Menurut Pakar Pendengaran di Bay Audio Malaysia, Andrew Campbell, rakyat Malaysia dan penduduk di Asia kurang mengutarakan masalah pendengaran berbanding di Australia.
"Lebih kurang 20 peratus pesakit yang mengalami kehilangan pendengaran akan mencari penyelesaian untuk masalah mereka. Di Malaysia, dianggarkan hanya lebih kurang 0.5 peratus akan melakukan demikian, mungkin disebabkan kurang maklumat di mana untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui di Bay Audio, The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
"Sumber bunyi yang boleh menyebabkan hilang pendengaran akibat bunyi bising termasuklah daripada bunyi motosikal, mercun, dan senjata api, yang menghasilkan kekuatan bunyi daripada 120 hingga 150 desibel," ujarnya.
Sementara itu, pendedahan yang lama atau berulang-ulang terhadap bunyi pada atau melebihi 85 desibel boleh menyebabkan masalah hilang pendengaran.
Semakin kuat bunyi, semakin cepat masalah hilang pendengaran akibat bunyi bising berlaku.
"Bagaimanapun, bunyi yang kurang daripada 75 desibel, walaupun selepas pendedahan yang lama, tidak akan menyebabkan kehilangan pendengaran," katanya.
"Kami telah mencipta alat pemeriksaan pendengaran berinovatif untuk membantu pelanggan menguji keadaan pendengaran mereka dalam masa lima minit sahaja melalui skrin sentuh yang mudah.
Ujian pendengaran dijalankan dengan peralatan skrin sentuh selama lima minit menggunakan iPad dan penutup telinga gred 5 (yang digunakan untuk paras kebisingan dalam persekitaran umum). Keputusan ujian ini membantu kami mengenal pasti jika seseorang itu mengalami masalah pendengaran yang ringan, sederhana atau teruk," katanya.
Katanya lagi, berdasarkan keputusan, pelanggan diminta berjumpa pakar pendengaran sekiranya perlu untuk melakukan ujian pendengaran penuh dalam bilik kedap bunyi.
"Periksalah pendengaran anda. Mungkin anda mengalami masalah pendengaran tanpa anda sedari. Justeru, ujian seperti ini membantu memperbaiki kesihatan pendengaran," ujarnya.
No comments:
Post a Comment