Friday, December 14, 2012

Obses soal kesihatan


HANYA akan mendirikan rumah tangga setelah impiannya tercapai.
MENINGKATNYA pelbagai jenis penyakit kronik seperti kanser di kalangan masyarakat Malaysia membuatkan Nurul Asyikin Ishak, 27, mengambil langkah berjaga-jaga mulai sekarang.
Ringkas dengan panggilan Syikin, wanita tinggi lampai ini mengakui, jumlah pesakit kanser yang meningkat tahun demi tahun menjadikannya semakin berhati-hati terutama daripada segi pemilihan makanan.
"Walaupun faktor makanan mungkin bukan menjadi sebab utama kepada penyakit yang amat digeruni oleh setiap orang ini, namun langkah awal dan mudah yang boleh dilakukan oleh seseorang ialah dengan mengamalkan pemakanan yang sihat.
"Kesedaran ini timbul setelah diberitahu oleh seorang ustaz bahawa ayam dan daging tidak selamat untuk dimakan kerana telah disuntik dengan ubat dan hormon.
"Oleh sebab itu sejak setahun lalu saya memilih untuk tidak lagi makan ayam dan daging yang saya percaya jika diambil berpanjangan boleh menjurus kepada penyakit-penyakit berbahaya.
"Saya kini banyak makan sayur dan ikan. Mujur perut saya perut Melayu dan kurang gemar dengan makanan-makanan Barat dan sebagainya.
"Nak kata obses mungkin boleh jugalah, kerana bagi saya kesihatan yang baik adalah satu anugerah Tuhan yang perlu dijaga dan tidak harus dipandang remeh," ujar pengurus akaun di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di ibu negara itu.
Syikin yang ditemui ketika berkunjung ke studio Utusan Malaysia baru-baru ini menambah, kesedaran itu timbul setelah ibu saudaranya disahkan menghidap kanser payudara hingga terpaksa menjalani pembedahan serta rawatan-rawatan yang bersangkutan seperti kemoterapi dan radioterapi.
Menurutnya, mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit kronik itu memungkinkan dirinya untuk turut dihidapi penyakit tersebut kerana salah satu punca daripada penyakit itu ialah berkaitan keturunan.
"Siapa yang hendak sakit, tetapi jika sudah ditakdirkan kita harus terima dan tempuhi segala kesakitan dan keperitannya.
"Setidak-tidaknya kita telah berusaha untuk mengelaknya dan tidak akan kesal sangat. Banyak lagi makanan yang kita boleh makan dan tidak rugi jika kita mengelak makanan yang berisiko," jelasnya.
Syikin yang sebelum menyandang jawatan sekarang pernah bertugas sebagai eksekutif pembangunan perniagaan dan pegawai perhubungan awam berkata, dalam sebarang pekerjaan yang dilakukannya dia harus komited dan bersungguh-sungguh.
Tugasnya kini yang menguruskan akaun korporat pelanggan memerlukan waktu bekerja yang tidak menentu sehingga malam.
Malah pada hari Sabtu dan Ahad yang merupakan hari bercuti, dia perlu menjawab emel atau membalas panggilan pelanggan.
Mengubah topik perbualan kepada bidang peragawati yang dilakukannya secara sambilan, pemegang Ijazah Komunikasi Massa pengkhususan Perhubungan Awam daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) ini berkata, dia telah terlibat dalam dunia peragawati sejak berusia 17 tahun lagi.
Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Shikin bermula dengan menyertai sebuah agensi peragaan dan setelah menimba pengalaman beberapa tahun, dia memilih untuk menjadi peragawati sambilan.
"Salah satu sebab utama saya berminat dalam bidang peragawati ialah untuk mencari pendapatan sampingan.
"Saya seorang yang berdikari dan tidak mahu menyusahkan ibu saya. Walaupun ibu bekerja, sebagai anak sulung sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu keluarga.
"Selain itu, saya suka bergaul dengan orang dan dapat berjumpa dengan pelbagai golongan manusia. Yang seronoknya daripada muka selekeh, selepas disolek nampak anggun dan cantik," ujar Syikin yang tugasnya sekarang juga perlu berjumpa dengan ramai orang dan melayani kerenah mereka.
Menurut Syikin, kerjaya sambilan sebagai peragawati banyak membantu dalam kerjaya tetapnya.
Namun demikian, dalam manis ada juga kepahitan.
Kata Syikin, antara pengalaman pahit yang dialami ialah apabila ditipu oleh agen dan tidak mendapat bayaran atas kerja yang dilakukan.
Syikin yang pernah muncul dalam iklan Laurier Thailand dan Indonesia ini mengakui bahawa dia bukanlah jenis orang yang cerewet dan tidak kisah dengan perangai orang.
Menurutnya, dia boleh berkawan dengan siapa sahaja dan tidak mahu menilai perangai orang kerana pada pendapatnya siapalah dia untuk menilai perangai manusia.
Bertanya sehingga bila dia akan meneruskan minatnya dalam bidang peragawati, anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, mungkin setelah berumahtangga nanti dia akan berhenti memperaga dan menumpukan kepada rumah tangga.

No comments: