Saturday, August 27, 2011

Kekal langsing selepas raya

TANPA kita sedari, hanya tinggal dua hari sahaja kita berpuasa. Di bulan Ramadan yang mulia, umat Islam berpuasa selama sebulan menahan lapar dan dahaga menunaikan tuntutan agama.

Di bulan Ramadan jugalah ramai di antara kita mengambil kesempatan berhenti merokok dan menurunkan berat badan. Tetapi menjelang hari raya ramai pula yang menambah semula berat badan yang 'disusutkan' semasa berpuasa. Kenapa ini boleh berlaku kepada badan kita? Kenapa segala usaha dan pengorbanan kita di bulan Ramadan menjadi sia sia . Malah ada juga di antara kita yang menambah kembali berat badan lebih daripada yang kita hilang semasa berpuasa. Paling mengecewakan adalah, berat badan yang kita hilangkan semasa 30 hari berpuasa, datang kembali dengan tiba-tiba hanya selepas hari raya ketiga.

Semasa berpuasa terdapat perubahan di dalam badan yang membolehkan kita menahan lapar dan dahaga. Selepas hari ketiga berpuasa, badan mula memecahkan lemak untuk mendapatkan tenaga. Pemecahan lemak ini menghasilkan " 'ketone' yang akan digunakan oleh badan untuk mendapatkan tenaga. Ketone juga bertindak di otak untuk membuatkan kita berasa kenyang. Badan kini menyediakan diri untuk bertahan semasa kekurangan makanan dan minuman. Metabolisme menjadi perlahan, proses pemecahan lemak juga begitu kerana badan cuba "berjimat" agar boleh bertahan selama mungkin menghadapi kekurangan makanan dan minuman. Ini adalah respons semula jadi badan manusia.

Apabila menjelang hari raya, kita berhenti berpuasa. Badan akan mula berfungsi semula seperti sebelum berpuasa. Metabolisme meningkat semula, lemak disimpan kembali sebagai tenaga simpanan. Aktiviti di dalam badan menjadi normal semula. Tetapi sebahagian daripada kita ia tidak menjadi normal. Kita menambah berat badan terlalu cepat malah lebih daripada sebelumnya. Kenapa ini berlaku?

karbohidrat

Semasa hari raya, kita makan terlalu banyak karbohidrat. Di antara makanan yang terdiri daripada karbohidrat adalah seperti ketupat, lontong, lemang, nasi, kuih muih dan kek. Karbohidrat akan ditukarkan kepada gula di dalam badan. Paras gula akan naik di dalam darah dan merangsang badan untuk menghasilkan hormon insulin yang akan menukarkan gula kepada lemak dan disimpan di dalam badan. Disebabkan metabolisme badan rendah akibat berpuasa , penggunaan dan penghasilan lemak tidak seimbang. Pemecahan lemak lambat tetapi pembentukan lemak terlalu pantas dan banyak. Jika ada hormon penyimpan lemak, mesti ada hormon pemecah lemak. Bagi mereka yang mempunyai paras hormon pemecah lemak yang rendah seperti hormon tiroid, hormon tumbesaran dan glucagon, proses pemecahan lemak dalam badan akan menjadi lebih perlahan.

Apakah yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan penambahan berat badan yang tiba tiba? Berpuasa sebulan menyebabkan peningkatan nafsu makan yang mendadak semasa hari raya.

Langkah pertama adalah mengelakkan peningkatan paras hormon insulin secara mendadak. Untuk mengisi keperluan nafsu makan di hari raya, mungkin anda boleh meningkat kan pengambilan protein seperti daging, ayam dan ikan. Makan makanan yang mempunyai karbohidrat sihat seperti sayur sayuran. Pengambilan lebih protein boleh meningkatkan metabolisme badan kerana badan memerlukan lebih tenaga untuk mencernakan makanan protein berbanding karbohidrat. Elakkan memakan makanan yang tinggi karbohidrat. Peningkatan pengambilan protein juga membuatkan kita cepat kenyang dan boleh melawan nafsu untuk makan banyak. Cuba elak minum minuman manis. Di antara tanda-tanda peningkatan paras hormone insulin terlalu tinggi adalah rasa mengantuk selepas makan. Kita juga boleh mengambil makanan tambahan untuk mengawal paras gula agar tidak terlalu tinggi dan stabil. Di antara makanan tambahan yang boleh kita ambil adalah L Carnitine, Co Enzyme Q10 dan Kromium.

Untuk membantu badan meningkatkan paras hormon pemecah lemak kita perlu melakukan senaman. Melakukan senaman juga meningkatkan penggunaan tenaga, metabolisme badan dan pemecahan lemak.

Mungkin tip-tip yang saya berikan boleh diambil pakai dalam suasana sambutan hari raya ini. Jalan lain yang lebih mudah adalah melangsingkan badan dengan rawatan bioidentical hormone. Kebanyakan orang yang mempunyai paras hormon pemecah lemak yang rendah akan mempunyai masalah untuk menguruskan badan. Mereka juga mudah menyimpan lemak dan dalam jangka masa yang panjang akan lebih terdedah untuk mendapat penyakit seperti kencing manis, obesiti, darah tinggi dan jantung. Rawatan menggunakan bioidentical hormone bukan sahaja boleh membantu badan mengurangkan lemak malah ia juga boleh memudakan kita. Ia juga boleh mengelakkan penyakit seperti masalah kencing manis, darah tinggi dan tinggi kolesterol. Hormon badan berada di dalam paras optimum semasa kita muda. Sebab itulah semasa muda kita tidak berpenyakit, badan sentiasa kurus dan cergas. Peningkatan usia selari dengan penurunan paras hormon dalam badan. Lagi cepat kehilangan hormon dalam badan lagi cepat mereka kelihatan tua dan mendapat penyakit "tua". Oleh itu rawatan bioidentical hormone adalah cara terbaik untuk menghilangkan berat badan, menjadi lebih muda dan lebih sihat.

lemak

Namun begitu ada juga di antara kita yang mempunyai masalah lebihan lemak di bahagian tertentu. Kawasan lemak berlebihan selalunya tertumpu di bahagian dagu (double chin), perut, lengan atau paha. Rawatan yang terbaik adalah menggunakan laser lipolysis. Teknik ini adalah doktor menggunakan laser Nd:Yag untuk mencairkan lemak di kawasan tertentu. Laser ini bukan sahaja boleh mencairkan lemak, ia juga akan menegangkan kulit agar tidak menggeleber selepas prosedur. Prosedur ini lebih kepada pembentukan badan. Kelebihan prosedur ini adalah hasilnya cepat, terjamin, selamat dan kekal. Doktor yang berpengalaman pasti akan memberikan hasil yang memuaskan serta bernilai dengan wang yang dikeluarkan hanya dengan satu rawatan. Dengan teknologi moden juga membolehkan anda terus pergi kerja keesokan hari tanpa perlu mengambil cuti.

Di kesempatan ini saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya dan memohon ampun dan maaf jika ada tersilap kata dan mengguris hati perasaan pembaca.

PENULIS boleh dihubungi di 0195902511.

Tekanan emosi punca jerawat

MUKA saya banyak ditumbuhi jerawat sejak akhir-akhir ini. Rakan saya memberitahu, ia berpunca daripada aturan tidur saya yang tidak menentu. Adakah perkara ini benar atau ia berpunca daripada makanan berminyak? Apakah yang perlu saya lakukan doktor.

Jerawat adalah masalah anak remaja tetapi ia juga melibatkan orang dewasa. Jerawat terjadi bila kelenjar minyak mengeluarkan terlalu banyak minyak dan sebum di kulit terutamanya di muka, dada dan belakang. Punca jerawat boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Faktor hormon adalah penyebab utama jerawat bagi wanita dalam lingkungan umur subur.

Majoritinya adalah dalam lingkungan belasan tahun dan awal 20-an. Faktor seperti ahli keluarga yang banyak jerawat juga memainkan peranan. Penggunaan pil perancang, ubat steroid, vitamin B12, kosmetik, pakaian yang ketat atau apa saja yang menutup liang minyak menyebabkan masalah jerawat.

Sebahagian jerawat timbul dari ketegangan dan tekanan emosi yang dihadapi setiap hari. Ini mungkin dari penghasilan minyak dan sebum di kulit yang bertambah dan terdedah kepada asap dan bahan kimia atau faktor alam sekitar seperti cuaca panas. Kebanyakan jerawat akan hilang sendiri jika kulit sentiasa bersih dan sihat.

Tetapi sesetengahnya boleh menjadi teruk dan kronik.

Jerawat juga disebabkan oleh masalah gula dalam darah, radang kulit yang kronik dan juga stres yang melampau. Untuk pengetahuan anda, banyak jenis makanan yang boleh memburukkan lagi keadaan kulit anda yang sedia bermasalah dan seterusnya menyebabkan pertumbuhan jerawat.

Contohnya, jerawat akan tumbuh jika anda kekurangan tidur, menyedut udara yang tercemar dan juga menghadapi tekanan yang teruk akibat kerja dan hal peribadi. Jadi elok adik dapatkan rehat yang secukupnya kerana jerawat mungkin timbul dari perasaan tertekan dan bermasalah yang juga secara tak langsung boleh menganggu aturan tidur seseorang.

Kawal keadaan penyakit

DATUK Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan, Pakar Perunding Gastroenterologi dan bekas Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Heapatologi Malaysia (MSGH), memperkatakan tentang beberapa garis panduan berpuasa untuk umat Islam yang sakit atau uzur.

Wajib atau dikecualikan?

Umat Islam yang menghidap penyakit tidak kronik masih boleh berpuasa selagi ia tidak memudaratkan kesihatan. Bagaimanapun, mereka yang menghidap penyakit lebih serius dan perlu mengambil ubat setiap hari atau 2-3 kali sehari, mungkin perlu mendapatkan nasihat mengenai sama ada mereka masih boleh berpuasa, mungkin dengan mengubah masa mengambil ubat. Sebagai contoh, ubat seperti antibiotik, yang perlu diambil dalam jarak waktu yang tetap, boleh menimbulkan masalah kepada pesakit yang berpuasa. Sebagai alternatif, ia boleh digantikan dengan ubat dengan jangka hayat lebih panjang, iaitu ubat yang boleh diambil secara kurang kerap, seperti setiap 12 jam atau sekali sehari.

Berpuasa bagi pesakit kronik

Pesakit diabetes (kencing manis) yang boleh dikawal penyakit dengan diet sahaja boleh berpuasa. Malah, dengan berpuasa, terdapat kemungkinan keadaannya akan bertambah baik sedikit. Bagaimanapun, pesakit diabetes yang bergantung pada ubat dan juga kawalan diet, perlu berhati-hati jika mereka mahu berpuasa. Pesakit hendaklah mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor mereka terlebih dahulu, khususnya mengenai pertukaran dos ubat. Di samping itu, jika mereka mengalami gejala paras gula darah rendah, mereka patut menghentikan puasa dengan serta-merta.

Pesakit jantung tetapi dalam keadaan stabil selagi mereka mengambil ubat, juga boleh berpuasa. Pesakit ini perlu menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu, untuk memastikan mereka boleh berpuasa, dan untuk mendapatkan nasihat tentang pengambilan ubat mereka. Mereka tetap perlu mengambil ubat; tetapi waktu dan dosnya boleh ditukar untuk memastikan kesan terbaik. Sebagai contoh, jika pesakit biasanya mengambil aspirin bersama sarapan pada sebelah pagi, doktor boleh menukar waktunya kepada selepas berbuka puasa. Ini kerana aspirin boleh menyebabkan gastrik di kalangan sesetengah orang, dan keadaan perut kosong untuk tempoh yang lama semasa berpuasa boleh memburukkan lagi keadaan.

Mereka yang menghidap hipertensi, atau tekanan darah tinggi, juga boleh berpuasa, dengan syarat mereka mengambil ubat mereka mengikut jadual. Malah, hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa membantu menurunkan tahap tekanan darah, meskipun faktor lain seperti rehat dan kurang tekanan juga boleh memainkan peranan. Pesakit perlu memastikan mereka berjumpa doktor untuk menukar dos ubat atau waktu pengambilan, dan pastikan doktor memberi kebenaran sebelum berpuasa.

Pendek kata, individu yang mengalami masalah perubatan dan perlu mengambil ubat setiap hari, seperti yang tersebut di atas, dan pesakit penyakit lain termasuk pesakit artritis, hipotiroidisme, atau asma, perlu mendapatkan kebenaran daripada doktor sebelum berpuasa. Sesetengah daripada individu ini masih boleh berpuasa, manakala mereka yang tidak stabil, atau perlu mengambil ubat 3-4 kali sehari, dinasihatkan supaya mengutamakan kesihatan mereka dan tidak berpuasa.

Terdapat juga keadaan kesihatan lain yang tidak kronik tetapi yang lebih membimbangkan semasa berpuasa. Satu daripadanya ialah batu karang dalam ginjal. Risiko mereka yang mempunyai sejarah batu karang dalam ginjal selalunya lebih tinggi semasa bulan Ramadan. Kurang minum air boleh menyebabkan penyahhidratan, yang seterusnya boleh meningkatkan risiko batu karang dalam ginjal. Justeru, individu yang mudah mendapat batu karang dan sukar untuk menguruskan keadaan mereka, dikecualikan berpuasa.

Penyakit penghadaman semasa Puasa

Penyakit penghadaman lazimnya meningkat sepanjang Ramadan. Masalah seperti pedih hulu hati, gastrik, dan ulser peptik meningkat semasa bulan puasa. Peningkatan tahap asid dalam perut kosong memburukkan lagi keadaan yang tersebut. Dengan mengambil makanan yang sihat dan seimbang semasa sahur dan iftar, kita boleh mengurangkan gangguan ini. Sebaik-baiknya, elakkan makanan berempah, makanan berlemak, dan juga minuman berkafeina bagi mengelakkan gejala penyakit menjadi lebih buruk.

Ruqyah penawar gangguan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto ZAINI HUSIN

GELAGAT orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan menyambut kedatangan penulis ke Pusat Rawatan Darul Ruqyah, Sunway Batu Caves petang Jumaat itu.

Walaupun hujan lebat di luar, semua itu tidak mengganggu penantian mereka, malah bilangan yang baru datang tetap bertambah. Semuanya dengan hajat yang sama - mencuba perubatan yang semakin menjadi sebutan ramai itu.

Pelbagai gaya dan ragam, ada yang membawa anak kecil dan ada juga yang kelihatan seperti sihat-sihat sahaja.

"Bulan puasa kurang sikit pengunjung. Kalau tidak, boleh mencecah 200 orang untuk tempoh dari pukul 3 hingga 10 malam. Mungkin syaitan dah banyak kena ikat, jadi gangguan pun kurang," seloroh Mohd. Suhaimi Rohani@Rozali memulakan perbualan.

Kebiasaannya, kata beliau, pesakit yang mendapatkan rawatan di situ mengalami gangguan makhluk halus seperti saka, sihir, santau, histeria dan juga gangguan psikologi seperti gila. Tidak terkecuali mereka yang mengalami sakit fizikal seperti diabetis, darah tinggi, jantung tersumbat, kanser, sawan dan pelbagai lagi.

Beliau yang mesra disapa Ustaz Suhaimi berkata, biasanya pesakit menjadikan Darul Ruqyah sebagai destinasi terakhir berikhtiar sekiranya gagal sembuh dengan rawatan moden atau alternatif lain. Menurutnya, keadaan itu lebih memudahkan rawatan kerana pesakit biasanya sedar dengan penyakit yang dialami.

Kaedah ruqyah jelasnya menggunakan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan ia memerlukan pesakit menjalani proses imbasan yang dilakukan pengamal perubatan bagi menentukan sama ada mereka mengalami gangguan atau tidak.

"Biasanya kalau seseorang itu mempunyai gangguan yang teruk seperti saka, dia akan mengalami histeria dan menjerit-jerit sejurus dilakukan imbasan," kata Ustaz Suhaimi yang berasal dari Pendang, Kedah.

Sebenarnya dalam perubatan Islam katanya, sebarang penyakit berpunca daripada gangguan makhluk halus dalam darah kita. Penyakit ini katanya tidak akan hilang dan ia hanya boleh diredakan melalui amalan dan ibadat. Namun begitu, ia tetap diwarisi kepada anak cucu pesakit kelak.

"Kalau kita fahami penyakit keturunan seperti talasemia, begitu juga dengan masalah gangguan dari segi perubatan Islam. Cuma untuk memberi penerangan yang lebih jelas agak sukar," katanya.

Kata Ustaz Suhaimi lagi, untuk mengenal pasti seseorang itu mengalami gangguan sebenarnya tidak sukar. Kebiasaannya individu tersebut cepat marah, lesu, letih manakala bagi wanita pula tanda-tanda seperti masalah haid yang tidak teratur.

Mantera

Penawar ruqyah kata Ustaz Suhaimi menggunakan bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi merawat semua jenis penyakit. Ruqyah bermaksud mantera atau jampi dan ia diajar oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengalami gangguan makhluk halus.

Selain bacaan ruqyah, rawatan itu menggabungkan terapi menggunakan air penawar (sumber air zamzam), limau purut dan garam bukit. Pesakit kata beliau, akan menjalani rawatan bersama pengamal dan kemudian dia akan dibekalkan dengan cakera padat bacaan ruqyah untuk dipasang di rumah. Pesakit juga dibekalkan terapi sampingan seperti minyak dan bahan mandian.

Menurutnya, terapi yang diberi bukan sebarangan kerana ia mengandungi bacaan ruqyah dan zikir yang telah diswastakan kepada pihak lain seperti pelajar tahfiz dan sekolah pondok.

"Pesakit terlalu ramai. Mustahil saya mampu membaca ruqyah dan berzikir untuk semua. Jadi dalam zaman serba moden ini, zikir pun secara online," katanya.

Beliau juga akan melakukan solat hajat berdasarkan masalah yang dialami pesakit pada borang yang ditulis ketika mendaftarkan diri.

Ustaz Suhaimi berkata, boleh dikatakan 80 peratus pesakit yang datang ke Darul Ruqyah sembuh dengan izin Allah kecuali penyakit serius yang berada di tahap akhir seperti kanser.

Bagi pasangan suami isteri yang mengalami masalah pula, dinasihatkan kedua-dua menjalani rawatan kerana ia saling berkait rapat. Begitu juga dengan penyakit yang dialami oleh kanak-kanak.

"Saya pernah merawat seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang mengalami sawan. Bukan kanak-kanak tadi yang menjalani rawatan sebaliknya hanya ibunya dan kemudian Alhamdulillah, penyakit itu hilang," kata beliau.

Kesempatan

Kepercayaan ramai terhadap keberkesanan rawatan Islam menyebabkan banyak pihak yang mengambil kesempatan sejak akhir-akhir ini, kata Ustaz Suhaimi.

Menurutnya, ada yang meletakkan harga tinggi untuk rawatan dan ada juga yang tidak menetapkan sebarang bayaran.

Berbeza dengan dirinya yang meletakkan harga pendaftaran sebanyak RM10 dan pengesanan juga dalam jumlah yang sama, beliau menjelaskan ia perlu kerana mahu melayan semua pesakit secara saksama serta tidak mahu terdetik sebarang perasaan dalam hati.

"Katakan ada yang bayar saya sampai beribu ringgit untuk merawat penyakitnya, tentu dalam hati saya nak merawat bersungguh-sungguh, berbeza pula layanan saya dengan orang yang memberi RM2 sahaja misalnya kerana bila ia menyentuh soal kepuasan hati, ia menjadi suatu perkara yang sukar untuk kita tentukan," katanya.

Selain daripada bayaran tadi, pesakit hanya perlu membayar mengikut jenis terapi yang diperlukan dan biasanya ia tidak melebihi RM100.

Menurutnya, pesakit walaupun datang daripada mereka yang berpendidikan namun apabila berada di tempat sebegitu mereka mudah terpedaya kerana percaya dengan janji untuk sembuh.

Justeru tidak hairanlah ramai yang tertipu dan tidak kurang juga percaya kepada perubatan berbentuk khurafat.

Menurutnya tidak sukar untuk mengetahui sama ada sesuatu perubatan itu khurafat iaitu melalui mantera (tidak menggunakan bacaan Al-Quran atau jika dalam bahasa lain berbunyi janggal), kemenyan, besi, benda berwarna (contoh kain kuning), batu dan juga memerlukan hari tertentu.

Elak gangguan makanan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

l Mary Kate Olsen Pernah menjalani rawatan anoreksia setelah banyak spekulasi tentang bentuk tubuhnya.

CUBA tengok badan saya. Kenapa makin gemuk? Saya makan sikit sahaja. Kenapa masih tidak kurus?" Begitulah keluhan Rafida (bukan nama sebenar). Sebelum bekerja, Rafida langsung tidak kisah tentang bentuk badannya yang agak gempal.

Masuk tahun pertama bekerja, Rafida mula merasakan bentuk badannya membuatkan dia tidak selesa. Dia beranggapan tidak mungkin dia dapat menarik perhatian orang lain kerana bentuk badannya yang gempal.

Lebih menyedihkan dirinya, rakan-rakan memberi komen yang kurang baik tentang bentuk badannya. Sejak hari itu, Rafida mula mengurangkan makanan yang diambil. Selepas dua bulan, berat badan masih tidak merosot dan ini mendorongnya berusaha dengan lebih agresif. Rafida hanya mengambil buah-buahan untuk sarapan pagi dan makan malam dan tidak makan tengah hari.

Setahun kemudian berat badannya telah kurang hampir separuh daripada berat asal. Namun dia semakin lesu, tidak ceria, badannya sentiasa sejuk dan kerap menggigil. Suatu hari, Rafida tiba-tiba pengsan di tempat kerja. Rakan-rakannya membawa ke hospital dan doktor mengesahkan dia menghidapi anoreksia dan mesti menerima rawatan demi keselamatan nyawanya.

DALAM kita sibuk berbicara tentang pengawalan makanan di bulan Ramadan dan Syawal untuk mengawal wabak obesiti, masih ramai lagi antara kita yang mahu menjadi kurus sehingga sanggup menahan lapar.

Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik dan Ginekologi) Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Prof. Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, anoreksia atau nama saintifiknya 'Anorexia Nervosa' berasal daripada gabungan perkataan Greek (Anerektos) dan Latin (Nervosa) yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk.

“ Ia adalah sejenis gangguan disebabkan oleh peraturan sendiri yang terlalu ketat berhubung dengan cara berdiet dan akhirnya mengakibatkan gangguan makan yang dimanifestasi oleh penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan berkurangan sampai ke tahap yang membahayakan,” ujarnya.

Mengulas kenapa anoreksia berlaku, Dr. Nik Hazlina berkata, penyebab sebenar anoreksia tidaklah diketahui.

Namun, faktor sosial memainkan peranan yang amat penting.

Dalam konteks ini, penderita ingin menjadi kurus kerana kegemukan dianggap tidak menarik, tidak sihat, tidak mengikut 'trend' dan juga tidak diinginkan.

Siapa yang mahu kurus?

Kebanyakan wanita dan lelaki ingin memiliki tubuh badan yang menawan tetapi kecelaruan gaya pemakanan ini merujuk kepada obsesi seseorang yang terlalu memikirkan mengenai berat badan dan apa yang dimakan.

“Obsesi ini mempengaruhi tabiat dan gaya makan serta segala aktiviti harian yang berkait langsung dengan makanan. Lebih kurang 90 peratus daripada mereka yang mengalami kecelaruan gaya pemakanan adalah terdiri dari golongan wanita. Penyakit ini lazimnya bermula semasa zaman remaja atau menjelang alam dewasa,” tambahnya.

Kecelaruan gaya pemakanan boleh juga berlaku seiring dengan penyakit mental lain seperti kemurungan, keresahan dan berasa ketakutan.

Kesan

Jika anda mempunyai masalah imej diri, Dr. Nik Hazlina memberitahu, kemungkinan anda akan mendapati diri terlalu obses dengan cara untuk mengubah tubuh.

“Ini akan menyebabkan anda mengamalkan diet yang tidak sesuai, melakukan senaman yang berlebihan, mencuba pelbagai cara untuk meningkatkan atau melindungi beberapa bahagian, mempunyai keyakinan diri yang rendah, mudah merasa sensitif dengan pandangan orang lain terhadap anda dan sentiasa memikirkan bagaimana rupa paras anda dan mahu kelihatan yang berlainan. Akhirnya, anda juga akan mengalami kemurungan,” katanya.

Tambah beliau, disebabkan anoreksia, seseorang itu tidak mendapat nutrisi yang mencukupi, maka dengan itu dia akan kelihatan dan merasa tidak sihat.

Gejala lain yang mungkin dialami adalah gigi dan kulit bertukar menjadi warna kekuningan, rambut dan kuku menjadi rapuh dan pecah, rambut menjadi mudah gugur. Selain itu, rambut halus (dikenali sebagai rambut lanugo) akan tumbuh di seluruh badan. Fungsinya untuk memanaskan badan anda (kerana tiadanya lemak di tubuh anda).

Remaja wanita pula mungkin akan lewat didatangi haid atau mengalami haid yang amat sedikit dan amat tidak teratur, mungkin hanya mengalami haid sekali dalam setahun.

“Anoreksia boleh menyebabkan kematian akibat kelaparan atau cubaan membunuh diri. Dianggarkan satu dari sepuluh orang meninggal dunia akibat penyakit ini. Akibat-akibat lain termasuklah gangguan degupan jantung, rembesan hormon yang terjejas, infertiliti (kemandulan), osteoporosis (tulang rapuh atau mudah mengalami kepatahan), ketidakseimbangan bahan nutrien dan garam galian dalam badan dan juga gangguan pada sistem saraf.

Masalah ini juga boleh membawa maut sebelum anda menjadi cukup kurus kerana kegagalan organ-organ badan untuk berfungsi dengan normal,” tambahnya.

Rawatan dan cabaran

Rawatan untuk penghidap anoreksia merupakan satu cabaran yang amat besar kepada si penghidap, ahli keluarga dan juga sekumpulan doktor yang merawat.

Menurut Dr. Nik Hazlina, pada kebiasaannya perawat bagi penghidap anoreksia terdiri dari sekumpulan pakar dalam bidang psikologi, pemakanan, kaunselor, dan juga doktor sakit puan jika penghidap juga mengalami masalah amenorea (tiada haid).

“Kecelaruan ini boleh berhubungkait dengan masalah kesihatan yang serius. Ramai anak gadis yang menghadapi masalah sedemikian enggan menerima rawatan di hospital. Bagi kes-kes yang serius, pesakit tidak dapat mengambil makanan melalui mulut dan terpaksa disuap menggunakan tiub nasogastrik.

Ubat anti-kemurungan juga sering digunakan dalam rawatan kecelaruan makan bagi merangsang pengambilan makanan kerana individu yang menghidap anoreksia juga sering mengalami kemurungan,” tambahnya.

Dr. Nik Hazlina memberitahu, kebanyakan penghidap anoreksia berjaya meningkatkan berat badan secara signifikan selepas rawatan melalui pengambilan ubat anti-kemurungan (kebiasaannya lebih kurang dalam masa 3 bulan). “Selain pengambilan ubat anti-kemurungan, terapi keluarga dan terapi tingkah laku kognitif turut digalakkan. Untuk terapi keluarga misalnya, kesabaran ahli keluarga dalam memahami masalah si penghidap serta memberikan sokongan moral sepanjang sesi dapat meningkatkan keberkesanan rawatan,” ujarnya.

Mereka yang dihantar ke hospital pula sebenarnya mengalami kerumitan perubahan yang serius akibat kekurangan zat makanan untuk jangka masa yang panjang. Pesakit mempunyai purata berat badan 25 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding dengan yang normal.

Bagi kes yang serius, kemasukan ke wad diperlukan bagi rawatan yang berkesan. Ini termasuk untuk menyeimbangkan cecair dan bahan galian dalam badan, serta mengembalikan status pemakanan kepada tahap yang normal dan sihat.

“Pakar pemakanan dapat membantu merangka satu kaedah pemakanan yang seimbang lagi sihat agar berat badan dapat dicapai dengan jayanya. Rawatan kognitif dan tingkah-laku berkesan dapat membantu dalam memperbetulkan salah tanggapan berkaitan cara pemakanan.

Terapi keluarga pula membantu ke arah pemulihan. Ubat-ubat khusus juga digunakan untuk merawat penyakit mental yang berkaitan.

Namun langkah pencegahan juga amatlah penting sebagai perawatan bagi masalah ini. Memaparkan bentuk dan susuk badan wanita secara realistik di media masa sangat penting kerana ia mempunyai pengaruh yang kuat kepada remaja dan golongan dewasa muda masa kini,” tambah Dr. Nik Hazlina.

Justeru itu, memiliki susuk badan yang terlalu kurus tidak harus digalakkan untuk paparan di media-media.

Dr. Nik Hazlina menasihatkan, keyakinan dan harga diri yang baik serta hubungan kekeluargaan yang positif dapat membendung masalah kecelaruan gaya pemakanan yang tidak sihat ini.

Saturday, August 20, 2011

Cantik dengan berpuasa

Dr. Siti Mariam Yusof
marissaestheticbangi@gmail.com


BERPUASA merupakan ibadah yang sangat banyak manfaatnya . Meskipun umat Islam diwajibkan berpuasa sebagai melaksanakan salah satu Rukun Islam namun puasa juga boleh meningkatkan kecantikan dan kesihatan seseorang.

Apabila seseorang berpuasa perutnya rehat dari sebarang beban. Perut mula mengempis dan fungsi perut menjadi lebih baik lagi.

Obesiti morbid merujuk kepada mereka yang mempunyai ukur lilit pinggang melebihi 35 inci bagi wanita dan 40 inci bagi lelaki.

Kumpulan ini mempunyai risiko tiga kali ganda mengidap masalah kolestrol tinggi dan empat kali ganda risiko kencing manis. Bagi pengidap obesiti morbid banyak halangan dilalui bagi menurunkan berat badan. Ini kerana kerosakan hormon dan enzim yang teruk. Namun sepanjang bulan puasa mereka akan mendapat penurunan berat badan.

Bagi memastikan penurunan berat badan yang ketara dan berkesan sewaktu berpuasa beberapa perkara perlu diambil berat.

1) Jangan minum minuman manis sewaktu berbuka.

Oleh kerana sewaktu berbuka kita dihidangkan dengan sajian kuih muih yang pelbagai maka minuman manis harus dielakkan. Terdapat banyak gula dalam kuih muih tersebut. Kurma baik dimakan kerana mempunyai gula semula jadi yang banyak di dalamnya. Pengambilan kurma sudah tentu lebih baik daripada air manis.

2) Kurangkan kuih manis

Pengambilan kuih manis perlulah sekadar sahaja dan tidak berlebihan. Kalori tinggi disebabkan kandungan gula yang tinggi membuatkan tubuh tidak mampu melepaskan lemak yang dikandung. Mereka yang gemar makan banyak kuih sewaktu berbuka sukar kurus.

3) Makan nasi nasi sedikit sahaja

Nasi haruslah diambil dalam kuantiti yang sedikit sahaja. Pengambilan nasi yang banyak akan membuatkan seseorang menjadi semakin lapar dan sukar menyekat nafsu makan. Ini kerana nasi menyebabkan insulin dirembes dengan banyak dari kelenjar pankreas. Peningkatan insulin ini membuatkan kandungan gula turun dengan cepat dan kita kembali lapar. Insulin juga meningkatkan lemak berkumpul pada perut kita.

4) Banyakkan pengambilan sayur-sayuran

Mengambil banyak sayur-sayuran boleh meningkatkan serat dalam perut kita. Serat yang tinggi membantu membuang lemak melalui najis. Serat juga merupakan karbohidrat yang baik dan merangsang penurunan insulin sekali gus mengurangkan lemak daripada berkumpul di perut.

5) Tingkatkan pengambilan buah-buahan

Pengambilan buah-buahan yang banyak boleh meningkatkan vitamin dalam tubuh kita dan mencantikkan kitaran tenaga dalam tubuh kita.

Ini menjadikan kita segar dan bertenaga semasa puasa.

6) Bersenam setengah jam setiap hari

Meskipun berpuasa, amalan bersenam haruslah diteruskan. Berpuasa dan bersenam setengah jam setiap hari merupakan amalan menurunkan berat badan yang paling berkesan. Apabila kita berpuasa kadar metabolik semula jadi tubuh akan menurun. Ini membuatkan pembakaran lemak menjadi perlahan. Bersenam pda bulan puasa menigkatkan metabolik, menjadikan kita cepat membakar lemak.

7) Pengambilan protein yang tinggi

Mengambil makanan berprotein tinggi seperti ikan, daging merah dan telur membantu menaikkan metabolik tubuh kita. Protein akan merangsang pembakaran lemak dengan meningkatkan glukargon iaitu hormon pembakar lemak dalam darah kita.

8) Suplemen

Suplemen yang sangat perlu sewaktu puasa ialah kalsium, potasium dan zink. Pengambilan makanan suplemen ini akan menjadikan kita lebih bertenaga. Ia juga membantu fungsi hormon dan enzim yang lebih baik lagi.

Meskipun berpuasa kecantikan kulit dan keceriaan wajah haruslah dititikberatkan. Seseorang boleh meningkatkan kecantikan wajah sewaktu berpuasa dengan mengamalkan tip di bawah.

1) Pelembap wajah

Amalkan memakai pelembap wajah bagi memastikan kulit wajah tidak kusam dan kering sewaktu puasa

2) Solekan sederhana

Bersolek dengan sederhana akan menyerlah kecantikan seorang wanita dalam bulan puasa. Memakai gincu, pelembab bibir dan celak sudah mencukupi.

3) Jangan banyak tidur

Banyak tidur di bulan puasa menjadikan wajah tampak sembap dan lesu. Oleh itu lakukan aktiviti bagi mengelakkan banyak tidur.

Amalan sebegini sudah tentu akan menjadikan anda lebih jelita menjelang hari raya. Anda kini boleh tampil dengan imej yang lebih langsing dan wajah yang lebih berseri di pagi raya. Sudah tentu ini akan menjadi satu bonus buat anda yang berpuasa.

PENULIS boleh dihubungi di 03-89252334.

Bengkung sokongan perubatan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

(Dari kiri) Nor Kartini Suriati Mansor, Siti Zuraifah Sheikh Abdul Mutalib, Najibah Dasar, dan Wazlina Wahi.

SEBAGAI kakitangan dalam industri penjagaan kesihatan selama 15 tahun tahun, Wazlina Wahi, 36 menyaksikan banyak cabaran dihadapi oleh para ibu bersalin secara pembedahan.

“Takut melihat ibu yang baru bersalin secara pembedahan cuba berdiri dan bergerak ketika luka jahitan masih baru dan menyakitkan.

Dahulu saya sering menggalakkan para ibu untuk berdiri dan bergerak sebaik sahaja kesan bius hilang supaya dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

“Kami mengajar para ibu supaya menyokong bahagian perut dengan tangan ketika bergerak untuk mengurangkan rasa sakit. Namun hasilnya menyebabkan para ibu tersebut akan membongkok ketika berjalan walaupun sering ditegah berbuat demikian. Ada sesetengahnya enggan bergerak atau menyusukan anak mereka kerana tidak tahan menanggung rasa sakit,” ujarnya.

Justeru melihat pengalaman secara langsung menjaga para ibu yang bersalin melalui kaedah pembedahan menyebabkan Wazlina sentiasa mahu bersalin secara normal.

Walaupun anak pertama dapat dilahirkan secara kaedah normal, dia tidak begitu bernasib baik bagi kelahiran anak yang kedua kerana mengalami tekanan darah tinggi menyebabkan terpaksa menjalani proses pembedahan

“Hari pertama selepas pembedahan terasa teruk sekali sekali. Saya cuba mempraktikkan apa yang telah diajar iaitu untuk bangun dan bergerak sebaik sahaja kesan bius hilang tetapi memang terasa amat menyakitkan. Perut yang membengkak tersa terbuai-

buai setiap kali saya berjalan.

Proses menyusukan bayi juga menyebabkan saya menjadi letih kerana sebelah tangan perlu memangku bayi dan sebelah lagi perlu menyokong perut.

Saya sendiri hampir-hampir mengalah tiap kali tiba masa untuk menyusukan bayi, ubat penahan sakit yang diberikan doktor pun tidak banyak membantu,” luah Wazlina.

Keadaan ini turut dirasai oleh tiga lagi rakannya, Nor Kartini Suriati Mansor, Najibah Dasar dan Siti Zuraifah Sheikh Abdul Mutalib.

Mereka mencari alternatif untuk membantu mereka berdiri dengan muda dan menyokong perut mereka khususnya ketika menyusukan anak mereka.

Mujurlah mereka dikunjungi konsultan produk Design Veronique selepas pembedahan bersalin di hospital.

Setelah diukur dan diberikan saiz yang bersesuaian, saya dinasihati supaya memakai pakaian tersebut pada hari mereka akan keluar wad.

Menurut Nor Kartini, ketika mencuba pakaian sokongan tersebut, dia merasakan segala kepayahan yang dialami serta-merta hilang.

Nor Kartini dapat berdiri dengan postur yang betul, tidak lagi membongkok untuk menyokong perut yang membengkak dan menggeleber.

Pengalaman yang sama turut dirasai Siti Zuraifah dan Najibah yang tidak lagi berasa sakit ketika bergerak dan proses penyusuan bayi pun dapat dilakukan dengan lebih selesa dan dalam posisi yang betul kerana kedua-dua belah tangan dapat digunakan untuk mengampu kedudukan bayi.

Bagi mereka, pakaian sokongan Design Veronique ini sememangnya pakaian sokongan mesra pengguna.

Bukan sahaja rekaannya yang hebat dapat memberikan sokongan dan perlindungan pada bahagian luka pembedahan malahan memudahkan para ibu melaksanakan proses penyusuan bayi serta menjalani proses dalam pantang dengan lebih lancar.

Pakar Sakit Puan dan Obstetrik, Dr Zarul Azham, yang juga Pengarah Pusat Perubatan Putra, Sungai Buloh memberitahu, bengkung yang ada di pasaran tidak sesuai untuk wanita melahirkan anak menerusi pembedahan kerana fabriknya lebih keras serta menghalang pengaliran udara dan penyembuhan luka.

Jelasnya, tubuh ibu selepas bersalin akan melalui proses berpanjangan sebelum dapat kembali kepada bentuk asal.

Ini membabitkan proses seperti penyelarasan semula tulang belakang, posisi organ, kontraksi otot dan penstabilan ligamen.

Dengan adanya pakaian sokongan perubatan yang diperbuat daripada fabrik powernet, ia memberikan sokongan 360 darjah pada bahagian abdomen dan bekas pembedahan.

Selain itu, pakaian perubatan ini mendapat pengiktirafan daripada pakar perubatan sebagai satu-satunya ‘bengkung’ yang boleh digunakan ibu yang melahirkan anak menerusi pembedahan.

“Sebelum ini saya menasihatkan pesakit yang bersalin secara pembedahan supaya tidak memakai bengkung kerana dikhuatiri akan memudaratkan kesan luka. Selepas melihat pakaian sokongan dan diuji beberapa pesakit, saya melihat ia memudahkan pengudaraan dan menjadikan luka kering dan sembuh dengan cepat. Bahkan ia mendapat reaksi yang baik daripada pesakit,”ujarnya.

Dalam masa 24 jam selepas pembedahan, mereka boleh memakai pakaian sokongan perubatan bagi memberi sokongan kepada otot yang sedang meregang, sekali gus menstabilkan ligamen. Untuk maklumat lanjut, boleh hubungi Saja Ambar di talian 019-2273657.

Kawal glukosa darah

Anda perlu kerap menjalankan pemeriksaan glukosa. - Gambar hiasan

SAYA menghidap diabetes sejak lima tahun lalu. Walaupun mengambil ubat daripada doktor, namun adakalanya bacaan paras gula saya agak tinggi. Bolehkah suplemen diambil agar keadaan menjadi lebih terkawal?

Jawapan: Paras glukosa yang sederhana dalam darah penting untuk mengekalkan paras tenaga dan fungsi-fungsi tubuh lain. Bagaimanapun pengambilan makanan manis berlebihan akan menyumbang kepada masalah kesihatan.

Perubahan penting yang perlu dilakukan dalam usaha pengawalan diabetes adalah perubahan corak pemakanan dan juga gaya hidup yang lebih aktif. Perubahan ke atas kedua-dua faktor ini sangat berkesan dan terbukti ke arah pengawalan paras gula yang lebih efektif. Pengambilan makanan yang sesuai merupakan senjata utama. Pilihlah makanan yang tergolong dalam kumpulan indeks glisemik yang rendah. Indeks glisemik adalah indeks pengukuran mengenai kesan makanan yang mengandungi karbohidrat ke atas paras glukosa darah.

Makanan berindeks glisemik yang rendah akan membebaskan glukosa secara perlahan dan teratur, manakala makanan dalam kategori indeks glisemik tinggi akan menyebabkan paras glukosa darah meningkat dengan cepat. Makanan berindeks glisemik rendah lambat dicerna dan diserap, meningkatkan paras glukosa dan insulin secara berperingkat-peringkat dan telah terbukti bermanfaat kepada kesihatan, termasuklah dalam pengawalan berat badan dan mengawal selera makan dan melambatkan rasa lapar.

Kebanyakan sayur-sayuran termasuk dalam kumpulan makanan berindeks glisemik rendah seperti brokoli, bayam, tomato, timun, kacang hijau, keledek dan beberapa lagi. Manakala pengawalan pengambilan makanan dalam kategori indeks glisemik tinggi seharusnya dikawal di kalangan penghidap diabetes. Antara contohnya adalah teh tarik, nasi putih, roti putih, mi goreng, kueh teow goreng, donut dan beberapa lagi.

Pengambilan suplemen tambahan seharusnya dipilih daripada sumber yang dikaji. Antaranya ialah seperti dari herba purslane. Purslane dari spesies Portulaca Oleracea atau nama tempatannya Gelang pasir dianggap sebagai tumbuhan rumpai di sesetengah kawasan. Tumbuhan ini kerap digunakan oleh sesetengah masyarakat sebagai rawatan luaran untuk gigitan serangga dan juga dijadikan hidangan salad dan juga sup.

Berdasarkan ujian yang dijalankan, tumbuhan ini didapati memberi kesan positif dalam pengawalan glukosa darah. Hasilnya menunjukkan pengambilan ekstraknya mampu mengurangkan glycosylated haemoglobin (HbA1C) secara signifikan di kalangan subjek yang juga sedang mengambil ubat diabetes tetapi masih lemah dalam pengawalan gula darah. Ujian HbA1C ini penting untuk memberi petunjuk terhadap kawalan gula darah dalam tempoh beberapa bulan yang lepas dan ianya dikaitkan dengan petunjuk risiko penyakit kardiovaskular.

Kajian menunjukkan ekstrak herba Purslane membantu dalam metabolisme gula darah melalui beberapa cara:

l Pengambilan ekstrak herba ini didapati boleh meningkatkan pengambilan glukosa daripada aliran darah ke sel-sel.

l Modulat kepekaan sel - sel terhadap insulin

l Mengurangkan penyerapan glukosa daripada usus ke dalam aliran darah.

Mengekalkan paras gula darah dalam julat yang sihat memberi impak yang besar ke atas kesihatan seseorang. Kepada penghidap diabetes kawalan gula darah ini akan memberi kesan kepada kualiti kehidupan dan juga jangka hayat. Paras glukosa yang tidak terkawal dalam tempoh yang lama akan mengakibatkan komplikasi yang serius seperti Diabetik neuropati atau kerosakan saraf, hilang daya penglihatan, kerosakan buah pinggang dan juga kehilangan deria rasa pada kaki dan tangan.

Ozon – alternatif rawat penyakit

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Foto NOOR BAINI MASRI


TERAPI ozon kini semakin mendapat tempat di kalangan pesakit yang ingin mencuba rawatan alternatif. Ramai telah mendapat manfaat daripada terapi tersebut.

Malah, ada juga individu yang tidak berpenyakit menjalani terapi ozon semata-mata merawat darah supaya sentiasa ‘muda dan sihat’.

Dr. Rushmini Maris Ismail dari Klinik Penawar Semenyih, Selangor antara pengamal perubatan yang menawarkan terapi ozon sejak setahun lalu. Diminta mengulas lanjut tentang terapi yang bertapak di Malaysia sejak sepuluh tahun lalu, katanya, ozon merupakan bahan semula jadi yang tercipta sebagai satu khasiat daripada Allah SWT kepada manusia.

‘‘Ozon terdapat di sekeliling bumi. Ia menghalang sinar X dan bahan toksik masuk ke atmosfera bumi. Bahan ini apabila bertindak dengan ozon, maka ia akan di musnahkan.

‘‘Apabila ribut berlaku, ozon di langit akan jatuh ke laut dan sungai dan ini membantu kehidupan menjadi lebih sihat,’’ katanya.

Menurut Dr. Rushmini di dalam darah pula ozon bertindak sebagai bahan yang menghapuskan kuman dan menyegarkan sel-sel tubuh.

Menyingkap sejarah terapi ozon, katanya, ia mula digunakan sebagai kaedah perubatan pada tahun 1898 di Berlin. Kandungan ozon yang terdiri daripada tiga atom oksigen berjaya dicipta dan digunakan dengan selamat oleh seorang doktor di Berlin.

Apabila ozon masuk ke dalam darah, atom-atom oksigennya bercerai dan membentuk oksigen yang sangat tinggi serta baik bagi darah. Ia berkitar dalam darah membunuh sel-sel kuman dan memberi kesegaran kepada tisu-tisu tubuh.

Mesin ozon

Ciri-ciri mesin ozon yang terkini iaitu Eboo Safe memberi kelebihan kepada pengguna. Ia dilengkapi penapis yang mampu menyingkirkan secara langsung plak kolestrol menjadikan paras kolestrol berkurangan dan pemakanan ubat boleh dikurangkan. Umum mengetahui bahawa kebanyakan ubat anti kolestrol mempunyai kesan sampingan, oleh itu kaedah ini mampu membantu kita.

Ozon juga meningkatkan imuniti dan menjadikan sel darah lebih anjal dan mudah masuk ke tisu dalam tubuh. Ada penemuan penyelidikan mendapati ozon mempunyai pelbagai kebaikan dan langsung tiada keburukan kerana ia merupakan sejenis super oksigen yang diperlukan tubuh.

Ditanya tentang perbezaan ozon dan dialisis, Dr. Rushmini memberitahu, kedua-duanya berbeza.

‘‘Ozon bukannya rawatan pesakit buah pinggang sebaliknya sesuai digunakan oleh pesakit diabetes, obesiti, masalah kulit, imuniti dan bagi mereka yang ingin memudakan sel dalam tubuh,’’ katanya.

Di Eropah, katanya, Ozon digunakan dengan meluas bagi membersihkan air minuman. Mereka membina jana kuasa ozon yang besar kerana selain membunuh kuman, air bercampur ozon adalah selamat dan sesuai diminum.

Di Rusia pula teknologi ozon digunakan dengan luas dalam bidang perubatan. Aplikasinya sangat besar sehingga mereka menubuhkan hospital yang menggunakan ozon untuk pelbagai jenis rawatan. Penyelidikan yang berterusan adalah penting bagi membolehkan kita melihat lebih banyak potensi kebaikan rawatan ozon.

Dr. Rushmini berpeluang pergi ke beberapa negara untuk melihat amalan terapi ozon di peringkat antarabangsa. Katanya, di India dan Thailand, beliau melihat sendiri hospital dan klinik di sana mengadakan seksyen khas bagi rawatan alternatif seperti ozon, herba, akupuntur dan sebagainya.

‘‘Ini memberikan banyak pilihan kepada pengguna dan membawa kebaikan kepada pesakit,’’ katanya.

Mekanisme

Teknologi terkini sistem generator ozon perubatan membolehkan darah ditapis. Proses penapisan itu akan menyingkirkan sel lemak, kolesterol, asid urik dan bahan buangan. Hasilnya rawatan ini dengan cepat membantu menurunkan paras kolestrol dalam darah.

Prosedur

* Pemeriksaan paras gula, tekanan darah dan sejarah ringkas kesihatan pesakit diambil.

* Ubat-ubatan yang diambil seperti aspirin, warfarin, ubat jantung dan kolestrol perlu diberitahu kepada doktor sebelum memulakan rawatan.

* Branula (jarum kecil) dimasukkan ke vena kiri dan kanan. Satu sebagai tempat mengalirkan darah keluar dan satu lagi sebagai saluran darah yang diozonkan masuk ke dalam badan.

* Proses ozon dijalankan hampir sejam dan hampir satu liter darah dibersihkan.

* Proses ini selamat, berkesan, mudah dan tiada kesan sampingan.

* Selepas ozon darah diperiksa, pelanggan berehat selama 30 minit dan dibenarkan pulang.

Ingin tahu lebih lanjut tentang terapi ozon boleh hubungi Klinik Penawar di Semenyih Sentral nombor telefon 03-87234808 dan 0132448484.

Saturday, August 13, 2011

Hormon seks, kasih sayang

ZARA berusia 40-an. Pada zahirnya dia merupakan seorang wanita yang cantik dan sofistikated. Tambahan pula menyandang jawatan sebagai setiausaha sudah tentu dia seorang yang berpengetahuan luas.

Zara sangat mementingkan kerjayanya. Dia tidak kisah menghabiskan masa 12 jam sehari di pejabat. Kerjanya berkualiti dan disukai oleh ketuanya. Bagi Zara dia gemar bersendirian di pejabat bila orang lain sudah pulang. Selain menyiapkan kerja dia suka menghabiskan masa melayari Internet dan merancang aktiviti percutian dengan meneliti pakej pakej tambang murah. Apatah lagi dia belum berkahwin, itulah kebiasaan yang amat disukainya.

Zara mempunyai enam adik beradik dan mereka semua telah pun berkeluarga dan jarang mengunjungi mereka. Memada dengan bertelefon dan menghantar hadiah hari jadi sebagai tanda ingatan.

Apabila ditanya tentang perkahwinan, Zara cepat-cepat mengelak. Masalah Zara ialah dia tidak selesa berada di kalangan lelaki. Bukan dia tidak pernah bercinta den mempunyai kekasih, namun setiap kali berhubungan sudah pasti Zara akan mencari alasan supaya hubungan tersebut akhirnya tidak ke mana. Zara juga tidak mempunyai sahabat karib lantaran sikapnya yang dingin dengan sesiapa sahaja.

Begitu juga dengan adik-

beradik dan anak-anak saudara, Zara mendampingi mereka seadanya. Dia cuba membantu setakat yang boleh namun dia tidak dapat merasakan kehangatan dalam hubungan sesebuah keluarga. Dia sebaliknya gemar bersendirian. Dia sering mengambil pakej pelancongan solo bagi memenuhi hasrat hatinya yang gemar menyendiri itu. Apabila melancong bersendirian dia turut mengelak daripada berkenalan dengan ramai orang. Dia merasa jengkel apabila bertemu dengan orang yang ramah dan bertanya perihal dirinya.

Dalam kebanyakan kes seperti ini masalah nya ialah kekurangan hormon penting iaitu oksitosin (oxytocin) iaitu hormon yang dikeluarkan oleh supraoptik nuclei di hypothalamus pada otak kita. Jumlah yang dikeluarkan ialah 2 IU (international unit) setiap hari. Ibu yang menyusu anak dan bersalin boleh mencecah menghasilkan sehingga 5 dan 10 IU. Oleh itu rata-rata ibu hamil dan menyusu anak bersikap lebih penyayang dan mesra.

Tugas oksitosin

- Meningkatkan keupayaan bersosial, ikatan kasih sayang dan kemesraan antara manusia. Menjadikan seseorang mudah didampingi. Para saintis mendapati dalam kes rawatan autisme dan schizophrenia di mana pesakit menjauhkan diri dari orang lain dan hanya menyendiri maka memberi oksitosin adalah baik kerana ia meningkatkan daya bersosial.

- Meningkatkan mood yang baik, menjadikan seseorang mudah tersenyum bila bertemu orang lain.

- Mengurangkan rasa takut dan debaran bila bertemu orang lain.

- Membuka diameter salur darah memberikan lebih oksigen kepada tisu-tisu.

- Meningkatkan daya seks dan kasih sayang di kalangan pasangan.

- Meningkatkan orgasme

- Meningkatkan anabolic, IGF1 dan testosterone. Ia juga mengurangkan ACTH dan cortisol iaitu hormon yang meningkatkan lemak.

- Meningkatkan kontraksi rahim dan memudahkan proses bersalin bagi wanita.

- Memudahkan ibu menyusukan anaknya dengan meningkatkan keaktifan kelenjar susu.

- Memberi perlindungan terhadap kanser payu dara, ovari dan endometrium

- Bagi lelaki pula ia penting bagi meningkatkan daya seksual. Lelaki yang mempunyai kadar oksitosin rendah bukan sahaja anti sosial tapi mempunyai daya seks yang lemah.

Kekurangan oksitosin

Kekurangan oksitosin boleh berlaku sejak kanak-kanak mahu pun setelah dewasa. Kanak-kanak yang kurang oksitosin jarang senyum dan ketawa. Mereka menunjukkan ciri ciri autisme dan mungkin menjadi dewasa yang berciri schizophrenia.

Ciri ciri fizikal kekurangan oksitosin

- Tidak gemarkan aktiviti berinteraksi dengan orang lain.

- Semasa kecil lagi tidak mampu menjalankan tugas secara berpasukan.

- Tidak mahu berkahwin dan jika berkahwin, perhubungan itu kurang membahagiakan. Ada yang membawa kepada perceraian.

- Tidak mempunyai sahabat karib atau hanya beberapa sahabat lama sahaja. Enggan mencipta persahabatan baru.

- Gemar bersendirian dan enggan mengambil tahu hal orang lain.

- Jarang tersenyum.

- Tidak berasa perasaan romantik dalam perhubungan cinta.

- Wajah kepucatan

- Tidur terganggu

- Paranoid, mengesyaki bahawa orang lain sentiasa berniat buruk.

Rawatan meningkatkan paras oksitosin memberi kesan yang sangat baik terhadap kesihatan. Ia juga membantu seseorang berubah sikap menjadi lebih positif dan ceria dalam kehidupan. Ia boleh diambil secara suntikan mahupun pil.

Secara semula jadi oksitosin meningkat apabila kita bersentuhan dengan orang yang disayangi dan sahabat handai. Sikap memeluk, mencium dan membelai meningkatkan oksitosin. Selain memberi keceriaan, banyak kebaikan oksitosin kepada tubuh badan dan jantung kita. Patutlah oksitosin sering dinamakan hormon kasih sayang.

PENULIS boleh dihubungi di 03-87234808 dan 0132448484.

Rawatan eksklusif tabib Cina

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto HAYAT SUEET

Pengamal perubatan Jia Hui Feng, memeriksa nadi untuk mengenal pasti penyakit dan ketidakseimbangan yang berlaku dalam tubuh pesakit.

KEBERKESANAN perubatan tradisional Cina sememangnya telah diperakui sejak berkurun lamanya. Sehingga kini, biar pun begitu banyak rawatan moden yang ada, masih ramai yang mencari Tabib Cina untuk memulihkan penyakit yang mereka hadapi.

Selain bertujuan merawat, perubatan jenis ini juga dipercayai merupakan amalan yang baik sebagai langkah preventif dalam usaha mencapai kesejahteraan hidup.

Pusat Perubatan Komplimentari dan Tradisional Cina (TCM) yang terletak di Hotel Wellness Mines mungkin antara lokasi sesuai buat mereka yang ingin mencuba perubatan berusia 5,000 tahun itu.

Menawarkan sebuah tempat rawatan alternatif dalam suasana eksklusif pertama di Malaysia, ia memiliki 18 buah bilik bilik terapi untuk individu dan pasangan, bilik pengamal perubatan Cina, kaunter herba, farmasi, lounge bacaan, bilik VIP dan galeri. Secara keseluruhannya, boleh dikatakan ia bukan sahaja sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan rawatan, malah boleh dijadikan pusat terapi di bawah satu bumbung bagi keselesaan pengunjung.

“TCM diasaskan oleh Tan Sri Lee Kim Yew sejak 2008 lagi. Kami mempunyai empat pengamal perubatan bertauliah yang mana tiga daripadanya didatangkan khas dari China,” kata Timbalan Pengurus Besar Golden Horses Health Sanctuary (GHHS), Tay Chee Kim.

GHHS merupakan bahagian yang menguruskan perkhidmatan kesihatan di bawah syarikat tersenarai di bursa, Country Heights Holding Berhad.

Menjelaskan lebih lanjut kata beliau, perubatan tradisional Cina percaya kepada konsep keseimbangan dan keharmonian tenaga Yin dan Yang, yang berfungsi secara holistik merangkumi tubuh badan, semangat dan rohani. Perubatan jenis itu juga katanya mengaitkan lima elemen alam iaitu tanah, api, air, angin dan besi dengan lima sistem organ utama tubuh.

Seandainya kesemua keseimbangan ini dicapai, seseorang itu mampu hidup secara sihat dan sejahtera untuk tempoh lebih lama.

Terapi

Menurut Chee Kim, bukan sahaja untuk mereka yang berpenyakit, kebanyakan terapi alternatif yang ditawarkan di TCM sebenarnya sangat bermanfaat dalam usaha pencegahan penyakit ke arah hidup yang lebih sihat.

Bagi pengunjung yang ingin mendapatkan perubatan tradisional Cina secara terperinci katanya, mereka akan dibawa bertemu pengamal perubatan untuk diagnosis dengan cara pembacaan nadi.

Melalui pembacaan nadi, sebarang keganjilan dan ketidakseimbangan yang berlaku pada seluruh tubuh dapat dikenalpasti.

“Biasanya, sesuatu penyakit itu mengambil tempoh 10 tahun untuk berkembang. Jadi dengan analisis awal, sekurang-kurangnya kita dapat elak melalui preskripsi yang diberi oleh pengamal perubatan Cina,” katanya.

Menurutnya, setiap rawatan yang diberi kepada pesakit berbeza bergantung kepada keadaan mereka. Jika individu itu didiagnos berpenyakit, dia akan diberi ubat herba dan disyorkan menjalani terapi tertentu yang berfungsi membuka kembali sekatan terhadap ‘qi’ (tenaga) dan mengembalikan kesihatan seperti sedia kala.

Antara perkhidmatan yang disediakan mendapat sambutan ramai di TCM adalah rawatan akupuntur tradisional Cina yang dilakukan oleh pengamal berpengalaman dari Beijing, Jia Hui Feng.

Selain itu penjagaan kiropraktik dan moxibustion (pengasapan menggunakan herba) turut mendapat sentuhan pakar Huing Yi yang juga didatangkan khas dari negara itu.

Pengunjung juga boleh mencuba terapi badan Tui-Na, refleksologi dan juga rendaman kaki herba.

Lain-lain rawatan alternatif yang ditawarkan adalah Ba Guan (bekam menggunakan cawan kaca), Gua Sha (terapi gores) dan juga kaedah Qiaodanjing yang merangsang penyerapan nutrien, memperbaiki jus hempedu serta penghasilan darah dalam badan. Terdapat juga kelas senaman QiGong yang menghimpunkan sains dan seni penggunaan teknik bernafas, pergerakan lembut dan meditasi untuk mencuci, menguat serta melancarkan ‘qi.’

Kata Chee Kim lagi, kesemua rawatan yang dijalankan masih mengekalkan kaedah tradisional termasuk akupuntur menggunakan jarum konvensional dan bekam dengan cawan yang dipanaskan.

Selain untuk kesejahteraan dan perubatan, TCM turut menawarkan program pengurusan berat badan yang menawarkan pakej istimewa termasuk penginapan selama lima hari empat malam di Hotel Wellness Mines.

Program ini bukan sahaja bertujuan mendapatkan berat badan yang ideal malah ia juga baik untuk awet muda kerana merangkumi rawatan akupuntur, pengambilan sup sayur organik yang bernutrien tinggi dan juga beberapa rawatan terapi semula jadi bagi membuang toksin dari dalam badan.

Pastinya mengunjungi TCM mampu memberi rawatan yang sesuai untuk anda kerana ia disediakan berdasarkan keperluan tubuh individu melalui diagnosis yang dilakukan.

Kekalkan pemakanan sihat

BERPUASA dengan mencegah diri daripada mengambil makanan melebihi 12 jam membolehkan organ penghadaman berehat dan lebih perhatian diberikan untuk proses pembersihan dan penggunaan simpanan lemak bagi menghasilkan tenaga yang diperlukan oleh badan.

Dengan kata lain, puasa membantu menggunakan lemak badan yang telah lama tersimpan, menggalakkan proses detoksifikasi, mengawal berat badan dan meringankan sesetengah penyakit seperti diabetes dan kolesterol.

Semasa Ramadan, kita tidak terlepas daripada masalah penghadaman termasuklah kembung perut, cirit-birit, perut berangin dan sembelit, yang sering mendatangkan ketidakselesaan dan mengganggu aktiviti harian.

Perubahan corak pemakanan mungkin menyebabkan masalah kesihatan pada sesetengah individu seperti pengambilan makanan yang pelbagai dan dalam jumlah yang banyak terutamanya semasa berbuka puasa.

Keracunan makanan pula kerap berlaku akibat aspek kebersihan yang tidak dititikberat terutamanya semasa proses penyediaan makanan.

Tambahan pula, masyarakat kini lebih cenderung untuk membeli makanan daripada luar yang belum terjamin kualiti dan kebersihannya.

Makanan yang terdedah atau telah lama dimasak akan mendedahkan pengguna kepada masalah keracunan makanan.

Sebagai kesannya, seseorang itu mungkin akan mengalami cirit-birit, muntah-muntah atau sakit perut.

Cirit-birit juga boleh berlaku disebabkan oleh kekurangan enzim laktase, alahan kepada makanan tertentu, jangkitan akibat daripada makanan yang tercemar dan pengambilan antibiotik.

Dr. Abdul Malik memberitahu, keracunan makanan menyebabkan gangguan gastrousus kepada seseorang setelah memakan makanan (minuman) yang tercemar.

Walaupun baru dua minggu umat Islam berpuasa, beliau sudah menerima banyak kes keracunan makanan.

“Kebanyakan mereka sedar mengalami simptom seperti muntah dan cirit-birit selepas menjamah makanan yang dibeli di luar untuk berbuka puasa. Justeru itu, saya meminta orang ramai agar berhati-hati membeli makanan.

“Elakkan makanan berminyak dan bergoreng terlalu banyak ketika berbuka puasa kerana ia boleh menganggu penghadaman. Jika anda mengalami tanda-tanda masalah penghadaman, sila berjumpa dengan doktor.

“Keracunan makanan yang serius misalnya, boleh menyebabkan air dalam badan kering. Akibatnya, badan menjadi letih dan lemah,” ujarnya.

Pigmentasi tidak boleh dirawat

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto ABDUL NAZIR MOHAMED

Pakai topi dan krim pelindung matahari terutama jika melakukan aktiviti di pantai.

MEMBACA tajuk ini pasti membuatkan pembaca keliru kerana begitu banyak rawatan terkini yang menjanjikan masalah kulit yang satu ini mampu diatasi.

“Sebenarnya ia tidak boleh dirawat walaupun secanggih mana teknologi yang digunakan. Pigmentasi hanya boleh dikurangkan atau dihalang kemunculannya,” kata Pakar Kulit, Dr. Koh Chuan Keng dalam satu sesi temu bual anjuran produk penjagaan kulit, Bio-Oil baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai pigmentasi, Dr. Koh yang juga merupakan Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia berkata, ia terbentuk akibat aktiviti melasma berpunca daripada tindakan hormon yang merangsang sel melanin pada kulit. Selain hormon, faktor genetik juga mempengaruhi masalah itu.

Menurutnya, 90 peratus wanita memiliki melasma dan pigmentasi mungkin berwarna sedikit cerah pada awalnya namun ia bertukar menjadi lebih gelap sejajar dengan pertambahan usia.

Tambahnya lagi, lelaki kurang terdedah kepada masalah pigmentasi kerana hormon.

“Wanita mempunyai estrogen semulajadi yang meningkat ketika mengandung dan terdedah kepada matahari. begitu juga wanita yang mengambil pil kontraseptif mengandungi estrogen menyebabkan mereka terdedah kepada masalah pigmentasi,” katanya.

Selepas bersalin, melasma akan hilang (dengan penyusuan badan yang berterusan), namun kadangkala ia kekal pada kulit. Sesetengah wanita mendapati masalah pigmentasi menjadi lebih serius selepas mengandung.

Pancaran matahari yang mengandungi ultra ungu kata Dr. Koh membuatkan pigmentasi semakin teruk. Wanita Asia, katanya terutama di negara dengan cuaca tropika lebih terdedah kepada jeragat berbanding wanita Barat.

“Namun mereka yang berkulit gelap seperti di negara Afrika tidak terdedah kepada masalah ini kerana kulit tiada melasma,” katanya.

Jelas beliau, sebenarnya masalah pigmentasi sudah bermula sejak dari kanak-kanak lagi namun ia terbina di bahagian dalam kulit. Seandainya individu tersebut menghabiskan masa remaja dengan banyak berjemur di bawah pancaran matahari, maka ia membuatkan melasma bertambah aktif dan pigmentasi akan muncul seawal usia itu.

Lebih mengecewakan, ia tidak terbentuk secara sekata. Sebaliknya bertompok-tompok pada bahagian tertentu terutama di bahagian dahi, atas pipi, hidung, atas bibir atau dagu.

Kebiasaannya masalah pigmentasi berlaku pada seseorang sekitar usia 30 hingga 45 tahun.

Anda tidak boleh mengawal paras hormon ketika ini kata Dr. Koh, namun anda boleh melindungi daripada pancaran cahaya ultra ungu sekaligus mengurangkan kemunculan pigmentasi dengan cara mengurangkan aktiviti di luar dan juga pemakaian bahan yang mampu melindungi daripada sinarannya.

Pendedahan terhadap ultra ungu bukan sahaja menggalakkan pembentukan pigmentasi, malah ia juga boleh mengundang kepada kanser kulit. Namun keadaan itu mengambil tempoh yang agak panjang.

Satu lagi perkara yang mengelirukan pelanggan kata Dr. Koh, rawatan laser sebenarnya tidak berkesan mengatasi masalah pigmentasi. Malah keberkesanannya kadangkala jauh lebih rendah berbanding krim pencerah.

Elak pigmentasi dengan cara:

1. Sapu krim atau losyen pelindung yang mempunyai SPF (sunblocks) yang mengandungi UVB (menghalang punca pigmentasi) dan UVA. Ramai masih keliru dengan cara krim pelindung bertindak. Anda sepatutnya menyapu krim setiap tiga jam sekali seandainya terdedah kepada pancaran matahari kerana ia mudah diserap oleh kulit. Kadar SPF paling tinggi hanya sehingga 50. Mereka yang berkulit lebih cerah patut memilih krim dengan SPF lebih tinggi.

2. Penggunaan krim mengandungi hidrokuinon boleh membantu namun ia perlu di bawah pengawasan dan bukannya produk yang boleh dibeli di kaunter.

3. Pakai topi dan pakaian bertutup sekiranya perlu berada di bawah pancaran terik matahari.

Mengenai Bio-Oil

Bio-Oil adalah minyak penjagaan kulit yang membantu menangani kemunculan parut, regangan dan warna kulit yang tidak sekata. Ia juga berkesan untuk menghalang kulit menjadi kering dan kedut akibat pertambahan usia.

Bio-Oil memenangi pelbagai anugerah dan merupakan produk ulung penjagaan kulit meregang dan parut di 11 buah negara sejak ia diperkenalkan pada 2002.

Nafas berbau ketika puasa

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto WAHIDIN SALIM

ANDA perasan ramai yang cuba mengelak untuk bercakap dengan anda. Jika ada sekali pun, mereka seperti menjauhkan muka. Apa yang tidak kena dengan anda?

Cuba tekup tangan di depan mulut dan hembus. Sedarkah anda dengan bau nafas yang kurang menyenangkan? Atau mungkin anda boleh mencuba bertanya insan paling rapat sama ada nafas anda berbau untuk mendapatkan jawapan yang jujur.

Sememangnya masalah nafas berbau sukar ditepis ketika berpuasa. Pasti ramai yang ingin tahu mengapa ia berlaku sedangkan kita tidak makan dan sudah memberus gigi sejurus selepas bersahur pagi tadi.

Pakar Pergigian dari Pusat Perubatan Iheal, Dr. Nazli Haffiz berkata, masalah nafas berbau atau halitosis merupakan perkara biasa bagi mereka yang berpuasa disebabkan beberapa punca.

“Punca utama antara 80 hingga 90 peratus disebabkan keadaan dalam mulut itu sendiri yang tidak dibersihkan dengan betul sehingga memudahkan pembiakan bakteria yang menghasilkan bau,” kata beliau.

Selain itu katanya, makanan yang kita ambil seperti bawang putih, bawang merah, keju, susu, daging dan sebagainya turut menyumbang kepada masalah itu. Lain-lain punca adalah penyakit di saluran respiratori, masalah dalam perut, diabetis, jangkitan sinus, penyakit hati dan buah pinggang.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, masalah nafas berbau menjadi lebih kronik ketika berpuasa disebabkan rembesan air liur kurang dihasilkan kerana kita tidak makan. Menurutnya, air liur adalah bahan pembilas mulut semulajadi.

“Ia membilas mulut anda sepanjang masa dan dengan ini secara tidak langsung membuang cebisan kecil makanan dari permukaan licin gigi. Semasa tidur, rembesan air liur juga kurang. Sebab itu kita mendapat bau mulut yang kurang enak apabila bangun tidur. Selain itu, kekurangan rembesan air liur menyebabkan air liur menjadi likat, susah untuk membilas mulut, menjadikannya kurang oksigen dan menyebabkan pembiakan bakteria anaerob di dalam mulut,” katanya.

Cara mengurangkan nafas berbau:

1. Berus gigi, lidah dan gusi.

Memberus gigi sahaja tidak mencukupi kerana bakteria turut berada di bahagian lidah dan gusi. Pastikan lidah diberus sehingga ke pangkal kerana ia merupakan tempat pembiakan bakteria punca nafas berbau plaing ideal. Gunakan benang flos untuk mengeluarkan sisa makanan di celah gigi. Masa dan teknik memberus tidak penting kerana gigi individu berbeza antara satu sama lain. Yang penting, anda sendiri boleh merasakan sama ada ia bersih atau tidak. Beli cermin khas untuk melihat keadaan gigi bahagian dalam bagi memastikan gigi diberus dengan sebersihnya. Penggunaan ubat kumur juga tidak membantu dalam mengatasi masalah nafas berbau.

2. Elak mengambil makanan berbau

Kurangkan pengambilan makanan seperti bawang, bawang putih, keju, susu, daging dan telur. Berus gigi dengan betul selepas menikmati makanan sebegini. Elakkan juga makanan berbau kuat seperti petai dan sebagainya.

3. Kurang bercakap

“Kalau dalam Islam sendiri pun, Nabi berpesan supaya kita kurangkan bercakap bagi mengelak berkata perkara yang tidak baik. Seeloknya ia diamalkan ketika berpuasa bagi mengurangkan masalah nafas berbau,” kata Dr. Nazli.

Apabila seseorang itu banyak bercakap tetapi tidak makan dan minum, air liurnya akan cepat mengering.

4. Berjumpa doktor

Masalah nafas berbau yang berlaku walaupun gigi sudah dibersihkan dengan sebaik mungkin berpunca daripada masalah pada gigi atau gusi. Sila berjumpa doktor untuk mengenalpasti puncanya.

Gastrik punca pedih ulu hati?

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

PERNAHKAH anda tiba-tiba berasa sakit pada bahagian bawah dada yang kemudiannya terus naik ke leher?

Anda juga secara tiba-tiba dapat merasai makanan yang baru saja dimakan seakan-akan naik ke tekak atau ada cecair agak pahit terutama apabila anda membongkokkan badan.

Awalnya anda menganggap simptom itu disebabkan berpuasa, tetapi kemungkinan gejala yang dikenali sebagai pedih hulu hati atau gastro oesophageal reflux disease (GERD).

Ia juga menjadi salah satu ketidakselesaan yang sering dialami oleh wanita hamil akibat peningkatan paras hormon estrogen dan progesteron.

GERD atau juga dikenali Asid Reflux Disease merupakan satu keadaan yang mana kandungan asid di dalam perut masuk semula ke dalam saluran pemakanan (esofagus).

Persoalannya, meskipun ia hanyalah satu keadaan, apakah yang membimbangkan berhubung masalah pedih hulu hati ini?

“Penghasilan asid yang terlalu banyak dalam jangka masa yang lama menyebabkan seseorang individu mendapat GERD. Asid ini akan menyebabkan sel-sel antara saluran pemakanan dan perut lemah kerana asid telah menembusi masuk ke saluran pemakanan,” ujar Pakar Perubatan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Selangor, Dr. Abdul Malik Jamil Buhari.

Selain itu, sfinkter iaitu injap atau otot-otot khas yang juga dikenali sebagai lower esophageal sphincter (LES) di penghujung saluran pemakanan tidak berfungsi dengan baik.

LES akan terbuka ketika makanan ditelan untuk dihantar terus ke dalam perut.

Otot-otot ini akan tertutup semula bagi mengelakkan makanan atau asid dalam perut yang tertolak semula ke dalam saluran pemakanan.

Otot LES yang lemah atau gagal berfungsi dengan baik menyebabkan asid perut naik mengakibatkan individu terbabit mengalami pedih hulu hati.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi tahap keseriusan dan kekerapan pedih hulu hati iaitu keupayaan otot-otot LES untuk terbuka dan tertutup dengan sempurna.

Gastrik

“Gastrik juga menjadi punca utama pedih ulu hati kerana berlakunya ulser dalam perut. Keadaan lebih rumit apabila mereka yang berpuasa menghidap gastrik.

“Sekiranya, pesakit tidak menghidap gastrik, berpuasa tidak akan menyebabkan GERD yang serius. Malah ia baik untuk membantu merehatkan fungsi sistem perut,” katanya.

Dalam pada itu, ramai yang beranggapan makanan punca gastrik dan mereka tidak tahu bahawa 80 peratus punca gastrik berlaku kerana bakteria helicobacter pylori sudah lama berada dalam perut.

Bakteria ini diperolehi daripada tanah yang mungkin diperoleh oleh seseorang apabila bermain di tanah semasa kecil.

Lama-kelamaan bakteria bertindak balas dengan asid di dalam perut sehingga menyebabkan gastrik. Secara tidak langsung, gastrik boleh menyebabkan rasa pedih ulu hati.

Rawatan GERD

Dr . Abdul Malik menasihatkan orang ramai berunding dengan pakar kesihatan jika mempunyai simptom-simptom GERD untuk menentukan sama ada anda memerlukan ubat.

Ini termasuklah kaedah ubat-ubatan yang dapat mengekang asid atau mengetatkan sempadan antara perut dan saluran pemakanan melalui kaedah pembedahan.

“Meskipun ia tidak dapat dicegah, namun risikonya boleh dikurangkan dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Ini termasuklah mengurangkan jumlah makanan, masa atau jenis makanan yang dimakan.

Mereka yang mempunyai tanda GERD khususnya yang berpunca daripada gastrik perlu mengurangkan pengambilan kopi dan teh. Kedua-dua minuman ini akan menyebabkan LES lemah dan mudah terbuka.

Selain itu, kurangkan makanan bergoreng atau berlemak kerana ia lambat dicernakan berbanding karbohidrat dan protein.

Makanan yang tersimpan akan menghasilkan lebih banyak asid dalam perut.

Penghadaman & pedih ulu hati

SETELAH lebih dua minggu berpuasa, umat Islam kini menghampiri penghujung Ramadan. Begitu pantas masa berlalu, meninggalkan mereka yang alpa dengan tibanya minggu terakhir berpuasa.

Tumpuan Kesihatan minggu ini membincangkan masalah yang berlaku semasa berpuasa kebanyakan berpunca daripada pengambilan makanan.

- Masalah sistem penghadaman boleh bermula dari esofagus, perut, usus kecil mahupun usus besar.

- Untuk masalah sistem penghadaman di bulan puasa, biasanya ia melibatkan bahagian esofagus, perut dan usus besar.

- Kandungan asid perut berlebihan boleh menyebabkannya naik ke esofagus dan membawa kepada rasa sakit atau panas di bahagian dada (heart burn) atau pedih ulu hati .

- Jumlah asid perut yang tinggi mahupun penyakit refluks asid juga boleh menolak asid jauh ke atas, sehingga ke dalam mulut.

Saturday, August 6, 2011

Segar walaupun berpuasa

Soalan: Sebagai lelaki saya perlu kelihatan sentiasa segar lebih-lebih lagi pekerjaan saya memerlukan banyak aktiviti luar.

Namun, di bulan puasa ini, saya sering berasa lemah. Ada yang berpendapat bahawa perokok tegar akan lebih lemah semasa berpuasa. Benarkah hal ini? Adakah cara lain untuk menambah tenaga selain bersahur? Perlukah saya mengambil suplemen?

JB, Perak.

Saudara JB,

Terima kasih atas soalan saudara. Ada beberapa perkara dibangkitkan oleh saudara. Saya akan cuba menjawabnya satu persatu. Pertamanya mungkin agak kurang tepat untuk mengatakan hanya lelaki perlu kelihatan sentiasa segar kerana kaum wanita pun perlu kelihatan dan sentiasa 'segar' iaitu sihat sejahtera, fizikal, mental, sosial dan spiritual. Di awal puasa, kebanyakan orang yang tidak pernah melatih diri mereka berpuasa akan merasakan keletihan. Tetapi yakinlah bahawa dengan berpuasa kita akan menjadi lebih sihat kerana telah banyak bukti saintifik berkenaan kebaikan berpuasa terhadap kesihatan kita. Keadaan keletihan tidak hanya berlaku kepada perokok tegar seperti saudara tetapi baguslah jika saudara sedar kesan negatif rokok dan mula menanam azam untuk berhenti sepenuhnya bermula bulan Ramadan yang mulia ini. Yakinlah juga bahawa rokok akan memberi saudara banyak masalah kesihatan dikemudian hari.

Keletihan yang teruk mungkin berlaku bagi pengidap diabetes mellitus disebabkan kandungan gula dalam darah yang sangat rendah. Jika kandungan gula sangat rendah, pesakit diabetes mellitus perlu berhenti berpuasa dan perlu semak dos ubat-ubatan yang diambil. Mereka juga perlu menjaga pemakanan. Sebenarnya tidak ada cara yang khusus untuk saudara menambahkan tenaga kecuali dengan memastikan keseimbangan pemakanan dan aktiviti harian yang saudara lakukan.

Jangan jadikan puasa alasan untuk tidak menjalankan kerja dengan lebih baik kerana berpuasa akan memberikan saudara peluang untuk lebih fokus terhadap kerja yang diberikan dan mempunyai lebih masa kerana tidak perlu makan tengahari atau pun mengambil masa rehat. Bahkan saudara sepatutnya menjadi lebih produktif di bulan Ramadan ini.

Jika saudara tidak mempunyai masalah selera makan, pengambilan suplemen adalah tidak perlu. Pastikan makanan yang diambil berkhasiat dan seimbang dari segi karbohidrat, protein, mineral dan sebagainya, atau dengan kata lain ambillah nasi dengan kadar yang perlu di samping banyakkan mengambil ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan air. Selamat berpuasa dengan bertenaga dan semoga bulan Ramadan ini menjadi titik tolak saudara membuang tabiat merokok.

Denyutan Lampu Impuls membuang bulu

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

PROSES IPL yang hanya mengambil masa kurang daripada 15 minit dilakukan

MEMBUANG bulu yang tidak diperlukan di tubuh bukan hanya soal stailo atau trend, sebaliknya ia adalah keperluan bagi sesetengah golongan. Tidak dinafikan, ada juga yang selesa menyimpan bulu - bulu di badan mereka.

Dari aspek kebersihan juga, bulu dan helaian rambut di tubuh perlu sentiasa bersih dan dirapikan untuk mengelak rasa kurang selesa orang yang berdampingan dengan kita.

Jika sebelum ini pengalaman mencabut bulu menggunakan proses melilin atau laser yang menyakitkan, kini anda mempunyai pilihan menerusi Denyutan Lampu Impuls atau dikenali sebagai Intense Pulsed Light (IPL),

IPL merupakan rawatan pengurangan bulu dan kekal sehingga dua tahun.

Berteraskan moto kebersihan, kepantasan dan kualiti, salun waxing (pelilinan), Strip menawarkan perkhidmatan kaedah terkini IPL.

IPL merupakan kaedah pengurangan dan pembuangan bulu atau rambut separa kekal yang menggunakan penapisan saluran cahaya impuls untuk meluluhkan bulu dari akar.

Kaedah ini akan melambat pertumbuhan semula bulu dan terdapat juga sebahagian bulu yang tidak akan tumbuh kembali.

Dalam pada itu, ia akan membantu memutihkan pigmentasi kulit serta mengurangkan masalah pertumbuhan bulu dalam kulit.

Rawatan ini dilihat jauh lebih selesa dan tidak sama dengan kaedah pembuangan bulu laser.

IPL merupakan tenaga haba yang dihasilkan oleh lampu spektrum lebar manakala laser ialah tenaga haba dihasilkan melalui titik fokus tenaga lampu.

"Jangka masa rawatan IPL juga pantas kerana setiap denyutan lampu impuls dapat meliputi kawasan permukaan yang besar. Sebaliknya laser lambat kerana setiap pancaran laser hanya boleh meliputi kawasan permukaan yang kecil.

"Jika masa adalah terhad, maka kaedah IPL merupakan kaedah yang paling sesuai. Ini kerana melalui siri rawatan yang ditetapkan, pertumbuhan semula bulu akan menjadi lemah malah ia boleh menghasilkan keadaan bebas bulu untuk jangka masa dua tahun atau lebih," Pengurus Kumpulan Perhubungan Awam, Strip Ministry of Waxing, Janet Lim.

IPL boleh dilakukan pada hampir semua permukaan kulit seperti di bahagian kaki, bahagian peribadi (Brazilian), bahagian belakang, bawah lengan, tangan malah di bahagian atas bibir (10 sesi diperlukan untuk rawatan pengurangan bulu di muka).

Dengan adanya rangkaian 31 stor perniagaan seluruh dunia, Strip telah mengendalikan lebih dari 500,000 rawatan IPL yang merupakan hak milik Strip dan telah diubah suai untuk menjamin keselesaan dan keberkesanan maksimum terhadap pelanggan.

Bebas sakit lutut

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

SECARA umumnya, tanda-tanda seseorang mengalami koyakan pada meniskus selepas sesuatu kecederaan adalah kesakitan pada sendi lutut , kebengkakan pada lutut (mungkin tidak ketara pada peringkat awal) dan kesukaran melakukan pergerakan penuh pada lutut tersebut.

Osteoartritis ditakrifkan sebagai kerosakan atau degenerasi pada permukaan rawan pada sendi - sendi yang mengalami proses penipisan rawan.

Permukaan rawan yang nipis ini lama-kelamaan akan merekah dan membentuk lurah-lurah dan pada waktu ini geseran permukaan sendi akan bertambah menghasilkan bunyi getaran atau krepitus (bunyi meretih) dari sendi tersebut.

Tanda-tanda yang dialami merupakan kesakitan terutamanya apabila bergerak atau berjalan, kebengkakan yang datang dan pergi, dan kekakuan atau kesukaran menggerakkan sendi lutut sepenuhnya seperti kesukaran melakukan solat secara sempurna (duduk di atas lantai).

Rawatan diklasifikasikan sebagai rawatan konservatif dan rawatan pembedahan . Rawatan secara konservatif termasuklah:

* Mengelakkan pergerakan berlebihan pada lutut , atau rehatkan lutut (sementara)

* Menggunakan ais untuk membantu mengurangkan kesakitan dan kebengkakan

* Mengambil ubat penahan sakit sekiranya tiada kontraindikasi

* Mengambil ubatan glucosamines dan chondroitin bagi membantu memulihkan kondisi rawan (tetapi ia tertakluk kepada tahap kerosakan rawan tersebut)

* Fisioterapi bagi menguatkan otot-otot paha dan betis, dan menyelaraskan pergerakan lutut

* Menggunakan tongkat bagi mengurangkan impak ke atas lutut yang cedera

* Menyuntik ke dalam lutut dengan pelincir tiruan atau hyaluronic acid sebanyak tiga hingga lima kali, bagi membantu melincirkan kembali lutut .

Rawatan seterusnya adalah rawatan pembedahan yang dicadangkan kepada pesakit setelah rawatan konservatif tidak memberikan kesan yang positif.

Pembedahan yang dimaksudkan adalah pembedahan secara artroskopi ke dalam lutut menggunakan teleskop dan sistem kamera untuk meneropong ke dalam lutut untuk melihat segala patologi atau kerosakan lutut seperti yang digambarkan di atas.

Bagi meniskus yang koyak, (bergantung kepada keadaan koyakan tersebut) meniskus yang koyak sedikit, boleh dijahit semula. Akan tetapi untuk koyakan yang kompleks atau koyakan secara degenerasi perlu dinipiskan menggunakan alatan mudah secara artroskopi tanpa perlu pembedahan luka yang besar.

Proses pembedahan ini dianggarkan boleh mengambil masa setengah jam hingga satu jam mengikut keseriusan kecederaan.

Pada masa yang sama permukaan rawan pada tulang boleh juga dilihat dengan jelas melalui kamera artroskopi dan rawatan sementara bagi memperlahankan proses kerosakan rawan boleh dijalankan.

Pembedahan artroskopi adalah amat mudah sehinggakan ia dijalankan secara 'Daycare' di beberapa hospital tertentu, dan bius perlu digunakan bagi memudahkan pembedahan ini dijalankan.

Harus difahami bahawa proses degenerasi adalah satu proses yang berterusan selagi sendi terus digunakan, oleh itu rawatan-rawatan yang tersebut di atas merupakan rawatan pemulihan sementara dan memperlahankan proses kerosakan rawan.

Penjagaan berterusan diperlukan agar tidak berlaku kerosakan pada tahap kritikal yang mana pada tahap ini, hanya rawatan pembedahan major boleh memulihkan sendi semula contohnya pembedahan penggantian sendi lutut secara total.

Jenis sakit lutut

* Artritis degeneratif

Pergerakan lutut yang kerap akan menyebabkan kerosakan progresif pada tulang, tendon dan rawan lutut . Kemerosotan sendi boleh mengakibatkan permukaan tulang yang terletak bersebelahan bergesel lalu menyebabkan sakit yang amat sangat.

Rawatan tanpa pembedahan yang paling berkesan untuk memulihkan penyakit osteoartritis ialah manipulasi kiropraktik di bahagian lutut , pinggul dan tulang belakang, senaman menguatkan tulang dan otot dan mengambil makanan tambahan yang dikenal sebagai glukosamina sulfat.

* Ligamen terseliuh

Ligamen yang koyak sedikit dan koyak sederhana dapat dirawat dengan berkesan melalui kaedah konservatif (gabungan rawatan kiropraktik dan fisioterapi).

Dalam kes ligamen yang koyak teruk, pembedahan kadangkala perlu dilakukan di samping rawatan kiropraktik dan fisioterapi.

* Bursitis dan tendenitis

Penggunaan lutut secara berlebihan melalui senaman memusing, menendang atau membengkokkan kaki boleh menyebabkan bursa (kantung berisi cecair yang berfungsi sebagai kusyen) dan tendon lutut mengalami radang dan menyebabkan berlakunya bursitis dan tendinitis.

Rehat, senaman menguatkan otot dan tulang serta rawatan kiropraktik dapat memulihkan keradangan pada bursa dan tendon lutut dengan cepat.

* Meniskus koyak

Pergerakan memusing dan pemampatan lutut yang berulang-ulang dan tiba- tiba boleh menyebabkan meniskus koyak. Melompat atau menaiki tangga akan menyebabkan lutut anda sakit sekiranya anda menghadapi masalah meniskus koyak. Bahagian meniskus tidak mempunyai saluran darah yang cukup dan oleh yang demikian, bahagian ini lambat pulih. Pembedahan biasanya perlu dilakukan untuk memulihkan meniskus yang rosak.

Spirulina semasa berpuasa

Buat masa sekarang saya mengambil kalsium dan vitamin C setiap hari. Namun sempena puasa saya ingin amalkan spirulina semasa bersahur. Saya juga ingin berikan spirulina kepada semua termasuk anak-anak memandangkan ia dikatakan baik untuk tenaga dan juga manfaat untuk kesihatan tubuh yang lain.

Jawapan: Semasa kita berpuasa kita masih perlu melakukan aktiviti harian seperti biasa. Sekiranya kita seorang pekerja, kita perlu kekalkan kecergasan fizikal untuk membolehkan kita melakukan aktiviti fizikal mahupun pergerakan biasa, selain perlukan tahap kewaspadaan dan kemampuan berfikir yang optimum untuk meneruskan kerja-kerja harian.

Bagi anak-anak yang berpuasa, kebanyakan daripada mereka berada di bangku sekolah atau sedang belajar, di mana kecerdasan mental dan fizikal sangat penting untuk membolehkan mereka menumpukan kepada pelajaran di dalam kelas mahupun aktiviti luar darjah. Oleh yang demikian, mengekalkan pengambilan makanan yang sihat dan mencukupi sangat penting untuk semua golongan untuk meneruskan aktiviti masing-masing.

Pengambilan spirulina telah memberi manfaat kepada berjuta orang sejak berabad lamanya. Apabila merujuk sejarahnya, spirulina yang tergolong dalam katogeri alga hijau kebiruan ini menyimpan kekayaan zat yang sukar ditandingi oleh makanan semula jadi lain yang membolehkannya kekal mendapat gelaran 'super food'. Spirulina merupakan sumber protein yang unggul, beta karoten, vitamin B, mineral, klorofil dan enzim. Ia turut mengandungi asid gama linolenik (GLA) serta merupakan antara sumber zat besi semula jadi terbaik bersama dengan mineral-mineral penting lain seperti kalsiu, magnesium dan zink.

Mereka yang berpuasa tentunya boleh memperolehi manfaat dengan pengambilan spirulina. Apabila berpuasa, terutamanya bagi mereka yang tidak mengamalkan pengambilan seimbang, kekurangan pengambilan makanan boleh menyebabkan daya konsentrasi yang lemah serta kekurangan sesetengah zat. Spirulina boleh diambil semasa bersahur boleh membantu mereka yang berpuasa lebih tenaga sepanjang hari untuk mengekalkan ketahanan dan prestasi waktu siang hari.

Bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti tahap kolesterol yang tinggi serta berlebihan berat badan, bulan puasa merupakan kesempatan yang tidak harus dilepaskan begitu sahaja demi membaiki masalah kesihatan. spirulina turut disarankan pengambilannya di kalangan mereka yang ingin mengawal berat badan. Kekurangan pengambilan makanan boleh menyumbang kepada keletihan mental dan fizikal. Dengan itu, pengambilan bukan sahaja boleh membantu menampung kekurangan nutrien tertentu yang penting kesejahteraan tubuh, tanpa kolesterol, tetapi dalam masa yang sama membantu mempertingkatkan proses detoksifikasi tubuh.

Pengambilan Spirulina tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja, malah tidak terkecuali untuk:

* Warga Tua

Kebanyakan daripada mereka tidak dapat menyerap dan mengguna sepenuhnya nutrien penting dalam makanan harian. Spirulina dengan sel dinding yang lembut, lebih mudah dicerna, diserap dan diguna oleh badan.

* Individu yang sibuk bekerja/golongan pekerja

Golongan ini biasanya kurang mendapat hidangan makanan seimbang dan berkhasiat sama ada akibat kesibukan masa.

l Kanak-kanak

Spirulina kaya dengan sumber protein, sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

* Mereka yang sedang pulih daripada kecederaan

Spirulina membantu memperbaiki sel dan mempercepat proses pemulihan.

* Golongan atlet/aktif secara fizikal

Spirulina membantu membekalkan tenaga untuk aktiviti fizikal.

Memilih spirulina yang dihasil dalam bentuk kapsul juga ada kelebihan tersendiri. Serbuk spirulina dalam kapsul boleh dicampurkan ke dalam jus buah-buahan segar atau ke dalam hidangan snek keluarga seperti sandwich, kraker yang diubah suai mahupun hidangan masakan yang lain. Manakala memilih spirulina yang diiktiraf organik pula turut memberi kelebihan, di mana ia diproses secara minimum dan tidak menggunakan baja kimia berbahaya.

Singkir lemak tak diingini

HARI ini cukuplah tujuh hari kita berpuasa menunaikan Rukun Islam yang ke-3. Kaum Hawa adalah individu yang paling sibuk sekali membuat persediaan di bulan puasa dan juga bagi menyambut hari raya. Menempah baju sudah bermula beberapa bulan yang lepas, rumah mula dihias dan kuih-muih serta kek raya mula ditempah. Semuanya dilakukan agar sambutan hari raya meriah dan sempurna. Namun begitu tidak ramai yang membuat persediaan diri sendiri melainkan menempah baju raya dan mungkin membuat rambut raya.

Kalangan remaja misalnya mungkin tidak kisah tentang penampilan wajah pada hari raya, sedangkan seperti yang diketahui jerawat dan remaja sememangnya tidak boleh dipisahkan.

Ketidakseimbangan hormon dan jangkitan bakteria P.Acne merupakan penyebab utama masalah jerawat remaja. Teknologi terbaru merawat jerawat dengan berkesan menggunakan laser dan Intense Pulse Light membolehkan masalah jerawat diatasi dengan cepat. Laser seperti laser Erbium (Pixel ) dan Long Pulse Nd:Yag dapat membunuh bakteria serta menghalang kelenjar sebum menjadi terlalu aktif . Intense Pulse light seperti Isolaz boleh menyedut minyak dan nanah keluar dari jerawat dan menghilangkan radang jerawat. Keajaiban rawatan terbaru ini adalah ia boleh menghalang jerawat baru tumbuh sampai bila-bila. Dengan kata lain ia memang boleh menyembuhkan jerawat.

Masalah kulit untuk wanita yang berumur 20-40 tahun pula adalah kesan parut jerawat, pigmentasi dan pori-pori muka yang kasar. Kesan parut jerawat agak susah untuk diselindung dengan kosmetik berbanding masalah pori-pori atau pigmentasi. Setakat ini tiada bahan kosmetik yang boleh merawat masalah parut jerawat. Ini kerana parut jerawat di sebabkan perubahan pada lapisan kulit yang cedera semasa radang jerawat. Aktiviti memicit jerawat memburukkan keadaan. Rawatan yang terbaik untuk merawat kesan parut jerawat berlekuk adalah dengan menggunakan laser CO2 (SmartXide) atau laser Erbium. Laser ini juga boleh merangsang pertumbuhan kolagen pada kulit sekali gus menegangkan kulit dan mengecilkan pori-pori muka. Untuk mengecilkan pori-pori dan membuang pigmentasi rawatan yang terbaik adalah dengan menggunakan rawatan Intense Pulse Light. Cahaya yang dikeluarkan dari Intense Pulse Light boleh merangsang pembentukan kolagen untuk mengecilkan pori-pori serta boleh menanggalkan jeragat dengan hanya satu atau dua rawatan sahaja.

Kedut

Masalah utama wanita yang berumur 30-50 tahun adalah lebih kepada kedut-kedut muka yang boleh menyebabkan wajah kelihatan lebih berusia dari usia sebenar. Untuk wanita yang berusia 30 ke 40 tahun, kedut-kedut muka akan timbul apabila kita berkerut, tersenyum atau marah. Manakala bagi mereka yang berusia 40 hingga 50 tahun, kedut-kedut muka di kawasan hidung dan mulut mula muncul walaupun tanpa pergerakan wajah. Untuk menghilangkan kedut-kedut muka akibat pergerakan wajah, rawatan yang bersesuaian adalah Botulinum Toxin A (BTA). Selepas menerima rawatan ini, kedut-kedut tidak akan kelihatan walaupun kita tersenyum atau mengerutkan wajah dan bertahan sehingga enam bulan. Rawatan BTA juga boleh dilakukan untuk meruncingkan dagu, melengkungkan kening dan menaikkan pipi yang 'jatuh'. Untuk kedut muka di kawasan hidung dan mulut, rawatan yang terbaik adalah dengan menggunakan filler. Selain itu, filler boleh menebalkan bibir dan memancungkan batang hidung.

Di bulan puasa ini , ramai yang mengambil kesempatan untuk menguruskan badan. Berpuasa memang boleh membantu menguruskan badan kerana badan akan memecahkan lemak untuk mendapatkan tenaga sewaktu kita berpuasa. Untuk membantu badan menjadi lebih kurus, lebih kan mengambil protein semasa berbuka dan bersahur.

Elakkan memakan karbohidrat dan gula serta banyakkan memakan sayur-sayuran. Melakukan senaman di bulan puasa juga boleh mempercepatkan proses mencairkan lemak. Untuk meningkatkan metabolisme badan, ada beberapa makanan tambahan yang boleh diambil seperti L.Carnitine , Co Enzyme Q10 dan kromiun.

Makanan tambahan ini bukan sahaja boleh membantu badan memecahkan lemak tetapi jika diambil dalam jangkamasa berterusan, boleh membantu mengawal gula dalam darah dan mengelakkan penyakit jantung dan kencing manis

Terdapat juga segelintir di antara kita yang mempunyai badan yang kurus tetapi mengalami lebihan lemak di tempat-tempat tertentu. Ramai wanita datang ke klinik saya untuk mendapatkan rawatan masalah lemak di lengan. Masalah lemak di lengan menyebabkan sesetengah wanita susah untuk membeli pakaian yang sesuai kerana tidak muat di bahagian lengan. Untuk merawat lebihan lemak di kawasan tertentu, rawatan laser lipolysis adalah yang terbaik. Dalam prosedur ini, hanya lemak di bahagian tertentu sahaja akan dihapuskan. Hasil rawatan bukan sahaja sangat memuaskan tetapi kekal untuk selama lamanya. Hebat bukan.

Tiga minggu lagi hari raya akan muncul. Untuk mendapatkan hasil yang memuaskan agar kita kelihatan cantik, muda dan menawan, anda perlu bertindak sekarang kerana kulit wajah perlu masa untuk menampakkan hasil. Oleh itu buatlah persediaan awal agar hari raya anda akan menjadi lebih meriah, bermakna dan ceria. Di bulan yang mulia ini ingin saya mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pembaca. Semoga anda menjadi cantik dan hebat selamanya.

n PENULIS boleh dihubungi di 09-5164777.