Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto MOHD NOOR AMIN
Shafiqa berhati-hati mencari titik akupunktur seorang pelanggan yang ingin mendapatkan rawatan.
HAJAT hati sudah lama ingin mencuba. Namun, rasa takut menguasai diri. Reaksi beberapa teman yang menjadikan rawatan itu sebagai amalan, ia tidak sakit malah badan terasa lebih ringan dan bertenaga.
Akhirnya diri digagahkan juga untuk merasa sendiri bagaimana akupuntur dilakukan. Empat tusukan jarum halus, dua di bahagian tangan dan dua di kaki, pada mulanya hanya seakan gigitan semut. Ia hilang tidak lama kemudian, namun perasaan debar masih bersisa.
Selepas 30 minit mencuba, ternyata ia tidak sakit seperti disangka dan kesannya - urat saraf terasa seperti ‘dicaj’ semula.
Pengamal Homeopati, Nur Shazatul Shafiqa Ab. Gafa, berkata, rawatan akupunktur sebenarnya berfungsi meredakan kesakitan terutama yang berkaitan dengan saraf tanpa menggunakan sebarang dadah atau racun.
“Tidak semestinya berpenyakit, akupunktur juga ibarat satu terapi yang baik untuk kesihatan menyeluruh. Ia hanyalah rawatan alternatif dan yang paling penting, tidak memudaratkan badan” katanya yang bertugas di Pusat Homeopati dan Akupunktur Dr. Nik Omar di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Beliau yang telah bertugas lebih tiga tahun di situ berkata, rawatan jenis itu telah diamalkan dalam perubatan China sejak 4000 tahun dahulu untuk merangsang urat saraf dan dipercayai mampu membantu merawat pelbagai jenis penyakit. Namun katanya, perubatan cara akupuntur mengambil masa yang lama dan kadangkala ia digabungkan bersama homeopati.
Antara pesakit yang biasa mendapatkan
rawatan akupunktur adalah migrain, lumpuh muka (bell palsy), sakit pinggang, slip disc, sakit lutut di kalangan orang tua, gastrik, senggugut, kebas kaki atau tangan dan sebagainya.
Kata Shafiqa, rawatan yang diberi biasanya mengikut simptom yang dinyatakan pesakit. Setelah mengenalpasti bahagian tubuh yang dinyatakan, tusukan jarum dibuat selama 30 hingga 45 minit bergantung pada pesakit.
“Untuk mereka yang pertama kali datang, kita akan buat sekitar enam hingga 10 batang jarum. Bagi mereka yang berpenyakit serius pula, stimulator elektrik mungkin dipasang untuk menambah rangsangan pada jarum,” katanya.
Akupunktur juga kata beliau sesuai untuk kanak-kanak asalkan mereka boleh duduk diam sepanjang rawatan. Namun, Shafiqa tidak mengesyorkan ibu-ibu mengandung terutama tiga bulan pertama dan tiga bulan terakhir untuk melakukannya.
“Satu lagi untuk mereka yang ingin mencuba, buangkan rasa takut kerana kadangkala ia boleh menyebabkan rasa sakit bila kita stres kerana badan kita menjadi tegang,” tambahnya lagi.
Testimonial
Adik Afiq Irfan Abdul Rashid berusia lima tahun mengalami autisme peringkat ringan. Menurut ibunya, Hanifah Abdullah, perkembangan Afiq agak berbeza berbanding dengan dua orang abangnya.
“Dia lambat bertutur dan tidak suka berkomunikasi. Dia juga tidak gemar kepada aktiviti melibatkan kemahiran motor seperti menulis dan melukis,” kata wanita itu.
Disebabkan risau dengan keadaan itu, Hanifah membawa anaknya menjalani ujian khas dan pakar mengesahkan anak itu mengalami masalah tersebut.
Beberapa penyelesaian disorkan,antaranya Afiq dihantar ke sekolah bagi membiasakan dia bergaul dengan rakan sebaya. Dia juga menjalani terapi pertuturan dan kemahiran motor di salah sebuah hospital terkemuka.
Melalui pembacaan Internet, Hanifah mengetahui manfaat akupunktur yang mampu merangsang saraf individu. Tanpa berlengah, dia membawa anaknya mendapatkan rawatan akupuntur di Pusat Rawatan Homeopati dan Akupunktur, Dr. Nik Omar akhir tahun lalu.
Afiq menjalani rawatan setiap minggu. Menurut ibunya, ketika pertama kali menerima rawatan, anak bongsunya itu langsung tidak menunjukkan reaksi ketika jarum akupuntur ditusuk di kepalanya.
“Namun kini, Afiq mula menunjukkan tindak balas seperti rasa sakit. Kami yakin ia petunjuk yang baik,” kata beliau.
Hanifah juga gembira kerana Afiq kini sudah menunjukkan banyak peningkatan hasil mengikuti terapi pertuturan, menghadiri kelas di samping mendapatkan rawatan akupunktur.
Menurut Shafiqa yang menjalankan rawatan akupuntur kepada Afiq, jarum yang diberi pada kanak-kanak itu sekitar empat hingga lima batang setiap rawatan.
“Disebabkan dia leka bermain permainan video, dia boleh bertahan lebih kurang 30 minit sepanjang rawatan. Jika tidak, sekadar 15 minit sudah mencukupi,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment