Saturday, November 26, 2011

Awet muda, payu dara anjal

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Apabila seseorang keletihan, aktiviti harian dan hormon dalam badan terganggu. Kolagen dikatakan secara beransur-ansur semakin kurang dan menyebabkan timbul garis muka, kedut, kulit kendur, kulit kering serta wajah kusam tidak bermaya tanpa kita sedar.

Selain berhadapan dengan situasi cemas, anda mungkin stres kerana kulit yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh, semakin kusam dan tidak sihat.

Bagaimanapun bagi Pengarah Pemasaran dan Perniagaan Antarabangsa Sun Fabulous yang mengedar CollaB'utee, Izdihar Rosland, seseorang itu tidak perlu risau sekiranya mereka mengambil suplemen kolagen tanpa mengira masa dan keadaan. Persediaan seumpama itu membolehkan seseorang memiliki kulit yang sihat dan tenaga yang maksimum.

"Sebagai pengamal rutin kecantikan tetap, cuaca atau bencana bukanlah penghalang untuk kita mengambil suplemen kolagen. Di Sun Fabalous, kami ada CollaB'utee yang cukup mudah pengambilannya,'' katanya.

CollaB'utee merupakan produk kolagen terbaik terutamanya untuk wanita kerana mengandungi sumber kolagen daripada ikan laut dalam, mempunyai daya keterlarutan tinggi, mudah dihadam dan berdaya serapan kelembapan yang rendah.

Produk itu turut mengandungi ekstrak soya (Isoflavones) yang membantu menegangkan payu dara dan menyeimbangkan hormon.

CollaB'utee turut mengandungi anti oksida Vitamin C yang merupakan komponen penting dalam memastikan keberkesanan produk ini. Sekiranya anda tidak mendapat multi vitamin yang mencukupi, penghasilan kolagen akan berkurangan mengakibatkan kulit kusam dan hilang keanjalan,'' katanya.

Awet muda

Dalam pada itu, pengalaman dua wanita berbeza usia cukup membuktikan betapa pentingnya memelihara kecantikan untuk memantapkan keyakinan diri.

Zakiah Anas, 45, dan Wan Khatijah, 35, berkongsi rahsia suplemen tambahan berbentuk kolagen.

Kedua-duanya sudah berkeluarga tetapi masih mempunyai daya penarik. Bukan sahaja melihatkan sosok tubuh yang semakin cantik bak anak dara, mereka tetap bertenaga mengurusakan hal keluarga dan kerjaya.

Ketika ditanya rahsia awet muda, Zakiah dan Wan Khatijah memberitahu, mereka telah mengamalkan gaya hidup sihat sejak usia 20-an lagi.

Bagi Zakiah, memasuki usia 30-an merupakan cabaran besar kepada wanita untuk mengekalkan kecantikan dan kesihatan tubuh badan. Apatah lagi, dia yang sudah berumah tangga ketika itu perlu menguruskan anak-anak dan fokus pada kerjaya.

Justeru, apabila diperkenalkan CollaB'utee, dia membaca kandungan dan kebaikannya. Selepas mencuba, Zakiah merasakan perubahan dan serasi dengan suplemen ini.

"Saya memang sukakan kecantikan dan sebelum ini mencuba banyak produk. Setelah diperkenalkan dan mencuba CollaB'utee, saya berpendapat ia sesuai dengan saya.

'' Sejak usia 30 tahun lagi, saya sudah menjaga kesihatan dengan mengamalkan pengambilan suplemen dan ke gim untuk aktiviti fizikal.

''Sebagai selebriti saya perlu bersiap sedia untuk tampil cantik dan yakin. Saya juga banyak menghabiskan masa di luar pejabat dan berhadapan dengan orang ramai.," ujarnya.

Sebelum ini Zakiah memiliki kulit kombinasi berminyak dan kering. Perubahan ketara dirasakan selepas mencuba produk ini.

"Dengan bantuan kolagen ini dan pengambilan berterusan, wajah saya nampak lebih anjal dan lembap. Selain kulit wajah, seluruh badan saya lebih bertenaga. Bagi mereka yang mengalami selulit, saya juga menyarankan pengambilan produk ini," ujarnya yang telah 20 tahun bersama TV3.

Anjal

Sebagaimana di layar kaca, raut wajah Wan Khatijah Wan Othman manis dan penuh dengan sifat keibuan.

Dalam kesibukan memenuhi jadual kerja, wanita berusia 35 tahun ini tetap tampil menarik.

Sebagai isteri dan ibu, selain tahap kesihatan, penampilan diri paling diberi keutamaan sementelah kerjayanya sebagai pengacara, pelakon dan model memerlukan Wan Khatijah sentiasa bergaya dan langsing.

"Kalau kita tidak sihat, tentu sukar untuk menguruskan rumah tangga dan jika tidak langsing, mungkin peluang untuk berlakon juga terbatas sedangkan saya amat berminat berlakon," katanya.

Baginya, kesihatan dan kecantikan tidak boleh dipisahkan kerana untuk nampak cantik, seseorang itu harus sihat. Dia percaya kecantikan lahir dari dalam diri. Justeru pengambilan suplemen seperti CollaB'utee penting untuk dalaman dan kebaikan pada luar kulit seperti cerah dan anjal.

Bermula sebagai pengguna biasa, Wan Khatijah kemudian menjadi pengedar CollaB'utee kawasan Shah Alam, Selangor.

"Selepas menggunakan kolagen ini, saya dapati kulit lebih tegang termasuk bahagian payu dara. Rasanya yang manis dan menyebabkan kita rasa kenyang boleh dijadikan pengganti sarapan pagi sekiranya kita mempunyai masa terhad," ungkapnya sambil tersenyum.

Sakit Kronik elak kemurungan

Oleh BINTU RASYADA ABDUL RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

SELEPAS beberapa tahun bergelut dengan sakit belakang kronik yang berpanjangan, Nasir kini berasa seperti ‘orang baru’. Dia sudah mampu ke pejabat seperti biasa, menemani anak-anak melakukan aktiviti fizikal di taman permainan dan sesekali keluar bersosial bersama teman dengan memancing atau bermain golf.

Bukan disebabkan ubat atau pembedahan ‘ajaib’ yang dilaluinya, semuanya berlaku selepas lelaki berusia 40-an itu mengambil keputusan bertemu Pakar Pengurusan Kesakitan Kronik bagi menangani masalah yang ditanggungnya.

Ramai yang tidak tahu bahawa merawat kesakitan kronik bukan sekadar mengambil ubat atau menjalani pembedahan. Apa yang lebih penting bagaimana pesakit itu menerima keadaan tersebut dan cuba menjalani kehidupan normal seperti biasa.

“Kesakitan kronik sememangnya sukar untuk dipulihkan sepenuhnya. Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memberi bimbingan dan langkah intervensi kepada pesakit agar mereka mampu mengadaptasi kesakitan supaya boleh menjalani rutin harian seperti biasa dengan perasaan yang positif dan gembira,” kata Pakar Rheumatologi dan Kesakitan Kronik dari Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Dr Anwar Samhari Mat Arshad.

Menurutnya, kesakitan fizikal berpanjangan boleh mengundang masalah yang lebih berat seperti kemurungan dan masalah psikologikal andai tidak ditangani segera. Justeru, beliau sangat berharap pesakit yang mengalami masalah seperti itu agar menjalani rawatan pengurusan kesakitan kronik supaya mereka mampu menanganinya.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, kesakitan kronik secara amnya terbahagi kepada dua jenis iaitu sakit kronik bukan kanser (chronic non cancer pain).

“Ciri-ciri sakit kronik bukan kanser biasanya sakit belakang atau tulang belakang, sakit di bahagian leher, tengkuk, sendi, urat, arthritis, sakit kepala, migraine atau cluster headache dan sakit-sakit, bisa-bisa atau lenguh-lenguh seluruh badan dari kepala hingga ke kaki,” kata beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Pakar Penyakit Kronik Interventional Malaysia .

Jenis yang kedua pula, katanya, adalah sakit kronik berpunca daripada kanser (chronic cancer pain) dan semua jenis penyakit ini diklasifikasikan sebagai kesakitan kronik jika ia berpanjangan melebihi dari tiga bulan.

Menurut beliau, kesakitan kronik bukan berpunca daripada kanser antaranya ialah kecederaan tisu, otot, rawan serta cakera tulang belakang. Selain itu, mereka yang mengalami masalah sistem imun bercelaru seperti pesakit rheumatoid arthritis dan kerosakkan kepada sistem saraf pusat seperti Sindrom Fibromyalgia juga boleh menyebabkan kesakitan kronik.

Kemalangan, strok dan kadang-kadang patah tulang boleh menyebabkan sindrom Reflex Sympathetic Dystrophy yang turut mengundang masalah tersebut.

Kata beliau, semuanya terjadi kerana sistem penyembuhan badan seseorang tidak berupaya untuk melakukan penyembuhan sendiri ataupun tidak dapat disembuhkan dengan sempurna melalui ubatan atau pembedahan.

Diagnosis

Dr. Anwar berkata, selalunya kesakitan kronik sukar didiagnos dan pesakit sudah membuat kunjungan kepada pelbagai jenis doktor atau klinik.

Pakar kesakitan kronik selalunya akan mengambil sejarah pesakit dengan lengkap dibantu oleh pemeriksaan fizikal yang menyeluruh seperti ujian darah, ujian resolusi tinggi ultra bunyi, imbasan sinar-X serta ujian magnetik resonans (MRI).

Pakar kesakitan kronik juga akan mendiagnos pesakit melalui prosedur ‘nerve block‘ serta‘ discogram‘ di mana jarum akan ditusuk ke sendi, saraf atau cakera yang berpotensi menyebabkan sakit kronik.

“Sejenis ‘dye‘ ataupun perangsang saraf akan digunakan untuk mengesan dengan tepat punca penyakit ini,” kata beliau.

Rawatan

“Biasanya pesakit yang mengalami kesakitan kronik telah bertemu banyak doktor dan mencuba pelbagai jenis ubat,” kata Dr. Anwar.

Disebabkan kesakitan kronik melibatkan banyak faktor maka rawatannya bersifat multi disiplin iaitu lebih daripada satu disiplin dalam perubatan.

Biasanya antara disiplin yang terlibat adalah:

- Pakar Kesakitan Kronik

- Pakar Orthopedik

- Pakar Bedah Neuro

- Pakar Psikologi dan Psikiatrik

- Fisioterapi

- Jurupulih cara kerja

Menurut Dr. Anwar, pakar kesakitan kronik selalunya akan menyelia pesakit serta bertindak sebagai ‘team leader‘ untuk pasukan tersebut.

Antara modaliti rawatan yang disyorkan oleh pakar sakit kronik adalah:

-Suntikan epidural atau radiofrekuensi untuk rawatan sakit belakang, slipped disc, sindrom faset bahagian lumbar atau servikal.

-Suntikan radiofrekuensi (RF) juga boleh digunakan untuk merawat sakit kepala yang berpanjangan atau migrain yang kronik.

-Selain dari suntikan RF , suntikan Botox serta ‘neurolytic‘ juga boleh mengurangkan malah menyembuhkan sebahagian dari penyakit sendi atau otot yang kronik.

-Suntikan Neuroplasty adalah antara kaedah rawatan tanpa pembedahan yang terkini untuk ‘slipped disc‘ atau sakit urat tulang belakang di mana pesakit akan ditusuk dengan jarum serta kateter yang dipandu arah melalui sinaran X ke tempat cakera atau tulang belakang yang bermasalah. Pesakit tidak perlu lagi menjalani pembedahan major atau tinggal lama di hospital kerana prosedur cuma mengambil masa setengah jam.

-Rawatan Intervensi Kesakitan Kronik yang dipraktikkan oleh pakar- pakar kesakitan kronik kini berupaya mengambil-alih dan lebih popular di kalangan pesakit-pesakit kronik. Ini kerana ia tidak melibatkan pembedahan yang besar serta komplikasinya yang sangat minimum. Keberkesanannya adalah setara malah mungkin lebih baik dari pembedahan tulang belakang (spine operation) yang besar.

Mampukah rawatan alternatif pulihkan kesakitan kronik?

Setakat ini, menurut Dr Anwar, hanya rawatan akupunktur yang disahkan mampu mengurangkan kesakitan kronik dan ia sudah dipraktikkan di negara-negara Barat. Malah, beberapa hospital kerajaan dalam negara turut mempraktikkan kaedah tersebut bagi membantu masalah kesakitan kronik di kalangan pesakit.

Namun, lain-lain rawatan alternatif belum disahkan secara saintifik keberkesanannya dalam merawati kesakitan kronik.

Jelas Dr. Anwar, pengurusan kesakitan kronik adalah langkah terbaik bagi mengatasi sakit berpanjangan supaya pesakit boleh menjalani hidup dengan lebih berkualiti. Sebarang pertanyaan boleh menghantar e-mel ke msipp@gmail.com atau melayari laman web www.masp.org.my.

Pilih pakaian dalam ikut keselesaan

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar RIDUAN RIZAL

ADAKAH anda memakai pakaian dalam atau coli yang selesa? Ramai wanita bersikap remeh terhadap coli yang dipakai. Kebanyakan wanita membelinya hanya berdasarkan pada faktor cantik, harga berpatutan dan coli yang ada sudah lusuh.

Payudara merupakan aset seseorang wanita yang begitu istimewa dan tersendiri. Bagaimanapun ramai wanita yang tidak tahu cara memilih dan memakai saiz coli yang betul dan bersesuaian dengan bentuk badan mereka.

Masalah seperti coli ketat menekan bahu dan tisu payudara, sayap belakang yang terangkat dan coli terangkat apabila mengangkat tangan sering diabaikan.

Jika anda ingin tahu coli yang anda pakai itu selesa atau tidak, ia mestilah kemas dan sepadan, sayap belakang yang selaras dan tidak terangkat apabila mengangkat tangan.

Pengurus Produk Pemasaran Avon Intimates, Kwan Ji May berkata, terdapat lima bentuk payu dara, iaitu kecil, biasa, besar dan padat, besar dan berbentuk kantung serta besar dan menjarak.

Bagi payudara kecil, Ji May mencadangkan pemakaian coli cup setengah, tiga suku dan beralas seperti t-shirt bra dan push-up bra. Ia akan memberi kepadatan tambahan yang diperlukan.

"Jika anda mempunyai bentuk payudara biasa, anda bernasib baik kerana boleh memakai apa sahaja jenis coli.

''Payudara yang besar dan padat memerlukan coli yang bercup penuh kerana dapat menampung payudara serta mengurangkan tekanan pada bahu.

"Coli berstruktur sokongan dengan kancing 3x3 akan membantu anda menyokong dan mengimbangkan bentuk anda. Pilih yang bertali bahu selebar 15 hingga 19 milimeter.

''Sesetengah coli untuk payudara besar mempunyai span di tali bahu bagi mengurangkan sakit bahu.

''Wanita yang mempunyai payudara besar dan berbentuk kantung sesuai memakai yang berdawai kerana memberi sokongan tambahan bagi mengampu dan membentuk payudara dengan baik. Pun demikian, coli tidak berdawai yang berstruktur khas juga sesuai dipakai,'' kata Ji May yang ditemui di ibu pejabat Avon di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, terdapat juga wanita yang mempunyai payudara yang besar dan menjarak. Jika anda tergolong dalam golongan ini, gunakan coli berstruktur khas di mana anda boleh menolak payudara ke dalam coli.

Menurut Ji May, wanita harus mengambil tahu bentuk payudara mereka kerana bentuk payudara yang berbeza memerlukan coli yang berbeza.

Beliau berkata, di bawah rangkaian Avon Intimates, coli direka oleh sekumpulan pereka pakaian dalam di Filipina diketuai oleh Hwang Soo Young yang memiliki Diploma in Esmod Lingerie dari Peranchis.

Setiap produk yang dikeluarkan di bawah rangkaian Avon Intimates menekankan pada tiga faktor utama, iaitu fesyen, saiz yang tepat dan kualiti yang memuaskan.

Kebanyakan coli Avon dilapisi dengan sulaman renda berwarna-warni kerana menyedari wanita menyukai coli bersulam renda yang membuatkan mereka seronok dan berkeyakinan.

Ia juga direka sesuai daripada golongan remaja hingga dewasa dan warga emas.

Jelasnya, apabila seseorang wanita membeli coli, dia harus tahu bagaimana hendak mengukur payudara.

Mereka juga perlu tahu bahawa payudara harus selalu diukur kerana bentuk dan saiz akan berubah-ubah disebabkan perubahan hormon, kehamilan dan menyusu bayi.

Memakai coli yang tidak sesuai akan menyebabkan payudara jatuh, sakit belakang dan isi di kiri kanan menggeleber.

''Apabila telah pasti dengan saiz yang betul, baru beli. Jangan pakai coli dalam tempoh yang lama sehingga tiga atau empat tahun. Paling bagus tukar baru setiap tiga hingga enam bulan.

''Wanita yang mempunyai lemak yang menggeleber perlu memilih coli yang mempunyai sisi sayap yang lebih tinggi supaya isi lebihan boleh disembunyikan di dalam sayap,'' ujarnya lagi.

Jaga pemakanan ketika peperiksaan

Menyiapkan diri anak-anak dari segi fizikal dan emosi amat penting terutama ketika mereka sedang menghadapi peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang sedang berlangsung sekarang.

Namun, aspek pemakanan juga tidak harus dipandang ringan kerana dengan menjaga gaya hidup yang sihat dan makanan seimbang, seseorang pelajar itu boleh menghadapi tekanan semasa peperiksaan.

Jika peperiksaan tersebut diadakan pada sebelah pagi, maka janganlah lupa bersarapan.

Sarapan yang diambil hendaklah disertakan makanan yang mengandungi protein dan buah-buahan.

Ambil makanan yang kaya dengan protein seperti telur, kacang dan yogurt semasa sarapan dan makan tengahari.

Begitupun, ambil sarapan yang ringan kerana jika makan secara berlebihan atau mengambil makanan yang berat, dikhuatiri akan mengantuk.

Sebelum waktu peperiksaan, tidurlah dengan cukup kerana kurang tidur akan menyebabkan kelesuan, lekas marah dan mental yang tidak mantap.

Amalan pemakanan sihat ketika peperiksaan.

- Untuk mendapatkan tidur yang cukup, ambil makanan karbohidrat (roti, mi atau pasta) dan juga sedikit makanan protein kurang lemak (ikan, ayam atau daging) untuk makan malam.

- Ketika waktu peperiksaan, cuba kurangkan mengambil bahan yang ada kafein dan coklat.

- Walaupun ia membantu untuk kecerdasan otak, jumlah yang berlebihan boleh menyebabkan getaran dan debaran, menaikkan tahap kebimbangan dan memberi kesan pada tumpuan.

- Sebaliknya sediakan snek yang berkhasiat seperti protein bar atau fruit bar di antara waktu rehat.

- Minum air secukupnya kerana badan akan menjadi lesu sekiranya kekurangan air dan ini boleh menyebabkan hilang fokus semasa peperiksaan

- Minumlah segelas susu panas sebelum masuk tidur.

- Mengambil makanan yang mengandungi vitamin B dan Omega 3 boleh meningkatkan daya ingatan.

- Kalau ada masa, lakukan senaman. Senaman fizikal meningkatkan pembekalan oksigen dalam darah dan nutrien ke dalam otak supaya ia dapat berfungsi dengan efisien.

Fikiran positif kalahkan kanser

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

TIADA kata-kata mampu diucapkan tatkala disahkan menghidap kanser payu dara. Terbayang di fikiran, rambut semakin gugur, pakaian serta coli tidak sepadan serta berat badan tidak lagi secantik dulu.

Yang pasti berita sedih dan memeranjatkan itu seolah-olah petanda bahawa hidup mereka akan berakhir.

Namun bagi dua sahabat, Lucianna Jambari, 60, dan Umi Purwati Sunoto, 56, kanser payu dara mengubah kehidupan mereka menjadi positif, optimis, sentiasa membantu orang lain dan peka pada kesihatan diri.

"Mulanya memang saya berasa sedih apabila disahkan menghidap kanser payu dara. Tetapi disebabkan kanser ini, saya lebih optimis. Jika dahulu saya seorang yang cepat pemarah dan sensitif, saya sekarang lebih tenang dan sabar,'' ujar Lucianna ketika ditemui di Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) yang terletak di Tingkat 7, Blok Makmal A, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.

Bagi bekas pesakit kanser payu dara ini, penyakit pembunuh itu bukan bermakna penamat kehidupan tetapi memberi makna yang lebih besar.

Ketakutan

Disahkan menghidap kanser payu dara pada Mei 1997 dan selesai menjalani rawatan kemoterapi selepas melakukan pembedahan membuang sebelah payu daranya, Lucianna berjaya melawan perasaan takut yang bersarang dalam minda.

"Pada awalnya, saya tidak dapat menyangkal perasaan gelisah apabila disahkan menghidap kanser tahap kedua yang boleh dikategorikan sangat ganas.

''Saya merasai sendiri ketulan pada payu dara. Selepas berjumpa doktor, dua minggu kemudian saya menjalani pembedahan dan kemoterapi enam kali. Saya mengalami kesan sampingan seperti muntah dan hilang selera makan.

''Mood saya juga sedikit berbeza tetapi saya dapat menanganinya kerana sokongan daripada keluarga terutamanya suami,'' katanya.

Akhirnya, dia pulih seperti sedia kala tanpa perlu mengharungi radioterapi. Namun itu bukan bermakna simptom yang dialaminya sama dengan orang lain. Semuanya bergantung kepada keadaan penyakit.

Selepas 14 tahun peristiwa ini berlalu, perasaan takut Lucianna sebenarnya tidak boleh hilang.

Namun sebagai wanita yang mahukan kehidupan normal, dia berfikiran positif dan berusaha menjaga kesihatan dengan mengawal pemakanan dan mengikuti kelas aerobik.

Malah, lebih membanggakan apabila dia cuba membantu pesakit muda mengharungi detik-detik menakutkan itu.

''Dengan adanya Persatuan Kanser Network Selangor Wilayah Persekutuan (KanWork) di bawah CaRE, saya dapat menjadi sukarelawan dan membantu pesakit-pesakit lain," ujarnya.

Ketulan

Empat tahun kemudian, sahabat Lucianna, Umi Purwati Sunoto, 56, berhadapan situasi yang sama. Merasai sendiri ketulan di bahagian payu daranya ketika mandi, Umi terpaksa menangguhkan niatnya berjumpa doktor kerana mahu menumpukan pada majlis perkahwinan anaknya.

"Selepas majlis perkahwinan selesai, saya berjumpa doktor. Ketulan sebesar dua sentimeter telah ditemui. Saya menjalani pembedahan untuk membuang ketulan itu dan sebahagian di bawah ketiak.

''Pada mulanya saya tidak menjalani kemoterapi kerana takut kesan sampingannya seperti yang diberitahu kawan-kawan. Atas nasihat Lucianna, saya beranikan diri menjalani kemoterapi.

''Untuk kemoterapi kali kedua, saya lebih bersedia,'' katanya.

Pada sebelah petang hari yang sama, dia boleh memandu sendiri dan mengajar kelas aerobik. Malah dia bersyukur kerana tidak muntah-muntah seperti pesakit lain dan meneruskan rawatan sebanyak 20 kali.

Setelah 10 tahun berlalu, hidup Umi menjadi lebih baik. Dia masih aktif mengajar aerobik dan melibatkan diri dalam kerja sosial KanWork.

Dalam pada itu, CaRE dengan kerjasama KanWork telah menganjurkan Kursus Menangani Cabaran Kesihatan dan mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut tentang aktiviti CaRE dan KanWork boleh menghubungi 03-89472703 atau 1-800-22-2233.

Awas tempias bersin!

Oleh DATUK DR. ZULKIFLI ISMAIL

Jangkitan virus influenza, ada kalanya dikenali sebagai "flu", sangat mudah berlaku dan menyebabkan gejala umum seperti demam, sakit kepala dan sengal otot, serta hidung tersumbat, sakit tekak, hidung berair dan batuk. Pada masa dahulu, masyarakat di negara tropika dan subtropika menganggap influenza hanya berlaku di negara barat yang beriklim lebih sejuk.

Bagaimanapun, sistem pemantauan influenza di Malaysia dan negara jiran sentiasa menunjukkan bahawa influenza adalah punca utama penyakit di kalangan kanak-kanak. Sejak virus influenza yang biasanya terdapat dalam burung (A/H5N1) menjangkiti manusia di Asia Timur pada 1997, kerajaan telah menambah baik dan meluaskan pemantauan. Selain mengenal pasti virus jenis baru yang boleh menyebabkan wabak global yang serius, sistem pemantauan ini memberi maklumat yang berharga tentang siapa yang mendapat influenza dan bila jangkitan paling banyak berlaku. Di Malaysia, jangkitan influenza berlaku sepanjang tahun dan memuncak antara Mei-Jun dan Ogos-September. Pengetahuan ini boleh membantu pihak berkuasa kesihatan dan doktor anda membuat keputusan yang lebih baik untuk mencegah influenza menerusi pemvaksinan dan untuk merawat jangkitan influenza di kalangan kanak-kanak yang lebih berisiko mengalami komplikasi serius.

Kita perlu mengubah tanggapan umum bahawa influenza bukan penyakit biasa dan bukan pula penyakit teruk. Virus influenza sentiasa tersebar di seluruh dunia, menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit dan kerugian ekonomi yang sangat besar, terutamanya dari segi kehilangan hari kerja dan sekolah, dan berjuta-juta kunjungan ke klinik. Dalam selang waktu yang tidak dapat diramalkan, virus influenza jenis baru boleh muncul, menyebabkan kebanyakan orang tidak mempunyai pelalaian untuk melindungi diri daripada ancamannya. Ini boleh mengakibatkan wabak global, seperti yang berlaku pada 2009 apabila virus influenza H1N1 muncul. Setakat Ogos 2010, lebih 214 negara telah diserang wabak H1N1, dengan lebih 18,449 kematian dilaporkan. Di Malaysia sahaja, sehingga bulan Mei 2010, sebanyak 14,772 kes H1N1 disahkan dengan 87 kematian dilaporkan.

Amalan menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan kerap, menutup mulut apabila bersin dan batuk, dan tidak keluar rumah apabila merasa tidak sihat, boleh membantu mengurang penyebaran influenza. Bagaimanapun, pada hakikatnya, tabiat ini sukar diamalkan, lebih-lebih lagi di kalangan kanak-kanak dan dalam keadaan sesak. Cara paling berkesan untuk mencegah jangkitan influenza ialah dengan pemvaksinan tahunan.

Tempias bersin

Sebab utama influenza sangat mudah berjangkit ialah kerana ia boleh tersebar daripada seorang kepada seorang menerusi tempias daripada mulut apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin ataupun bercakap. Tempias virus dalam udara boleh menjangkiti orang yang menyedut udara ini. Virus influenza boleh juga tersebar apabila seseorang menyentuh permukaan atau objek yang tercemar.

Anda boleh menyebarkan influenza sebelum anda sendiri menyedari anda dijangkiti, kerana manusia boleh menjangkitkan virus ini kepada orang lain bermula satu hari sebelum penyakit ini menunjukkan gejalanya. Orang yang dijangkiti boleh terus menjangkitkan virus ini kepada orang lain sehingga 5 hari selepas mereka jatuh sakit, iaitu apabila mereka mula menunjukkan gejala penyakit. Kanak-kanak yang dijangkiti influenza selalunya mengalami gejala gastrousus seperti loya, muntah dan juga cirit-birit.

Menjauhkan masalah

Jika dibiarkan dan tidak dikawal, virus influenza sering menyebabkan wabak di rumah, sekolah dan dalam masyarakat. Pemvaksinan adalah langkah paling penting yang anda boleh ambil untuk mencegah jangkitan influenza. Disebabkan virus sentiasa berubah, vaksin influenza sentiasa dikemas kini untuk memastikan perlindungan daripada jenis virus yang sedang tersebar. Terdapat juga virus jenis utara dan jenis selatan, merujuk kepada wabak yang berlaku semasa musim sejuk di kedua-dua hemisfera. Inilah juga sebabnya kita perlu mengambil vaksin influenza setiap tahun. Vaksin influenza paling baru bagi 2010-2011 melindungi kita daripada tiga jenis virus – influenza A (H3N2 dan H1N1) dan influenza B – jenis yang paling biasa tersebar.

Tahukah anda bahawa jangkitan influenza juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang serius?

Susu ibu cukup untuk anak kembar

Soalan:
SAYA bakal melahirkan anak kembar tidak lama lagi. Saya berazam memberikan penyusuan ibu secara eksklusif kepada bayi-bayi saya. Bolehkah doktor berikan panduan terbaik untuk menyusukan anak kembar nanti. Memandangkan saya seorang ibu yang bekerja, sekurang-kurangnya saya mahu melakukannya secara eksklusif selama enam bulan.

- Su, Johor.

Jawapan:

Puan Su, nampaknya anda akan mendapat rezeki berganda. Jaga kesihatan diri dan juga bayi kembar dalam kandungan. Dapatkan pemeriksaan antenatal (kehamilan) berkala mengikut yang dijadualkan. Harap Puan dapat mula mencari dan membaca ilmu tentang penyusuan terutamanya penyusuan anak kembar, dengan membaca pengalaman ibu-ibu yang menyusukan anak mereka pada blog-blog, bertanyakan jururawat ketika pemeriksaan antenatal dan sebagainya. Ini adalah untuk persedian minda dan mental, manakala untuk persediaan fizikal anda perlu mengambil pil-pil vitamin yang disarankan oleh doktor dan mengambil makanan berkhasiat terutamanya produk yang tinggi kandungan protein. Justeru itu, Puan hendaklah juga sentiasa menjaga kesihatan puting payu dara, sentiasa membersihkannya ketika mandi supaya tidak tersumbat dan lembut dan menarik puting semoga ia terkeluar (everted) bagi memudahkan bayi menghisap.

Cabaran

Menyusu bayi kembar adalah cabaran bagi ibu bapa yang istimewa dan hebat. Sebaik mengetahui kandungan adalah bayi kembar, ibu-ibu (dan juga bapa-bapa) perlu bersedia dari segi fizikal dan mental menerima kehadiran dua bayi serentak, bersedia kemungkinan bayi lahir pramatang, bersedia kemungkinan kelahiran secara pembedahan caesarean dan membuat perancangan corak penyusuan kepada bayi.

