JANET bersama Chen Soo Ling menunjukkan barangan berasaskan bahan terbuang.
Pada awalnya, Janet menganggap kejadian itu mungkin perkara biasa disebabkan badannya yang terasa lemah akibat kurang tidur.
Sebelum melangkah ke luar pejabat, Janet sempat membuat minuman untuk sarapan pagi itu.
Dengan semangat yang kuat, Janet meneruskan niat ke pejabat walaupun saat itu badannya lemah.
Namun sampai ke pejabat, Janet dapat merasakan ada kelainan pada tangan kanannya sedangkan sebelum itu, dia dapat memandu dengan lancar. Tangan kanannya terasa sedikit kebas.
Menjelang pukul 11 pagi, tangan kanannya kaku dan dia segera meminta rakan sepejabat menghantarnya ke hospital.
Tiga jam kemudian, sebelah kanan badan Janet lumpuh sepenuhnya. Ujian imbasan mengesahkan dia telah diserang strok.
Doktor memberitahu Janet hanya terlewat sedikit. Jika dia segera mendapatkan rawatan di hospital pada pagi itu, peluang untuk Janet pulih lebih cerah.
Pengetahuan yang kurang tentang strok, menyebabkan Janet mengambil mudah tanda-tanda awal yang dialaminya.
“Rawatan awal amat penting,” katanya yang kini boleh menggerakkan tangan kanannya selepas dua tahun menjalani proses pemulihan.
Namun, Janet masih belum dapat menggunakan fungsi tangannya untuk memegang atau menggenggam barang.
Wanita itu ternyata ingin berkongsi pengalaman dengan masyarakat mengenai gejala-gejala awal serangan strok.
Sebuah artikel berkenaan pemulihan yang disiarkan di suratkhabar dalam tahun 1995 menjadi pemangkin untuk dia mengasaskan Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (Nasam).
Artikel tersebut telah menjana reaksi yang sangat besar daripada mangsa-mangsa strok dan keluarga mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pemulihan Janet.
Mereka bertemu sebulan sekali di pejabatnya, tetapi dengan cepat mendapati belas kasihan sahaja tidak memadai.
Perjumpaan bulanan itu berkembang menjadi sesi fisioterapi mingguan di tempat letak kereta Janet. Sesi-sesi itu bukan sahaja membantu mangsa strok memperoleh semula fungsi anggota badan lumpuh malah memulihkan keyakinan diri serta memberikan harapan dalam kehidupan selepas strok.
Pada tahun 1996, dengan sokongan teman-teman dan para sukarelawan, kumpulan sokongan itu mendaftarkan dengan Pendaftar Persatuan untuk menubuhkan Nasam.
Dalam pada itu, Janet menasihatkan masyarakat perlu menjadi lebih aktif bersenam dan mengamalkan diet sihat untuk mengekalkan berat badan ideal.
“Strok merupakan penyakit yang boleh membawa maut,’’ katanya. Pendidikan tentang penyakit itu amat penting. Ramai juga tidak dapat meneruskan rawatan kerana kos yang mahal. Nasam bertujuan menyediakan perkhidmatan pemulihan supaya mangsa-mangsa strok dapat kembali kepada kehidupan sebiasa mungkin di dalam batas kehilangan upaya mereka.
Pertubuhan itu turut mempromosikan konsep pencegahan strok dengan meningkatkan kesedaran awam berkenaan risiko strok.
Nasam bakal menganjurkan “Pesta Ria Di Atas Bumbung” di Jaya 33, Jalan Semangat, Petaling Jaya, Selangor pada 18 Julai ini.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Nasam di talian 03-79564840.
Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan termasuk jualan makanan seperti char kway teow, laksa Thai, sambal, ais kacang, kek dan sebagainya.
Lebih menarik lagi, material yang digunakan untuk hidangan dan membungkus makanan berasaskan barangan terpakai.
Tahun ini, Nasam menerapkan nilai kehijauan dengan tidak menggunakan bahan plastik. Karnival itu turut dimeriahakan dengan acara-acara permainan yang menawarkan pelbagai hadiah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment