Saturday, July 17, 2010

Tua tapi bertenaga

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my

LEBIH 25 juta lelaki di Amerika Syarikat (AS) sedang melalui fasa ‘menopaus’ manakala 52 peratus lelaki berusia antara 40 dan 70 tahun mengalami masalah mati pucuk.

Lelaki seperti juga wanita mengalami rentak hormon yang agak kompleks sehingga memberi kesan kepada mood, fizikal dan seksualiti. Simptom lain termasuk rasa bimbang tanpa sebab, tertekan, letih, pelupa dan tidur yang terganggu.

Manakala dari sudut seksual, lelaki yang melalui fasa itu sering risau tidak mampu beraksi di ranjang sehingga ke satu peringkat mencari pasangan lebih muda semata-mata untuk membuktikan mereka boleh melakukannya.

Menopaus bagi kaum lelaki (andropaus) boleh saja disimpulkan seperti melalui pusingan kedua akil baligh di mana mereka berhadapan dengan isu-isu identiti, seksualiti, kebergantungan dan kebebasan.

Pakar psikiatri mengakui simptom-simptom fasa andropaus sememangnya wujud sebagaimana golongan wanita berhadapan dengan gejala menopaus. Bagaimanapun ramai lelaki enggan mengakui bahawa mereka turut melalui pengalaman tersebut.

Malah di AS menyaksikan ada kalangan lelaki yang tidak dapat menerima perubahan yang berlaku pada badan, fikiran dan gaya hidup sehingga sanggup merosakkan diri mereka sendiri serta rumahtangga yang telah dibina.

Dr. Rushmini Maris Ismail ketika ditanya perihal tersebut menarik perhatian mengenai peningkatan jangka hayat manusia dari 45 tahun pada tahun 1950-an kini mencecah 80 dan dijangka menjangkau 90 tahun. Katanya, kepesatan teknologi perubatan bukan sahaja meningkatkan kualiti kesihatan malah turut memanjangkan jangka hayat manusia.

Namun mencecah usia 40-an baik wanita mahu pun lelaki mula didatangi pelbagai penyakit berkaitan jantung, paru paru, kolestrol, hati dan kencing manis. Begitu juga kanser dan masalah prostatik bagi lelaki selain dementia (pelupa atau nyanyuk) dan atherosklerosis (penebalan arteri). Kualiti kehidupan turut merosot manakala tubuh semakin mengecut dan lemah serta tulang menjadi rapuh. Menurut Dr. Rushmini, menjadi tua memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan namun untuk menikmati usia tua dalam keadaan sihat dan produktif sepatutnya menjadi sasaran utama. Tidak ada gunanya jika jangka hayat seseorang bertambah tetapi menjadi beban kepada orang lain.

Maksud sebenar penuaan

Apakah sebenarnya erti penuaan? Mengapa sel menjadi tua dan lemah? Apakah yang sebenarnya berlaku kepada tubuh badan kita sehingga berlaku perubahan seumpama itu?

Teknologi anti penuaan berjaya mengupas isu sebenar di sebalik penuaan. Pelbagai kajian saintifik mendapati manusia menjadi tua kerana kekurangan hormon di dalam tubuh badannya.

Dr. Rushmini berkongsi pengalaman seorang pesakit bernama Adam berusia 56 tahun. Semasa mudanya, lelaki itu dikategorikan sebagai gagah dan tampan. Bagaimanapun sejak beberapa tahun lalu dia mula berasa otot-otot pada tubuhnya tidak sekuat dulu meskipun Adam rajin mengamalkan senaman. Baru baru ini dia mendapat jangkitan kuman pada pundi kencing dan terpaksa berulang alik ke klinik bagi mendapatkan antibiotik. Dia hairan melihat perutnya makin lembik dan berlemak. Masalah yang sama berlaku pada bahagian dadanya. Adam seorang lelaki yang riang dan cergas berubah menjadi tertekan gara-gara masalah tersebut. Dia mula kurang bergaul dan tidak lagi aktif bersenam kerana tiada tenaga. Paling merisaukan Adam apabila mendapati kemampuan seksualnya juga semakin hilang. Isterinya yang 10 tahun lebih muda turut mengesahkan perkara itu.

Semasa bertemu Dr. Rushmini, hampir semua tanda andropaus dapat dilihat pada diri lelaki itu. Selepas rawatan dengan hormon bio identikal ternyata Adam berubah sama sekali. Dalam erti kata lain dia menjadi ‘muda’ semula kerana hormon yang diambil membantu meningkatkan kualiti hidupnya. Jika jawapan kepada 20 soalan yang disertakan dalam ruangan ini jawapannya `Ya’, maka tidak salah bagi kaum lelaki mencuba hormon bioidentikal.

No comments: