TERDAPAT sebilangan manusia yang tidak berpeluang menikmati keseronokan perjalanan udara kerana bagi mereka ia suatu pengalaman yang amat menakutkan dan mengerikan.
Dari sudut perubatan, perasaan takut naik pesawat dipanggil aerofobia, pteromerhanofobia atau pun aviatofobia.
Ia tidak harus dipandang ringan kerana ia akan mengehadkan perkembangan kerjaya atau peluang perniagaan seseorang.
Ini menyebabkan seseorang tidak dapat menjimatkan masa untuk menghadiri aktiviti melibatkan kerjaya, acara keluarga seperti perkahwinan, kematian, menziarahi saudara mara sakit dan acara keagamaan seperti menunaikan haji atau umrah.
Seseorang yang mengalami aerofobia biasanya mengalami perasaan takut, fobia atau kerisauan yang mendalam sehingga mereka berasa amat tertekan sekiranya terpaksa menaiki pengangkutan udara.
Pelbagai variasi tanda-tanda daripada perasaan kecut perut dan berdebar-debar ketika menunggu di balai berlepas sehinggalah mendapat serangan panik dan muntah ketika di dalam pesawat.
Pelbagai tingkah-laku menarik boleh dilihat dalam kalangan mereka yang mengalami aerofobia bergantung kepada apa yang dibayangkan di dalam fikiran mereka.
Semasa di dalam pesawat ada penumpang lebih selesa duduk berdekatan tingkap kerana beranggapan akan dapat melihat perubahan cuaca di luar sana.
Ada yang duduk berdekatan dengan pintu kecemasan dengan harapan akan menjadi orang pertama menyelamatkan diri jika berlaku malapetaka.
Ada pula yang cuma duduk diam di tempat duduk walaupun terpaksa menahan diri daripada pergi ke tandas kerana takut jika berjalan akan menyebabkan ketidakseimbangan kepada pesawat yang sedang terbang.
Mereka juga mengelak untuk makan dan minum di dalam pesawat.
Aerofobia juga boleh berlaku dalam kalangan petugas udara seperti juruterbang dan anak kapal terutama apabila mereka terbang sebagai penumpang.
Penyebab aerofobia
Pengalaman silam tidak menyenangkan semasa menaiki pesawat dalam cuaca buruk mungkin menjadi penyebab utama kepada aerofobia.
Ada antara penumpang yang pertama kali menaiki pesawat menyalahkan media kerana memperbesar-besarkan isu nahas udara.
Peningkatan jadual penerbangan di seluruh dunia setiap hari pasti akan meningkatkan risiko kebarangkalian berlaku nahas udara tetapi perlu diingat bahawa aspek keselamatan pengangkutan udara juga meningkat.
Kajian menunjukkan perjalanan melalui pesawat udara lebih selamat berbanding pengangkutan darat yang lain per kilometer jarak perjalanan.
Aerofobia adalah gabungan daripada beberapa jenis fobia yang lain. Ada antara mereka sebenarnya takutkan ketinggian atau takut berada di tempat terkurung kerana peluang menyelamatkan diri tipis sekiranya berlaku bencana.
Ada yang takut berada bersama orang yang tidak dikenali di dalam pesawat, bimbang jika berlakunya kejadian rampasan pesawat seperti tragedi 9/11, takut turbulence dan pelbagai kebimbangan lain.
Walau apa pun punca ketakutan mereka, kajian menunjukkan punca utama ketakutan adalah terlibat dalam nahas udara yang menyebabkan pesawat terhempas.
Pesawat biasanya dipandu oleh juruterbang yang tidak dikenali dan mustahil juruterbang beramah mesra dengan penumpang.
Justeru peranan anak kapal adalah penting dalam meredakan kebimbangan penumpang.
Penerangan berkenaan prosedur keselamatan pesawat perlu dibuat dengan jelas dan layanan yang diberi kepada penumpang perlu mesra untuk meredakan ketakutan.
No comments:
Post a Comment