Saturday, July 2, 2011

Terapi getaran warna

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto NOOR AZLINA JAAFAR

ZURINA memasukkan ais ke dalam mandian yang ingin dicuba pesakit.

PERCAYA atau tidak bahawa setiap warna mempunyai kuasa tersendiri dan anda tidak sepatutnya menyukai warna yang salah.

“Ada yang tidak sedar bahawa warna kesukaan mereka menyebabkan mereka menjadi lebih lemah dan tidak bersemangat,” kata Pengamal Perubatan Alternatif Terapi Getaran Warna (CVT), Zurina Zakariya.

Pemakaian warna yang tidak sesuai, katanya, menyebabkan antibodi di dalam badan seseorang lemah lalu menjadikan individu terbabit tidak bermaya.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, CVT merupakan suatu kaedah rawatan penyakit berasaskan sains fizik dan berkonsepkan Islamisasi ilmu yang menilai tahap-tahap spiritual, emosional, mental dan fizikal seseorang ke arah keseimbangan semulajadi secara tepat dan menyeluruh.

Rawatan yang diasaskan oleh Prof. Dr. Norhisham Wahab itu, menurutnya, mengesan penyakit dan masalah melalui kaedah kinesologi yang menggunakan otot tangan. Melalui pengesanan tersebut, pengamal akan mengesan warna diri atau aura seseorang bagi mengenalpasti tahap keperibadian yang menjelaskan ciri-ciri atau personaliti, pemikiran dan corak penghidupan.

Dengan mengenali diri, seseorang itu akan lebih bersemangat dalam kehidupan, lebih tenang dalam segala ruang yang dilalui dan menikmati keharmonian sepanjang masa.

Kata Zurina, di bawah CVT terdapat beberapa kaedah perawatan penyakit seperti penawar aroma terapi pati bunga dan yang paling popular konsep mandian atau rendaman ais (hidroterapi ais).

“Mungkin ada yang takut untuk mencuba kerana menganggap berendam dalam tab yang penuh ais adalah sesuatu yang tidak wajar, tetapi selepas mencuba anda akan merasai kesannya,” kata beliau.

Pada peringkat permulaan, jelasnya, pesakit akan merasa sejuk namun selepas beberapa minit suhu badan mereka akan sebati dengan air di dalam tab. Bukan air biasa yang digunakan, sebaliknya ia mengandungi air beralkali yang diyakini mampu melegakan banyak penyakit ditambah dengan beberapa titisan aroma terapi mengikut keperluan individu.

Warna diri

“Apabila hendak mengenali diri, anda dinasihatkan bermula dengan mengenali konsep warna dalam kehidupan.

‘‘Anda juga boleh mengetahui kelebihan, kekurangan, masalah kesihatan, ragam, perangai, tingkah laku, cara berfikir, perasaan, semangat, kelakuan dan tindak tanduk anda yang berkait rapat dengan inspirasi warna,” kata Zurina.

Namun, katanya, pemakaian warna mengikut hari pula akan membantu menyerlahkan penampilan seseorang.

Bercerita lebih lanjut tentang warna harian, katanya, warna putih elok dipakai pada hari Isnin kerana ia mengandungi rahsia roh yang melambangkan kesucian bagi memulakan kerja pada minggu tersebut.

Warna merah jambu dan ungu pula sesuai dipakai pada hari Selasa di mana ia menggambarkan kasih sayang.

“Hari Rabu sesuai berwarna biru yang menggambarkan kekuatan vokal dan jika anda ingin mengadakan sebarang temu janji, elok diadakan pada hari ini,” kata wanita itu.

Warna oren atau kuning pula katanya mampu merangsang bahagian perut dan ia sesuai dipakai pada hari Khamis manakala hari Jumaat cocok dengan warna hijau.

Hari Sabtu kata Zurina digambarkan dengan penyucian darah dalam tubuh badan melalui warna merah manakala hari Ahad sesuai dengan warna hitam.

CVT, kata beliau, sehingga kini telah membantu ramai pesakit pulih daripada sebarang masalah yang mereka hadapi secara perlahan-lahan melalui terapi yang ditawarkan. Bukan sahaja penyakit yang boleh dilihat dengan mata kasar, penyakit lain seperti sihir malah penyakit yang berkaitan dengan mental juga katanya mampu dipulihkan seandainya pesakit benar-benar mengikuti rawatan yang disyorkan. Namun begitu katanya, CVT bukanlah sejenis rawatan yang boleh pulih serta-merta, ia mengambil masa.

“Mereka yang sihat juga boleh menjadikan rawatan CVT sebagai satu terapi untuk kesejahteraan secara menyeluruh,” katanya lagi.

Selain daripada itu, pihaknya juga membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk mendalami ilmu CVT dengan mengikuti kursus yang ditawarkan. Yuran yang dikenakan RM1,000 manakala 100 pendaftaran awal hanya dikenakan RM300.

No comments: