Sunday, January 29, 2012

Komen atau masalah menghubungi

sebarang pertanyaan lanjut atau untuk menghubungi
boleh dibuat ke alamat aristonshah@yahoo.com

Saturday, January 28, 2012

Stres jejaskan produktiviti

Menjalankan tugas harian di pejabat banyak memerlukan kesabaran kerana tidak semuanya akan berjalan lancar seperti yang dirancang. Adakalanya sesuatu yang di luar jangkaan berlaku dan di sinilah terserlahnya kemahiran anda mengendalikan situasi tersebut.

Ada yang berasa seronok menghadapi cabaran baru dan mencari langkah untuk menyelesaikan tugas tersebut. Namun tidak kurang juga yang akan melenting dan bersungut kerana terpaksa berfikir dan berusaha lebih sedikit. Apabila keadaan ini berlaku, segala perasaan tertekan atau stres ini akan berkumpul dan terperangkap di dalam tubuh. Itu belum lagi suasana sekeliling yang banyak mempengaruhi keadaan kita bekerja. Jika dibiarkan, keadaan ini boleh menjejaskan cara kita berfikir dan mengakibatkan berbagai-bagai penyakit seperti darah tinggi, sakit dada, sengal-sengal badan dan macam-macam lagi. Masalahnya adakah anda sedar bahawa anda mengalami stres dan memerlukan penyelesaian?

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh, walaupun stres dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.

"Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari ia juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau menjangkakan, stres akan menjadi penyakit kedua tertinggi di Malaysia menjelang 2020.

Berdasarkan pengalaman Dr. Nor Hamidah, kebanyakan kes stres berpunca daripada masalah di tempat kerja.

Ia secara tidak langsung memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporakperandakan perkahwinan itu sendiri.

Justeru, beliau berharap masyarakat akan sedar bahawa stres yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada produktiviti kerja.

Bijak

Beliau menjelaskan, apabila seseorang mengambil berat tentang kesihatan mental, ia membantu untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara itu saling berkait.

"Seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti," katanya.

Dr. Nor Hamidah menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya mengambil masa untuk rehat dan berbincang dengan saudara atau teman terdekat.

"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti menyedarinya.

"Jika anda mengalaminya di tempat kerja, anda boleh berkongsi dengan rakan sekerja. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi. Ini kerana ubat bukanlah penyelesaian bagi stres," katanya.

Dr. Nor Hamidah memberitahu, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan.

Cuti sakit

Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.

"Sebab itulah setiap organisasi perlu ada pengurusan stres di tempat kerja agar tidak mengganggu produktiviti pekerja.

"Kita lihat banyak kejayaan menerusi pelaksanaan pengurusan stres di pejabat. Kajian syarikat McDonnel Douglas pada 1989 menunjukkan pengurusan stres di pejabat menurunkan 35 peratus kos penjagaan kesihatan pekerja. Pada 1995, Perkhidmatan Salah Tingkah Laku dan Kesihatan Mental mendapati pengurusan stres di tempat kerja menurunkan 35 peratus masalah stres pekerja dan meningkatkan produktiviti sebanyak 14 peratus," ujarnya.

Justeru tegasnya, setiap organisasi perlu merujuk pekerja yang stres kepada pakar psikiatri, psikologi atau kaunselor.

Kebiasaannya, pekerja yang berhadapan dengan stres akan diberi cuti sakit sehingga seminggu. Jika kes serius berlaku, rawatan boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.

"Ini penting untuk mengurangkan berlakunya beberapa masalah penyakit seperti darah tinggi, lelah, masalah kulit yang teruk seperti jerawat, psoriasis, ekzema, serangan jantung, sinus atau resdung, hilang fungsi seksual dan pembiakan, strok, masalah berat badan, gangguan tidur, cirit-birit atau sembelit, migrain, gangguan kebimbangan, ulser perut, sakit kepala dan kemurungan," katanya.

Oleh itu, kenali diri anda dan pastikan stres tidak berada pada tahap yang tinggi. Jangan sombong atau malu sekiranya anda mengalami stres kerana ia proses kehidupan yang semula jadi.

Anda sendiri perlu bijak mengatasinya untuk mengelakkan masalah stres ini berlarutan.

Rivaroxaban kurangkan risiko strok

STROK adalah punca kematian yang ketiga tertinggi di Malaysia selepas sakit jantung dan kanser. Anggaran 40,000 rakyat Malaysia menderita akibat strok setiap tahun.

Rentak jantung tidak tetap secara berterusan, ataupun digelar fibrilasi atrium (AF) berlaku apabila ruang atas jantung pesakit tidak dapat berdegup dengan betul sehingga mengakibatkan serangan strok yang mampu membawa maut.

AF berlaku apabila darah di dalam jantung tidak mengalir dengan lancar, berkumpul pada bahagian atrium lalu mengakibatkan penggumpalan darah.

Darah akan bergumpal membentuk ketulan darah beku yang sangat mudah tertanggal dan ia dibawa oleh aliran darah melalui arteri ke bahagian otak lalu menyebabkan serangan strok.

Secara global, penghidap AF mempunyai risiko strok lebih lima kali.

Simptom lazim AF termasuk rasa getaran, debaran atau degupan kuat di bahagian dada, keletihan, sesak nafas, rasa pening atau pitam.

Perunding Kanan Pakar Pulmonari dan Penjagaan Kritikal Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Jeyaindran Sinnadurai berkata, insiden AF semakin banyak berlaku memandangkan kekurangan usaha dan pengetahuan untuk menyekat faktor-faktor risiko AF.

"Pesakit dengan AF mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami strok yang mampu menyebabkan kehilangan keupayaan dan maut.

"Strok memusnahkan kehidupan berpuluh ribu pesakit dan keluarga mereka di Malaysia setiap tahun," katanya.

Bagaimanapun, katanya, berita baik bagi penghidap AF apabila risiko ini dapat dikurangkan dengan diagnos, rawatan serta pengambilan ubat yang betul dan sesuai.

Beliau yang ditemui pada pelancaran Xarelto daripada Bayer HealthCare, lega kerana produk terbaru itu yang juga dikenali dengan nama generik rivaroxaban - ubat antipenggumpalan darah oral ini akhirnya diluluskan di Malaysia.

Ia perlu diambil sekali sehari saja pada dos yang ditetapkan doktor serta tidak memerlukan pengawasan darah rutin.

Keberkesanan rivaroxaban dalam melindungi pesakit AF daripada risiko strok diyakini lebih efektif berbanding ubat-ubatan lain kerana ia kurang 'pantang-larang'.

mengawasi

Selama lebih separuh abad, pesakit AF menerima terapi antipenggumpalan melalui warfarin yang walaupun berkesan, mempunyai banyak kelemahan.

Pesakit yang mengambil warfarin mesti tegas mengawasi diet mereka kerana ia berinteraksi dengan banyak makanan yang biasa dan ubatan lain.

Tambahan pula, pesakit yang mengambil warfarin juga perlu kerap ke hospital untuk tujuan pengawasan.

Berdasarkan kajian klinikal yang dijalankan, rivaroxaban memberi kesan yang lebih baik kepada pesakit berbanding mereka yang mengambil warfarin dalam mengurangkan risiko menghidap strok sehingga 21 peratus.

Rivaroxaban sama efektif dan selamat seperti warfarin, bahkan turut memberikan manfaat tambahan dalam memudahkan pesakit AF.

B17 aprikot terapi metabolik kanser


Kanser payudara


TIDAK dinafikan lagi bahawa kanser adalah penyakit kronik yang menggerunkan masyarakat kerana ia bukan sahaja menyebabkan penderitaan malah menjadi punca kematian.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 10 juta kes baru kanser dikesan setiap tahun. Pada 2008, sejumlah 7.6 juta orang dilaporkan mati akibat kanser. Lebih membimbangkan melalui statistik yang dikeluarkan itu, dianggarkan kadar pesakit kanser akan meningkat sebanyak 12 juta kes pada 2030.

Data Majlis Kanser Nasional (MAKNA) pula merekodkan seramai 45,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit kanser setiap tahun dengan tiga daripada empat pesakit kanser gagal diselamatkan atau sembuh.

Menurut pakar pemakanan dan perubatan dari seluruh dunia, punca peningkatan bilangan kes kanser ini dikaitkan dengan faktor pemakanan yang tidak seimbang.

Ini kerana, pada zaman teknologi serba moden dan canggih, hampir 90 peratus makanan seharian bersifat asid dan mengandungi kadar aditif yang tinggi dan kurang berzat.

Akibatnya, tubuh badan berasid seterusnya menyebabkan sistem antibodi dan imunisasi akan menjadi lemah dan boleh mengundang penyakit kronik terutamanya kanser.

Vitamin B17 Aprikot

Sebarang pencarian mengenai rawatan dan pencegahan kanser akan membawa kepada penemuan vitamin B17. Mungkin bagi sesetengah individu vitamin B17 terlalu asing dan agak sukar untuk mempercayainya, namun ia sebenarnya telah lama ditemui dan terbukti mampu membantu terapi kanser.

Vitamin B17 adalah penawar semulajadi yang terdapat pada lebih 1200 jenis tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan terutamanya biji aprikot.

Malangnya tabiat pemakanan kita hari ini telah mengetepikan dan mengurangkan penggunaan B17 yang rasanya agak pahit tetapi berkesan mencegah kanser.

Kenyataan tersebut disokong oleh bukti kejayaan hasil penemuan pada 1950 oleh pakar biokimia, Dr. Ernest T Krebs yang berjaya mencungkil rahsia kehebatan vitamin B17 dalam rawatan kanser.

Selain itu beberapa saintis perubatan yang lain juga turut memperakuinya. Antaranya, Dr. Micheal Tait, Fountain of Life Clinic, Gold Coast, Australia yang berkata: “Kanser adalah penyakit metabolik, terdapat bukti kukuh bahawa berlaku pengurangan Vitamin B17 dalam makanan harian menjadi penyebab utama seseorang mendapat kanser.”

Pakar Kanser Jerman, Dr. Dean Burk pula berkata; “Di bawah mikroskop, kami masukkan B17 ke atas sel kanser dan kami dapati sel-sel kanser tersebut mati dengan cepat sekali.”

Daripada penyelidikan, biji aprikot yang menjadi makanan kaum Hunza menjadikan mereka bebas kanser,sihat dan lanjut usia sehingga lebih 120 tahun.

Hasil kajian juga mendapati haiwan liar tidak akan dijumpai mati akibat kanser sebaliknya haiwan yang dipelihara di dalam zoo kemungkinan besar akan mati akibat kanser walaupun diberi makanan yang kaya nutrient namun tidak mengandungi vitamin B17.

Jepun adalah contoh terbaik kerana merekodkan kadar kanser paling rendah di dunia. Walaupun dikatakan negara serba moden serta mempunyai persekitaran kehidupan yang kian terancam akibat kemodenan, namun negara tersebut mempunyai kadar kesihatan tinggi dengan usia mencecah 90 tahun, impak daripada pengamalan diet seimbang yang mengandungi vitamin B17.

Terapi kanser

Pakar perubatan berpengalaman dan bekas Ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM yang juga penaung produk Apricon Farmas Health, Profesor Madya Dr. Syed Zainal Husin Wafa mengakui biji aprikot mengandungi vitamin B17 paling tinggi berbanding tumbuhan lain dan dapat membantu mencegah dan merawat penyakit kanser.

Dalam terapi metabolik, apabila vitamin B17 bertindak balas dengan sel kanser, enzim betaglucosidase dalam sel kanser itu berupaya menguraikan elemen vitamin B17 seterusnya mematikan sel kanser.

Vitamin B17 sememangnya cukup unik kerana tugasnya hanya menyerang sel kanser dan sel-sel yang tidak normal.

Ia juga dapat membantu meningkatkan keseimbangan PH dalam tubuh, memperlahankan penyebaran kanser, mengurangkan kandungan kolestrol dan membantu merawat penyakit jantung dan diabetes.

Bagaimanapun katanya, biji aprikot mentah yang dimakan begitu sahaja amat berbahaya kerana terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantarannya ke Malaysia dan boleh menyebabkan keracunan serta kesan sampingan yang negatif terhadap tubuh badan.

Menyedari hakikat tersebut, syarikat pengeluar barangan kesihatan, TK Farmas Solution & Industries mengeluarkan satu produk berasaskan vitamin B17 Aprikot yang dikenali sebagai Apricon Farmas Health.

Apricon Farmas Health adalah produk terunggul di Malaysia dengan formulasi hebat 100 peratus biji aprikot yang dikisar halus dengan kawalan farmaseutikal tinggi tanpa sebarang campuran bahan kimia bagi mengekalkan kandungan vitamin B17 paling optimum, yang amat diperlukan oleh manusia untuk meningkatkan sistem ketahanan dan imunisasi tubuh badan.

Sementara itu, Presiden Kelab Prostar Malaysia, Dr. Ismail Lasa berkata; “Apricon Farmas Health kaya dengan vitamin B17 dan dapat membantu meningkatkan kecergasan seseorang sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan.

Produk Apricon farmas Health tidak perlu diragui kerana telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan kini berada di pasaran.

Nas Adila kongsi cara langsing


Selepas tiba di pusat kecantikan, ZZ Beauty, Nas Adila menimbang berat badan dan mendapatkan khidmat nasihat daripada kakitangan di situ.


APAKAH aktiviti menarik yang dapat memecah kebosanan anda pada hujung minggu ? Mungkin sebelum ini anda menghabiskan masa dengan berkunjung ke pusat beli-belah, taman tema atau melepak bersama rakan-rakan mahupun keluarga di lokasi sekitar ibu kota.

Tidak kurang juga yang bersenam di taman-taman atau pusat gim untuk menguruskan badan.

Apa salahnya kali ini keluarkan sedikit bajet dengan melakukan rawatan spa atau melangsing badan sebagai aktiviti hujung minggu .

Ini kerana rawatan secara santai ini dapat merehatkan minda dan melangsingkan tubuh badan anda.

Itulah aktiviti yang sering dilakukan oleh artis, Nas Adila, 25 kalau tidak sibuk dengan kegiatan seni suara dan beliau boleh menghabiskan masa seharian di pusat kecantikan.

“Sejak dulu lagi saya suka datang ke pusat kecantikan. Biasalah orang perempuan mesti jaga kecantikan kerana penjagaan itu penting.

"Saya cuba cari masa untuk datang ke sini kerana setiap kali selepas menjalani rawatan, diri terasa segar. Saya juga mengambil makanan suplemen untuk kelihatan cantik dan langsing. Saya mengambil D’Apple Fiber untuk mengatasi sembelit dan perut buncit," katanya.

Bantu bayi tidur lena

BANGUN malam akibat tangisan bayi adalah satu keadaan normal bagi pasangan suami isteri yang beranak kecil.

Puncanya mungkin si kecil kembung perut, lampin basah atau diganggu makhluk halus?

Bagaimanakah ibu bapa dapat membendung masalah ini?

Kajian tidur antarabangsa yang dijalankan oleh Johnson & Johnson dan Asia Pacific Paediatric Sleep Alliance (APPSA) pada akhir tahun lepas mendapati seramai 997 ibu bapa melaporkan bayi mereka mengalami kesukaran untuk tidur lena.

Sebanyak 47 peratus atau hampir setengah daripada ibu-ibu yang terlibat dalam kajian tersebut memberitahu, mereka tidak mempunyai rutin waktu tidur yang sama bagi kebanyakan malam.

Sebanyak 45 peratus atau hampir setengah ibu bapa pula berpendapat bayi mereka mempunyai masalah tidur manakala 20 peratus lagi mengadu bahawa waktu untuk menidurkan bayi adalah terlalu sukar.

waktu tidur

Pakar Perunding Kanak-kanak Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Norzila Mohamed Zainudin berkata, waktu tidur kanak-kanak di negara ini secara puratanya pada pukul 9 malam ke atas. Ia sebenarnya mengganggu waktu tidur bayi.

Berbeza dengan negara seperti Australia dan United Kingdom, kanak-kanak akan tidur sebelum 8 malam atau secara puratanya, 13 jam.

Di Jepun dan Korea pula, kebanyakan ibu bapa melakukan rutin khusus untuk menidurkan bayi.

"Kekurangan rutin waktu tidur teratur dan menikmati tidur yang baik dalam jangka masa panjang akan menjejaskan daya ingatan, kebolehan belajar dan kesihatan bayi," katanya.

Dr. Norzila menambah, kepentingan rutin waktu tidur yang tetap adalah bertujuan membantu kanak-kanak mengenali waktu malam serta menetapkannya sebagai masa untuk berehat dan tidur.

Selain itu, bayi memerlukan tidur yang berkualiti untuk membantu tumbesaran dari segi perkembangan sosial, kongnitif dan fizikal.

Katanya, waktu tidur bayi yang baru lahir adalah selama 16 hingga 20 jam, manakala bayi yang berusia dua hingga tiga bulan menikmati waktu tidurnya lebih kurang 12 hingga 14 jam.

Justeru itu, Dr. Norzila menasihatkan ibu bapa supaya menidurkan anak lebih awal iaitu sebelum 9 malam dan melakukan rutin tidur untuk bayi.

"Kebanyakan ibu bapa pada hari ini bekerja. Kesesakan lalu lintas dan kekangan masa akan menyebabkan mereka sampai lewat di rumah. Kebanyakan bayi pula akan menghabiskan masa dengan bermain, merangkak dan berjalan ketika ibu bapa mereka di rumah. Justeru, si ibu perlu memainkan peranan penting dalam mencari masa yang sesuai untuk menidurkan mereka," ujarnya.

Tambah Dr. Norzila, waktu menidurkan bayi sebenarnya bergantung kepada rutin ibu bapa itu sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu menidurkan mereka sebelum melakukan kerja-kerja rumah.

Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran Johnson & Johnson Sdn. Bhd Asia Pasifik, Robert Kwon berkata, tiga langkah boleh dilakukan dalam rutin menidurkan bayi.

Robert menjelaskan tiga cara mudah iaitu mandian air suam atau mengelap bayi dengan menggunakan kain lembap suam. Kemudian, lakukan urutan lembut untuk merehatkan bayi dan diakhiri dengan aktiviti waktu tidur bayi yang sunyi seperti menyanyi, bercerita atau bercakap dengan perlahan.

menikmati

"Tujuan utama tiga langkah ini diwujudkan adalah untuk memudahkan bayi menikmati waktu tidur malam yang berkualiti tanpa ada sebarang gangguan.

"Amalan rutin tiga langkah ini sememangnya memberi kesan mendalam terhadap perkembangan minda dan tumbesaran bayi pada masa hadapan," ujarnya.

Robert turut menggalakkan ibu bapa menyertai bengkel rutin tidur bayi anjuran Johnson's Baby pada 8 April depan. Bengkel ini bertujuan memberi panduan tentang teknik memandi dan mengurut bayi untuk tidur dan pembesaran yang sihat. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari www.facebook.com/iLoveJohnsonsbaby.com.

Keputihan melampau

Soalan:
Saya seorang wanita yang sudah berkahwin hampir dua tahun tetapi masih belum mempunyai cahaya mata. Dalam tahun kedua perkahwinan, saya mengalami keputihan yang sangat melampau sampaikan berketul-ketul. Pada masa sama, saya selalu berasa sakit yang teramat sangat di bahagian bawah perut sampailah ke pinggang. Selepas bersama suami mesti dia akan tanya kenapa banyak air warna putih berketul-ketul keluar. Saya pun tak tahu apa puncanya. Saya harap doktor dapat membantu.

Terima kasih.

- A, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Istilah "keputihan" adalah simptom yang lazim dialami oleh wanita. Penyebab utamanya sejenis kulat (jamur) yang dikenali sebagai candida albicans. Keputihan yang disebabkan oleh candida albicans dikenali dengan vulvovaginal candidiasis.

Permasalahan ini kerap berlaku kepada gadis dan juga wanita dewasa. Simptom umum yang biasa muncul adalah rasa gatal teramat sangat pada bahagian luar faraj, kemerahan dan terkadang bengkak pada bahagian labia majora (bibir luar kemaluan), pengeluaran cairan daripada faraj yang berwarna putih dan berkeladak serta berketul-ketul menyerupai susu basi. Penghidap mungkin juga mengalami rengsa atau rasa sakit semasa hubungan seks.

Dalam keadaan normal, kehadiran candida albicans dalam tubuh manusia tidak menimbulkan gangguan. Gangguan hanya akan muncul apabila keseimbangan populasi flora normal ini mengalami perubahan.

Perubahan keseimbangan flora normal dalam faraj terjadi kerana pengambilan ubat perancang kehamilan, menstruasi, semasa hamil, membasuh bahagian faraj dengan sabun atau pencuci faraj secara berlebihan. Ini dapat menyebabkan perubahan hormon yang akhirnya akan mempengaruhi keasidan pH pada bahagian faraj. Adanya perubahan pH ini akan mempengaruhi keseimbangan flora normal yang ada di dalamnya dan menyebabkan flora yang tidak normal membiak secara berlebihan.

Rawatan untuk masalah keputihan dilakukan dengan menggunakan ubat antikulat (antijamur). Tindakan tanpa ubat yang patut juga dipraktikkan adalah dengan menghindar penggunaan sabun atau parfum pada bahagian faraj untuk mencegah iritasi, menjaga agar bahagian tersebut tetap bersih dan kering dan mengelak pakaian dalam yang ketat dan tidak dapat menyerap peluh. Ubat-ubatan antijamur (dalam nama generik) seperti klotrimazol, mikonazol, ekonazol, nystatin, ketokonazol, itrakonazol, dan flukonazol, boleh didapati di klinik-klinik dan farmasi. Ubat-ubatan tersebut dapat digunakan secara oral, diminum atau digunakan langsung pada bahagian faraj.

Hendaklah berjumpa dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Pencegahan

Anda disaran menjaga bahagian sulit supaya bersih dan tidak lembap dengan menggunakan pakaian dalam serap peluh diperbuat daripada kain kapas.

Penggunaan cairan pembasuh faraj harus secara bijaksana dengan mengetahui suatu prinsip bahawa bahagian itu bersifat asid yang juga lingkungan biasa bagi flora normal (mikroorganisma yang dalam jumlah normal tidak menyebabkan penyakit).

Adanya perubahan lingkungan normal tersebut, misalnya dengan penggunaan pembersih cecair faraj yang bersifat alkali (mengandung sabun) dapat meningkatkan pertumbuhan flora secara abnormal.

Jadi hendaklah menggunakan pencuci atau pembersih faraj secara berpada-pada dan tidak keterlaluan.