"Sebelum itu hanya demam biasa. Namun saya langsung tidak mengalami gejala demam denggi seperti loya, muntah atau sakit sendi. Saya mengesyaki ini hanya perkara biasa," ujarnya ketika berkongsi pengalaman menghidap demam denggi anjuran SC Johnson dengan kerjasama Kementerian Kesihatan sempena Hari Denggi ASEAN, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Seterusnya Sasha memberitahu, dia berkunjung ke klinik mendapatkan ubat bagi melegakan demam, namun suhu badan tetap tidak surut.
"Doktor ada mengingatkan saya, jika demam tidak baik dalam masa tiga hari, saya perlu datang semula ke klinik untuk pemeriksaan susulan.
"Selepas itu, saya dapati suhu panas badan masih tidak turun. Wajah saya juga menjadi pucat.
"Saya segera memberitahu suami dan dia terus menghantar ke klinik yang akhirnya menyuruh saya merujuk ke hospital kerana suhu badan yang panas," kata Sasha.
Ketika di hospital, dia terus dimasukkan ke wad kecemasan selama setengah jam untuk membuat ujian darah.
Setelah disahkan menghidap demam denggi, dia dimasukkan ke wad selama lima hari.
Pada mulanya, Sasha mengakui agak keliru apabila disahkan menghidap demam denggi.
Bagi Sasha, pengalaman menghidap denggi itu menyebabkan dia trauma apabila melihat nyamuk berterbangan.
Selepas dua tahun, suaminya pula disahkan menghidap demam denggi.
"Saya sangat takut ketika itu namun bersyukur kerana semuanya selamat. Sejak itu, kami begitu mementingkan kebersihan alam sekitar.
"Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa saja dan tidak mengira tempat. Disebabkan itu, kami lebih peka dengan kebersihan tidak kira di mana," katanya..
Jelas Sasha, apabila berada di tempat letak kereta yang ada sampah atau air bertakung, dengan segera dia dan suami akan membersihkannya.
Seorang lagi yang pernah menghidap demam denggi dan berkongsi pengalaman, Suzanne Selvarajah, menyatakan dia diserang virus berkenaan sebanyak dua kali.
"Ketika itu pada tahun 2000, saya disahkan menghidap demam denggi dan dimasukkan ke wad selama empat hari dan mengambil ujian darah bagi menentukan tahap jangkitan.
"Selepas empat hari, virus denggi dalam tubuh semakin pulih dan kehidupannya kembali seperti sedia kala,"katanya.
Namun, katanya, kejadian sama berulang pada tahun 2008 dan dia mengalami gejala sama iaitu demam pada suhu tinggi melebihi 39 darjah celsius walaupun sudah mengambil ubat.
"Sekali lagi saya dimasukkan ke wad. Tiga hari berada di situ saya dimasukkan plasma beku dan tidak lama selepas itu bintik merah muncul pada seluruh badan.
"Ketika itu, doktor membawa saya ke bilik air dan menyiram air sejuk ke atas badan bagi mengurangkan rasa gatal selepas dimasukkan plasma.
"Ini begitu menakutkan apabila suhu badan saya tidak menunjukkan sebarang penurunan. Akhirnya, saya terpaksa menggunakan ais untuk menyejukkan badan yang terlalu panas," katanya yang menetap di Kajang, Selangor, ketika itu.
Mengakui dihantui rasa trauma, Suzanne berkata, dia tidak teragak-agak menggunakan penyembur serangga setiap kali berada di rumah pada waktu petang.
"Mujur saya tidak mendapat sebarang komplikasi yang biasa dikaitkan dengan demam denggi sehingga mengakibatkan risiko kerosakan buah pinggang dan hati serta denyutan jantung berhenti.
"Saya tidak boleh membayangkan sekiranya anak kecil terkena penyakit demam denggi ini, ia memang amat menyakitkan.
" Saya kini memastikan memasang wap penghalau nyamuk 24 jam dan mengenakan semburan penghalau nyamuk pada tubuh saya dan anak ketika keluar rumah," katanya yang mengakui paranoid terhadap nyamuk.
No comments:
Post a Comment