Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto ZAKKI JILAN
KALAU air tercemar boleh nampak kekotorannya, namun bagaimana pula dengan udara? Kita mungkin risau dengan keadaan jerebu di luar, lalu dengan penuh keyakinan kita beranggapan tidak perlu keluar dari rumah atau memilih melakukan aktiviti hanya di dalam bangunan.
Namun, terfikirkah anda mengenai kualiti udara yang kita hirup di dalam bangunan setiap hari?
“Boleh dikatakan hampir 70 peratus daripada kehidupan dihabiskan dalam bangunan setiap hari bermula dari pejabat hingga ke rumah. Adakah kita yakin udara yang kita sedut di rumah atau dalam bangunan itu selamat kerana kita memang tidak nampak pencemarannya? Perlu ditekankan di sini, udara yang berbau harum belum tentu segar dan bersih,” kata Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Datuk Dr. A. Shukri Md. Salleh.
Menurutnya, udara di kawasan dalam rumah, ruang pejabat, sekolah, hospital dan tempat-tempat awam lain sebenarnya lebih mudah tercemar berikutan aktiviti yang kita lakukan setiap hari kerana ia tertutup. Hal itu katanya turut didorong oleh reka bentuk kediaman hari ini yang mana kebanyakannya tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Ditambah lagi dengan faktor kelembapan tropika menjadikan bakteria dan mikroorganisma yang tidak kelihatan dengan mata kasar mudah membiak.
“Udara dalam bangunan yang tidak baik memudaratkan kesihatan semua terutama kanak-kanak, wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai daya tahan penyakit yang rendah,” kata Dr. A. Shukri.
Disebabkan tidak nampak kata beliau, kita biasanya tidak mengambil berat dengan kualiti udara dalaman. Pencemaran katanya boleh berlaku disebabkan asap rokok dan juga gas memasak.
Itu belum lagi dikira dengan bahan kimia yang kita gunakan untuk membersihkan dan menyegarkan rumah setiap hari. Sebagai contoh katanya, bila kita memasuki sesebuah kediaman, kita dapat menghidu haruman pewangi yang digunakan dan kemudian ia tidak berbau lagi.
“Ke mana bau itu pergi? soal Dr. A. Shukri.
Menurutnya, bahan tersebut sebenarnya telah masuk ke pernafasan dan ia boleh memberi kesan sampingan yang boleh memudaratkan sekiranya kandungan kimianya melebihi dari had yang dibenarkan. Begitu juga bangunan yang baru dicat atau lantai yang dicuci dengan pencuci konvensional, bau kimia boleh memudaratkan kesihatan bila mana ia berlaku berulang kali.
Kesan kesihatan
Akibat menghidu udara yang tidak sihat dalam bangunan secara berterusan, menurut Dr. Shukri seseorang boleh mengalami masalah di bahagian kulit seperti kegatalan, alahan dan sebagainya. Selain itu, ia juga menyebabkan kegatalan di bahagian mata, sinusitis (resdung), rangsangan asma, pening kepala dan tubuh menjadi lemah.
“Bayangkan ketika kita tidur (enam hingga lapan jam), hanya dua organ yang sedang berkerja iaitu paru-paru dan jantung. Apa akan berlaku seandainya kita menghirup udara yang tidak bersih?” soalnya.
Lantaran semalaman menghidu udara tercemar dalam rumah, individu tersebut akan mengalami bersin sehingga mendapat sinusitis dan batuk-batuk. Keadaan bertambah teruk sekiranya seseorang menghisap rokok di dalam bilik tidur atau pun terus ke bilik tidur selepas merokok. Kesan kimia dan bau boleh menjadikan pasangan atau anak-anak kecil terdedah sebagai perokok pasif yang juga berisiko mendapat penyakit paru-paru. Keadaan yang sama boleh berlaku di tempat kerja atau di dalam bangunan komersil seperti hotel.
Menurut Dr. A Shukri, udara yang tidak sihat juga boleh mengundang masalah asma kerana partikel halus yang terkandung dalam boleh sampai hingga ke cabang paru-paru yang kecil.
Jika dibiarkan berlarutan, masalah tersebut menyebabkan bronkitis dan masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan paru-paru.
Jangkitan kuman penyebar melalui udara juga boleh merebak dengan cepat seperti tibi, selesema, Sars, Anthrax dan lain-lain jika pengudaraan serta kotoran biologi tidak dimusnahkan dengan sempurna.
Apabila salah seorang dari pekerja mendapat tanda-tanda jangkitan virus atau bakteria, tempoh jangkitan kepada orang lain sebenarnya telah berlaku beberapa hari sebelum dari itu. Sekiranya sistem penghawa dingin kotor dan tidak berfungsi dengan baik bagi menapis udara, maka jangkitan bakteria atau virus itu mudah merebak kepada orang lain.
Masalah kelembapan pada bilik air, dinding rumah, lantai dan siling, menjadi tempat sebaran spora pembawa penyakit seperti Aspergillus dan Penicilium. Allergen atau bahan alergi binatang hadir di dalam udara rumah yang mempunyai binatang peliharaan.
Tambah beliau lagi, ruang udara pejabat yang tidak bersih juga didapati menjadi punca sick building syndrom (SBS) yang mana ia menurunkan produktiviti pekerja menjadikan mereka mudah mengantuk, lemah dan tidak cergas.
Kualiti udara dalam bangunan
Penaksir Kualiti Udara Dalaman, Syazwan Aizat Ismail dari Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia berkata, pencemaran udara dalam bangunan berpunca daripada empat perkara.
“Pertama ia disebabkan oleh udara dari luar yang tercemar, kedua bahan yang terkandung dalam binaan bangunan dan perabot.
“Punca seterusnya adalah individu yang tinggal di dalam bangunan tersebut dan aktiviti yang dilakukannya seperti merokok dan memasak manakala faktor terakhir adalah rekaan bangunan yang tidak menggalakkan pengudaraan yang baik serta penyelenggaraan yang tidak betul,” kata beliau.
Jelasnya, pencemar kimia yang datangnya dari perabot, bahan pencuci, bahan pewangi (air freshener) dan juga cat yang mengandungi wap sebatian organic (VOC), kadmium serta formaldehid.
Bahan pencemar kimia ini amat berbahaya di dalam rumah jika rumah kurang pengudaraan segar dari luar.
“Melalui kajian yang kami jalankan, bahan pewangi potpourri terbukti boleh menyebabkan pencemaran udara dalam rumah kerana ia menjadi tempat pembiakan mikroorganisma yang baik,” kata beliau.
Bahan pencemar kimia juga katanya, termasuk partikel terampai yang paling banyak bagi mereka merokok dalam rumah). Partikel terampai ini boleh memasuki sistem respirasi dan mendap didalam tekak, peparu dan menyebabkan tindak balas alahan yang memberi kesan batuk, sakit tekak dan juga lain-lain simptom bangunan sakit. Pencemaran kimia juga hadir dari aktiviti memasak yang tidak mempunyai sistem pengudaraan yang selamat.
Selain bahan kimia kata Syazwan, faktor biologi juga mempengaruhi pencemaran udara dalam rumah dan bangunan seperti hama, bakteria dan kulat yang boleh membiak dengan pantas dan sekali gus menyebabkan serangan respiratori.
Katanya, faktor pencemaran biologi merupakan aspek yang paling utama selepas bahan pencemar kimia kerana faktor kelembapan tinggi disebabkan cuaca tropika.
Selaput fungus kata beliau boleh membiak dan menyebarkan spora ke udara di dalam bangunan dengan pantas. Seterusnya ia masuk ke sistem respirasi dan memberi kesan alahan kepada pesakit lelah (asma) dan juga memberi kesan kegatalan kulit dan mata.
Selain itu, penggunaan sistem penghawa dingin yang tidak diservis dengan kerap akan menyebabkan pengumpulan bahan pencemar biologi yang akan mengakibatkan kesan alahan teruk dalam tempoh yang panjang.
Bagaimana untuk menjaga kualiti udara dalam rumah:
Syazwan menyarankan setiap pemilik kediaman dan juga bangunan memeriksa kualiti udara premis mereka dengan kerap dan berkala.
“Pemeriksaan setiap lima tahun sekali penting dalam memastikan udara yang kita sedut setiap hari bersih daripada sebarang pencemaran,” katanya.
Bahan pencemar yang ada dirumah katanya perlu diperiksa dan disimpan di tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik.
Penggunaan bahan pembersih alternatif atau bukan kimia katanya, sangat baik bagi menghilangkan kesan kotoran dan mengurangkan pencemaran kimia.
“Sebagai contoh kita menggunakan sodium bikarbonat untuk menyental kotoran pada lantai, ia berkesan dan tidak memudaratkan kesihatan. Begitu juga lemon yang boleh dijadikan bahan pencuci alternatif, sekali gus menjadikan kediaman berbau harum,” katanya.
Penggunaan bunga segar dan daun pandan boleh menggantikan haruman potpourri bagi mengharumkan kediaman.
Selain itu katanya, kini terdapat banyak produk dan cat mesra alam yang boleh didapati di pasaran dalam usaha memelihara alam sekitar.
Bagi pencemar biologi pula, teknologi ultra lembayung (UV) merupakan antara alat yang paling efisien dalam menghapuskan pencemar biologi.
“Kalau kita lihat orang dahulu, mereka membina rumah yang mempunyai pengaliran udara dan pencahayaan yang bagus. Selain itu, mereka juga suka menjemur alatan seperti bantal dan tilam, sebenarnya teknik ini mampu membunuh mikroorganisma yang terdapat di dalamnya,” kata beliau lagi.
Syazwan turut menyangkal dakwaan beberapa produk pendingin hawa yang terdapat dipasaran yang dikatakan berupaya menghasilkan udara segar.
“Memang ia berupaya merencatkan aktiviti mikroorganisma dan bakteria untuk seketika, namun apa berlaku bila pendingin hawa tidak dipasang? Bagaimana pula dengan penyelenggaraan yang tidak dipantau sempurna?” soal beliau lagi.
Tip udara bersih:
l Buka tingkap sekurang-kurangnya tiga kali setiap hari untuk ‘mencairkan’ udara kediaman yang tercemar.
l Selenggara pendingin hawa dengan kerap
l Pastikan susun atur perabot menggalakkan pengudaraan.
l Gunakan bahan pembersih dan penyegar kediaman semula jadi atau mesra alam.
l Gunakan alatan yang mampu memerangkap dan membunuh bakteria, kulat dan serta mikroorganisma yang terbukti berkesan secara klinikal.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment