Saturday, August 17, 2013

Elak obes di musim perayaan



Pelbagai hidangan yang enak semasa musim perayaan menyebabkan selera makan sukar dikawal.
HARI ini belum seminggu kita meraikan Hari Raya Aidilfitri. Kemeriahan masih terasa. Hidangan juga masih banyak.
Ditambah dengan jemputan rumah terbuka kerana pada masa itu, sanak saudara dapat berkumpul.
. Daripada ketupat, nasi impit, lemang, rendang, kari, sambal kacang, lodeh, laksa semuanya terhidang di depan mata.
Itu belum lagi, biskut dan kuih muih serta minuman bergas atau kordial yang semuanya tinggi kandungan gula dan kalori.
Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia kembali melancarkan amalan pemakanan 55555 sebagai panduan memudahkan orang ramai menjaga kesihatan semasa Hari Raya Aidilfitri.
KKM juga melancarkan buku kecil Makan Secara Sihat di Hari Raya yang menyenaraikan kandungan kalori bagi pelbagai jenis juadah bagi memudahkan orang ramai merancang sajian semasa musim perayaan.
Buku mengenai kandungan kalori makanan itu menyenaraikan semangkuk mi kari mengandungi 530 kalori dan wanita yang mengambilnya perlu berlari selama 72 minit atau berjalan perlahan selama 290 minit bagi membakar kalori berkenaan.
Menteri Kesihatan, Datuk S. Subramaniam berkata, semua orang perlu mengelakkan pengambilan gula, garam dan lemak secara berlebihan kerana ia boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan.
Kaedah pemakanan 55555 merujuk kepada lima amalan baik yang boleh mencegah masalah kesihatan di musim perayaan.
Pakar runding pemakanan, Indra Balaratnam berkata, di Malaysia yang mempunyai begitu banyak perayaan penduduknya terdedah kepada risiko obesiti.
"Biasanya ketika musim perayaan, kita akan terdedah kepada makan secara berlebihan yang menyebabkan berat badan bertambah.
"Sepatutnya selepas sebulan berpuasa, berat badan akan turun mungkin beberapa kilogram dan mereka mengekalkan berat badan selepas itu," katanya.
Bagaimanapun jelas Indra, biasanya musim perayaan, sesiapa saja boleh mengalami kenaikan berat badan semasa musim perayaan.
Kurang kesedaran mengenai makanan dan kesihatan di kalangan rakyat negara ini menyebabkan kadar obesiti meningkat.
Obesiti bukan saja berkaitan dengan kenaikan berat badan tetapi juga pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan jantung.

No comments: