Saturday, March 10, 2012

Dua rahim, satu buah pinggang

MELIHAT kepada wajahnya, Nur Suhailah Tukijan, 15, kelihatan sama seperti kanak-kanak sebaya dengannya, ceria dan aktif.

Tapi tiada siapa tahu kesakitan yang ditanggung setiap bulan sejak dua tiga bulan selepas datang haid kali pertama dua tahun lalu.

Setelah didiagnosis, Suhailah mempunyai kelainan dengan dua rahim dan satu buah pinggang.

Ibunya, Hanita Mohd Tahir, 43, yang setia menemani anaknya berkata, "Saya masih ingat. Selepas dua hingga tiga bulan Suhailah datang haid, dia lebih suka mengurungkan diri dalam bilik.

"Saya ingatkan dia mengulangkaji pelajaran tetapi kakaknya mengadu adiknya sedang menangis dan berguling menahan sakit," ujarnya.

Memanglah lulur hati seorang ibu melihat anak kesayangan mengalami kesakitan yang amat sangat.

Ketagih facebook

“SAYA perlu balik Dr. Niva, pukul 5.00 petang ni kek saya masak. Minta maaf sangat sebab tak dapat nak minum sekali,” kata seorang peserta yang menghadiri ceramah Ketagihan Facebook yang diadakan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Ampang, Selangor bulan lepas.

Wanita berusia dalam lingkungan 50an itu tergesa-gesa pulang ke rumah semata-mata untuk membuka Internet dan bermain permainan Cafe World di dalam laman sosial facebook.

Pakar runding Klinikal Psikologi dan Neuropsikologi, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nivashinie Mohan berkata, perkara berkenaan memang benar-benar berlaku selepas ceramahnya mengenai ketagihan facebook.

“Wanita berkenaan berkata, saya hadir untuk dengar ceramah kerana ia berakhir jam 4.30 petang dan saya sempat untuk balik ke rumah pada masa kek saya masak dalam Cafe World,” katanya sambil tersenyum.

Saturday, March 3, 2012

Regangan melegakan

Sebaik-baiknya sebelum memulakan senaman atau berjoging, anda dinasihatkan melakukan regangan terlebih dahulu.

Ia bukan sahaja memberi kelegaan kepada sendi dan otot malah menyegarkan semula minda apabila oksigen disedut masuk ke dalam paru-paru seterusnya ke otak.

Secara tidak langsung, anda akan merasa segar dan bersemangat. Apabila otot mengalami regangan, tubuh akan lebih bertenaga dan bersemangat untuk meneruskan aktiviti seterusnya.

Senaman regangan ini amat mudah dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Regangan otot lengan (triceps)

- Berdiri tegak.

- Bengkokkan tangan di atas kepala dengan siku menghala ke atas.

- Gunakan tangan yang satu lagi untuk menolak siku ke bawah.

- Biarkan selama 10 hingga 30 saat.

- Kemudian tukar kepada tangan sebelah lagi.

Uban di usia muda

UBAN bukan lagi dikaitkan dengan proses penuaan walaupun sebelum ini hanya mereka yang berusia saja mempunyainya.

Melayari Internet semasa mencari maklumat mengenai uban, penulis terserempak ramai remaja yang mengadu rambut beruban malah ada yang ditumbuhi uban seawal usia 13 tahun. Justeru mereka sibuk mencari penawar bagi menangani masalah itu.

Walaupun mewarnakan rambut adalah salah satu alternatif bagi mereka yang beruban tapi puncanya perlu diketahui dan ditangani.

Kajian yang dijalankan mendapati kepadatan warna rambut ditentukan oleh jumlah melanin yang dihasilkan oleh badan.

Biasanya, pada zaman kanak-kanak dan remaja, melanin boleh dihasilkan dengan jumlah yang banyak.

Namun apabila umur semakin meningkat, kebolehan semula jadi untuk menghasilkan melanin mula berkurangan dan akhirnya kepala akan dipenuhi uban.

Rawatan angioplasti terkini

Berdasarkan data yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada April 2011, bilangan kematian akibat penyakit jantung koronari (CHD) di Malaysia mencapai sehingga 22,701 orang atau 22.18 peratus daripada jumlah keseluruhan.

CHD berlaku apabila lebihan lemak yang dipanggil plak bergumpal pada dinding arteri lalu menyebabkan saluran tersebut semakin menyempit.

Apabila ia berlaku di arteri koronari, jantung tidak mendapat darah dan oksigen yang mencukupi lalu menyebabkan CHD.

Bagaimanapun, terdapat pelbagai rawatan CHD terkini termasuk pengambilan ubat-ubatan, pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) dan percutaneous coronary intervention (PCI) yang lebih dikenali sebagai belon angioplasti.

Angioplasti adalah rawatan apabila doktor memasukkan tiub ke dalam salur arteri koronari dan mengembungkan belon di dalamnya lalu 'stent' yang menyerupai dawai kasa dibiarkan bagi memastikan arteri terbuka dan tidak menyempit kembali.

Suami hilang nafsu ketika isteri hamil

Umur saya 29 tahun. Saya telah setahun melangsungkan perkahwinan. Sebelum ini saya tidak mengalami masalah dalam hubungan bersama isteri. Isteri saya sekarang mengandung sembilan bulan. Apa yang meresahkan saya sejak dua bulan lepas, secara tiba-tiba nafsu atau keinginan seks saya berkurangan. Saya berasa hairan dan amat resah dengan keadaan ini. Yang baiknya cuma jerawat di muka pula berkurangan.

Adakah ini disebabkan oleh hormon testosteron berkurangan? Adakah keadaan ini akan pulih? Apakah rawatan yang sesuai untuk memulihkan keadaan ini?

Zul Kedah

JAWAPAN

Saudara Zul,

Terlebih dahulu, ucapan tahniah daripada saya. Pertama, kerana baru berkahwin setahun yang lalu dan keduanya, saudara akan menimang cahayamata dan bakal bergelar bapa tidak berapa lama lagi. Saya doakan semuanya selamat sejahtera dan semoga saudara akan memberi sokongan sepenuhnya kepada isteri di saat-saat yang cukup kritikal ini.

Saturday, February 25, 2012

Amalan hijau untuk kehidupan lebih baik



Menunggang basikal antara amalan hijau yang patut digalakkan kerana bukan sahaja ia aktiviti sihat, tetapi juga membantu mengurangkan pencemaran udara dan memulihara alam sekitar. - BERNAMA


BAGI kebanyakan orang, ketibaan tahun baharu bermakna membuat azam baharu dan Nadia ialah antara mereka yang menanam azam sedemikian.

Pada satu majlis makan malam baru-baru ini, Nadia berkongsi cerita dengan rakan dan tetamu semeja yang beliau telah mencapai satu daripada azam tahun baharunya.

"Cepatnya? Baru masuk Februari," kata seorang teman yang mendengarnya.

Nadia, pekerja swasta berusia 45 tahun, berkata, azam tahun baharu 2012 beliau hanya dua - pertama untuk mengurangkan bil elektrik rumahnya yang tinggi setiap bulan dan kedua mengutamakan amalan hijau bersama keluarga.

Beliau nekad untuk berjimat kerana merasakan suatu pembaziran apabila bil elektrik rumah dua tingkatnya yang dihuni enam orang, mencecah sehingga angka RM500 sebulan.

Beliau dan suami bekerja di siang hari dan anak-anak bersekolah. Yang ada di rumah sepanjang hari hanyalah pembantu rumah.

Melalui internet beliau mencari maklumat cara menjimatkan elektrik yang terbaik.

Oleh itu bermula Disember 2011 dan memasuki tahun baharu, beliau memastikan kipas angin lebih banyak digunakan di rumahnya daripada alat pendingin hawa.

Jika keluarga menggunakan pendingin hawa sekali sekala, Nadia memastikan suhu ditinggikan kepada 23 darjah Celcius. Beliau memasang pelindung matahari pada tiga unit pendingin hawa di rumahnya. Daripada maklumat yang diperolehinya, langkah itu boleh menjimatkan elektrik.

Nadia turut memastikan anak-anaknya diajar supaya mematikan suis lampu dan kipas setiap kali keluar bilik. Mereka diingatkan supaya menanggalkan plug peralatan elektrik yang tidak digunakan.

Pembantu rumah pula, katanya, diingatkan supaya lebih kerap membersihkan peralatan elektrik terutama yang ada alat penapis, dan memastikan peti sejuk tidak sarat dengan muatan dan tidak menyimpan makanan panas di dalamnya.

Ketika hendak memasak atau menyediakan makanan, pembantu rumahnya akan mengeluarkan segala bahan yang diperlukan dari peti sejuk kerana Nadia melarangnya membuka dan menutupnya terlalu kerap.

"Setiap kali pintu peti ais dibuka, kira-kira 30 peratus udara sejuk akan keluar," katanya yakin.

Nadia juga melarang pembantunya menggunakan mesin pengering pakaian sebaliknya menjemur semua baju di bawah cahaya matahari. Beliau turut memastikan suis monitor semua komputer riba dimatikan bila tidak digunakan, begitu juga televisyen.

Nadia membuang tabiat meminta pembantu menggosok pakaian setiap kali beliau suami isteri mahu ke pejabat, atau ke mana-mana majlis. Begitu juga baju anak-anak, akan ditimbunkan dan digosok sekali gus oleh pembantunya.

Nampak cerewet bukan? Tetapi semua teknik itu berkesan mengurangkan penggunaan elektrik.

Bila bil elektrik untuk Januari diterima, Nadia terkejut gembira kerana kadarnya jauh berkurangan daripada biasa. Sebab itu di meja makan malam itu, beliau mengisytiharkan satu daripada resolusi tahun baharunya telah tercapai.

Tip berjimat Nadia, bukanlah sesuatu yang baharu. Tetapi telah banyak dicadangkan oleh pakar dan Tenaga Nasional Berhad sendiri. Walaupun tidak semua yang dicadangkan itu, diamalkan Nadia, tetapi secara asasnya langkah penjimatan yang beliau lakukan ada kaitannya dengan amalan hijau yang mahu dilaksanakan beliau.

Sebelum ini Nadia dan keluarga tidak membiasakan diri menutup segera suis peralatan elektrik selepas digunakan. Ia membuatkan peningkatan tenaga elektrik di rumahnya.

Setiap mod sedia alat elektrik (lampu neon berwarna hijau atau merah yang biasa dilihat pada komputer dan televisyen) menyumbang kepada pembaziran. Begitu juga screen saver di komputer.

Mengikut kajian, kebanyakan komputer menggunakan dua kali ganda elektrik untuk menyalakan skrin. Jika seseorang itu mahu menjimatkan penggunaan elektrik, dia boleh menetapkan screen saver kepada tiada, atau skrin kosong.

Amalan-amalan kecil yang dilakukan, umpamanya kitar semula, menggunakan peralatan cekap tenaga dan mengamalkan penjimatan elektrik dan air boleh mengubah kehidupan seseorang.