Sunday, April 10, 2011

Benarkah telefon bimbit punca lelaki mati pucuk

GEORGE TOWN – Lelaki yang gemar menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar berdepan risiko kerosakan sperma termasuk mati pucuk.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M. Mohamed Idris mendakwa, penggunaan telefon bimbit untuk tempoh yang panjang didakwa mengurangkan produktiviti sperma lelaki.

Ini berikutan hasil kajian CAP tahun lalu menunjukkan kaitan antara sperma berkualiti rendah dengan tempoh penggunaan telefon bimbit dalam sehari.

Menurut beliau, pengguna yang membuat panggilan telefon bimbit lebih daripada empat jam sehari mempunyai bilangan sperma yang paling kurang dan paling rendah kualitinya.

“Penemuan itu menyarankan bahawa berjuta-juta lelaki di dunia ini kemungkinan menghadapi kesukaran menjadi bapa kerana kerap menggunakan telefon bimbit.

Katanya, doktor percaya kerosakan sperma mungkin disebabkan oleh radiasi elektromagnetik dari telefon bimbit atau haba yang dihasilkannya.

“Oleh itu, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan menjadi satu lagi faktor yang menyumbang kepada penurunan bilangan sperma selain obesiti, merokok dan tekanan,” katanya.
Beliau menjelaskan pengeluar telefon bimbit juga sudah mengeluarkan amaran mengenai risiko penggunaan telefon bimbit terhadap kesihatan.

Contohnya, syarikat Apple dalam buku panduannya memberi amaran kepada pengguna supaya menjauhkan iPhone Inc jarak sekurang-kurangnya 15mm dari tubuh.

Berikutan risiko penggunaan telefon bimbit itu, SM Mohamed menggesa kerajaan supaya mewajibkan setiap telefon bimbit mempunyai tanda amaran bahawa alat telekomunikasi itu berpotensi menjejaskan kualiti sperma dan meningkatkan risiko tumor otak.

Kerajaan juga perlu memberi amaran kepada ibu bapa supaya tidak membenarkan anak mereka yang berusia 12 tahun ke bawah menggunakan telefon bimbit melalui kempen.

No comments: