Saturday, December 4, 2010

Nutrien untuk jantung

Saya berusia 40-an dan mengambil koenzim Q10 atas saranan ahli farmasi untuk menangani kelesuan. Malah, saya juga mendapat tahu beberapa rakan mengambil koenzim Q10 atau pernah disarankan pengambilannya kerana mereka sedang mengambil anti kolesterol. Adakah nutrien ini memberi manfaat yang besar kepada kesihatan jantung?

Jawapan

Koenzim Q10 boleh didapati dalam semua bahagian tubuh. Bahan yang menyamai vitamin ini merupakan anti oksida dan menjadi komponen penting kepada beberapa aktiviti berkaitan metabolisme tenaga.

Koenzim Q10 banyak dijumpai dalam mitokondria, di mana beberapa siri reaksi biokimia mengambil tempat serta pembentukan tenaga yang diperlukan untuk menyokong kehidupan. Namun, koenzim Q10 paling banyak ditemui dalam otot jantung dan hati berbanding tisu-tisu tubuh lain kerana keperluan tenaganya yang lebih tinggi pada sel-sel jenis ini.

Koenzim Q10 atau CoQ10 hadir secara semula jadi dalam makanan dan juga boleh disintesiskan dalam tubuh. Adakalanya kekurangan boleh berlaku akibat pengambilan dalam makanan yang tidak mencukupi, masalah dalam biosistesis koenzim Q10, penggunaan yang berlebihan oleh tubuh atau kesemua faktor-faktor tersebut. Kaitan antara kekurangan COQ10 dan masalah kesihatan didedahkan oleh beberapa kajian ke atas manusia dan juga haiwan. Masalah-masalah kesihatan ini selalunya dikaitkan dengan penghasilan tenaga yang rendah atau fungsi otot yang lemah seperti kegagalan jantung, sindrom keletihan kronik dan juga migrain.

Manfaat koenzim Q10 untuk menyokong kesihatan jantung banyak disokong oleh kajian klinikal. Kajian turut mencadangkan agar koenzim Q10 digunakan sebagai terapi tambahan kepada penghidap kegagalan jantung kongestif (congestive heart failure). Di Jepun, koenzim Q10 diluluskan untuk digunakan dalam rawatan masalah jantung ini.

Kekurangan koenzim Q10 yang ketara juga dikesan di kalangan penghidap kegagalan jantung kongestif yang turut sama mengalami hipertensi. Ujian klinikal juga mendapati pengambilan koenzim Q10 di kalangan penghidap hipertensi mampu membantu merendahkan tekanan darah sistolik dan diastolik dengan ketara.

Masalah keletihan dan kelemahan otot juga lebih mudah dialami di kalangan mereka yang sedang mengambil statin untuk menangani masalah peningkatan kolesterol dalam darah. Tidak dapat dinafikan statin merupakan ubat untuk mengawal peningkatan kolesterol yang berkesan. Namun, dalam masa yang sama ia juga boleh merendahkan penghasilan koenzim dalam tubuh memandangkan kedua-duanya berkongsi laluan yang sama dalam proses penghasilannya dalam tubuh.

Kajian membuktikan bahawa pengambilan statin dalam jangka pendek sekalipun boleh merendahkan paras koenzim dalam plasma darah. Dengan itu, pengambilan koenzim Q10 dianggap penting di kalangan pengambil statin dalam usaha mencegah simptom-simptom seperti kelesuan dan masalah jantung.

No comments: