Saturday, July 9, 2011

Rawat pesakit umpama keluarga

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Gambar ABDUL RAZAK LATIF

KELUARGA HIC Nursing bersedia berkhidmat membantu meringankan beban pesakit yang memerlukan rawatan di rumah.

DATIN Russidah Idrus, 49, tidak menyangka kudis kecil di bahagian belakang tubuh ibunya merebak sedemikian rupa. Bukan setakat berubah warna menjadi kehitaman, kudis tersebut mula mengeluarkan bau kurang menyenangkan.

Tidak mahu keadaan berlarutan, serta simpati dengan ibunya, Napsiah Ali, 80, Russidah pantas merujuk kes tersebut ke Hospital Ampang. Selepas sehari ditahan di wad, kudis dibersihkan dan Napsiah dibenarkan pulang ke rumah. Russidah dinasihat supaya membawa ibunya membuat rawatan susulan (mencuci kudis) di klinik kerajaan berdekatan setiap hari.

Keadaan ibunya yang uzur membataskan ‘tugas’ Russidah menghantarnya ke klinik kerajaan. Biar pun suri rumah sepenuh masa, namun urusan mengangkat ibu tuanya itu untuk ke kereta dan kemudiannya ke hospital atau klinik setiap hari menuntut kudrat yang bukan sedikit.

Lantas dia terfikir mendapatkan rawatan terbaik untuk Napsiah di hospital swasta, namun masih ada beberapa halangan menyebabkan ibu kepada lima cahaya mata itu terpaksa berfikir panjang sebelum membuat keputusan.

‘‘Ketika itu seorang kawan memberitahu saya tentang khidmat jururawat bergerak.

‘‘Saya terfikir untuk mencuba, mungkin ini yang terbaik kerana ibu ada di hadapan saya dan saya sendiri boleh melihat bagaimana mereka melakukan rawatan,’’ katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Taman Saga, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Menurut beliau, kudis yang dialami ibunya berpunca daripada ‘gigitan tilam’ akibat terlalu lama berbaring. Ibunya yang mengalami masalah lutut tidak boleh berjalan kira-kira empat tahun lalu.

Bagaimanapun Napsiah mula terbaring sejak empat bulan lalu menyebabkan bahagian belakang badannya mula mengalami ruam dan melecet. Keadaan tersebut sememangnya biasa dialami pesakit yang terlantar dan tidak mampu menggerakkan badan.

‘‘Melecet dan kudis kecil di belakang ibu saya semakin teruk dan memerlukan rawatan segera bagi mengelak keadaan menjadi lebih parah,’’ kata Russidah.

Perkenalan dengan HICNursing bermula bagi memenuhi keperluan Russidah memberi rawatan kepada ibunya. Sesi pertama rawatan bermula tiga bulan lalu. Beliau melahirkan rasa bangga kerana anak-anak muda yang menggerakkan khidmat jururawat bergerak itu cekap menjalankan tanggungjawab mereka.

Kudis sebesar bola golf itu mula menampakkan perubahan selepas beberapa rawatan, malah bau akibat daging mati dan nanah tidak ada langsung.

Perunding Jururawat HICNursing, Mohd. Azhar Yahya ketika mengulas perkembangan Napsiah yang dipanggilnya ‘wan’ memberitahu, keadaan asal luka ketika dia dan pasukannya datang membuat rawatan dikategorikan sebagai ‘teruk’.

‘‘Tentunya keadaan itu menyebabkan pesakit menderita apatah lagi dia sendiri tidak boleh bergerak untuk menguruskan diri sendiri,’’ kata anak muda menjangkau usia 26 tahun itu.

Menurut Mohd. Azhar, terdapat ‘poket’ di sekeliling luka Napsiah sehingga jari boleh dimasukkan di kawasan tersebut menandakan luka yang semakin melarat.

‘‘Alhamdulillah wan tidak ada diabetes, jadi luka ini tidak begitu memudaratkan,’’ katanya sambil memberitahu pasukannya yang terdiri daripada jururawat dan perunding fisioterapi mengunjungi Napsiah setiap hari.

Rawatan terhadap Napsiah tertumpu kepada penjagaan luka, fisioterapi, pengawasan tekanan darah, menukar dan memasukkan tiub saluran kencing, penjagaan kebersihan serta memandikan pesakit.

Melihat sendiri jururawat bertugas pada hari saya mengunjungi keluarga Russidah, diakui tugas tersebut menuntut keberanian, kesungguhan dan komitmen yang bukan sedikit.

Luka terbuka yang menampakkan daging berwarna merah (menandakan daging baru dan saluran darah mula berfungsi dengan baik) dicuci secara berhati-hati. Proses tersebut memakan masa, sambil Abdarrahim Mashasan bertanya Napsiah beberapa soalan. Menyertai Abdarrahim ialah Mohd. Adham Sharuddin dan Nur Amarina Yahya.

‘‘Mereka menjaga pesakit macam keluarga sendiri. Ibu saya berkali-kali dicium umpama cucu mencium nenek, supaya rawatan dapat dijalankan dalam suasana yang selesa.

‘‘Saya memberi kepercayaan kepada mereka sepenuhnya, biar pun khidmat berbayar tapi saya berpuas hati apatah lagi kadar yang dikenakan sangat munasabah ,’’ kata Russidah pula.

Sempurna luka dan kudis dicuci, antibiotik dimasukkan dan luka ditutup, Napsiah dipakaikan lampin pakai buang tanpa ada rasa kekok mahu pun malu menjalankan tugas.

Nenek itu kemudiannya dilentangkan, rawatan fisioterapi dimulakan dengan gerakan yang bersesuaian dengan usia Napsiah.

Mohd. Azhar menjemput Mingguan Malaysia selepas kira-kira setahun paparan mengenai HICNursing disiarkan Mega - sisipan harian Utusan Malaysia.

Beliau mahu berkongsi perkembangan perkhidmatan jururawat bergerak yang kini sedang dirancang untuk diperluaskan ke Negeri Sembilan dan Melaka.

Tan Sri Awang Had Salleh, Allahyarham Profesor Datuk Nik Anuar Nik Mahmud, Allahyarham pelakon M. Rajoli antara nama yang pernah mendapatkan khidmat HICNursing.

Ternyata inisiatif empat beradik yang terdiri daripada Yasrizal Yahya (Pengurus); Mohd. Asri Yahya (Pengurus Pemasaran dan Kewangan); Mohd. Azhar Yahya (Perunding Jururawat) dan Mohd. Firdous Yahya (Perunding Fisioterapi) bukan bersifat meraih keuntungan semata-mata.

Cabaran yang dilalui mereka juga bukan sedikit.

‘‘Bukan mudah mendapat kepercayaan tuan rumah untuk membenarkan kami masuk menjalankan rawatan.

‘‘Apatah lagi jika barang-barang berharga ada di sana-sini, tentunya tugas ini menuntut sikap amanah serta saling percaya-mempercayai antara tuan rumah dan staf kami,’’ kata Yasrizal.

Kesempatan mengunjungi pejabat HICNursing di Jalan Pimping Kanan, Ukay Height, Ampang, Selangor, memberi ruang meneliti jadual serta penggiliran bekerja 20 staf di situ.

Tersenarai pangkat Datuk dan Tan Sri, ada juga pesakit bukan Melayu, bermakna anak-anak muda itu tidak pernah mengehadkan khidmat mereka kepada pesakit sebangsa seagama sahaja.

Dengan tagline Pesakit Adalah Keluarga Kami, HICNursing yang ditubuhkan pada 2008 kini mempunyai 20 perunding jururawat dan perunding fisioterapi, masing-masing lulusan kolej jururawat yang diiktiraf kerajaan.

Biar tidak mendapat sokongan mana-mana pihak namun bagi Yasrizal mereka tabah serta kuat menggerakkan perkhidmatan tersebut kerana tahu ramai pesakit yang memerlukan rawatan di rumah.

‘‘Kehadiran kami bukan semata-mata memenuhi rawatan fizikal malah memberikan semangat kepada pesakit supaya mereka tidak rasa tersisih,’’ katanya sambil memberitahu 80 peratus daripada pesakit yang dirawat kini pulih sepenuhnya.

Kecekalan serta kesungguhan gabungan anak muda itu turut meraih kepercayaan beberapa kolej swasta untuk menghantar penuntut jururawat mereka melalukan praktikal di situ.

Ternyata pendedahan merawat pesakit di rumah membolehkan mereka memahami secara amali dan teori tentang keperluan pesakit serta kaedah rawatan.

‘‘Paling penting memupuk semangat mahu membantu, bertanggungjawab, amanah dan ada nilai kasih sayang,’’ kata Yasrizal yang meninggalkan kerjaya lamanya untuk membantu Mohd. Azhar dan Mohd. Firdous menjayakan hasrat murni mereka membantu golongan memerlukan dengan kadar bayaran yang amat munasabah.

Begitu juga Mohd. Asri yang melakukan kerja-kerja pemasaran tidak betah melihat abang dan adik-adiknya menjalankan perkhidmatan tersebut lantas berhenti kerja bagi memberi sokongan sepenuh masa.

Mereka berpengalaman merawat pesakit lumpuh, pengidap diabetes, rawatan kudis dan menyediakan rawatan susulan selepas pesakit keluar dari hospital.

Menawarkan pakej harga yang terendah, satu-satunya syarikat bumiputera yang menjalankan khidmat seumpama itu menjadikan HICNursing amat istimewa namun cabaran yang diterima daripada pesaing lain juga bukan sedikit.

Layari www.jururawatbergerak.com, hicnursing.blogspot.com atau hubungi HICNursing@yahoo.com untuk maklumat lanjut.

Mereka juga boleh dihubungi di talian 0341050221, 0342525221 atau 0193542429, 0193100221.

Saturday, July 2, 2011

Vitamin dan mineral

SAYA berusaha untuk mengamalkan pemakanan sihat untuk mengekalkan tahap kecergasan dan kesihatan, terutamanya apabila saya perlukan prestasi mental dan mental yang baik demi kerjaya, keluarga dan diri sendiri.

Namun, saya sering keletihan menjelang petang dan seringkali tidak berkesempatan untuk menyediakan hidangan malam keluarga. Apakah vitamin untuk membantu saya untuk menangani cabaran seharian?

Jawapan: Puan sebenarnya tidak sendirian. Masalah seperti ini banyak diluahkan dan dihadapi oleh ramai wanita berkerjaya hari ini. Bukanlah asing bagi ibu bekerja mengalami tekanan untuk menangani cabaran di tempat kerja dan juga tanggungjawab di rumah. Kebergantungan kepada makanan luar dan juga makanan segera dibimbangi tidak mampu membekalkan vitamin dan mineral yang cukup untuk keperluan tubuh serta untuk menangani stres dan kelesuan. Manakala pengambilan makanan proses dan segera yang tidak terkawal samada dewasa atau kanak-kanak boleh menyumbang kepada masalah seperti berat badan berlebihan dan masalah kesihatan lain seperti penyakit kardiovaskular.

Untuk mengekalkan paras tenaga yang tinggi, meningkatkan kesihatan mental dan mengelakkan kekurangan nutrien (terutamanya vitamin dan mineral), kita perlu memastikan diet adalah seimbang dan bekalan nutrien yang mencukupi. Tetapi, agak mencabar bagi kebanyakan kita untuk makan secara sihat disebabkan desakan masa dan pilihan makanan sihat yang terhad di luar. Di samping itu, pemprosesan berlebihan, penapisan dan makanan terlebih masak serta penghasilan tanaman secara besar-besaran di atas tanah yang kekurangan nutrien juga menyukarkan lagi pembekalan nutrien yang mencukupi kepada tubuh.

Bagi anda yang inginkan sedikit bantuan bagi memperbaiki keletihan ataupun memperbaiki masalah ini, pengambilan suplemen seperti formula multivitamin dengan campuran mineral boleh dijadikan pilihan. Ia menjadi pilihan ramai sebagai amalan harian terutamanya bagi individu yang risau akan kekurangan nutrien atas sebab gaya hidup yang sibuk.

Pengambilan multivitamin dan mineral adalah antara cara alternatif untuk memastikan tubuh memperolehi nutrien-nutrien penting untuk kesihatan dan kecergasan serta membolehkan tubuh membaiki kerosakan ataupun kecederaan. Kandungan seperti vitamin A, kepelbagaian vitamin B, C, E, dan mineral utama yang penting termasuk zink, zat besi, kalsium, magnesium, iodin serta selenium penting untuk keperluan tubuh seharian. Memperolehi vitamin dan nutrien yang cukup juga perlu untuk memperkuatkan daya tahan tubuh daripada jangkitan dan penyakit.

Tubuh kita perlukan vitamin-vitamin tertentu untuk fungsi tertentu. Apabila kita kekurangan salah satu atau lebih, masalah kesihatan akan timbul. Sebagai contohnya, tubuh memerlukan vitamin A untuk mengekalkan sistem imun yang sihat selain penting untuk mengekalkan mata yang sihat.

Seperti juga kecergasan fizikal, kecerdasan mental juga perlukan tenaga untuk membolehkan ia berfungsi dengan baik. Malah kedua-duanya saling berkaitan, dimana kelesuan fizikal turut menjejaskan prestasi mental. Dengan itu, vitamin dan mineral yang mencukupi akan membantu tubuh dan otak berkerja dengan baik.

Bersalin cara ini..Kaedah selamat atau tidak?

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Kesakitan semasa proses bersalin mendorong ibu menggunakan teknologi atau kaedah yang mengurangkan rasa sakit.

MENERUSI penyebaran dokumentari dan maklumat tentang bersalin dalam air yang semakin meluas di internet, trend ini semakin mendapat perhatian orang ramai.

Tidak ketinggalan isteri Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Dr. Halina Mohd. Yunos menyatakan keinginannya untuk bersalin dalam air pertengahan Julai ini.

Melahirkan anak sulung tentu sahaja menyuntik rasa teruja Dr. Halina tetapi dia mahu bersalin dalam keadaan lebih tenang dan selesa.

Justeru itu, Dr. Halina menyuarakan hasratnya untuk memilih kaedah ini kerana ia dapat mengurangkan rasa sakit sekali gus tidak memberi sebarang tekanan.

Popular

Kaedah bersalin dalam air sebenarnya satu perkara biasa dan popular di Amerika Syarikat dan United Kingdom sejak tahun 1980-an lagi.

Ramai yang beranggapan kaedah ini dapat memberi ketenangan kerana suhu air yang agak suam memberi kelegaan kepada sakit bersalin.

Jika ia menjadi trend di Malaysia, mungkin banyak perubahan segera perlu dilakukan termasuk memberi maklumat tepat kepada pakar-pakar yang terlibat, melahirkan golongan doktor atau bidan yang mahir kaedah ini dan kemudahan bersalin dalam air di setiap hospital.

“Kebanyakan maklumat yang ada kini menerangkan kaedah ini selamat, mengurangkan rasa sakit dan kadar kematian disebabkan bersalin. Tetapi satu kelahiran yang selamat menerusi kaedah ini belum cukup melengkapkan data bahawa ia benar-benar selamat. Banyak kajian serta langkah perlu dilakukan sekiranya permintaan kaedah bersalin cara ini meningkat,” ujar Pakar Sakit Puan Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Suhaimi Isa.

Menurut Dr. Suhaimi, terdapat dua kaedah bersalin cara ini iaitu bersalin sepenuhnya di dalam air dan yang kedua, mengawal sakit di dalam air dan bersalin di luar.

Terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan sewaktu prosedur ini seperti penyediaan tab atau kolam air dengan suhu 37 darjah Celcius (tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas).

Air steril

Selain itu, air yang digunakan perlu terpelihara daripada kuman atau steril dan tidak boleh digunakan semula.

Apa akan terjadi sekiranya air ini tidak bebas daripada kuman kemudian memasuki ruang vagina ibu?

“Kemungkinan ini masih lagi belum diketahui umum kerana mereka melihat daripada sudut proses bersalin menjadi mudah tanpa memikirkan risikonya. Air yang tercemar boleh memudaratkan kesihatan ibu. Bahkan kebarangkalian anak yang dilahirkan lemas masih belum diketahui. Ini kerana perkara pertama yang diperlukan seorang anak ialah udara,” ujar Dr. Suhaimi.

Dalam pada itu, Dr. Suhaimi menjelaskan air yang suam semasa berada dalam kolam tempat bersalin itu dikatakan memberi keselesaan kepada ibu seperti ketika melakukan rawatan spa.

Kaedah ini juga dapat mengurangkan penggunaan vakum, ubat tahan sakit seperti epidural dan kadar bersalin dalam tempoh yang singkat.

Penjagaan atau kesan pada vagina masih sama kerana masih terdapat kesan koyakan seperti bersalin normal.

“Saya tidak menolak mungkin ia menjadi trend atau pilihan pada masa akan datang. Namun, masih banyak kajian atau penyelidikan perlu dilakukan untuk memastikan ia benar-benar selamat untuk ibu dan anak. Selain itu, golongan wanita masih banyak pilihan lain untuk memudahkan proses bersalin,” ujarnya.

Terapi getaran warna

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto NOOR AZLINA JAAFAR

ZURINA memasukkan ais ke dalam mandian yang ingin dicuba pesakit.

PERCAYA atau tidak bahawa setiap warna mempunyai kuasa tersendiri dan anda tidak sepatutnya menyukai warna yang salah.

“Ada yang tidak sedar bahawa warna kesukaan mereka menyebabkan mereka menjadi lebih lemah dan tidak bersemangat,” kata Pengamal Perubatan Alternatif Terapi Getaran Warna (CVT), Zurina Zakariya.

Pemakaian warna yang tidak sesuai, katanya, menyebabkan antibodi di dalam badan seseorang lemah lalu menjadikan individu terbabit tidak bermaya.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, CVT merupakan suatu kaedah rawatan penyakit berasaskan sains fizik dan berkonsepkan Islamisasi ilmu yang menilai tahap-tahap spiritual, emosional, mental dan fizikal seseorang ke arah keseimbangan semulajadi secara tepat dan menyeluruh.

Rawatan yang diasaskan oleh Prof. Dr. Norhisham Wahab itu, menurutnya, mengesan penyakit dan masalah melalui kaedah kinesologi yang menggunakan otot tangan. Melalui pengesanan tersebut, pengamal akan mengesan warna diri atau aura seseorang bagi mengenalpasti tahap keperibadian yang menjelaskan ciri-ciri atau personaliti, pemikiran dan corak penghidupan.

Dengan mengenali diri, seseorang itu akan lebih bersemangat dalam kehidupan, lebih tenang dalam segala ruang yang dilalui dan menikmati keharmonian sepanjang masa.

Kata Zurina, di bawah CVT terdapat beberapa kaedah perawatan penyakit seperti penawar aroma terapi pati bunga dan yang paling popular konsep mandian atau rendaman ais (hidroterapi ais).

“Mungkin ada yang takut untuk mencuba kerana menganggap berendam dalam tab yang penuh ais adalah sesuatu yang tidak wajar, tetapi selepas mencuba anda akan merasai kesannya,” kata beliau.

Pada peringkat permulaan, jelasnya, pesakit akan merasa sejuk namun selepas beberapa minit suhu badan mereka akan sebati dengan air di dalam tab. Bukan air biasa yang digunakan, sebaliknya ia mengandungi air beralkali yang diyakini mampu melegakan banyak penyakit ditambah dengan beberapa titisan aroma terapi mengikut keperluan individu.

Warna diri

“Apabila hendak mengenali diri, anda dinasihatkan bermula dengan mengenali konsep warna dalam kehidupan.

‘‘Anda juga boleh mengetahui kelebihan, kekurangan, masalah kesihatan, ragam, perangai, tingkah laku, cara berfikir, perasaan, semangat, kelakuan dan tindak tanduk anda yang berkait rapat dengan inspirasi warna,” kata Zurina.

Namun, katanya, pemakaian warna mengikut hari pula akan membantu menyerlahkan penampilan seseorang.

Bercerita lebih lanjut tentang warna harian, katanya, warna putih elok dipakai pada hari Isnin kerana ia mengandungi rahsia roh yang melambangkan kesucian bagi memulakan kerja pada minggu tersebut.

Warna merah jambu dan ungu pula sesuai dipakai pada hari Selasa di mana ia menggambarkan kasih sayang.

“Hari Rabu sesuai berwarna biru yang menggambarkan kekuatan vokal dan jika anda ingin mengadakan sebarang temu janji, elok diadakan pada hari ini,” kata wanita itu.

Warna oren atau kuning pula katanya mampu merangsang bahagian perut dan ia sesuai dipakai pada hari Khamis manakala hari Jumaat cocok dengan warna hijau.

Hari Sabtu kata Zurina digambarkan dengan penyucian darah dalam tubuh badan melalui warna merah manakala hari Ahad sesuai dengan warna hitam.

CVT, kata beliau, sehingga kini telah membantu ramai pesakit pulih daripada sebarang masalah yang mereka hadapi secara perlahan-lahan melalui terapi yang ditawarkan. Bukan sahaja penyakit yang boleh dilihat dengan mata kasar, penyakit lain seperti sihir malah penyakit yang berkaitan dengan mental juga katanya mampu dipulihkan seandainya pesakit benar-benar mengikuti rawatan yang disyorkan. Namun begitu katanya, CVT bukanlah sejenis rawatan yang boleh pulih serta-merta, ia mengambil masa.

“Mereka yang sihat juga boleh menjadikan rawatan CVT sebagai satu terapi untuk kesejahteraan secara menyeluruh,” katanya lagi.

Selain daripada itu, pihaknya juga membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk mendalami ilmu CVT dengan mengikuti kursus yang ditawarkan. Yuran yang dikenakan RM1,000 manakala 100 pendaftaran awal hanya dikenakan RM300.

Jangan pandang ringan pneumococcal

Oleh ZUHAYATI YAZID

KANAK-kanak perlu diberi suntikan vaksin bagimengelakkan jangkitan PnD. - Gambar hiasan

TAHUKAH anda bahawa dalam setiap minit, seorang kanak-kanak di seluruh dunia meninggal dunia akibat Pneumococcal (PnD)?

Biarpun simptomnya nampak ringkas seperti demam berpanjangan dan batuk, namun sikap ibu bapa yang lambat membawa anak-anak ke hospital adalah penyebab utama penyakit ini menjadi serius.

Justeru, ibu bapa dan orang ramai perlu diberi pendidikan tentang bahaya penyakit yang boleh membawa maut itu.

Menurut Pakar Runding Pediatrik, Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin, biarpun ia berbahaya, hanya segelintir daripada golongan ibu bapa di Malaysia menyedari betapa serius penyakit itu.

Dia berkata demikian ketika melancarkan kempen Sasarkan Liputan Lebih Luas Semudah ABC , di ibu negara, baru-baru ini.

Turut hadir menyertai kempen ini ialah penghibur terkenal, Datuk Shiela Majid.

Tegas Dr. Musa, ancaman PnD yang dikenal pasti secara global menyebabkan kematian lebih satu juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun, khususnya di negara-negara membangun.

Malah, dalam rekod bidang perubatan, terdapat banyak kes PnD memberi kesan kekal kepada pesakit.

"Ia menjejaskan upaya seorang kanak-kanak normal hingga mengalami terencat mental, pekak, lembam pertuturan dan paralisis.

"Lebih membimbangkan apabila didapati bakteria Streptococcus Pneumoniae (yang mengakibatkan PnD) sudah menjadi kebal terhadap antibiotik, sekali gus membuatkan pengurusan penyakit ini bertambah sukar,'' ujarnya.

Tegasnya, disebabkan penyakit ini disebarkan melalui udara, kanak-kanak perlu diberi suntikan vaksin menentang penyakit untuk mengelakkan jangkitan pernafasan secara berulang.

Katanya, melalui kempen sedemikian, ia bertujuan memberi pendidikan serta panduan khususnya kepada ibu bapa mengenai gejala, tanda dan risiko penyakit ini serta kepentingan suntikan vaksin bagi mencegahnya.

Tambah Dr. Musa, PnD merangkumi sekumpulan penyakit yang berpunca daripada bakteria Stroptococcus Pneumoniae yang juga dikenali sebagai Pneumococcus yang berupaya menyerang mana-mana bahagian tubuh manusia.

"Pneumococcus bermula dengan menakluki saluran pernafasan atas dan boleh merebak secara setempat, menakluki saluran darah yang menyebabkan pelbagai penyakit,'' ujarnya lagi.

Dalam kes yang tidak dirawat atau kegagalan rawatan, virus ini boleh menyebabkan kehilangan pendengaran, masalah pembelajaran, kelewatan pertuturan, palsi serebrum, kerencatan mental dan kadangkala menyebabkan kematian.

Namun begitu, untuk mendiagnosis PnD agak sukar kerana gejalanya seperti demam, batuk, sesak dada dan seram sejuk berbeza mengikut jenis penyakit dan tidak begitu khusus.

Kebiasaannya pengesahan diagnosis dibuat menerusi ujian rapi seperti sinar-X dan ujian makmal.

Namun, ada banyak faktor yang meningkatkan risiko kanak-kanak menghidap PnD. Bayi yang baru lahir sehingga berusia 24 bulan menghadapi risiko paling tinggi kerana kandungan antibodi PnD yang agak rendah.

Tegas Dr. Musa, kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan harian juga berkemungkinan besar untuk dijangkiti kerana lebih terdedah kepada bakteria dalam persekitarannya.

Justeru, langkah-langkah seperti amalan kebersihan baik di rumah dan di pusat penjagaan kanak-kanak adalah kaedah paling berkesan bagi mencegah penyakit ini.

Onani punca gemuk?

Adalah satu mitos jika beranggapan onani adalah tidak selamat dan membahayakan.

Soalan 1:
SAYA suri rumah berumur 31 tahun dan mempunyai seorang anak. Baru-baru ini saya terbaca dalam sebuah akhbar, berkaitan gejala onani di kalangan wanita, benarkah wanita yang beronani akan cepat obes?

Puan:

Terima kasih. Soalan yang diutarakan oleh Puan amat menarik sekali. Sangkaan Puan berkaitan onani menyebabkan cepat obes adalah tidak tepat. Onani atau juga dikenali sebagai masturbasi (melancap), adalah rangsangan seksual yang sengaja dilakukan pada organ kelamin untuk memperoleh kenikmatan dan kepuasan seksual. Rangsangan ini dapat dilakukan tanpa alat bantu ataupun menggunakan sesuatu objek atau alat, atau kombinasinya. Cara-caranya adalah dengan menyentuh, menggosok dan meraba bahagian tubuh sendiri yang peka sehingga menimbulkan rasa menyenangkan untuk mendapat kepuasan seksual (orgasma) baik tanpa menggunakan alat mahupun menggunakan alat.

Onani di kalangan wanita amat jarang diperbincangkan. Adalah menjadi satu ‘tabu’ untuk membincangkan aktiviti ini yang juga wujud di kalangan wanita. Begitu juga, wanita yang tidak mampu menahan desakan batin maka ‘tidak mengapa’ mereka beronani dengan mengunakan tangan atau apa alatan yang tidak merbahaya asalkan dibuat setelah terdesak bukan dengan sengaja atau berniat mencari keseronokan. Agama Islam juga mengharamkan seseorang wanita berkhayal kotor dan menonton filem porno. Sesungguhnya kelonggaran dibolehkan onani ini hanya apabila ia terdesak dan demi mencegah zina. Secara kesimpulan, dibolehkan barang siapa yang terdesak dan perlu menurunkan tekanan syahwatnya untuk beronani dan ini dibuat dengan turut berusaha mempertingkatkan usahanya untuk membolehkannya bernikah demi mencapai perintah Allah.

Onani tidak akan menyebabkan tumbesaran terjejas dari segi ketinggian atau fizikal. Ini adalah salah anggap atau mitos-mitos yang tidak tepat yang sering dikaitkan dengan onani. Dari segi pandangan perubatan moden, onani adalah selamat dan tidak membahayakan. Seseorang sepatutnya tidak perlu merasa bersalah atau tertekan selepas onani. Onani boleh memberi kelegaan kepada ketegangan seks (sexual tension). Ia adalah cara paling selamat kerana tidak membawa risiko mengandung atau jangkitan penyakit transmisi seks seperti HIV. Ia juga adalah suatu cara seseorang wanita mendapat kenikmatan seksual jika tidak dapat melakukan hubungan seks, dapat meningkatkan aliran darah ke bahagian kemaluan dan seterusnya meningkatkan fungsi serta kesihatan seksual, memberi peluang kepada seseorang mengenali dan memahami fokus erotik pada badan sendiri dan juga boleh membantu wanita mencapai orgasma.

Sunday, June 26, 2011

Buang lemak

MASALAH perut buncit dan sembelit adalah kesan daripada cara pemakanan dan gaya hidup tidak sihat. Ia merupakan satu kesilapan sekiranya anda membiarkan perkara ini terjadi.

Ini kerana perut buncit tidak akan hilang dengan sendirinya malah saiznya akan bertambah sekiranya tidak diberikan rawatan. Perut buncit dan sembelit juga boleh mencacatkan penampilan malah boleh memudaratkan kesihatan.

Oleh itu, pelbagai cara dicuba bagi menyisihkan lemak didalam badan. Masalah lemak banyak terkumpul pada seseorang kerana faktor pemakanan. Ramai yang mengalami masalah perut buncit bukan saja bagi wanita yang telah melahirkan anak malah remaja juga. Ini kerana sistem penghadaman yang tidak betul, sukar membuang air besar dan banyak mengambil makanan yang berlemak.

Dalam pada itu, wanita yang pernah melahirkan anak sering berhadapan masalah perut buncit kerana lemak yang terkumpul semasa proses kehamilan bertambah setelah bersalin. Jika tidak dijaga, perut yang membuncit akan bertambah besar dari hari ke hari. Lebih memalukan jika ada yang tidak secara sengaja bertanya adakah anda hamil. Ada juga yang cuba menutupi perut yang buncit dengan memakai baju yang besar saiz ukurannya. Bagaimanapun, setiap orang pasti akan selesa serta penuh keyakinan dan gembira jika perut yang buncit dapat dikempiskan.

Bagi menyingkirkan lemak berlebihan di bahagian perut, anda boleh mencuba minuman fiber untuk menyahkan toksin dan meningkatkan kadar metabolisma badan. Hasilnya lemak badan dapat dibakar dengan lebih berkesan agar anda tampil langsing sihat dalam masa yang diinginkan.

Antaranya, sejenis minuman IZ Fiber yerbentuk minuman campuran Organic Apple Fiber. IZ Fiber adalah sejenis minuman yang bertindak membuang lemak berlebihan dan melawaskan pembuangan serta membantu merawat sembelit tanpa cirit-birit.

Pengambilan produk IZ Fiber boleh membantu anda mendapatkan badan yang langsing dan masalah perut buncit tiada lagi kelihatan. Iabegitu efektif didalam mengatasi masalah lemak yang berlebihan.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai rawatan dan produk ini boleh hubungi kami di 012-2215942 / 019-3135942 / 03-40225942 atau layari laman web di www.izfiber.com