Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
KECANTIKAN tidak dapat dipisahkan dengan wanita. Wanita sanggup berbelanja besar semata-mata memiliki wajah yang cantik dan sempurna. Bukan setakat membeli produk yang mahal dan berjenama, wanita kini berani mencuba rawatan baru seperti botox dan laser.
Pelbagai teknik rawatan kecantikan diperkenalkan di negara ini bagi memenuhi kehendak tersebut.
Ini termasuk kaedah dari luar negara yang diperkenalkan di pusat-pusat kecantikan semakin canggih dan terkini.
Baru-baru ini, dunia kecantikan diperkenalkan teknik rawatan Serdev.
Rawatan ini dicipta untuk mengurangkan wajah dan bahagian-bahagian badan yang kendur.
Selain itu, Serdev membantu untuk memperkecil dan membentuk anggota yang dikehendaki.
Berbeza dengan rawatan lain, ia tidak memerlukan masa yang panjang dan tidak memerlukan pembedahan.
Selepas melakukan rawatan ini, pelanggan akan mendapatkan wajah yang tegang dan mantap tanpa perlu tinggal lama di wad.
Mengambil masa selama sepuluh minit hingga setengah jam (bergantung bahagian anggota badan), pelanggan tidak akan berasa sakit.
Sepuluh tahun lalu, teknik ini telah diperkenalkan oleh seorang doktor estetik dari Bulgaria, Nikolay IP yang merupakan presiden kepada sebuah persatuan pembedahan kecantikan dan perubatan estetik di sana.
Kaedah kecantikan terkini ini sangat ringkas kerana hanya menggunakan benang dan jarum.
Mungkin bagi anda ia pelik kerana kebiasaannya prosedur ini digunakan untuk menjahit butang baju.
Menurut Perunding Estetik, Dr . Ng Kuan Choong, teknik ini selamat, berkualiti, berkesan, tiada kesan sampingan, tidak kelihatan kesan teknik berkenaan dan produk yang digunakan juga halal kerana ia berasaskan tumbuh-tumbuhan.
"Jika anda tidak mempunyai masa yang panjang untuk melakukan rawatan kecantikan, anda boleh mencuba rawatan ini yang sangat ringkas. rawatan yang hanya beberapa minit ini membuatkan wajah anda tegang tanpa disedari oleh orang lain," ujarnya yang merupakan pengasas dan satu-satunya doktor pakar Serdev di negara ini .
Tambah beliau, rawatan dapat membantu wanita yang berhadapan masalah apabila usia meningkat dan berhadapan dengan kulit wajah yang mula jatuh, mengendur, menggeleber dan berkedut.
Kebiasaannya, wajah kendur disebabkan lapisan bawah kulit yang dipanggil galeal jatuh.
Dengan kaedah ini, ia menganjalkan kulit di bahagian kening (atas telinga) yang dipanggil temporal akan ditanda titik berbentuk empat segi.
Kemudian jarum yang disangkutkan benang akan dicucuk kepada keempat-empat tanda titik itu. Benang yang tertinggal di dalam kulit (galeal), hujungnya yang terkeluar akan ditarik 45 darjah kemudian diikat. Kaedah yang sama akan dilakukan kepada bahagian kening di sebelah lagi.
Hasil tarikan 45 darjah itu akan mengangkat kulit wajah dan galeal sehingga menjadikan wajah lebih tegang, menaik dan menirus di bahagian dagu.
Percaya atau tidak, wajah pelanggan akan kelihatan lebih tegang, muda dan cerah.
"Jarum benang tidak akan kelihatan apabila bahagian hujung yang diikat akan digunting.
Benang akan tertarik ke dalam dan menyerap ke dalam kulit dalam tempoh dua minggu serta kekal di dalamnya," ujar pemilik klinik kecantikan The Laser Clinic yang terletak di 11A, Jalan Telawi 5, Bangsar, Kuala Lumpur.
Rawatan ini boleh digunakan untuk menaikkan punggung, membentuk bibir, meruncing dagu, dagu terbelah, membuat lesung pipit, menaikkan payu dara, menaik dan mengecilkan hidung, menaikkan pipi, menegangkan leher dan sebagainya
Benang itu mengandungi probiotik, vitamin-vitamin, vitamin C, kolagen dan fiber. Orang ramai yang ingin mendapatkan teknik Serdev dinasihatkan berjumpa dengan doktor yang bertauliah.
Dr . Kuan Choong boleh dihubungi di talian 03-2287 4886.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment