Saturday, February 11, 2012

Cantik tetapi berbahaya

Implan adalah sebatian polimer berasaskan getah. Implan bertujuan untuk kosmetik atau pemulihan imej akibat kanser. Tidak hairanlah pembedahan implan menjadi trend di Barat untuk menonjolkan aset kecantikan badan seperti payu dara dan punggung. Di Amerika Syarikat, semakin ramai remaja dilaporkan mahukan implan payu dara sebagai hadiah hari jadi.

Namun, tahukah anda tiga peratus wanita yang melakukan pembedahan implan silikon mengalami kebocoran implan dalam tempoh tiga tahun.

Menurut Pakar Estetik dan Antipenuaan, Dr. Alice Prethima, kebanyakan pembedahan implan silikon menyebabkan payu dara berlekuk di bahagian atas, menghasilkan bentuk yang tidak asli.

Lebih teruk lagi, ia berisiko tinggi mengakibatkan kontraksi kapsular, iaitu reaksi tidak normal tubuh terhadap benda asing.

Ia juga menyebabkan implan pecah atau pemindahan implan yang perlu dilakukan berulang kali.

"Saya paling risau apabila ada yang mengatakan mereka mendapatkan pembedahan implan silikon pada harga bawah RM300.

"Ia tentunya satu pembedahan yang bakal memberi masalah kerana pembedahan kecantikan seperti ini lazimnya melibatkan kos yang tinggi, sekurang-kurangnya RM7,000," ujarnya.

Jangan ambil mudah

Justeru, Dr. Alice menasihatkan orang ramai supaya jangan ambil mudah apabila ia melibatkan anggota badan seperti payu dara.

Menurut Alice, rawatan menambah baik payu dara antara yang paling tinggi permintaannya di Malaysia.

Namun beliau memberitahu kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan untuk mencantikkan payu dara khusus untuk membesarkannya ialah orang asing.

"Orang Malaysia sangat penyabar. Mereka hanya datang untuk mendapatkan rawatan seperti ini apabila keadaan benar-benar serius.

"Contohnya apabila payu dara mereka tidak menepati saiz tubuh seperti terlalu besar atau berat untuk tubuh yang kecil sehingga boleh menjejaskan kesihatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Alice berpendapat, rawatan kecantikan sepatutnya memberi hasil yang hampir menyamai kecantikan semula jadi termasuk dalam pembedahan implan payu dara.

"Ia bukan sekadar tentang membesarkan atau mengecilkan payu dara. Sebaliknya ia juga tentang memiliki payu dara yang lembut, penuh dan berbentuk semula jadi," jelasnya.

Selain implan silikon, katanya, implan saline (menggunakan air atau larutan bergaram menggantikan silikon) turut digunakan.

Tambah beliau, implan jenis ini turut memberi kesan buruk termasuk bunyi implan seperti air yang mungkin boleh didengar dan risiko pecah.

Justeru, Dr. Alice memperkenalkan alternatif yang lebih sihat berbanding silikon iaitu suntikan hyaluron, sejenis polisakarida dan lemak yang wujud secara semula jadi di bawah permukaan kulit manusia. Namun, ia tidak boleh membesarkan payu dara dengan kadar segera seperti implan.

Situasi kronik

Dalam pada itu Perunding radiologi, Dr. Sulaiman Tamanang memberitahu, tiada kajian khusus yang mengatakan penggunaan secara terus terang bahawa implan penyebab kepada kanser payu dara.

"Tetapi penggunaan implan boleh menyebabkan situasi kronik. Sekiranya ada kanser di dalam payu dara, sukar untuk dikesan kerana ia menutup gambaran imej payu dara semasa mamogram," ujarnya.

Ujar beliau, implan berfungsi sebagai penggunaan kosmetik bagi mereka yang terpaksa membuat pembedahan payu dara termasuk akibat kanser.

Beliau turut menasihati wanita yang menggunakan implan untuk pembesaran payu dara supaya mengetahui risiko yang bakal dihadapi.

"Penggunaan implan untuk pembesaran payu dara tidak digalakkan kerana risiko untuk implan pecah adalah agak biasa.

"Apabila ini terjadi pembedahan ulangan untuk kes seperti ini boleh menimbulkan lebih komplikasi dan keadaan payu dara adalah lebih buruk," ujarnya.

Sindrom lelaki ‘menopaus’


Simptom lelaki yang menopaus ialah letih, cepat mendapat tekanan, sakit sendi, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani.


Soalan: BolehKAH Doktor terangkan mengenai andropaus dan kesannya kepada masalah lelaki?

*Jo, Kuala Lumpur

Saudara Jo,

Pertama, saya perlu maklumkan bahawa perkataan atau terma andropaus sebenarnya tidak begitu tepat. Secara fisiologinya, orang lelaki adalah berbeza dengan wanita.

Apabila wanita putus haid, hilanglah keupayaan reproduktif mereka iaitu untuk mengandung dan melahirkan anak. Maka berlakulah apa yang sering disebutkan sebagai menopaus atau situasi apabila paras hormon estrogen menjadi terlalu rendah.

Simptom seperti keletihan, sakit sendi, kurang nafsu dan faraj kering boleh timbul sejurus sebelum putus haid atau selepas berlakunya putus haid.

Bagi lelaki, penurunan paras hormon testosteron berlaku secara perlahan-lahan bermula akhir 30-an atau awal 40-an dan berterusan ke akhir hayat. Keadaan ini dipanggil sindrom kurang hormon testosteron.

Penurunan hormon testosteron ini boleh berlaku amat perlahan atau mendadak ke paras yang sangat rendah sehingga memberikan simptom yang ringan, sederhana mahupun teruk. Corak penurunan ini banyak bergantung kepada tahap kesihatan seseorang lelaki itu.

Contohnya, jika anda menghadapi masalah kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung, maka paras hormon akan menjadi sangat rendah manakala jika anda mengamalkan corak kehidupan yang positif dan sihat, maka paras hormon tersebut mungkin tidak menurun atau menurun dengan kadar sangat perlahan malah mungkin tidak ada simptom langsung.

Simptom yang biasa berlaku kepada lelaki hampir sama dengan simptom menopaus dialami wanita iaitu keletihan, sakit sendi, cepat mendapat tekanan, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani serta banyak lagi simptom yang tidak begitu spesifik.

Doktor perlu mengenal pasti penyakit yang dihadapi dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan penyiasatan ujian darah sebelum mengesahkan seseorang lelaki itu menghadapi masalah andropaus. Kini, banyak rawatan yang terbukti memberi kesan positif terhadap kualiti kehidupan seseorang lelaki dan pasangan mereka.

Jika saudara ingin maklumat lanjut, jumpalah doktor dan dapatkan nasihat lanjut. Dalam pada itu jangan lupa amalkan cara hidup sihat dan positif dalam kehidupan seharian.

Manis beracun


Setiap minuman yang kita minum mempunyai gula.


Rasanya tidak lengkap hidup tanpa kemanisan. Apa rasanya air kopi atau teh jika tidak ditambah gula? Sirap yang tawar atau sambal tumis yang hambar.

Setiap hari kita pasti mengambil gula sama ada dalam makanan seperti kuih-muih, lauk-pauk dan teh tarik semasa sarapan atau sirap semasa makan tengahari.

Tapi bolehkah kita hidup tanpa kristal putih yang membawa 'kemanisan' itu?

Gula sebenarnya adalah kimia tulen. Dalam menjalani pemprosesan, semua nutrisi makanan semula jadi yang asalnya terkandung di dalam tumbuhan telah dikeluarkan.

Gula yang ada di meja makan sekarang bukan lagi dalam bentuk jisim semula jadi kerana ia dikeluarkan melalui proses industri dengan melakukan penapisan sehingga menjadi sukrosa atau fruktosa tulen.

Walaupun kebanyakan gula terhasil daripada pokok tebu atau ubi bit. Semasa proses industri semua vitamin, mineral, protein, enzim dan nutrien bermanfaat yang lain dikeluarkan daripadanya.

Justeru pengambilan gula yang berlebihan boleh mengurangkan tahap kesihatan dengan meningkatkan tekanan darah dan paras kolestrol.

Itu belum lagi dikira penyakit kronik lain seperti risiko kegagalan hati, obesiti, sakit jantung dan diabetes.

Gula dan pemanis sebenarnya amat toksik kepada badan manusia dan sepatutnya dikelaskan sebagai alkohol oleh kerajaan seluruh dunia.

Komen ini diberikan sekumpulan penyelidik Universiti California, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) bertajuk The Toxic Truth About Sugar dalam jurnal Nature bertarikh 2 Februari lalu.

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Dr. Robert Lustig juga pakar pediatrik yang terkenal kerana kuliahnya di YouTube menyarankan penguatkuasaan seperti cukai ke atas semua makanan dan minuman yang ditambah gula, melarang penjualan makanan bergula di dalam atau berhampiran sekolah dan letakkan had umur untuk membeli gula.

Menurut beliau, gula membawa kepada perkembangan sindrom metabolik, obesiti, meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.

Beliau menganggap fruktosa dan sukrosa menjadi penyebab masalah ini kerana ketoksikan meningkat jika dibandingkan dengan glukosa.

Justeru dengan sejumlah kecil kalori dalam gula, kesan negatifnya amat jelas.

Menurutnya, setelah gula memasuki aliran darah, kandungan gula dalam darah akan meningkat menyebabkan pankreas melepaskan insulin - yang diperlukan untuk mengubah gula menjadi tenaga. Apabila lebih banyak gula diambil bermakna lebih banyak insulin dilepaskan.

Setelah paras insulin yang tinggi dilepaskan, kadar gula darah mulai berkurang dengan cepat sehingga menimbulkan pelbagai masalah tidak lama selepas mengambil makanan manis.

Selain mengubah gula menjadi tenaga, insulin juga merangsang penyimpanan lemak.

Ketagih

Akibatnya, besar kemungkinan anda akan mengalami kenaikan berat badan dengan pengeluaran insulin.

Disebabkan bahaya gula, ada yang meletakkan keburukan gula setaraf dengan tembakau dan alkohol.

Misalnya di negara maju seperti AS, lebih dua pertiga daripada populasinya lebih berat badan dengan separuh daripadanya mengalami obesiti.

Menurut Dr. Robert, kira-kira 80 peratus mereka yang obes mengalami diabetes atau keadaan metabolik tidak seimbang.

Malah kira-kira 75 peratus dana penjagaan kesihatan dibelanjakan bagi diet berkaitan dengan obesiti.

Di seluruh dunia, obesiti adalah masalah kesihatan paling umum dalam banyak negara dan berkaitan penyakit kronik dengan diet seperti sakit jantung, diabetes dan beberapa jenis kanser.

Kebanyakan penyelidik melihat gula bukan hanya kalori kosong tetapi juga bahan kimia yang toksik jika diambil berlebihan.

Dr. Robert membandingkan gula tambahan dengan tembakau dan gula yang toksik, membuatkan ketagih dan mempunyai kesan negatif kepada masyarakat.

Tapi apa rasanya dunia tanpa gula? Tentu saja tawar dan hambar.

Senaman sihat




Gaya hidup yang sedentari dengan hanya duduk di pejabat, bermain permainan komputer ditambah dengan makanan yang kaya dengan gula, garam dan lemak menyebabkan masyarakat terdedah kepada pelbagai penyakit seperti serangan jantung, diabetes dan darah tinggi.

Justeru penjagaan kesihatan diri melalui amalan gaya hidup sihat dengan aktiviti fizikal dan diet yang sesuai amat penting dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan diri.

Bermula minggu ini terdapat beberapa langkah senaman otot selama lima minit yang boleh dilakukan di rumah.

Bagi minggu pertama kita mulakan dengan knee push up dan lungest.

Senaman knee push-up amat sesuai bagi membentuk bahagian dada, bahu dan lengan.

Sementara lungest pula adalah untuk membentuk otot paha dan pinggul tetapi jika anda sakit lutut jangan berani untuk mencuba.

Alahan penyebab resdung

ADAKAH anda sering mengalami bersin, selesema, mata gatal dan hidung tersumbat secara berterusan melebihi tempoh sebulan?

Jika keadaan begini berterusan, anda dinasihatkan berjumpa doktor bagi memastikan sama ada anda mengalami alahan hidung atau resdung.

Pakar Runding Telinga, Hidung dan Tekak, Kepala dan Pembedahan Leher, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Samril Bokari berkata, tanda-tanda alahan hidung berkenaan yang tidak dirawat akan membawa kepada sinusitis atau resdung.

“Biasanya tanda awal alahan hidung adalah selesema, bersin, hidung tersumbat serta muka dan mata yang gatal dan berair.

“Dalam keadaan begini tidak ramai yang mendapatkan nasihat dan rawatan doktor dengan alasan penyakit yang dihidapi tidak teruk,” katanya.

Sememangnya resdung tidak membawa kepada kematian tetapi memberikan kesan kepada gaya hidup dan keyakinan diri pesakit.

Alahan hidung berlaku apabila selaput hidup membran mukus, telinga tengah dan tekak membengkak kerana menghidu debunga, hama dan habuk serta perubahan cuaca.

Apabila itu berlaku, hidung akan bertindakbalas dengan benda asing menyebabkan simptom seperti selesema, bersin, gatal mata dan hidung berterusan.

Dr. Samril berkata, jika alahan hidung dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan komplikasi seperti rongga sinus tersumbat (terdapat lapan rongga sinus).

Rongga sinus yang bertindak untuk pengudaraan terhalang dan menyebabkan bakteria terperangkap, sinusitus dan nanah terkumpul.

Pesakit juga terdedah kepada jangkitan telinga tengah atau kegagalan Tiub Euschasian.

“Ketika itu pesakit akan merasa tidak selesa di muka, bendalir hijau meleleh dari hidung dan jika tidak dirawat akan menyebabkan jangkitan kuman di otak,” katanya.

Terdapat juga pesakit yang menghidap asma akibat alahan hidung yang berterusan kerana hidung dan paru-paru bersambung.

Rawatan awal boleh dilakukan menggunakan ubat bagi mengurangkan selesema dan semburan hidung yang berterusan sehingga sembuh.

Menurut Dr. Samril, sinusitis boleh berlaku kepada sesiapa saja, bagaimanapun risiko lebih besar jika ahli keluarga terdekat menghidapinya.

Alahan hidung biasanya berlaku pada usia muda antara 8 hingga 11 tahun sementara 80 peratus menghidapinya semasa berusia 20 tahun.

Ketika usia muda, alahan hidung lebih biasa berlaku pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan tetapi bila dewasa peratusannya lebih kurang sama.

“Sejarah pesakit amat penting dalam menilai alahan hidung.

“Elemen penting termasuk menilai persekitaran, tempoh simptom, tindak balas perubatan, sejarah keluarga dalam alergi dan pekerjaan,” katanya.

Sejarah berkenaan boleh membantu mengenal pasti punca dan penawar kepada alahan berkenaan.

Simptom berkaitan dengan bersin, gatal hidung, mata dan telinga, hidung berair, sakit kepala, mata merah dan letih.

Pastikan simptom berkaitan dengan alahan sama ada debunga, kulat, haiwan tertentu, habuk atau hama.

Biasanya struktur hidung akan bengkak dan jika penyakit parah maka ruang sinus akan mengandungi nanah.

“Pesakit akan diberikan antibiotik selama 10 hari hingga dua minggu.

“Biasanya pesakit yang mengambil ubat secara berterusan akan dapat mengawal alahan,” katanya.

Bagaimanapun jika resdung tadi bertambah parah, jalan terakhir adalah melalui pembedahan.

Rehat cukup elak resah

MASALAH keresahan melampau atau “Obsessive Compulsive Disorder” (OCD) boleh memberi impak negatif yang besar terhadap mereka yang mengalaminya.

Selain daripada stres, masalah ini juga berpotensi membuatkan pesakit itu “psikotik”.

Menurut pakar-pakar neurologi (saraf), terapi terbaik bagi mereka yang mengalami OCD adalah terapi kognitif tingkah laku.

Terdapat juga ubat bagi menghilangkan kemurungan tetapi ubat sahaja jarang sekali berkesan mengurangkan simptom masalah ini.

Pegawai Perubatan Neurologi, Dr. A. Ridzwaan Talib menjelaskan bahawa terdapat dua komponen bagi terapi kognitif tingkah laku.

“Contohnya, bagi seseorang yang kerap membasuh tangan. Beliau akan disuruh menyentuh tombol atau pemegang pintu tandas awam dan kemudian dihalang daripada membasuh tangannya.

“Semasa orang itu dalam keresahan, desakan untuk membasuh tangan secara “ritual” (berulang kali) akan beransur hilang.

“Melalui cara ini, individu itu akan belajar bahawa beliau tidak perlu melakukan ritual itu dan belajar mengawal perasaan obses dan tingkahlaku kompulsif,” ujar beliau.

Katanya, terapi kognitif pula memberi fokus terhadap pemikiran yang bahaya dan rasa tanggungjawab besar individu berkenaan. Ia mengajar cara memberi respons yang sihat dan efektif terhadap pemikiran obsesif tanpa perlu melakukan tingkah laku kompulsif.

Langkah mengatasi

Pakar neurologi mengesyorkan beberapa langkah bagi mengatasi OCD.

“Kenal pasti pemikiran dan desakan OCD. Contohnya, latihkan diri mengatakan “tangan saya tidak kotor” atau “saya rasa tidak perlu basuh tangan”.

“Sedar yang pemikiran sebegitu adalah disebabkan OCD dan katakan pada diri anda, ia bukan sebenarnya saya, tetapi hanya OCD bagi mengingatkan tingkah laku itu adalah mesej-mesej palsu dan tidak bermakna yang dihantar otak,” ujarnya.

Beliau menasihati mereka yang mengalami masalah itu memberi fokus terhadap perkara lain walaupun hanya beberapa minit.

Pesakit perlu berkata “saya mengalami gejala OCD dan perlu melakukan sesuatu yang lain.” Menilai semula gejala OCD juga perlu dilakukan dengan berkata ia bukan sesuatu yang signifikan dan hanya merupakan suatu “obsesi yang bodoh” dan tidak perlu diberi perhatian.

Bantuan keluarga

OCD boleh mengganggu kehidupan sosial dan keluarga mereka yang mengalaminya.

“Keluarga boleh membantu dalam memahaminya serta mengelakkan konflik daripada berlaku. Ahli keluarga boleh memberi motivasi serta sokongan terhadap individu yang menghidapi OCD,” katanya

Beliau juga mengesyorkan aktiviti riadah seperti berjoging, jalan kaki, mendengar muzik dan melayari internet semata-mata untuk mengelakkan diri daripada tingkah laku kompulsif dan pemikiran obses.

“Cuba melengah-lengahkan respons, lagi lama dilengah-lengahkan, semakin hilang desakan melakukan gerak kompulsif itu,” kata beliau.

Elak stres

Sesuatu yang mendatangkan stres boleh mencetuskan atau memburukkan lagi episod OCD.

“Oleh itu penting bagi kita elakkan stres untuk menjauhi OCD,” nasihat beliau.

Pesakit dinasihatkan mengamalkan gaya hidup tanpa stres serta aktiviti yang mendatangkan relaks selain mengamalkan senaman serta pemakanan yang secukupnya.

“Tidur dan rehat secukupnya dan jauhi rokok, nikotin dan alkohol,” nasihat beliau.

Dr. Ridzwaan juga menasihati mereka yang menghidap OCD agar jangan bersendirian dalam mengalami masalah itu.

“Mintalah bantuan, bercerita masalah anda pada orang lain. Ada baiknya jika melibatkan diri dengan kumpulan sokongan dan berkongsi pengalaman. Elakkan daripada memberi komen-komen yang negatif.

“Yang pentingnya individu itu mestilah tenang dalam menghadapi keresahan yang ekstrem.

“Berinteraksi secara positif dalam lingkungan sosial dan anggap semuanya itu adalah satu perkara yang lucu. Dengan cara ini boleh menceriakan penghidap masalah itu,” kata beliau.

– BERNAMA

Fobia naik pesawat

TERDAPAT sebilangan manusia yang tidak berpeluang menikmati keseronokan perjalanan udara kerana bagi mereka ia suatu pengalaman yang amat menakutkan dan mengerikan.

Dari sudut perubatan, perasaan takut naik pesawat dipanggil aerofobia, pteromerhanofobia atau pun aviatofobia.

Ia tidak harus dipandang ringan kerana ia akan mengehadkan perkembangan kerjaya atau peluang perniagaan seseorang.

Ini menyebabkan seseorang tidak dapat menjimatkan masa untuk menghadiri aktiviti melibatkan kerjaya, acara keluarga seperti perkahwinan, kematian, menziarahi saudara mara sakit dan acara keagamaan seperti menunaikan haji atau umrah.

Seseorang yang mengalami aerofobia biasanya mengalami perasaan takut, fobia atau kerisauan yang mendalam sehingga mereka berasa amat tertekan sekiranya terpaksa menaiki pengangkutan udara.

Pelbagai variasi tanda-tanda daripada perasaan kecut perut dan berdebar-debar ketika menunggu di balai berlepas sehinggalah mendapat serangan panik dan muntah ketika di dalam pesawat.

Pelbagai tingkah-laku menarik boleh dilihat dalam kalangan mereka yang mengalami aerofobia bergantung kepada apa yang dibayangkan di dalam fikiran mereka.

Semasa di dalam pesawat ada penumpang lebih selesa duduk berdekatan tingkap kerana beranggapan akan dapat melihat perubahan cuaca di luar sana.

Ada yang duduk berdekatan dengan pintu kecemasan dengan harapan akan menjadi orang pertama menyelamatkan diri jika berlaku malapetaka.

Ada pula yang cuma duduk diam di tempat duduk walaupun terpaksa menahan diri daripada pergi ke tandas kerana takut jika berjalan akan menyebabkan ketidakseimbangan kepada pesawat yang sedang terbang.

Mereka juga mengelak untuk makan dan minum di dalam pesawat.

Aerofobia juga boleh berlaku dalam kalangan petugas udara seperti juruterbang dan anak kapal terutama apabila mereka terbang sebagai penumpang.

Penyebab aerofobia

Pengalaman silam tidak menyenangkan semasa menaiki pesawat dalam cuaca buruk mungkin menjadi penyebab utama kepada aerofobia.

Ada antara penumpang yang pertama kali menaiki pesawat menyalahkan media kerana memperbesar-besarkan isu nahas udara.

Peningkatan jadual penerbangan di seluruh dunia setiap hari pasti akan meningkatkan risiko kebarangkalian berlaku nahas udara tetapi perlu diingat bahawa aspek keselamatan pengangkutan udara juga meningkat.

Kajian menunjukkan perjalanan melalui pesawat udara lebih selamat berbanding pengangkutan darat yang lain per kilometer jarak perjalanan.

Aerofobia adalah gabungan daripada beberapa jenis fobia yang lain. Ada antara mereka sebenarnya takutkan ketinggian atau takut berada di tempat terkurung kerana peluang menyelamatkan diri tipis sekiranya berlaku bencana.

Ada yang takut berada bersama orang yang tidak dikenali di dalam pesawat, bimbang jika berlakunya kejadian rampasan pesawat seperti tragedi 9/11, takut turbulence dan pelbagai kebimbangan lain.

Walau apa pun punca ketakutan mereka, kajian menunjukkan punca utama ketakutan adalah terlibat dalam nahas udara yang menyebabkan pesawat terhempas.

Pesawat biasanya dipandu oleh juruterbang yang tidak dikenali dan mustahil juruterbang beramah mesra dengan penumpang.

Justeru peranan anak kapal adalah penting dalam meredakan kebimbangan penumpang.

Penerangan berkenaan prosedur keselamatan pesawat perlu dibuat dengan jelas dan layanan yang diberi kepada penumpang perlu mesra untuk meredakan ketakutan.