Dalam proses liposuction, lemak yang disedut keluar adalah lemak lapisan pertama dan lapisan kedua.
LIPOSUCTION atau bahasa pasarnya sedut lemak adalah proses menghapuskan lemak dari lapisan bawah kulit. Untuk memahami apa itu liposuction, kita mesti memahami kulit, lemak badan dan struktur-struktur lemak.
Kulit bukan sahaja menjadi penutup badan malah ia adalah organ terbesar pada tubuh badan. Fungsi kulit di antaranya menghalang kita menjadi dehidrasi, menghalang organisme memasuki badan dan pelindung kepada cahaya ultraviolet matahari. Kulit terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis, dermis dan hypodermis. Epidermis dan dermis merupakan lapisan di mana kelenjar sebum, melanocyte, saraf, rambut tumbuh dan deria sentuh berada.
Lapisan yang terlibat dalam liposuction adalah hypodermis iaitu tempat lapisan lemak subkutan berada. Walaupun terdapat bahagian badan yang lain tempat menyimpan lemak seperti dalam rongga perut dan di sekitar organ dalaman, tetapi di hypodermislah di mana 50 peratus daripada jumlah ke semua lemak badan tersimpan. Fungsi lemak di hypodermis adalah sebagai penebat , insulasi dan penyimpan tenaga.
Fungsi sel lemak adalah untuk menyimpan bahan kimia lipid yang menyediakan tenaga untuk tubuh. Tenaga ini disimpan sebagai lemak dalam sel lemak. Sebenarnya lemak secara terus-menerus dimasukkan ke dalam dan dibawa keluar daripada setiap sel lemak. Apabila pengunaan tenaga lebih sedikit daripada penyimpanan tenaga, maka ketidakseimbangan boleh berlaku. Secara umumnya jika anda makan terlalu banyak tetapi terlalu sedikit menggunakan tenaga, lemak terkumpul. Kegemukan juga boleh terjadi apabila proses mengeluarkan lemak dari sel lemak terganggu seperti ketidakseimbangan hormon dalam badan.
Ada tiga lapisan lemak pada tubuh iaitu dua lapisan lemak pada kulit dan satu lapisan lemak di dalam tubuh badan yang dikenali lemak viscera. Lapisan lemak pertama adalah lapisan yang membentuk selulit jika berlebihan. Lapisan lemak kedua dipisahkan oleh sejenis lapisan yang dikenali sebagai fascia dari lapisan lemak pertama.
Dalam proses liposuction, lemak yang disedut keluar adalah lemak lapisan pertama dan lapisan kedua. Oleh itu, masalah selulit juga boleh dirawat dengan kaedah liposuction.
Secara dasarnya, lemak disimpan di tubuh dalam dua bentuk utama. Pertama adalah bentuk gynoid. Ia merujuk kepada pengumpulan lemak di bahagian bawah badan, pinggul, paha dan punggung dan memberi bentuk pir. Bentuk kedua adalah android di mana lemak lebih tertumpu berkumpul di bahagian atas badan dan memberi bentuk epal. Namun begitu ia bukanlah satu kemestian sebaliknya hanyalah sebagai panduan sahaja.
Orang yang mempunyai badan berbentuk epal selalunya mempunyai masalah lapisan lemak visceral (lapisan ketiga) yang tebal. Mereka biasanya berperut buncit. Penjagaan diet dan senaman sangat penting untuk mengurangkan lapisan lemak viscera. Namun begitu masalah hormon atau ketidakseimbangan hormon boleh menyebabkan peningkatan lapisan lemak visceral (lemak dalam perut).
Peratusan lemak di dalam tubuh berubah-ubah dan dipengaruhi oleh hormon seperti insulin , estrogen dan testosteron. Apa yang anda perlu tahu apabila mencapai akil baligh, jumlah sel lemak dalam badan akan tetap dan tidak bertambah kecuali jika anda menjadi tersangat gemuk. Selepas akil baligh, sel lemak hanya akan bertambah jika berat badan anda menjadi 200 peratus daripada berat badan ideal. Oleh itu peningkatan dan penurunan berat badan anda sekarang adalah kerana sel lemak itu mengempis atau mengembang. Oleh itu, satu cara untuk membuang sel lemak secara kekal adalah dengan melakukan liposuction.
Sedut lemak adalah prosedur membuang sel lemak. Sel lemak akan hilang buat selama-lamanya selepas disedut. Namun begitu, jika anda tidak menjaga pemakanan atau melakukan senaman, sel-sel lemak yang tertinggal boleh mengembang dan menyebabkan berat badan anda bertambah.
Ingin diperjelaskan bahawa, sedut lemak bukanlah jalan termudah untuk menghilangkan berat badan atau sebagai jalan untuk membuang lemak dengan cepat. Jalan yang terbaik dan paling selamat adalah dengan menjaga diet dan senaman di samping memperbetulkan ketidakseimbangan hormon. Menjaga makan dan senaman boleh memperbetulkan fungsi badan dan menghilangkan berat badan.
Namun begitu, jika anda telah menjaga pemakanan yang sihat dan betul, telah memperbetulkan hormon dan bersenam tetapi masih juga terdapat lapisan lemak di bahagian perut, saddlebags, dada,lengan atau paha maka liposuction boleh membantu.
Kini terdapat pelbagai kaedah liposuction yang selamat seperti laser liposuction, power assisted liposuction, vaser liposuction, body jet liposuction dan sebagainya. Setiap satu prosedur mempunyai kelebihan masing-masing. Namun begitu, yang paling penting adalah kemahiran dan pengalaman doktor yang melakukannya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment