Sunday, July 17, 2011

Bebas alahan protein asing

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

ISU pemakanan kanak-kanak semakin galak diperkatakan kebelakangan ini terutamanya melibatkan pelajar sekolah sehingga mendorong kerajaan mengeluarkan pekeliling untuk mencatat jisim indeks tubuh atau body mass index (BMI) di dalam laporan pelajar sekolah di negara kita.

Makanan berkolesterol tinggi seperti roti canai, nasi lemak, makanan dan minuman ringan, jeruk dan sebagainya dicadang supaya tidak lagi dijual di kantin-kantin sekolah dan ditukarkan dengan menu-menu lain yang lebih berkhasiat serta sesuai untuk pemakanan kanak-kanak .

Kita tinggalkan sekejap isu pemakanan ini kerana banyak aspek yang perlu diberi kesedaran termasuk amalan meminum susu iaitu nutrien pertama bagi kanak-kanak.

Hakikatnya, amalan ini amat penting untuk kanak-kanak yang memerlukan susu sebagai tambahan untuk membantu pembesaran minda dan fizikal mereka

Kanak-kanak terutama yang berusia satu tahun ke atas amat memerlukan susu sebagai diet tambahan bagi membantu menyokong perkembangan otak mereka sebelum meningkat dewasa.

Namun di sebalik mendidik anak meminum susu, terdapat keadaan perubatan yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa.

Alahan Protein Susu Lembu atau lebih dikenali sebagai CMPA (Cow’s Milk Protein Allergy) boleh menjejaskan tumbesaran dan kesihatan kanak-kanak khususnya, walaupun boleh juga terjadi kepada orang dewasa.

CMPA merupakan alahan makanan yang paling kerap dialami oleh kanak-kanak di Asia, menjejaskan tiga daripada 100 bayi.

Berkongsi pengalaman

Dr. Emilia Mohtar ketika berkongsi pengalamannya tentang masalah ini berkata, dia sebagai ibu memang prihatin tentang CMPA.

Kebetulan sejarah keluarganya ada yang menghidap asma dan ekzema membuatkan dia lebih-lebih berhati-hati.

Selepas melahirkan anak sulungnya, Adrian Zydane, 4, dia memberi penyusuan ibu sepenuhnya selama tiga bulan.

Disebabkan kesibukan sebagai doktor perubatan dan kekangan masa Dr Emilia, memberi anaknya susu formula soya untuk memastikan Adrian mendapat nutrien secukupnya.

Selepas Adrian menjangkau usia setahun, Dr. Emilia cuba memberi susu formula lembu tetapi Adrian mengalami CMPA.

“Saya bersyukur kerana alahan yang dialami Adrian tidak serius. Dia cuma muntah dan membuang semula susu lembu yang diminum itu. Selepas dua kali kejadian ini berlaku, saya kemudian kembali memberi dia susu soya sehingga ke hari ini.

Alhamdulillah, dia tidak mengalami masalah kekurangan nutrisi malah dia membesar dengan selera makan yang baik,” ujarnya.

CMPA meningkat

Dalam pada itu, Pakar perunding pediatrik, Dr Khoo Keh Bin memberitahu, kes CMPA semakin meningkat dan keadaan ini amat membimbangkan.

Menurut Dr Keh Bin, ibu bapa perlu diberitahu tentang cara-cara mengenal pasti sama ada anak mereka mengalami CMPA supaya mereka boleh mengambil langkah-langkah perlu untuk menjamin kesihatan anak-anak mereka.

Susu lembu merupakan protein asing pertama yang diperkenalkan kepada kebanyakan bayi. Protein susu lembu terdiri daripada lebih 30 jenis protein sama ada dalam bentuk kasein atau dadih susu.

Sebagai protein asing pertama yang diperkenalkan kepada bayi, lantas tidak hairanlah susu lembu merupakan antara alahan makanan paling umum yang dialami oleh kanak-kanak.

“Insiden alahan makanan merangkumi enam peratus daripada populasi umum. Namun, hanya dua hingga tiga peratus kanak-kanak mengalami CMPA. Kebanyakan bayi menunjukkan petanda CMPA dalam tempoh bulan pertama kehidupan. Antara faktor risikonya termasuklah faktor genetik atau sejarah keluarga, tempoh singkat penyusuan susu ibu secara eksklusif dan pendedahan awal kepada susu lembu,” ujarnya.

Kanak-kanak yang mengalami CMPA kebiasaannya mengalami gejala seperti muntah, kembung perut, cirit-birit, ruam kulit dan batuk adalah petanda umum kepada alahan susu protein.

Dalam kes-kes serius, najis berdarah dan sembelit juga akan kelihatan. Terdapat juga situasi di mana berlakunya Anaphylaxis iaitu turunnya tekanan darah dan kegagalan sistem peredaran yang boleh menyebabkan kejutan badan seterusnya masalah cardio-pulmonari jika tidak dirawat.

Alergen susu terdiri daripada banyak pecahan protein yang mengakibatkan tindak balas alahan . Dua komponen utama adalah dadih dan kasein. Kasein adalah susu masam yang terbentuk selepas susu dibiarkan menjadi masam manakala dadih pula merupakan cecair yang ditinggalkan selepas susu masam dipisahkan.

Menurut Dr Keh Bin , terdapat beberapa kaedah diagnosis yang boleh diambil seperti kaji selidik bersama ibu bapa, elimination diet dan ujian cucukan kulit atau ujian darah.

Dalam kaedah elimination diet, ibu bapa akan belajar cara-cara mengenal pasti makanan-makanan tertentu yang menyebabkan alahan pada bayi mereka. Misalnya, pengecualian susu lembu dalam diet bayi boleh digantikan dengan susu soya atau susu lembu ekstensif hidrolisis.

"Apabila simptom-simptom tersebut telah hilang, susu lembu boleh diperkenalkan semula dalam diet bayi anda. Ini untuk melihat sama ada simptom tersebut masih kembali. Kaedah elimination diet bagaimanapun perlu dilakukan menerusi pemantauan doktor atau pakar nutrisi,” katanya.

Selain itu, ujian cucukan kulit pula akan melibatkan tusukan atau calaran kulit bayi sebelum meletakkan sejenis bahan alahan ke atas kulit. Sekiranya tompokan merah dan rasa gatal timbul, ini bermakna, anak anda alah kepada bahan tertentu.

Seperkara yang menjadi persoalan ibu bapa ialah, 'Adakah CMPA akan kekal selama-lamanya anak saya'?

"Hanya sebilangan kecil pesakit yang membawa alahan tersebut sepanjang hayat mereka. Tetapi, jika susu lembu dikecualikan terus daripada diet selama dua hingga tiga tahun, kanak-kanak itu mungkin mempunyai peluang untuk bertoleransi dengan susu pada amaun yang lebih kecil lagi. ,"jelas Dr Keh Bin.

Toleransi protein susu lembu

- 9 peratus pada umur 4 tahun

- 42 peratus pada umur 8 tahun

- 80 peratus pada umur 16 tahun

Intolerans laktosa

Dalam pada itu, ibu bapa perlu membezakan antara CMPA yang boleh mengancam nyawa anak-anak dan intolerans laktosa hanya menjejaskan sistem penghadaman dan kurang berbahaya berbanding CMPA.

Dikenali juga sebagai kekurangan laktase, intolerans susu bermaksud anda tidak mampu mencernakan sepenuhnya gula (laktosa) susu dalam produk-produk tenusu yang anda ambil.

Sekalipun ia selalunya tidak mendatangkan bahaya, namun simptom-simptom intolerans laktosa boleh membuatkan anda berasa cukup tidak selesa kerana menjadikan makan minum sesuatu yang mencabar, memerlukan penggantian sesetengah resipi atau mengelak terus makanan tertentu.

Intolerans laktosa terjadi disebabkan oleh masalah kekurangan laktase iaitu sejenis enzime yang dihasilkan oleh lapisan usus kecil manusia.

Laktase berperanan menguraikan laktosa bagi membolehkan ia diserap ke dalam saluran darah anda. Kekurangan laktase mencetuskan masalah dalam pemecahan dan penyerapan gula susu .

Sesetengah orang yang berpendapat bahawa mereka tidak toleran laktosa sebenarnya tidak mempunyai pencernaan laktosa yang rosak. Dan bukan semua orang yang mempunyai tahap laktase rendah adalah intolerans laktosa.

Hanya individu yang rendah kadar laktasenya dan mempamerkan gejala-gejala seperti cirit-birit, loya, kejang perut, kembung dan angin dianggap intolerans laktosa.

Begitu juga dengan intolerans makanan yang tidak sama dengan alahan makanan. Intolerans laktosa tidak melibatkan sistem imun anda seperti alahan dan tidak semestinya memerlukan rejim mengelakkan sepenuhnya produk-produk susu .

Sebaliknya, anda berupaya mengawal gejala-gejala intolerans laktosa melalui pemilihan diet yang lebih berhati-hati - mengehadkan laktosa tanpa meninggalkan kalsium dan mungkin juga dengan pengambilan suplemen.

No comments: