Sunday, October 17, 2010

Kempen selamatkan penglihatan

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar ISMAIL KAMADIN

Orang ramai berpeluang melakukan pemeriksaan mata menggunakan alat-alat canggih yang disediakan secara percuma.

SETIAP lima saat seorang manusia di muka bumi ini akan kehilangan penglihatannya. Sedangkan 80 peratus daripada punca hilang penglihatan tersebut boleh dielakkan dan boleh dirawat.

Keadaan tersebut berlaku disebabkan kurangnya kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan mata secara berkala.

Pakar Optalmologi bagi Pakar Rawatan Mata VISTA, Dr. Shamala Ganesan berkata, fakta tersebut seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia khususnya yang berasakan mereka mempunyai masalah penglihatan.

"Setakat ini tiga penyakit utama yang boleh menyebabkan buta iaitu katarak, glaukoma dan Kemerosotan Makular Berkaitan Usia (AMD)," jelasnya pada majlis pelancaran kempen Hak Untuk Melihat anjuran bersama Kelab Rotary dan Pakar Rawatan Mata VISTA baru-baru ini.

Kempen tersebut sempena sambutan Hari Penglihatan Sedunia yang disambut setiap 14 Oktober.

Menurut Dr. Shamala, katarak adalah sejenis penyakit di mana selaput menyelubungi kanta mata. Ia menyebabkan penglihatan kabur.

Memang ia sering berlaku kepada orang yang lebih tua, namun yang pasti ia mengganggu kehidupan.

Antara simptomnya ialah nampak objek seperti berkabus, pudar atau penglihatan malam terganggu, kaca mata tidak berfungsi, hilang sensitiviti kontra seperti ketepatan warna, jarak dan kecerahan.

"Jika anda mempunyai simptom seperti itu cepatlah berjumpa pakar mata kerana ia boleh dirawat.

"Satu lagi penyakit mata ialah glaukoma yang disebabkan oleh kerosakan pada saraf optik.

"Pada awalnya penghidap glaukoma akan merasa sakit di bahagian mata, sekali gus tahap penglihatan merosot, ditambah dengan sakit kepala, mata merah, mual-mual, pening dan muntah.

"Sila ambil serius apabila ini berlaku dan pengabaian tentangnya mungkin menyebabkan anda kehilangan penglihatan," ujarnya .

Dr. Shamala turut menyarankan rakyat Malaysia melakukan pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun.

Hak untuk melihat

Sementara itu, kempen Hak Untuk Melihat merupakan projek khidmat masyarakat yang berlangsung selama enam bulan.

Aktiviti utama sepanjang kempen tersebut ialah memberi pemeriksaan dan rawatan kerosakan mata secara percuma kepada orang ramai.

Istimewanya, kempen itu mendapat pembiayaan daripada Yayasan CIMB dan sokongan Persatuan Glaukoma Malaysia.

Jurucakap penganjur dari Kelab Rotary Damansara West, Yim Ken Fei berkata, kempen mata tersebut adalah rentetan daripada kejayaan kelab itu mewujudkan kesedaran tentang penyakit buah pinggang sebelum ini.

"Kami amat berbesar hati dapat berganding bahu dengan VISTA bagi memerangi tiga penyebab utama kehilangan daya penglihatan yang boleh dielak ini.

"Bagi kami kesihatan mata merupakan isu yang mampu memberi kesan besar kepada komuniti.

"Mungkin ramai tidak sedar bahawa sebuah keluarga boleh kehilangan punca pendapatan apabila individu yang menjadi tonggak keluarga seperti bapa kehilangan daya penglihatan kerana salah satu dari tiga punca masalah mata tersebut," jelasnya.

Justeru Ken Fei menyeru orang ramai supaya mengambil peluang ini bagi memastikan nasib keluarga yang dibayangi bahana kebutaan ini terbela.

"Kita juga perlu ingat bahawa kitalah yang perlu bertanggung jawab atas kesihatan mata kita sendiri," ujarnya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif VISTA, Lim Boon Siong berkata, kerjasama itu diharap dapat menjana kesedaran sekali gus meningkatkan kefahaman kepada orang ramai tentang kesihatan mata.

"Berbekalkan pengalaman bertahun-tahun sebagai pakar mata, kami sedar bahawa tidak ramai yang mempunyai kesedaran tentang pemeriksaan mata yang sebenarnya sama penting dengan kesihatan tubuh.

"Dengan melakukan pemeriksaan yang kerap, diagnosis awal dan rawatan pantas menghalang kehilangan daya penglihatan," katanya.

Menurut Boon Siong, kebanyakan penyakit mata tidak menunjukkan simptom-simptom awal, malah sesiapa sahaja tidak mengira usia atau status kesihatan boleh menghidapinya.

"Maka dengan itu, rakyat Malaysia dari semua peringkat umur mestilah belajar untuk menjaga kesihatan mata kerana kehilangan daya penglihatan boleh dicegah jika penyakit mata dapat dikesan dan dirawat dengan lebih awal," ujarnya.

No comments: