlangan dikecapi wanita itu, dek kemodenan dan peredaran zaman, sama ada kita sedar atau tidak, jumlah pembabitan kaum hawa dalam aktiviti sosial terutamanya merokok juga semakin meningkat naik.
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuktikan, peratusan jumlah wanita yang merokok meningkat di negara membangun termasuk Malaysia, sementara angka perokok lelaki mula menunjukkan penurunan.
Justeru, bagi membendung tabiat yang berisiko terhadap kesihatan ini, WHO memilih Lindungi Wanita dari Pemasaran Tembakau dan Asap Rokok sebagai tema sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010.
Tahun ini, Malaysia melalui tema yang sama, sudah merancang dan melaksanakan pelbagai program dan kempen bagi membendung dan mengelakkan tabiat ini.
Pengarah Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datin Dr. Aziah Ahmad Mahayiddin berkata, pendedahan kepada rokok mendatangkan lebih banyak kesan buruk terhadap wanita berbanding lelaki.
Kemungkinan wanita diserang penyakit, katanya, bukan sahaja membabitkan penyakit respiratori, barah dan jantung, tetapi mereka juga berisiko mengalami masalah kesuburan serta semasa mengandung dan melahirkan anak.
Aziah berkata, perokok wanita berisiko tinggi mendapat keguguran, bayi tidak cukup bulan dan bayi meninggal dalam rahim.
Tegasnya, ancaman lain kepada wanita yang tidak merokok (perokok sekunder) adalah pendedahan kepada asap rokok daripada perokok lain.
“Di seluruh dunia, lebih kurang 600,000 kematian setiap tahun disebabkan pendedahan kepada asap perokok sekunder dan 64 peratus daripada jumlah mangsa itu adalah wanita.
“Maka, sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 ini menumpukan kepada kesan buruk ke atas wanita daripada pemasaran dan rokok.
“Kaum lelaki pula akan diberi kesedaran mengenai tanggungjawab mereka untuk tidak mendedahkan isteri, anak-anak dan keluarga kepada asap rokok,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2010 Peringkat Institut Perubatan Respiratori di Institut Perubatan Respiratori, Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sambutan itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Maimunah A. Hamid, Pengarah HKL, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zin dan Pengerusi PUSPANITA Kementerian Kesihatan, Datin Seri Zuraida Ahmad.
Rosnah dalam ucapannya berkata, kementerian sentiasa berusaha untuk mengatasi tabiat merokok di kalangan rakyat negara ini kerana selain berisiko kepada kesihatan, kerajaan sedar penggunaan tembakau adalah penyebab kedua kematian global selepas penyakit darah tinggi.
Dijangka, kematian tahunan berpunca dari penggunaan tembakau adalah lebih 5 juta di seluruh dunia ketika ini dan jika dibiarkan, ia mampu menyumbang kepada lebih 8 juta setahun menjelang 2030.
Selain menjalankan kempen kesedaran kepada perokok tegar, perokok baru dan individu yang belum merokok, kementerian giat membantu perokok untuk berhenti daripada tabiat merbahaya ini melalui Klinik Berhenti Merokok.
Menurut Rosnah, kementerian sedar untuk menghentikan tabiat merokok adalah amat sukar, jadi melalui klinik ini, kementerian memastikan kesabaran, ketekunan dan komitmen antara perokok serta pegawai ditingkatkan untuk menjayakannya.
Pada masa sama, tambahnya, kementerian mengambil kesempatan daripada tema sambutan tahun ini untuk memberi perhatian terhadap isu-isu keburukan akibat kesan pasaran tembakau dan larangan pemasaran tembakau kepada kaum wanita dengan penyediaan bahan pendidikan.
“Kaum wanita kini menjadi kumpulan sasar industri tembakau kerana kuasa membeli dan kemajuan yang ada pada mereka selain jumlah perokok lelaki semakin berkurang, maka semakin banyak iklan rokok yang mempamerkan model langsing dan cantik bagi menyogok wanita supaya merokok.
“Sebenarnya wanita atau lelaki tidak perlu merokok untuk meningkatkan keterampilan atau imej melalui merokok kerana ia akan merosakkan diri sendiri melalui kesan buruk dan bahaya yang ada dalam rokok.
“Kementerian turut mengeluarkan iklan yang mempamerkan model wanita langsing dan cantik tetapi dengan bahagian badan diserang penyakit-penyakit kronik akibat merokok bagi melawan iklan industri tembakau,” ujarnya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment