Saturday, July 9, 2011

Potensi herba tempatan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto NOORADZRENE MOHD NOOR

HERBA Malaysia sangat berpotensi meneroka pasaran dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas pameran terbesar herba tempatan, Herbal Asia 2011, Safinah Yaakob.

Menurut beliau, melalui penganjuran kali ketujuh bermula Rabu hingga Jumaat ini (13-15 Julai 2011), pihaknya menyasarkan untuk menarik lebih banyak penyertaan di samping menjana peluang kepada industri dalam pelbagai bentuk.

"Herba kita sangat banyak manfaat dari segi penjagaan kesihatan dan kecantikan. Semua ini sudah terbukti melalui kajian yang dijalankan. Kalau kita tidak bawa sendiri ke luar, jangan sampai nanti ada pihak lain yang mengaut keuntungan," kata beliau dalam satu sidang media baru-baru ini.

Jelas beliau, pelbagai acara disediakan untuk penganjuran kali ini yang bakal diadakan di PWTC. Daripada pembuatan herba dan produk semula jadi, servis, teknologi dan perubatan alternatif serta tradisional yang berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa sejajar dengan usaha kerajaan bagi mempromosikan industri pelancongan kesihatan.

Kata Safinah, pasaran perubatan dan makanan tambahan herba dunia diunjurkan mencecah AS$93.15 bilion (RM279.45 bilion) pada 2015, yang mana dirangsang oleh peningkatan umur serta kesedaran pengguna mengenai kesihatan dan kesejahteraan secara umum.

Selain itu katanya, permintaan juga semakin meningkat untuk produk herba dan botani dalam pelbagai formula dan format.

"Wanita, terutama golongan pertengahan umur, merupakan kumpulan pengguna utama berikutan kesedaran terhadap kesihatan yang semakin meningkat, kesedaran mengenai pentingnya diet, dan perhatian terhadap aspek pencegahan," katanya yang menambah berdasarkan situasi itu, usahawan herba mempunyai peluang yang sangat besar dalam industri berkenaan.

Justeru beliau berharap, pihak-pihak yang terlibat mengambil inisiatif dengan menyertai pameran perdagangan ini. Maklumat lanjut hubungi sekretariat 03-21681850 atau layari www.herbalasia.com.my

No comments: