Sunday, January 8, 2012

Orang tua susah makan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

KEBANYAKAN kita menganggap nikmat makan sebagai satu perkara yang mudah. Kita lupa bahawa menyuap makanan ke dalam mulut, mengunyah dan menelan adalah satu perkara yang amat mencabar dan sukar bagi golongan pesakit yang nazak dan warga emas.

Ubat-ubatan atau terapi buat mereka mungkin mempunyai kesan sampingan yang boleh menyebabkan pesakit hilang selera makan dan mengganggu sistem pencernaan mereka.

Keadaan ini agak biasa berlaku tetapi ada pesakit yang langsung tidak boleh menelan makanan atau air.

Kajian telah menunjukkan bahawa kekurangan nutrien penting tertentu di dalam tubuh boleh menyebabkan seseorang pesakit itu menjadi lemah, letih dan hilang daya tahan penyakit atau kurang kekuatan untuk mengharungi perubatan terapi.

Oleh itu, kebanyakan penjaga atau ahli keluarga pesakit akan memaksa pesakit untuk menjamah makanan.

Salah satu salah faham yang sering berlaku ialah, penjaga akan memberi pesakit makanan yang lembut, senang ditelan dan selalunya perlu dimasak dengan lama. Makanan yang dimasak terlalu lama mungkin senang dimakan oleh pesakit, namun ia bukanlah penyelesaian yang betul kerana kebanyakan nilai nutrisi di dalam makanan akan musnah di dalam proses tersebut. Oleh itu, amat penting bagi pesakit untuk mendapat suplemen yang berkhasiat, menyeluruh dan senang ditelan.

Dalam usaha untuk menyedarkan orang ramai tentang pentingnya suplemen tambahan untuk pesakit yang tidak mempunyai harapan lagi untuk hidup, baru-baru ini Wyeth Nutrition telah menyumbang lebih 100 tin Enercal Plus, suplemen berkhasiat bertenaga dan rendah kolestrol kepada Persatuan Hospis Kasih (KHCS) sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

"Di Wyeth Nutrition, kami faham bahawa nutrisi yang seimbang semasa rawatan perubatan adalah komponen penting di dalam terapi. Bukan sahaja ia penting untuk kesihatan, tetapi ia juga penting untuk membantu pesakit berasa lebih sihat dan kuat semasa menjalani terapi. Pesakit yang mendapat khasiat pemakanan yang baik mempunyai prognosis yang lebih baik dan hidup yang lebih berkualiti," kata Pengurus Besar Wyeth Nutrition di Malaysia, Singapura, Brunei dan Vietnam, En. Michael Toh.

Beliau juga memuji Persatuan Hospis Kasih di atas dedikasi mereka di dalam menyediakan sokongan emosi dan juga kerohanian kepada pesakit yang tiada harapan untuk sembuh.

Majlis penyampaian produk ini telah diadakan di ibu pejabat KHCS di Petaling Jaya baru-baru ini.

Naib Presiden Perkhidmatan Perubatan KHCS, Dr. Siow Chih Pen menjelaskan sebagai sebuah badan amal, KHCS bergantung kepada sokongan orang ramai untuk membiayai perkhidmatan Hospis Kasih yang disediakan secara percuma dan juga perkhidmatan komuniti lain yang juga tidak dikenakan bayaran oleh badan amal tersebut.

"Jelas bahawa sumbangan Enercal Plus Wyeth Nutrition dapat meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh pesakit dan ahli keluarga mereka.

"Selain daripada rawatan perubatan di hospital, ada pesakit yang memerlukan suplemen harian melalui tiub pemakanan kerana tidak dapat menelan makanan. Kami berharap agar hubungan strategik dan kerjasama kami dengan Wyeth Nutrition akan diteruskan untuk manfaat pesakit-pesakit ini untuk jangka masa yang panjang di masa hadapan," kata Dr. Siow.

Wyeth Enercal Plus adalah suplemen berkhasiat yang seimbang yang membekalkan 1.5 kcal/ milimeter kalori dan menyediakan 100 peratus Cadangan Pengambilan Nutrien (Malaysia Malaysian Recommended Nutrient Intake, MRNI) untuk protein, vitamin dan mineral di dalam empat hidangan. Wyeth Enercal Plus bukan sahaja khusus untuk golongan nazak dan uzur, tetapi juga sesuai untuk orang dewasa yang aktif.

Derita selepas berusia 35


Antara latihan fisioterapi yang perlu dilakukan oleh pesakit lutut.


KES 1
Semasa usia mudanya Rosli (bukan nama sebenar) 45, amat aktif bermain bola sepak malah kecederaan yang berlaku tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus aktif.

Alasan yang diberikan, ‘sakit sikit je dan tak lama lagi baiklah tu’ menyebabkan Rosli tetap meneruskan aktivitinya.

Sakit yang berpanjangan menyebabkan Rosli mendapatkan rawatan berurut dan sakit hilang sekejap dan timbul semula selepas beberapa minggu.

Degil untuk terus bermain walaupun lututnya sakit sehingga suatu hari kakinya terpelecok dan berbunyi ‘pop’ ketika beliau hendak menendang bola.

Rosli rebah kesakitan dan beliau terus dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pada kecederaan kali ini, Rosli dirujuk ke pakar bedah Ortopedik untuk rawatan lanjut untuk X-Ray dan MRI.

Rupa-rupanya Rosli mengalami kecederaan anterior crucriate ligamen atau ligamen krusiat hadapan (ACL).

Jika tidak dirawat dan lututnya kerap terkehel dan kemungkinan akan terkunci jika meniskus terkoyak akibat tersangkut di celah sendi dan tidak dapat diluruskan

Kes 2

Laili (bukan nama sebenar) berusia 35 tahun sering merungut lututnya mengilu sakit ketika memanjat dan menuruni tangga.

Beliau terpaksa menuruni tangga perlahan-lahan dengan meletakkan sebelah kaki penuh hati-hati kerana kesakitan apabila lututnya dibengkokkan.

Laili juga sering mengeluh lututnya sakit semasa duduk tahiyat ketika solat dan susah hendak bangun jika mencangkung terlalu lama.

Tidak tahan dengan kesakitan yang dialami menyebabkan Laili mendapatkan rawatan di hospital.

Menurut Pakar Bedah Ortopedik dan Kecederaan Sukan, Hospital Pantai Ampang, Selangor Dr. Ezlan Merican berkata terdapat dua jenis sakit lutut yang biasa dihadapi oleh masyarakat.

“Jenis pertama sakit lutut akibat kemalangan dan kedua sakit lutut yang biasa dihidapi oleh wanita berusia 35 tahun ke atas,” katanya.

Dr. Ezlan berkata, Rosli menghidapi sakit lutut jenis pertama akibat kemalangan semasa bermain bola sepak.

“Biasanya wanita jarang menghadapi masalah ini kecuali mereka yang biasa menjalankan aktiviti lasak seperti bermain bola sepak, futsal atau ski.

“Di sini terdapat seorang pesakit wanita yang mendapat kecederaan lutut akibat bermain ski semasa belajar di luar negara,” katanya.

Tanda-tanda

kecederaan lutut ACL

* bengkak dan sakit setelah terpelecok atau dikasari

* kesakitan dan bengkak tetapi akan reda setelah beberapa minggu

* fungsi lutut tidak normal dan mudah terkehel

* setelah beberapa tahun, lutut akan merasa sakit dan bengkak akibat kehausan tulang rawan dan lutut bertambah longgar

Dr. Ezlan berkata, biasanya pemain bola sepak menghadapi masalah berkenaan dan kecederaan serius akan berlaku jika tidak dirawat dengan segera.

Kecederaan semakin serius selepas lima hingga 10 tahun di mana lutut akan haus, bengkak dan kesakitan atau osteoarthritis.

Kecederaan ACL boleh apabila kaki terpelecok semasa

* terpijak lopak yang dalam atau longkang

* melakukan larian pintasan dengan berlari dengan laju sambil menukar arah dengan tiba-tiba

* semasa hendak menendang bola dengan memusingkan badan sambil kaki terpacak di tanah

* melompat dan mendarat menggunakan lutut

* dikasari dan dijatuhkan dengan rempuhan

Menurut Dr. Ezlan, kes kedua lebih ramai melibatkan wanita dalam usia 35 tahun ke atas biasanya disebabkan duduk terlalu lama, banyak naik tangga, terlalu aktif, berat badan berlebihan, mengangkat barang berat dan tidak cukup rehat.

Struktur badan wanita seperti pinggang yang besar, berat badan dan otot yang tidak kuat memudahkan mereka diserang sakit lutut.

“Biasanya mereka yang menghidapi sakit lutut akan merungut susah untuk membengkokkan lutut semasa naik turun tangga, duduk tahiyat dalam solat, bangun selepas duduk bersila dan keluar daripada kereta,” katanya.

Sakit lutut jenis kedua lebih mudah diubati dengan senaman ringan, kurangkan berat badan, fisioterapi dan makan ubat mengikut nasihat doktor.

Bagaimanapun kedua-dua jenis sakit lutut perlu segera diubati sebelum parah.

“Sakit lutut yang parah seperti Rosli perlu mendapatkan rawatan suntikan gel acid hyaluronic secara berkala selain fisioterapi.

“Dan jika kecederaan semakin parah, pembedahan merupakan langkah terakhir dengan menukar bahagian lapisan lutut,” katanya.

Ini bertujuan mengurangkan kesakitan dan memudahkan pesakit berjalan.

Kelemumur rosakkan kulit

"RAMBUT saya tidak terurus. Ia kotor dan dipenuhi kelemumur. Setiap kali saya menggaru kulit kepala, saya mendapati ada banyak kepingan kelemumur terlekat di bawah kuku saya."

Inilah luahan seorang super model terkenal dunia kerana mengalami masalah kulit kelemumur.

Kelemumur atau nama saintifik pityriasis capitis merupakan satu fenomena biasa yang dialami oleh 50 peratus manusia di seluruh dunia.

Keadaan ini disebabkan oleh kehadiran sejenis yis iaitu malassezia globosa di permukaan kulit kepala yang memakan sebum kulit (lipid) dan kemudiannya mengeluarkan sejenis molekul. Molekul yang dirembes ini punca kulit kepala menjadi berkuping dan terjadinya kelemumur.

Menurut Pakar Perunding Kanan Dermatologi, Dr. Steven Chow Kim Weng, kelemumur boleh membuatkan seseorang itu menggaru kulit kepala secara berlebihan untuk menghilangkan kegatalan.

"Ia boleh menyebabkan kulit kepala rosak. Apabila seseorang menggaru kulit kepala, ia menyebabkan lapisan yang melindungi rambut akan terhakis dan lama-kelamaan pecah.

Kajian klinikal juga menunjukkan bahawa rambut di sekitar kawasan berkelemumur tidak begitu berkilat atau anjal, yang merupakan tanda bahawa kualiti rambut merosot dan juga struktur yang semakin lemah.

Ini bermakna rambut yang lemah senang putus dan akan menyumbang kepada masalah rambut gugur di kalangan lelaki dan wanita," ujarnya dalam bengkel bersama media anjuran Head & Shoulders.

Sementara itu, Saintis Procter & Gamble (P&G), Dr. Jasmine Karsono memberitahu, walaupun terdapat banyak syampu anti kelemumur di dalam pasaran, ramai pengguna mengadu kelemumur akan muncul kembali.

Ini kerana kebanyakan syampu hanya merawat simptom tetapi tidak mampu mengenalpasti punca sebenar iaitu kulit kepala yang tidak sihat atau kurang nutrien.

"Hasil gabungan teknologi anti-kelemumur terkini dan penjagaan inovatif rambut dan kulit kepala, Head & Shoulders telah mencipta satu koleksi yang mampu menangani masalah kelemumur dan juga keguguran rambut secara serentak. Kami juga telah memastikan campuran bahan penjagaan rambut dan perapi memenuhi keperluan spesifik lelaki dan wanita agar mereka mendapat keputusan yang memuaskan di dalam mencegah kelemumur dan kulit kepala rosak," ujarnya.

Sunday, January 1, 2012

Obesiti


penyakit bukan keadaan


KISAH BENAR:
SITI (bukan nama sebenar), 47, sudah lima tahun mengidap kencing manis. Dia juga mempunyai kolestrol tinggi, darah tinggi dan sering berulang alik ke klinik pakar untuk rawatan selama lima tahun kebelakangan ini.

Pada Disember 2011, pemeriksaan menunjukkan kencing manisnya tidak terkawal manakala darah tinggi dan kolesterol semakin meningkat. Kemudian, doktor memberi tiga jenis ubat pada tahun pertama, lima jenis pada tahun ketiga dan enam jenis pada tahun kelima sehingga sekarang.

Siti mempunyai berat badan 101 kilogram (kg), ketinggian 166 sentimeter (sm), Body Mass Indeks atau BMI 35. 2 manakala tahun sebelumnya adalah 89 kg dengan BMI 33.

Susunan penyakit bagi pandangan pesakit (bila ditanya) mengikut urutan adalah kencing manis, darah tinggi dan kolesterol. Pesakit tidak mengetahui bahawa obesiti adalah penyakit bukan keadaan.

“Ramai pesakit tidak menganggap obesiti sebagai perkara serius atau punca utama penyakit. Dalam hal ini, seseorang pesakit perlu meletakkan obesiti dalam kedudukan pertama, diikuti kencing manis, kolesterol, darah tinggi dan hati berlemak, strok, sakit jantung, barah hepar dan barah usus (boleh berlaku mengikut kajian dan statistik jika tidak dirawat).

Dalam hal ini, sebenarnya obesiti merupakan punca utama segala penyakit lain,” ujar Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Gastroenterologi Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Datuk Dr Ahmad Shukri bin Md Salleh.

Tambah Dr. Ahmad Shukri, masalah timbul apabila orang ramai dan pesakit tidak menganggap obesiti sebagai satu penyakit.

Mereka menganggap ia lebih kepada satu keadaan bukan penyakit yang perlu diberi perhatian serius.

“Jika orang ramai merawat obesiti, mereka melakukannya hanya untuk tujuan kosmetik dan bukan perubatan. Terdapat dua kategori pesakit yang datang ke klinik saya iaitu golongan untuk menyambung ubat dan kedua adalah untuk berubat. Sekiranya pesakit yang datang ke klinik untuk menyambung ubat, tidak banyak perubahan yang dicapai dari segi tahap kesihatan. Mereka akan mengambil empat hingga lima jenis ubat dan bacaan gula atau tekanan darah dalam keadaan normal tetapi berat badan semakin bertambah. Maka keadaan mereka yang sihat adalah sementara.

Apabila ubat dikurangkan, penyakit akan menjadi tidak terkawal semula. Jadi ubat perlu disambung, mereka datang ke klinik hanya sekadar untuk menyambung ubat dan bukan untuk berubat,” ujarnya.

Dr . Ahmad Shukri memberitahu, golongan yang datang untuk berubat adalah lebih proaktif.

Setelah mengetahui penyakit yang dihidapi, mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merawat penyakit sedia ada dan mengelak penyakit lain yang boleh berlaku pada masa akan datang.

Maka kita dapati bacaan gula, tekanan darah, kolesterol akan bertambah baik dan berat badan menurun sehingga ke tahap yang ideal.

Ini menunjukkan obesiti sebenarnya menentukan baik buruknya keadaan fizikal seseorang dari segi perubatan.

Pemakanan

Dr. Ahmad Shukri menyarankan beberapa rawatan obesiti termasuk mengurangkan makan terutama waktu malam, kurang memakan makanan berlemak, bersantan dan bergoreng.

“Cara pemakanan atau menu anda juga perlu ditukar seperti mengamalkan makanan rebus atau panggang serta berserat dan berkhasiat seperti sayur-sayuran (sebaik-baiknya yang mentah), buah-buahan kurang manis dan kurang lemak seperti epal, jambu dan lain-lain.

“Golongan obes juga perlu banyak bersenam seperti menggunakan tangga semasa di pejabat,” katanya.

Justeru anda tidak perlu suplemen atau ubat untuk mengurangkan berat badan sekiranya mengamalkan nasihat di atas.

Beliau mengulangi bahawa obesiti adalah satu penyakit dan bukan keadaan yang boleh diambil ringan. Ini kerana obesiti adalah antara punca utama kencing manis, darah tinggi, kolesterol, barah kolon dan lain-lain.

Bahaya terpercik air liur

Adakah anda mengalami batuk berterusan melebihi dua minggu diikuti demam serta berpeluh pada sebelah petang dan malam, susut berat badan, hilang selera makan dan mudah letih?

Jika ya, anda mungkin dijangkiti penyakit tibi.

Mereka yang mengalami simptom di atas dinasihatkan segera menjalani pemeriksaan lanjut dengan membuat ujian kahak di klinik atau hospital.

Tindakan awal bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa anda malah dapat mengelak penyakit itu daripada merebak dan menjangkiti orang tersayang.

Pakar Perubatan Respiratori Hospital Pantai Ampang, Prof. Madya Dr. Nor Adina Ahmad Tajudin berkata, batuk sebenarnya sejenis mekanisme pertahanan fisiologi yang penting.

“Ia cara semula jadi tubuh untuk melindungi sistem pernafasan dengan mengeluarkan bahan rengsa atau rembesan daripada saluran udara,” katanya.

Justeru seseorang perlu berjumpa doktor jika batuk berpanjangan melebihi tiga minggu sehingga sesak nafas, mengalami kesakitan teruk atau pengsan.

Anda perlu risau jika batuk anda semakin teruk sehingga membawa kepada masalah lain seperti muntah darah dan sukar tidur malam.

Jika masalah itu berlaku, anda bukan lagi mengalami batuk biasa sebaliknya mungkin menghidap tibi.

Menurut Dr. Nor Adina, tibi atau nama saintifiknya Mycobacterium tuberculosis berpunca daripada kuman yang merebak melalui udara hasil titisan oleh penghidap penyakit tibi aktif.

Tambahnya, tibi boleh berjangkit dengan mudah kerana ia tersebar melalui udara seperti selsema.

Bahkan, ia boleh berjangkit melalui air liur dan hingus hanya dalam beberapa jam.

"Bakteria tibi boleh masuk ke dalam badan seseorang melalui saluran pernafasan sebelum ia menyerang paru-paru.

“Bayangkan seseorang itu boleh dijangkiti apabila penghidap tibi yang batuk, bersin, ketawa atau bercakap terpercik air liur," katanya.

Oleh itu, Dr. Nor Adina menasihatkan orang ramai menutup mulut dengan sapu tangan atau tisu setiap kali batuk mahupun bersin.

"Malangnya tidak ramai mengikut saranan ini. Masyarakat perlu jelas bahawa semua orang berisiko mendapat jangkitan, terutama golongan tua dan kanak-kanak di bawah empat tahun, tetapi sama ada ia menyebabkan penyakit atau tidak bergantung kepada daya ketahanan badan," jelasnya.

Lebih menakutkan, kuman tibi boleh hidup bertahun-tahun dalam badan manusia secara tidak aktif tanpa individu itu menyedari yang dia ialah pembawa kuman.

Dalam keadaan ini, dia bukan pesakit tetapi boleh menjangkiti orang di sekeliling khususnya warga emas dan kanak-kanak, jika tidak diberi rawatan segera.

Bukan hanya paru-paru, tibi juga boleh menyerang bahagian anggota badan yang lain.

Milk thistle untuk hati


Herba milk thistle.


SOALAN:
APABILA ke farmasi, saya dicadangkan mengambil herba milk thistle sebagai suplemen tambahan untuk kesihatan hati.

Cadangan ini diberikan apabila saya memberi tahu mereka bahawa saya sedang mengambil ubat anti kolesterol sejak beberapa tahun lalu dan juga seorang perokok. Apakah kepentingan milk thistle dengan masalah saya ini?

JAWAPAN

Dalam keprihatinan kita menjaga penampilan diri secara luaran, kita sering mengabaikan organ yang penting kepada tubuh iaitu hati. Kita mungkin mengabaikan organ penting ini dan kita tidak nampak secara langsung akan kesannya. Walhal sebenarnya ia memberi signal-signal tertentu, namun kita kurang prihatin tentangnya.

Organ dalaman yang sering diabaikan ini sebenarnya memainkan lebih 500 peranan dalaman tubuh yang kompleks dan sukar difahami sepenuhnya. Antara peranan penting adalah usaha menyahtoksik daripada tubuh. Tahukah anda bahawa proses penyingkiran toksin ini merupakan proses yang kompleks yang dimainkan oleh hati demi menjamin kesihatan tubuh? Dan bagaimana pula kesannya kepada kesihatan sekiranya hati sudah tidak mampu menjalankan tugas penting ini?

Dalam usaha memelihara kesihatan hati, aspek pemakanan dan gaya hidup memainkan peranan penting. Merokok, pengambilan alkohol yang kerap, pengambilan ubat dalam jangka panjang, pengambilan makanan berisiko tercemar, makanan berlemak tinggi, pendedahan kepada racun serangga dan racun rumpai merupakan antara faktor lazim yang membebankan hati.

Bagi seorang perokok, tembakau daripada menghisap rokok menyebabkan kehadiran pelbagai bahan kimia berbahaya dalam tubuh. Walaupun peranan hati berfungsi untuk memproses dan mengeluarkan toksin dari dalam badan, bahan-bahan ini juga membebankan hati.

Herba milk thistle

Milk thistle (Silybum marianum) adalah tumbuhan berduri yang berbunga dan merupakan tumbuhan asal kawasan Mediterranean. Ia telah digunakan selama 2,000 tahun sebagai remedi tradisional untuk pelbagai penyakit, terutamanya berkaitan hati. Hati manusia boleh rosak disebabkan oleh penyakit, toksin persekitaran atau kesan gaya hidup seperti merokok dan pengambilan alkohol.

Manfaat milk thistle juga berupaya melindungi hati dan memperbaiki fungsinya. Ini akan membantu tubuh menyingkirkan toksik dengan sendirinya, memandangkan hati melakukan paling banyak aktiviti pembersihan berbanding organ lain dalam tubuh. Kandungan utama milk thistle adalah silymarin yang terkenal sebagai anti oksida yang membantu tubuh dalam pelbagai cara.

Silymarin telah dikaji secara intensif untuk rawatan jangka pendek dan masalah hati kronik, terutamanya mereka yang terdedah kepada toksin.

Pengambilan milk thistle yang kaya dengan bahan aktif silibin turut memberi manfaat kepada mereka yang mengalami masalah penghadaman seperti ketidakhadaman makanan, sembelit, masalah kulit, nafas dan tubuh berbau dan beberapa masalah lain yang berpunca daripada pengumpulan toksin berlebihan dalam badan. Pengambilannya juga sesuai terutamanya mereka yang seringkali menghadiri majlis-majlis sosial, pengambilan makanan yang tidak sihat dan tidak terkawal yang membebankan hati.

Untuk mendapat maklumat lanjut mengenai kesihatan, sila hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan BiO-LiFE ( Isnin - Jumaat: 9 pagi hingga 6 petang ) di talian 03-78436981 (Semenanjung Malaysia), 082-241820 (Sarawak) dan 088-230148 (Sabah) atau emel kami di : health@biolife.com.my

Hidup selesa tanpa GERD


Kandungan asid gastrik dalam perut tertolak ke atas memasuki saluran esofagus atau kerongkong.


SEPULUH tahun menghidap penyakit refluks gastroesofagus (GERD) tidurnya terganggu kerana pedih ulu hati. Setiap kali selepas makan mesti tidak selesa, loya dan mulut pula terasa masam. Dada terasa ngilu sangat sehingga kadang kala tidak boleh tidur. Kalau makan makanan berminyak, keadaan menjadi lebih teruk.

Terry Tan, 37, cuba bertahan tetapi gejala GERD mengganggu aktiviti hariannya.

"Ketika bersenam pun saya boleh alami masalah ini terutama apabila saya melakukan tekan tubi atau bangun tubi. Malah apabila tunduk pun saya boleh rasa dada pedih. Pada awalnya, saya mengambil ubat antiasid tetapi kesan ubat tidak lama sehinggalah saya diberikan ubat dipanggil perencat pam proton (PPI) yang membolehkan saya menjalani hidup dengan lebih baik," ujarnya.

Mengalami simptom yang sama, pesara, A. Susainathan, 64, juga kerap mengalami pedih ulu hati, terutama ketika tidur.

Kadang-kadang dia terjaga sampai 10 kali pada waktu malam. Ini mengganggu kerjanya pada waktu siang.

"Saya berusaha mendapatkan rawatan sewajarnya sebelum disahkan penghidap GERD. Dulu saya pernah bergelar perokok tegar tetapi disebabkan GERD, tabiat itu saya tinggalkan," ujarnya yang telah 13 tahun menderita GERD.

Susainathan menyarankan setiap individu yang memiliki simptom penyakit itu agar mendapatkan rawatan segera bagi mengelak ia bertambah kronik.

Asid gastrik

GERD adalah keadaan apabila kandungan asid gastrik dalam perut tertolak ke atas memasuki saluran esofagus atau kerongkong. Aliran songsang atau refluks asid gastrik inilah yang membuatkan seseorang mengalami pedih ulu hati, mulut terasa masam, loya dan tidak selesa.

Menurut kajian yang dilakukan di seluruh Asia baru-baru ini tentang kesan GERD terhadap mutu kehidupan, anggaran 60 peratus penghidapnya merasa tidak sihat, mengelak daripada makan sesetengah jenis makanan dan minuman, merasa letih dan khuatir disebabkan simptom GERD, manakala 50 peratus lagi terjaga daripada tidur sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan akibat simptom penyakit.

Gangguan tidur ternyata mengganggu produktiviti dan waktu santai pesakit, dengan lebih 60 peratus melaporkan kesan yang besar dan sederhana terhadap kerja dan waktu rehat mereka.

Kajian ini menunjukkan penghidap GERD memandang ringan kesan buruk penyakit terhadap mutu kehidupan mereka dan tidak menyedari bahawa ia boleh menjejaskan kesihatan jangka panjang yang serius. Mereka hanya mendapat bantuan rawatan apabila rasa sakit dan semakin tidak selesa. Hampir separuh pesakit menanggung simptom sekurang-kurangnya selama enam bulan sebelum berjumpa doktor.

Dalam hal ini, bekas Presiden Persatuan Gastroenterologi dan Hepatologi Malaysia yang juga Perunding Gastroenterologi, Dr. Tan Huck Joo berkata, para pesakit tidak sepatutnya membiarkan simptom GERD mengganggu tugas harian mereka.

"Mereka tidak perlu menanggung sakit dalam diam. Dapatkan nasihat daripada doktor supaya dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang tahap penyakit yang dihidapi. Hanya selepas itu anda boleh mendapat rawatan yang khusus untuk masalah GERD," kata beliau.