Monday, December 3, 2012

Kualiti hidup selepas menopaus


KURANGNYA pendedahan terhadap gejala menopaus dan bagaimana menanganinya menyebabkan masyarakat sukar menerima kehadirannya. Apatah lagi, anda tidak tahu bila menopaus akan tiba. Dan pastinya anda juga tidak mahu ia memberi kejutan kepada anda. Dalam hal ini, wanita harus bersikap positif dan menganggap kehidupan mereka akan bertambah baik selepas mengalami menopaus (putus haid).
Ini kerana sebagai wanita, anda perlu bersedia dengan beberapa siri perubahan biologi tubuh dalam meniti setiap fasa kehidupan.
Perubahan akan berlaku termasuklah pusingan haid yang menandakan kematangan tubuh wanita, konsepsi, kehamilan, kelahiran dan menopaus .
Apa yang pasti, setiap fasa perubahan ini membabitkan rasa tidak selesa sama ada secara emosi mahupun fizikal.
Perubahan ini menjadi kebimbangan kepada wanita yang sukar berhadapan dengan kehidupan selepas menopaus .
Ada pelbagai teori yang mungkin dapat menjelaskan kebimbangan wanita terhadap menopaus.
Pada masa lalu, keupayaan mendapat zuriat amat dipentingkan dan kehilangan upaya wanita untuk mengandungkan anak mungkin menjejaskan kepentingannya dalam masyarakat.
Malah penekanan hari ini terhadap awet muda memberi tekanan besar terhadap wanita untuk melengahkan dan menafikan proses penuaan termasuk menopaus .
Persepsi yang tidak tepat ini menimbulkan salah faham dan cara pengurusan menopaus yang tidak tepat, menjadikannya satu pengalaman perit, bukan sahaja bagi wanita bahkan orang tersayang.

No comments: