Saturday, August 17, 2013

Elak kolesterol pada Aidilfitri



TINJAU dahulu juadah terhidang di rumah terbuka, rancang dan pilih makanan yang anda benar-benar ingin makan. - Gambar Hiasan
SYURGA makanan." Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba 1 Syawal. Selagi tidak penuh meja, seperti tidak lengkap menu di pagi raya.
Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman disediakan untuk hidangan keluarga di pagi raya.
Ada yang bertanya, "cukup tak makanan kita hari ni?" Ada pula yang berkata, "tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk."
Selepas tiga hari menyambut Aidilfitri, timbul pula persoalan; "Adakah berat badan akan bertambah" atau "Kenapa badan semakin letih?" Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Syawal.
Bercakap mengenai juadah Aidilfitri, sukar untuk menafikan kebanyakan hidangan kita mengandungi kalori tinggi dan kolestrol yang akhirnya mengundang pelbagai penyakit.
Menurut Ketua Pakar Pemakanan Pusat Perubatan Prince Court, Datin Farah Diba Khan, kolesterol adalah lapisan lemak yang wujud secara semula jadi dalam semua bahagian dalam tubuh badan.
"Kolesterol tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia berada dalam saluran darah.
''Hanya melalui profil lipid yang menerusi ujian darah merangkumi jumlah kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL), kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan trigliserida dapat mendapatkan jumlah sebenar kolesterol dalam tubuh," katanya.
Tambah beliau, sebaik-baiknya kandungan kolesterol dalam badan seseorang dewasa itu perlu di bawah 5.2 mmol/L.
Kolesterol pula terbahagi kepada dua iaitu kolesterol jahat yang merujuk kepada LDL dan kolesterol baik pula HDL.
Dalam konteks ini, kolesterol jahat iaitu LDL akan membuatkan pembuluh darah tersumbat manakala HDL akan membawa kolesterol ke pembuluh darah untuk dibawa ke hati dan seterusnya akan dikeluarkan dari tubuh.
Justeru katanya, seseorang itu perlu menjaga tahap kolesterol di dalam darah supaya berada keadaan terkawal.
"Ini penting kerana kolesterol tinggi akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit jantung atau strok," ujarnya.
Pengubahsuaian makananMasalah akan timbul pada Aidilfitri apabila pelbagai hidangan yang menyumbang kepada kolesterol tinggi dihidangkan seperti ayam dan daging.
"Jauhi makanan yang mengandungi lemak tepu seperti daging, produk tenusu, santan, minyak kelapa sawit, ais krim, coklat dan susu pekat manis kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL)," katanya.
Farah Diba menambah, elakkan juga makanan yang mengandungi lemak trans (lemak terhidrogen) yang terkandung dalam makanan komersial tersedia seperti kek, biskut, snek, mentega kacang dan makanan berproses seperti sosej, pai, nugget, burger dan donut yang mengandungi kolesterol jahat.
Akan tetapi, siapa yang mampu mengelak daripada mencedok rendang ayam ke dalam pinggan untuk dijamah bersama-sama ketupat ataupun lemang pada hari raya? Justeru, saran Farah Diba, proses pengubahsuaian makanan itu perlu dilakukan.
Modifikasi makanan tidak hanya rasional buat individu yang berpenyakit, malah ia juga sesuai diaplikasikan oleh semua orang yang bercadang mengekalkan pemakanan sihat pada hari raya.
Apa pendekatan yang boleh dijalankan? Antara inisiatif yang dicadangkan adalah dengan membuang kulit ayam yang hendak digunakan dalam masakan.
"Seperti yang diketahui umum, kulit ayam mengandungi kolesterol tinggi dan berpotensi mengundang masalah kesihatan lebih-lebih lagi bagi penghidap darah tinggi," ujarnya.
Tambah Farah Diba, pengubahsuaian makanan mampu membuatkan semua orang menikmati juadah Aidilfitri tanpa apa-apa pantang kerana bahan-bahan yang digunakan adalah terpilih.
Beliau mencadangkan supaya mengubah gaya masakan rendang dan kari tanpa menggunakan santan.
"Santan secara prinsipnya mengandungi kolesterol yang tinggi. Penggunaan susu rendah lemak untuk penyediaan juadah Aidilfitri lebih praktikal di samping rasanya yang lebih sedap.
"Tetapi mungkin ada segelintir yang tidak yakin dengan rasa masakan yang dihasilkan dengan penggunaan susu rendah lemak dan masih mahu menggunakan santan.
"Sebenarnya, mereka tetap boleh menggunakan santan tetapi perlu dicampurkan dengan susu rendah lemak. Ini bermaksud hidangan itu akan mengandungi separuh santan dan separuh susu rendah lemak," jelasnya.
Menerusi usaha-usaha tersebut, ramai orang dapat menikmati hari raya dengan tubuh badan yang sihat tanpa apa-apa gangguan kesihatan.
SenamanMenurutnya, pengambilan kalori berlebihan daripada makanan berlemak dan berminyak tanpa diikuti senaman akan menyebabkan peningkatan berat badan secara mendadak.
Oleh itu, Farah Diba menggalakkan orang ramai melakukan aktiviti fizikal untuk memastikan badan mengeluarkan peluh.
"Orang ramai perlu menikmati makanan pada Aidilfitri terutamanya menu tradisional kita. Itulah kegembiraan utama beraya. Namun, saya nasihatkan anda tidak perlu berlanjutan sehingga sebulan hingga mengabaikan jenis makanan yang kita ambil.
"Bagi saya, dua hingga tiga hari tiada masalah. Selepas itu, kita perlu bijak memilih makanan terutamanya ketika menghadiri rumah terbuka.
"Selain itu, walaupun sibuk meraikan Aidilfitri, saya harap orang ramai melakukan senaman ringan agar dapat membakar kalori berlebihan dalam badan. Berjalan kaki atau melakukan kerja di rumah pun sudah cukup," ujarnya.

No comments: