Saturday, July 2, 2011

Bersalin cara ini..Kaedah selamat atau tidak?

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Kesakitan semasa proses bersalin mendorong ibu menggunakan teknologi atau kaedah yang mengurangkan rasa sakit.

MENERUSI penyebaran dokumentari dan maklumat tentang bersalin dalam air yang semakin meluas di internet, trend ini semakin mendapat perhatian orang ramai.

Tidak ketinggalan isteri Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Dr. Halina Mohd. Yunos menyatakan keinginannya untuk bersalin dalam air pertengahan Julai ini.

Melahirkan anak sulung tentu sahaja menyuntik rasa teruja Dr. Halina tetapi dia mahu bersalin dalam keadaan lebih tenang dan selesa.

Justeru itu, Dr. Halina menyuarakan hasratnya untuk memilih kaedah ini kerana ia dapat mengurangkan rasa sakit sekali gus tidak memberi sebarang tekanan.

Popular

Kaedah bersalin dalam air sebenarnya satu perkara biasa dan popular di Amerika Syarikat dan United Kingdom sejak tahun 1980-an lagi.

Ramai yang beranggapan kaedah ini dapat memberi ketenangan kerana suhu air yang agak suam memberi kelegaan kepada sakit bersalin.

Jika ia menjadi trend di Malaysia, mungkin banyak perubahan segera perlu dilakukan termasuk memberi maklumat tepat kepada pakar-pakar yang terlibat, melahirkan golongan doktor atau bidan yang mahir kaedah ini dan kemudahan bersalin dalam air di setiap hospital.

“Kebanyakan maklumat yang ada kini menerangkan kaedah ini selamat, mengurangkan rasa sakit dan kadar kematian disebabkan bersalin. Tetapi satu kelahiran yang selamat menerusi kaedah ini belum cukup melengkapkan data bahawa ia benar-benar selamat. Banyak kajian serta langkah perlu dilakukan sekiranya permintaan kaedah bersalin cara ini meningkat,” ujar Pakar Sakit Puan Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Dr. Suhaimi Isa.

Menurut Dr. Suhaimi, terdapat dua kaedah bersalin cara ini iaitu bersalin sepenuhnya di dalam air dan yang kedua, mengawal sakit di dalam air dan bersalin di luar.

Terdapat beberapa aspek yang perlu dititikberatkan sewaktu prosedur ini seperti penyediaan tab atau kolam air dengan suhu 37 darjah Celcius (tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas).

Air steril

Selain itu, air yang digunakan perlu terpelihara daripada kuman atau steril dan tidak boleh digunakan semula.

Apa akan terjadi sekiranya air ini tidak bebas daripada kuman kemudian memasuki ruang vagina ibu?

“Kemungkinan ini masih lagi belum diketahui umum kerana mereka melihat daripada sudut proses bersalin menjadi mudah tanpa memikirkan risikonya. Air yang tercemar boleh memudaratkan kesihatan ibu. Bahkan kebarangkalian anak yang dilahirkan lemas masih belum diketahui. Ini kerana perkara pertama yang diperlukan seorang anak ialah udara,” ujar Dr. Suhaimi.

Dalam pada itu, Dr. Suhaimi menjelaskan air yang suam semasa berada dalam kolam tempat bersalin itu dikatakan memberi keselesaan kepada ibu seperti ketika melakukan rawatan spa.

Kaedah ini juga dapat mengurangkan penggunaan vakum, ubat tahan sakit seperti epidural dan kadar bersalin dalam tempoh yang singkat.

Penjagaan atau kesan pada vagina masih sama kerana masih terdapat kesan koyakan seperti bersalin normal.

“Saya tidak menolak mungkin ia menjadi trend atau pilihan pada masa akan datang. Namun, masih banyak kajian atau penyelidikan perlu dilakukan untuk memastikan ia benar-benar selamat untuk ibu dan anak. Selain itu, golongan wanita masih banyak pilihan lain untuk memudahkan proses bersalin,” ujarnya.

1 comment:

shaifudin said...

Hospital manakah yang menyediakan kaedah ini di Malaysia terutama di Johor?berapakah kosnya?