Persediaan mental juga adalah sangat penting bagi ibu yang bercadang memberikan penyusuan eksklusif untuk bayi kembar kerana akan timbul persoalan tentang "susu tidak cukup". Ramai menganggap susu ibu akan tidak cukup lebih-lebih lagi pada hari-hari awal kelahiran, maka salah seorang atau kedua- duanya secara bergilir mungkin akan diberi susu formula! Ini adalah suatu persepsi yang salah.

Para ibu harus sedar dan yakin bahawa berapa ramai pun kembar yang dilahir serentak, susu ibu pasti cukup untuk mereka. Beberapa panduan yang boleh diamalkan adalah dengan menyusu bayi seawal satu jam pertama dilahirkan. Ramai ibu sudah sedia maklum tentang keperluan menyusu seawal satu jam pertama ini untuk merangsang penghasilan susu ibu. Sekiranya ibu melahirkan bayi pramatang dan kurang berat badan, penyusuan ibu adalah 'ubat' paling mujarab untuk menambah berat badan bayi. Ini kerana susu ibu memang dicipta untuk bayi baru lahir walau berapa pun usianya ketika dia lahir. Sekiranya ibu melahirkan bayi secara pembedahan caesarean, mintalah bantuan jururawat untuk memperbaiki posisi ibu ketika menyusu pada jam pertama. Sebaiknya berbincang terlebih awal dengan doktor atau jururawat yang bertugas agar hasrat ibu untuk menyusu pada 1 jam pertama dapat diimplementasikan.

Panduan seterusnya adalah dengan menyusu bayi sekerap mungkin. Secara puratanya bayi baru lahir menyusu antara lapan hingga 12 kali dalam tempoh 24 jam. Bagi bayi kembar, ibu-ibu boleh menyusu kedua-duanya serentak pada masa yang sama atau secara bergilir mengikut keselesaan ibu. Pada minggu-minggu pertama mungkin ibu-ibu akan merasakan bayi menyusu agak kerap dan keadaan ini akan meletihkan ibu. Ia adalah perkara normal sebelum bayi menunjukkan pola penyusuannya selepas usianya sebulan. Malah perkara ini harus diterima secara positif oleh ibu kerana ia menandakan keperluan bayi untuk menyusu tinggi maka ia akan menghantar isyarat ke otak bahawa penghasilan susu ibu harus ditingkatkan. Susukan bayi sebelum dia menangis. Pada hari-hari awal kelahiran, biasakan rutin menyusu setiap setengah jam. Jika ibu menyusu bayi seorang demi seorang aturkan masa menyusu supaya si kembar tidak menangis ketika yang seorang lagi sedang menyusu.

Rehat

Ibu juga perlu perbanyakkan rehat. Ibu-ibu perlu berehat dengan secukupnya untuk mengurangkan stres yang akan mengganggu penghasilan susu ibu. Ibu boleh tidur dan berehat apabila bayi tidur. Sesetengah ibu selalu menjadikan masa tidur bayi sebagai masa ibu untuk membuat kerja. Ini adalah kurang tepat kerana ibu juga perlu berehat dan menenangkan fikiran. Suami harus memainkan peranan membantu menguruskan perkara-perkara lain sementara ibu menumpukan lebih perhatian kepada menguruskan bayi.

Minum banyak air dan makan makanan berkhasiat. Air adalah komponen penting dalam penghasilan susu ibu. Amalkan minum air sambil menyusu atau selepas menyusu sekurang-kurangnya segelas air, jus atau susu. Ibu menyusu perlu makan makanan berkhasiat secukupnya untuk menampung kehilangan kalori semasa penyusuan. Ibu-ibu juga digalakkan makan vitamin, kalsium dan zat besi seperti yang diambil semasa hamil.

Anda perlu mengehadkan pelawat. Perkara ini mungkin agak sukar untuk dilakukan kerana ramai pelawat yang terdiri daripada rakan-rakan, jiran dan saudara mara ingin berkongsi kegembiraan dengan kehadiran bayi kembar. Namun begitu ibu masih perlu memperuntukkan masa bersama bayi terutama privasi ketika menyusukan bayi. Minta pelawat tinggalkan bilik ketika masa menyusu telah tiba, ambil masa privasi anda kerana ia penting untuk memastikan kelangsungan produksi susu ibu.

Sunday, November 20, 2011

Herba penawar penyakit

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Pengasas Herba An-Naabat, Dr. Nurmawati Syakroni menyifatkan setiap herba memiliki keistimewaan tersendiri.

"Di peringkat Sarjana Muda saya belajar dalam bidang farmasi di Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta (UGM) dan banyak mempelajari jenis-jenis ubat sintetik dan fungsinya.

"Ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan peringkat Doktor Falsafah di Universiti Putra Malaysia (UPM), saya telah merubah haluan dengan membuat kajian dalam bidang herba sebagai ubat-ubatan alternatif.

"Kebetulan, saya sekeluarga juga jarang mengambil ubat sintetik dari klinik, tetapi menggunakan dan menghasilkan sendiri ubat daripada herba.

"Tahun demi tahun, saya telah menghasilkan pelbagai ramuan herba untuk merawat pelbagai penyakit. Semuanya terjadi secara tidak langsung apabila rakan-rakan di kampus berkongsi masalah kesihatan yang mereka hadapi.

"Dari situ, saya mendapat idea untuk menghasilkan herba bagi merawat penyakit yang saya ramu dengan teliti berdasarkan pengalaman dan ilmu yang telah saya dapatkan selama ini," ujarnya yang kini bertugas sebagai penyelidik di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM Serdang.

Mengulas lanjut tentang pengalamannya bersama testimoni herba ramuannya, Dr. Nurmawati pernah membantu seorang kakitangan makmal di UPM. Pada awalnya, beliau melihat wanita itu seperti letih dan tidak bermaya.

"Apabila saya bertanya pada wanita tersebut, ternyata dia menghidapi penyakit tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi. Kemudian saya cuba membantu untuk menghasilkan ramuan herba bagi merawat penyakit-penyakit tersebut. Dalam proses menyediakan setiap ramuan selalu saya sertai dengan solat hajat agar diberi manfaat tanpa ada mudarat.

Selepas tiga minggu wanita itu menggunakan ramuan yang saya sediakan, doktor menyatakan bahawa wanita tersebut bebas kolestrol dan tekanan darah tinggi.

Bermula daripada ramuan Herba Turun Kolestrol itulah, makin ramai yang mula mengenali saya dan berkongsi masalah kesihatan mereka. Kini saya sudah menghasilkan 77 ramuan herba dengan jenama An-Nabaat," jelasnya ketika ditemui di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Meskipun pengenalan Herba An-Nabaat hanya 'mulut ke mulut' dan sesekali menyertai ekspo di beberapa tempat, namun sambutannya sangat menggalakkan termasuk dari Syarikat Sakmoto, Jepun.

Menurut wakil Sakmoto di Malaysia, Mohd Dali Abdullah, selepas tsunami melanda Jepun dan alam sekitar mereka tercemar dengan radiasi radio aktif, permintaan terhadap ubat-ubatan herba dari luar Jepun terutama Malaysia semakin meningkat.

"Selepas mencuba beberapa produk Herba An-Naabat dan melakukan perbincangan, pihak Sakmoto di Jepun berminat mengadakan usaha sama bagi memasarkan herba tersebut di sana. Pada tahun hadapan, pihak syarikat kami akan membawa Dr. Nurmawati ke Jepun untuk meneruskan penyelidikan dan mengkomersialkan Herba An-Naabat di Jepun. Tahun ini, Sakmoto telah menempah minyak kelapa dara dan minyak herba," ujar Mohd Dali.

Ujarnya lagi, pihak Sakmoto telah berbincang dengan Profesor Dr. Rozita Rosli bagi pihak Institut Bio Sains (IBS), UPM, untuk menjadikan IBS sebagai Pusat Penyelidikan Herba di Asia. Hasil penyelidikan tersebut akan turut dikomersial ke Jepun dan Korea Selatan.

Kesemua ramuan herba tersebut diperolehi daripada bahan-bahan alam semula jadi seperti akar-akar kayu dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di Malaysia.

Periksa mata anda sekarang

Lakukan pemeriksaan mata berkala mulai 40 tahun. - gambar hiasan.

ANTARA anggota utama yang tidak terlepas daripada kesan usia ini adalah mata, yang paling jelas merosot fungsinya selepas umur 50 tahun.

Usia emas tidak bermakna menjadi rabun atau buta, malahan ia boleh dicegah atau sekurang-kurangnya dilambatkan dengan langkah pencegahan dan rawatan terkini. Katarak, glaukoma, kemerosotan makula berkaitan usia (AMD) dan retinopati diabetik, yang paling banyak menyebabkan masalah mata dan kebutaan warga emas.

Mata merupakan antara struktur badan yang mempunyai metabolisme paling tinggi. Lebih 120 juta fotoreseptor mata berfungsi setiap milisaat dan tidak berhenti selagi mata dibuka untuk melihat. Begitu banyak salur darah halus membolehkan metabolisme tinggi ini berterusan dan mata terus melihat.

Tahap kesihatan mata juga dapat menjadi penunjuk kepada tahap kesihatan badan seseorang .

Oleh itu, adalah dinasihatkan pemeriksaan berkala untuk mata perlu dimulakan dari umur 40-an, atau lebih awal lagi dan bukan hanya diperiksa selepas masalah penglihatan mula timbul.

Struktur mata terbina daripada beberapa bahagian berbeza seperti kornea, iris, kanta, retina, saraf optik, makula dan salur darah halus . Kehilangan penglihatan mungkin boleh dirawat atau tidak, bergantung kepada struktur yang terjejas. Oleh itu pengesanan awal dan langkah pencegahan adalah sangat penting.

Punca

Hasil kajian yang dijalankan menunjukkan masalah obesiti atau kegemukan menjadi punca kepada kebanyakan penyakit.

Perangkaan terbaru juga menunjukkan semakin ramai golongan muda negara ini (di bawah umur 40 tahun) yang menghidap diabetes jenis kedua, seawal umur 20-an lagi. Gejala ini akan membawa kepada komplikasi salur darah halus (mikrovaskular) yang banyak terdapat pada mata. Retinopati diabetik merupakan punca utama kebutaan yang boleh dicegah dan mungkin menyebabkan pesakit buta seawal usia 30-an.

Paras gula yang tidak terkawal, terlalu tinggi (hiperglisemia) atau terlalu rendah (hipoglisemia) dan tempoh menghidap diabetes (lebih lama lebih bahaya) menentukan risiko menghidap retinopati diabetik.

Diabetes juga boleh membawa kepada komplikasi makulopati diabetik (pengumpulan lemak di dalam mata yang menyebabkan bengkak pada makula) dan glaukoma atau peningkatan tekanan pada mata.

Jenis-jenis masalah mata:

1. Katarak - Punca utama kebutaan masyarakat dunia ialah katarak yang menyebabkan kanta mata (yang jernih) menjadi legap sehingga cahaya tidak dapat sampai ke retina. Katarak tidak boleh dicegah tetapi boleh dirawat. Walaubagaimanapun amalan pemakanan dan cara hidup sihat dikatakan mampu melambatkan proses terjadinya katarak. Antara tanda ialah penglihatan menjadi kabur secara beransur-ansur dan tidak boleh dibetulkan dengan cermin mata. Pesakit diabetes juga berisiko mendapat katarak lebih muda (sekitar umur 45 tahun). Mereka juga mungkin mengalami katarak gula (mata tiba-tiba kabur) akibat pengumpulan terlalu banyak gula dalam mata. Dengan teknologi terkini, pembedahan katarak menjadi lebih selamat, mudah dan proses pemulihan penglihatan juga menjadi semakin singkat.

2. Glaukoma pula merupakan keadaan di mana berlakunya kemerosotan fungsi saraf optik yang menyebabkan medan penglihatan semakin sempit seterusnya kebutaan kekal, di mana tekanan mata yang tinggi adalah penyebab utama berlakunya masalah ini.

Ujian saringan penglihatan oleh individu terlatih amat penting apabila melangkaui umur 40 tahun, terutamanya jika mempunyai sejarah keluarga dengan masalah tersebut.

3. Kemerosotan Makula Berkaitan Usia (AMD) - merupakan punca kedua utama kebutaan dunia. AMD adalah penyakit kemerosotan retina yang memberi kesan kepada makula, iaitu bahagian paling sensitif dalam mata yang membolehkan kita melihat sesuatu secara terperinci.

Pesakit AMD juga selalunya hanya dapat dikesan pada peringkat lewat iaitu bila penglihatan terjejas kerana pada peringkat awal pesakit tidak mempunyai tanda-tanda yang nyata. Pesakit AMD mungkin mengalami kesukaran dengan tugas visual seperti membaca, menentukan masa, mengenali muka dan memandu.

Berbanding katarak yang lebih mudah dikesan, glaukoma, retinopati diabetik dan AMD yang menjejaskan bahagian belakang mata boleh dikesan melalui ujian saringan yang kini terdapat di kebanyakan hospital dan klinik sama ada kerajaan ataupun swasta.

Pencegahan awal

Walaupun kini terdapat teknologi moden yang dapat membantu rawatan penyakit-penyakit mata tersebut, pilihan utama tetap kepada pencegahan bagi mengekalkan struktur dan fungsi semula jadi mata. Dianggarkan lapan juta penduduk dunia melebihi umur 55 tahun menghidap AMD, dengan 1.3 juta daripadanya akan membentuk AMD yang teruk jika tidak dirawat.

Beberapa kajian yang telah dan sedang dijalankan menunjukkan peranan antioksidan, zink dan asid lemak omega-3 memberi kesan positif dalam mengurangkan risiko dan melambatkan pembentukan AMD.

Selain pemeriksaan berkala, pencegahan dengan pengambilan antioksida dapat membantu mengurangkan kandungan radikal bebas di dalam badan, terutamanya pada mata.

Kajian menunjukkan pengambilan diet kaya dengan vitamin E dan zink mungkin bermanfaat dalam mengurangkan risiko AMD, sehingga 35 peratus jika ditambah vitamin C dan beta karotin. Dipercayai lutein meningkatkan kepadatan pigmen optikal makula mata dan meningkatkan ketajaman penglihatan jarak dekat dan sensitiviti kontras. Gabungan lutein dan zeaxanthin juga didapati dapat memberi kesan perlindungan mata daripada AMD.

Berdasarkan beberapa kajian, pengambilan bersama asid lemak omega-3 (seperti DHA, EPA), lutein dan zeaxanthin mungkin lebih berkesan menurunkan risiko AMD. Oleh itu, pengambilan suplemen tambahan tertentu mungkin membantu untuk melindungi mata dari kesan peningkatan usia.

Mengapa muntah darah?

Panel pakar kami akan cuba menjawab persoalan atau menjelaskan segala keraguan anda tentang kesihatan penghadaman. Hantarkan persoalan anda bersama dengan nama, jantina, umur, alamat dan nombor telefon ke emel: digestivehealth@versa- group.com dan faks ke: 03-5638 9909.

Soalan: Saya kuat makan dan selalu mengalami masalah penghadaman. Saya cuba menggunakan antasid untuk melegakan masalah itu, namun tidak berkesan. Apa perlu saya lakukan dan jenis makanan yang patut saya elak?

Fitri Hashim

Dr. Lee Hock Bee: Masalah penghadaman atau ketidakhadaman membuat kita rasa kenyang atau tidak selesa semasa makan, atau selepas makan. Ia juga boleh disertakan dengan rasa pedih atau sakit di bahagian atas perut. Ini adalah masalah biasa yang sering berlaku atas kita. Bagaimanapun, gejalanya mungkin berbeza mengikut individu itu sendiri.

Antara gejalanya termasuk rasa kembung, sendawa dan angin, loya dan/atau muntah, perut "berkeroncong" dan rasa pedih dalam perut atau bahagian atas abdomen, dan juga sakit abdomen.

Makan secara berlebihan, makan terlalu cepat, makan makanan berlemak, atau makan dalam keadaan tertekan boleh menyebabkan ketidakcernaan. Minum terlalu banyak alkohol, merokok, atau berasa sangat tertekan (stres) atau letih juga boleh mengakibatkan ketidakhadaman. Semua faktor ini menyebabkan angin berlebihan, mengakibatkan sendawa dan kembung, yang selalunya merupakan gejala-gejala utama dikaitkan dengan ketidakhadaman.

Terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk menghentikan atau mencegah ketidakhadaman. Cuba kurangkan jumlah asid dalam perut, dengan mengelakmakanan seperti buah-buahan sitrus dan tomato, dan juga makanan berempah dan berlemak. Makan perlahan-lahan dan sedikit supaya perut tidak perlu bekerja keras atau terlalu lama seperti yang terpaksa dilakukan apabila anda makan banyak. Terdapat juga makanan tambahan berbentuk enzim penghadaman yang boleh diambil jika terlebih makan. Sungguhpun anda perlu minum banyak air sepanjang hari, anda dinasihatkan supaya tidak minum terlalu banyak semasa makan, kerana ini boleh mencairkan rembesan penghadaman dalam badan.

Antasid bertindak cepat, dan sepatutnya memberi kelegaan dalam masa beberapa minit. Jika anda telah mengambil antasid tetapi tidak memberi kelegaan, ini mungkin disebabkan masalah lain di samping ketidakcernaan.

Soalan: Saya muntah-muntah sejak seminggu lalu dan dua hari lepas saya muntah darah. Semalam saya muntah darah lagi dan kali ini lebih banyak. Warna darah juga gelap. Apakah tandanya?

Amir Hamzah

Dr. Liew Yin Mei: Darah dalam muntah kadangkala perkara kecil, tetapi ia juga boleh menandakan masalah kesihatan terpendam yang lebih besar dan lebih serius. Apabila anda muntah, anda mendapati sedikit darah (iaitu jalur-jalur kecil, satu atau dua tompok) atau jika muntah yang mengandungi banyak darah. Darah dalam muntah boleh mungkin berwarna merah terang, atau nampak hitam atau perang gelap.

Darah dalam muntah ada kalanya boleh disebabkan oleh darah yang ditelan, seperti dari pendarahan hidung, atau batuk kuat. Antara punca darah dalam muntah ialah pendarahan dalam bahagian atas saluran gastrousus (mulut, esofagus, perut, dan bahagian atas usus kecil), daripada ulser peptik, atau saluran darah terkoyak. Bagaimanapun, muntah darah menandakan sesuatu yang lebih serius dan memerlukan perhatian perubatan secepat mungkin.

Kekerapan muntah darah, dan jumlah darah dalam muntah mungkin berbeza, bergantung pada punca pendarahan. Jika anda mengalami masalah perubatan yang mengakibatkan pendarahan teruk, anda mungkin mendapati banyak darah dalam muntah. Jika kehilangan darah berterusan dengan cara ini, pesakit boleh mengalami pening kepala, gayat, pitam, atau kesukaran bernafas. Gejala lain termasuk penglihatan kabur, selesema, kulit pucat, dan kurang kencing.

Jangan cuba rawat sendiri dengan ubat biasa atau ubat yang dibuat di rumah, kerana darah dalam muntah mungkin menandakan masalah perubatan yang amat serius. Pesakit yang muntah darah secara berlebihan akan diperiksa menerusi beberapa ujian darah, seperti kiraan darah penuh (CBC), kimia darah, ujian pembekuan darah, dan ujian fungsi hati. Ujian lain yang mungkin dijalankan untuk mencari punca pendarahan mungkin termasuk esofagogastroduodenoskopi (EGD), pemeriksaan rektum (dubur), dan/atau pemeriksaan x-ray.

Masalah muntah darah mesti diberi perhatian perubatan dengan secepat mungkin dan dinilai oleh pakar penjagaan kesihatan profesional.

Elak penyakit semasa melancong

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

KEBANYAKAN pelancong tidak menyedari perancangan pelancongan bukan sekadar menempah tiket dan tempat tinggal serta memastikan pasport anda dikemaskini," kata Bekas Presiden dan Ahli Majlis Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia (MSIDC), Profesor Datin Dr. Hamimah Hassan.

Dengan penerbangan udara pada masa kini lebih mudah dan menawarkan harga tiket murah, lebih ramai orang memilih destinasi antarabangsa.

Berdasarkan statistik daripada Pertubuhan Pelancongan Sedunia (WTO), ketibaan pelancong antarabangsa di seluruh dunia pada tahun 2009 atas tujuan perniagaan, bercuti dan urusan lain berjumlah 880 juta .

Ketibaan antarabangsa dijangka mencecah satu bilion pada 2010 dan 1.6 bilion menjelang 2020. Di Malaysia, sebuah kajian menunjukkan bahawa 31 peratus rakyat Malaysia telah melancong ke luar negara untuk tujuan bercuti dalam 12 bulan lepas .

Bergantung kepada jenis pengangkutan, kesihatan pelancong, gaya hidup yang diingini dan epidemiologi penyakit berjangkit di negara destinasi, melancong di luar negara mendedahkan pelancong kepada risiko kesihatan. Bukan sahaja pelancong mudah dijangkiti penyakit berkaitan melancong, tetapi pelancong mungkin menjadi pembawa bagi penyakit tersebut, seterusnya mendedahkan masyarakat sekeliling kepada risiko jangkitan.

Penyakit

Penyakit berkaitan melancong yang umum termasuklah hepatitis, demam kepialu dan influenza yang boleh disebarkan melalui makanan serta minuman tercemar, amalan seksual yang tidak selamat atau melalui pemindahan titisan semasa batuk, bersin atau bercakap .

Pelancong dari negara maju yang tidak dilindungi telah merekodkan kadar insiden bulanan jangkitan hepatitis A di antara 300 hingga 2,000 bagi 100,000 pelancong apabila melawat negara membangun.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut melaporkan hampir dua bilion orang di dunia telah dijangkiti virus hepatitis B dan hampir 350 juta hidup dengan jangkitan kronik akibat virus ini. Tambahan pula, 600,000 orang meninggal dunia setiap tahun akibat daripada hepatitis B akut atau kronik .

Vaksinasi

Berdasarkan penemuan ini, cara terbaik untuk meminimumkan dan mencegah akibat-akibat tersebut adalah dengan mendapat perlindungan daripada awal dalam bentuk vaksinasi.

"Kepentingan membuat rancangan untuk kesihatan sebelum melancong bagi membolehkan masa mencukupi supaya jadual imunisasi boleh dilengkapi. Masa yang disyorkan untuk menemui doktor anda adalah sekurang-kurangnya empat hingga lapan minggu sebelum melancong. Namun, tidaklah terlambat untuk menemui doktor anda walaupun anda mempunyai masa kurang daripada empat minggu sebelum bertolak," ujar Dr. Hamimah

Bagi memberi panduan kepada anda yang bakal bercuti di luar negara, anda boleh melayari laman web Fit-to-Fly (www.fit2fly.com.my) yang menyediakan panduan pelancongan dan risiko kesihatan yang perlu diketahui para pelancong. Disediakan khas untuk rakyat Malaysia, laman web tersebut turut menyediakan maklumat berkenaan imunisasi yang disyorkan, dibahagikan mengikut negara yang bakal dilawati.

"Secara ringkas, perancangan, kaedah pencegahan dan langkah berjaga-jaga yang sesuai boleh melindungi kesihatan seseorang dan meminimumkan risiko mendapat penyakit berjangkit semasa melancong," ujar Dr. Hamimah.

Rawat diabetes lebih awal

Oleh DR L.Y. KAM

Diabetes boleh dikesan melalui ujian darah di mana-mana klinik atau makmal.

DIABETES bukanlah sejenis penyakit yang asing bagi masyarakat kita. Setiap hari tanpa disedari, kita mungkin berhadapan atau berdiri ataupun makan di sebelah seorang pesakit diabetes. Setiap satu dalam tujuh orang dewasa di Malaysia menghidapi diabetes. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga 2006 menunjukkan prevalen bagi diabetes di kalangan penduduk negara ini yang berumur 30 tahun ke atas meningkat kepada 14.9 peratus berbanding hanya 8.3 peratus pada 1996.

Bagaimana boleh berlaku peningkatan sebegini? Terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada penyakit diabetes seperti masalah berat badan, pengambilan makanan tinggi lemak dan kurang serat, keturunan atau sejarah keluarga (diabetes ada hubungkait kuat dalam keluarga). Begitu juga peningkatan umur, kurang bersenam dan mengamalkan gaya hidup tidak aktif - ciri yang ada pada kebanyakan masyarakat kita. Wanita yang mengalami masalah diabetes ketika hamil mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit ini.

Diabetes boleh dibahagikan kepada dua jenis/kategori iaitu:

I. Diabetes Mellitus yang bergantung kepada Insulin (IDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis I;

II. Diabetes Mellitus yang tidak bergantung kepada Insulin (NIDDM) atau Diabetes Mellitus Jenis II. Jenis yang paling banyak dialami adalah diabetes jenis II.

Jika anda mengalami gejala seperti luka yang lambat sembuh, jangkitan pada sistem pembuangan air kencing dan kemaluan, kebas kaki, dahaga, kerap buang air kecil dalam kuantiti yang banyak, letih dan lesu serta berat badan menurun tanpa sebab, anda disarankan menjalani ujian untuk diabetes.

Bagaimana diabetes dikesan? Kebanyakan orang tidak sedar mereka menghidap diabetes. Di Malaysia, pakar perubatan menganggarkan kebanyakan pesakit sudah menghidap diabetes bertahun-tahun lamanya sebelum penyakit mereka dikesan. Inilah sebabnya kita perlu mengetahui paras gula darah kita dengan kerap menjalani pemeriksaan. Diabetes boleh dikesan melalui ujian darah di mana-mana klinik atau makmal seperti Pathlab iaitu:

"Ujian paras gula ketika berpuasa - Ujian ini biasanya dijalankan pada waktu pagi selepas berpuasa selama lapan jam. Ini bermakna seseorang yang ingin menjalani ujian ini tidak boleh makan atau minum (kecuali air masak) selama lapan jam sebelum ujian.

"Ujian paras gula secara rambang - Ujian ini boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak perlu berpuasa.

"Ujian oral toleransi glukosa - Dalam ujian ini seseorang akan diberi minum air yang dibancuh dengan 75 gram glukosa. Tahap gula dalam darah akan diperiksa semasa puasa dan selepas dua jam pengambilan 75g glukosa.

Secara lazimnya ujian ini untuk wanita hamil yang disyaki menghidap diabetes di klinik kerajaan. Ramai wanita menghidap diabetes ketika hamil sedangkan mereka tidak pernah mengalami masalah itu. Keadaan ini dipanggil diabetes gestasi yang hanya berlaku ketika hamil. Wanita yang ada masalah ini mempunyai risiko mengalami pradiabetes dan diabetes jenis II kelak.

Biasanya ujian ini bertujuan mengetahui risiko menghidap diabetes gestasi ketika kehamilan memasuki minggu ke-24 hingga 28. Untuk mengesannya, wanita dikehendaki berpuasa selama lapan jam, dan akan diberikan air glukosa (ujian oral toleransi glukosa). Ujian ini sangat penting kerana diabetes gestasi boleh memberi kesan kepada kandungan; antara risikonya ialah badan bayi menjadi besar daripada normal (makrosomia), tahap gula dalam darah bayi terlalu rendah (hipoglisemia), bayi boleh mengalami demam kuning atau bayi boleh mengalami sindrom sesak nafas.

Bagaimanapun dalam kebanyakan kes, dengan kawalan yang baik, iaitu dengan mengawal paras gula darah, mengamalkan pemakanan sihat, bersenam dan mengekalkan berat badan seimbang; wanita boleh melahirkan bayi yang sihat.

Ada lagi satu perkara penting yang perlu diketahui khususnya bagi pesakit diabetes iaitu ujian untuk mengetahui paras HbA1c. Ini adalah ujian bagi menunjukkan purata gula dalam sel darah merah dalam tempoh tiga bulan. Ia juga menunjukkan sama ada diabetes anda terkawal atau sebaliknya.

Dalam ujian ini, sampel darah pesakit akan diambil dan dihantar ke makmal untuk dianalisis. Keputusan anda normal jika HbA1c berada pada tahap 6 peratus atau kurang. Tahap HbA1c yang digunakan untuk diagnosis diabetes ialah kurang dari 5.7 peratus (normal), 5.7 hingga 6.4 peratus (pra diabetes) dan 6.5 peratus atau lebih (diabetes). Jika anda menghidap diabetes, anda perlu memastikan paras HbA1c di bawah 7 peratus dan berbincang dengan doktor tahap yang sesuai untuk anda.

Diabetes tidak terkawal boleh mencetuskan pelbagai komplikasi yang membabitkan banyak organ seperti menyebabkan kerosakan jangka panjang kepada mata (boleh mengakibatkan buta), saraf (kebas atau hilang deria rasa di tangan dan kaki boleh cedera tanpa disedari), otak (strok), buah pinggang (kegagalan buah pinggang) dan jantung (serangan jantung).

Jangan perjudikan kesihatan dan segeralah jalani pemeriksaan kesihatan am untuk mengetahui tahap kesihatan anda. Sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri, seharusnya datang untuk menjalankan saringan pemeriksaannya kerana umur yang panjang tidak bermakna jika kita tidak sihat. Ujian saringan kesihatan am boleh dilakukan di mana-mana klinik atau 50 cawangan makmal Pathlab di seluruh Malaysia.

Mengesan GERD dari awal

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto ZAINI HUSIN

ADAKAH anda sering merasa pedih hulu hati atau tidak selesa di bahagian dada hingga menular ke kerongkong?

Atau pernahkah anda mengalami kembung perut atau sendawa yang kerap - walaupun belum menikmati makanan.

Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala ini, anda mungkin mengalami simptom penyakit refluks gastroesofageal (GERD).

GERD adalah keadaan yang terjadi apabila refluks atau jeluak kandungan gastrik menyebabkan simptom atau komplikasi yang mendatangkan masalah.

GERD boleh menyerang sesiapa saja termasuk orang muda di peringkat paling produktif dalam hidup mereka. Penyakit ini boleh mendatangkan kesan kepada mutu kehidupan seseorang serta prestasi kerja mereka.

Di Malaysia, dianggarkan 50 peratus daripada jumlah penduduk dewasa mengidap sekurang-kurangnya satu masalah gastrousus. Kesilapan atau kegagalan mendiagnosis GERD boleh menyebabkan rawatan yang salah dan tidak berkesan.

Bagi membantu para doktor dan pesakit mereka merapatkan jurang ini, syarikat farmaseutikal berasaskan penyelidikan yang terkemuka dunia, AstraZeneca telah membangunkan alat mendiagnosis yang mudah dan berkesan, dipanggil GERDQ, yang boleh digunakan oleh para doktor di klinik mereka.

Dalam satu kajian tempatan yang diketuai Ketua Gastroenterologi dan Hepatologi di Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Goh Khean Lee bersama 30 pengamal perubatan di Malaysia, GERDQ terbukti menjadi alat yang sangat mudah dan berguna untuk mendiagnosis dan menilai respons kepada rawatan GERD.

"Ramai pesakit tidak menyedari bahawa mereka mempunyai simptom GERD. Penyakit ini boleh mendatangkan kesan yang serius jika tidak dirawat. Dengan GERDQ, lebih daripada 80 peratus doktor berkata bahawa alat ini boleh diharapkan dan akan dipertimbangkan bagi kegunaan diagnosis di masa hadapan.

"Hasil kajian sangat menggalakkan kerana alat ini akan membantu para doktor mendiagnosis tahap GERD dengan lebih tepat dan membuat preskripsi rawatan yang terbaik untuk penyakit ini," jelas Dr. Khean Lee.

Keliru

Tambah Dr. khean Lee, ramai yang keliru dan tidak sedar kerana tidak faham dengan jelas simptom GERD.

Antaranya adalah simptom penyakit ringan seperti ketakcernaan kepada simptom yang lebih serius seperti serangan jantung. Orang ramai perlu pandai membaca tanda-tanda GERD supaya mereka boleh mendapat rawatan yang sewajarnya

"Mereka yang percaya bahawa ketakcernaan adalah penyebab kepada ketidakselesaan selalunya akan merawat masalah mereka dengan antasid tanpa memeriksa terlebih dahulu sekiranya terdapat masalah asas lain. Sesetengah rawatan melalui kaunter boleh menyebabkan keadaan bertambah teruk.

Oleh itu mintalah nasihat doktor sebelum cuba mengubati diri sendiri," nasihat Dr. Khean Lee. Selain itu, ketidakselesaan akibat pedih hulu hati dapat dirasakan di sekitar kawasan dada dan ia sering dikait dengan sakit jantung.

Jika ini bukan masalahnya, GERD boleh dipertimbangkan sebagai diagnosis kerana kebanyakan penghidap GERD mengalami apa yang dipanggil sakit dada bukan kardium.

"Keadaan ini mungkin berbahaya dan kami menggalakkan pesakit menyedari kesamaan dan perbezaan antara simptom serangan jantung dan simptom GERD," ujar beliau.

Bantuan

Dalam pada itu, Perunding Gastroenterologi Dr Tan Huck Joo memberitahu, pengesanan dan rawatan awal GERD boleh menambah baik mutu kehidupan pesakit.

"Terdapat beberapa cara untuk merawat GERD, namun orang ramai perlu didiagnosis dengan betul oleh doktor mereka. Kami mengambil kira pelbagai faktor, termasuk rekod kesihatan anda, sejarah keluarga, gaya hidup dan faktor risiko yang lain, seperti merokok. Selain itu, kami kini mempunyai GERDQ untuk membantu mendiagnosis dan menilai respons terhadap rawatan. Minggu Kesedaran GERD Antarabangsa jatuh pada minggu ketiga bulan November. Buatlah temu janji anda hari ini agar anda boleh menikmati kehidupan tanpa mengalami simptom GERD yang menyakitkan dan mengganggu diri anda," tambah Dr Huck Joo.

Tuesday, November 15, 2011

Sakit bagai dicucuk jarum

Oleh ZUHAYATI YAZID

Pesakit diabetes perlu sentiasa mengawal kandungan gula dalam darah mereka.

SEJAK disahkan menghidap kencing manis (diabetes) lebih tujuh tahun lalu, Halim (bukan nama sebenar) berusaha untuk menjalani gaya hidup sihat dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan bersenam.

Begitupun sejak beberapa bulan kebelakangan ini tapak kaki dan kadang kala hujung jarinya terasa sakit dan pedih bagai ditusuk jarum atau benda tajam.

Rasa sakit tersebut pada awalnya berlaku sesekali tetapi sekarang semakin kerap sehingga kadang kala tidak tertanggung.

Keadaan itu bukan saja membuatkan dia rasa tidak selesa, malah sukar untuk berjalan, bekerja dan tidur sekali gus menjejaskan kualiti hidupnya.

Keadaan tersebut turut meresahkan orang kelilingnya terutama isteri dan anak-anak yang berasa buntu tidak tahu apa yang boleh dibuat setiap kali Halim diserang rasa sakit.

Merujuk kepada doktor, Halim diberitahu dia mengalami gejala kerosakan saraf atau painful diabetic peripheral neuropathy (pDPN) yang lazim dialami pesakit diabetes.

Menjelaskan lebih lanjut simptom ini Pengarah Kampus Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed berkata, hampir 50 peratus pesakit diabetes di negara ini akan mengalami simptom tersebut kerana kerosakan saraf.

Katanya, pDPN merupakan antara penderitaan yang sering dialami selain komplikasi-komplikasi lain seperti serangan jantung, kegagalan buah pinggang, strok, buta, gangren kaki dan sebagainya.

Menurutnya, tinjauan kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan edisi ketiga yang dijalankan pada 2006 mendapati penularan diabetes telah meningkat kepada 14.9 peratus berbanding satu dekad yang lalu.

Keadaan ini telah meningkat hampir dua kali ganda dalam dekad yang lalu.

Dalam masa yang sama 50 peratus pesakit tempatan yang disahkan menghidap diabetes dalam tempoh enam hingga 10 tahun didapati mengalami pDPN.

"Rasa mencucuk-cucuk dan pedih pada kaki atau hujung jari jika berlarutan akan menjejaskan kesihatan tubuh secara keseluruhan,'' ujarnya.

Malangnya, jelas beliau, kesedaran terhadap penyakit ini amat kurang, menyebabkan pesakit hanya membiarkan saja rasa sakit itu sehingga ia hilang sendiri buat seketika.

Kesakitan biasanya akan bermula pada bahagian jari kaki atau jari tangan dan melarat ke bahagian betis dan lengan.

"Ketika itu pesakit akan berasa kebas pada bahagian jari kaki dan juga jari tangan selain merasai kebas tidak dapat menahan rasa panas dan sejuk,'' ujarnya lagi.

Menurut Dr. Mafauzy lagi, pesakit juga akan mengalami lemah otot serta tidak dapat menyeimbangkan badan.

Keadaan itu jika dibiarkan akan menyebabkan kemudaratan kepada pesakit itu sendiri.

"Sebab itu adalah sangat penting untuk pesakit mendapatkan rawatan awal bagi mengelakkan ia berterusan," katanya.

Katanya lagi, kesakitan itu berlaku kerana satu atau lebih saraf mereka rosak kesan daripada penyakit diabetes yang dihidapi.

Begitupun, terdapat banyak faktor lain yang turut menyumbang kepada kerosakan saraf ini.

"Pada ketika ini pesakit akan mengalami kesakitan yang amat sangat sehingga ke peringkat sukar untuk berjalan, tidur, berkerja dan menjejaskan mood pesakit," katanya.

Dalam keadaan itu kata Dr. Mafauzy, pesakit akan menjalani beberapa pemeriksaan neurologi untuk mengenalpasti punca dan juga sejauh mana kerosakan saraf yang dialami.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Persatuan Diabetes Amerika mendapati 58 peratus pesakit tidak menyedari bahawa kesakitan yang dialami mereka adalah disebabkan daripada Diabetes.

Justeru pesakit diabetes perlu mendapatkan nasihat doktor dalam memilih rawatan yang betul untuk membantu menguruskan keadaan mereka yang menyakitkan.

Katanya lagi, dalam keadaan ini rawatan yang paling penting adalah kawalan tahap gula dalam darah secara ketat untuk mengelakkan lebih banyak saraf rosak.

Justeru, pesakit disaran serius menjalani rawatan sebaik penyakit dikesan bagi mengelak risiko.

Sementara itu, menurut laporan Akademi Neurologi Amerika (AAN), Persatuan Perubatan Saraf Otot Elektrodiagnostik Amerika, Akademi Perubatan Fizikal dan Pemulihan Amerika, menggariskan rawatan paling berkesan untuk melegakan kesakitan saraf akibat diabetes ialah ubat pregabalin.

Menurut garis panduan tersebut ubat tersebut adalah satu-satunya rawatan Tahap A yang disyorkan.

Beberapa ujian klinikal yang menilai pregabalin mendapati pesakit yang mengambil ubat tersebut kurang mengalami kesakitan berbanding dengan mereka yang mengambil ubatan lain.

Bagaimanapun selain pengambilan ubat, pesakit bertanggungjawab menjaga paras gula dengan mengawal pemakanan dan juga kerap melakukan senaman.

Herba penawar penyakit

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Pengasas Herba An-Naabat, Dr. Nurmawati Syakroni menyifatkan setiap herba memiliki keistimewaan tersendiri.

"Di peringkat Sarjana Muda saya belajar dalam bidang farmasi di Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta (UGM) dan banyak mempelajari jenis-jenis ubat sintetik dan fungsinya.

"Ketika melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan peringkat Doktor Falsafah di Universiti Putra Malaysia (UPM), saya telah merubah haluan dengan membuat kajian dalam bidang herba sebagai ubat-ubatan alternatif.

"Kebetulan, saya sekeluarga juga jarang mengambil ubat sintetik dari klinik, tetapi menggunakan dan menghasilkan sendiri ubat daripada herba.

"Tahun demi tahun, saya telah menghasilkan pelbagai ramuan herba untuk merawat pelbagai penyakit. Semuanya terjadi secara tidak langsung apabila rakan-rakan di kampus berkongsi masalah kesihatan yang mereka hadapi.

"Dari situ, saya mendapat idea untuk menghasilkan herba bagi merawat penyakit yang saya ramu dengan teliti berdasarkan pengalaman dan ilmu yang telah saya dapatkan selama ini," ujarnya yang kini bertugas sebagai penyelidik di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM Serdang.

Mengulas lanjut tentang pengalamannya bersama testimoni herba ramuannya, Dr. Nurmawati pernah membantu seorang kakitangan makmal di UPM. Pada awalnya, beliau melihat wanita itu seperti letih dan tidak bermaya.

"Apabila saya bertanya pada wanita tersebut, ternyata dia menghidapi penyakit tekanan darah tinggi dan kolestrol tinggi. Kemudian saya cuba membantu untuk menghasilkan ramuan herba bagi merawat penyakit-penyakit tersebut. Dalam proses menyediakan setiap ramuan selalu saya sertai dengan solat hajat agar diberi manfaat tanpa ada mudarat.

Selepas tiga minggu wanita itu menggunakan ramuan yang saya sediakan, doktor menyatakan bahawa wanita tersebut bebas kolestrol dan tekanan darah tinggi.

Bermula daripada ramuan Herba Turun Kolestrol itulah, makin ramai yang mula mengenali saya dan berkongsi masalah kesihatan mereka. Kini saya sudah menghasilkan 77 ramuan herba dengan jenama An-Nabaat," jelasnya ketika ditemui di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Meskipun pengenalan Herba An-Nabaat hanya 'mulut ke mulut' dan sesekali menyertai ekspo di beberapa tempat, namun sambutannya sangat menggalakkan termasuk dari Syarikat Sakmoto, Jepun.

Menurut wakil Sakmoto di Malaysia, Mohd Dali Abdullah, selepas tsunami melanda Jepun dan alam sekitar mereka tercemar dengan radiasi radio aktif, permintaan terhadap ubat-ubatan herba dari luar Jepun terutama Malaysia semakin meningkat.

"Selepas mencuba beberapa produk Herba An-Naabat dan melakukan perbincangan, pihak Sakmoto di Jepun berminat mengadakan usaha sama bagi memasarkan herba tersebut di sana. Pada tahun hadapan, pihak syarikat kami akan membawa Dr. Nurmawati ke Jepun untuk meneruskan penyelidikan dan mengkomersialkan Herba An-Naabat di Jepun. Tahun ini, Sakmoto telah menempah minyak kelapa dara dan minyak herba," ujar Mohd Dali.

Ujarnya lagi, pihak Sakmoto telah berbincang dengan Profesor Dr. Rozita Rosli bagi pihak Institut Bio Sains (IBS), UPM, untuk menjadikan IBS sebagai Pusat Penyelidikan Herba di Asia. Hasil penyelidikan tersebut akan turut dikomersial ke Jepun dan Korea Selatan.

Kesemua ramuan herba tersebut diperolehi daripada bahan-bahan alam semula jadi seperti akar-akar kayu dan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di Malaysia.

Manfaat lemak dari badan sendiri

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
FOTO NOR AZLINA JAAFAR

ELEPAS perkataan 'bermadu', perkara lain yang paling ditakuti oleh golongan wanita ialah 'lemak'. Lemak yang selama ini digeruni wanita membawa pelbagai masalah kerana menjadi punca utama kepada faktor kegemukan dan obesiti.

Bagaimanapun kaedah terkini yang dipanggil pemindahan lemak telah mengubah persepsi mengerikan terhadap pepejal yang selama ini dianggap langsung tidak berguna kepada manusia.

"Sebahagian lemak, selepas diproses masih mempunyai manfaat kepada wanita," kata doktor Hakim Hamzah dari klinik estetik Ayu Jelita, Ampang, Selangor.

Bekas pensyarah sakit puan di sebuah hospital di ibukota ini memberitahu, kaedah pemindahan lemak atau fat transfer menjadi rutin rawatan kecantikan yang paling terkini, popular dan dipercayai ramai.

Apa itu fat transfer?

Secara umumnya pemindahan lemak ialah satu prosedur yang dilakukan bagi memindahkan lemak di sesuatu bahagian badan, kepada satu bahagian badan yang lain.

Sebagai contoh, lemak di bahagian paha atau punggung diambil, diproses dan kemudian disuntik ke bahagian muka. Prosedur ini hanya mengambil masa antara 20 ke 30 minit kerana ia tidak terlalu rumit untuk dijalankan.

"Prosedur fat transfer sebelum ini hanya digunakan bagi tujuan pembedahan kosmetik. Bagaimanapun hari ini, ia juga digunakan bagi tujuan kesihatan termasuklah pembinaan semula payu dara bagi wanita yang berhadapan dengan kanser payu dara," kata doktor Hakim lagi.

Bagaimanapun menurut beliau, tidak semua lemak dalam badan boleh dipindahkan kerana kualitinya yang berbeza-beza. Kebiasaannya, lemak di bahagian perut kurang sesuai untuk diaplikasi sebaliknya sementara yang terbaik pula berada pada bahagian peha dan punggung.

Lemak buat wanita cantik

Menurut doktor Hakim lagi, fungsi lemak amat penting dalam membentuk kecantikan serta keanjalan kulit di bahagian tertentu pada badan manusia.

Misalnya, pada usia 16 hingga 27 tahun, taburan lemak dalam badan wanita masih berada di tempat yang sepatutnya. Lemak ini berada di lokasi strategik dan kelihatan cantik, justeru dalam usia berkenaan ia dianggap sebagai zaman keemasan bagi seorang wanita.

"Lemak-lemak inilah yang mencantikkan payudara, punggung dan juga tempat-tempat tertentu seperti pipi dan dagu. Maka dengan itu, dalam usia lingkungan 16 sehingga 27 tahun, setiap wanita memiliki struktur badan paling indah, selain kulit yang halus mulus, licin dan segar bermaya," katanya.

Bagaimanapun memasuki usia 29 tahun keadaan mula berubah. Proses kematangan usia, graviti, tekanan mental dan fizikal akibat bersalin dan kerja seharian, menjadikan keindahan itu merosot sedikit demi sedikit.

"Otot-otot manusia menjadi semakin aktif, manakala lemak di tempat seperti dagu, pipi, punggung akan terhapus hari demi hari. Proses semulajadi ini seterusnya mengakibatkan kulit mulai kendur, timbul lekuk-lekuk pada permukaan wajah selain pigmentasi yang semakin jelas bertompok.

"Di sinilah teknologi mengambil bahagian. Melalui prosedur pemindahan lemak ini, ia mampu mengembalikan semula kecantikan seseorang wanita apabila tempat kosong dan terjejas itu diisikan semula.

"Kita pindahkan lemak yang berada di tempat yang tidak sepatutnya, ke tempat yang sepatutnya ia berada," katanya.

Kaedah selamat, lebih efektif

Jika bercakap dari sudut kaedah rawatan kecantikan, apakah yang membezakan antara kaedah ini dengan botox mahupun filler yang telah sekian lama digunapakai?

"Bezanya ialah, kaedah pemindahan lemak ini dianggap lebih selamat. Ia juga tidak akan menjejaskan ujian kanser kerana hanya menggunakan produk daripada badan individu itu sendiri. Ini bermakna, risiko penolakan jarang berlaku.

"Berbanding penggunaan kaedah lain, pemindahan lemak ini lebih selamat kerana ia serasi dari segi biologikal," katanya.

Selain itu sel lemak juga tidak pernah menjadi barah yang berbisa dalam badan dan ia boleh dipindahkan pada mana-mana bahagian terutamanya di muka, bibir dan buah dada bagi proses pemuliharaan.

"Fat transfer menjadi pilihan terkini juga sudah tentu kerana kos yang efektif. Prosedur ini tidak membuatkan pelanggan berasa membazir dibandingkan dengan perkhidmatan kecantikan yang lain," katanya lagi.

Apa yang penting, menurut beliau prosedur ini tidak mengubah bentuk wajah asal seseorang. Jika botox menegangkan dan filler boleh membuatkan dagu atau hidung berubah bentuk menjadi lebih mancung, prosedur ini sebaliknya memberikan kesan keaslian kepada pemiliknya.

"Prosedur ini hanya memberi semula sel baru (stem cell) yang telah hilang. Apabila sel baru diaplikasi, wajah kelihatan jauh lebih muda berbanding sebelumnya.

"Ini yang berlaku apabila lemak-lemak yang telah hilang diisi semula ke bahagian yang sepatutnya ia berada," katanya.

Mengesan GERD dari awal

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto ZAINI HUSIN

ADAKAH anda sering merasa pedih hulu hati atau tidak selesa di bahagian dada hingga menular ke kerongkong?

Atau pernahkah anda mengalami kembung perut atau sendawa yang kerap - walaupun belum menikmati makanan.

Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala ini, anda mungkin mengalami simptom penyakit refluks gastroesofageal (GERD).

GERD adalah keadaan yang terjadi apabila refluks atau jeluak kandungan gastrik menyebabkan simptom atau komplikasi yang mendatangkan masalah.

GERD boleh menyerang sesiapa saja termasuk orang muda di peringkat paling produktif dalam hidup mereka. Penyakit ini boleh mendatangkan kesan kepada mutu kehidupan seseorang serta prestasi kerja mereka.

Di Malaysia, dianggarkan 50 peratus daripada jumlah penduduk dewasa mengidap sekurang-kurangnya satu masalah gastrousus. Kesilapan atau kegagalan mendiagnosis GERD boleh menyebabkan rawatan yang salah dan tidak berkesan.

Bagi membantu para doktor dan pesakit mereka merapatkan jurang ini, syarikat farmaseutikal berasaskan penyelidikan yang terkemuka dunia, AstraZeneca telah membangunkan alat mendiagnosis yang mudah dan berkesan, dipanggil GERDQ, yang boleh digunakan oleh para doktor di klinik mereka.

Dalam satu kajian tempatan yang diketuai Ketua Gastroenterologi dan Hepatologi di Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Goh Khean Lee bersama 30 pengamal perubatan di Malaysia, GERDQ terbukti menjadi alat yang sangat mudah dan berguna untuk mendiagnosis dan menilai respons kepada rawatan GERD.

"Ramai pesakit tidak menyedari bahawa mereka mempunyai simptom GERD. Penyakit ini boleh mendatangkan kesan yang serius jika tidak dirawat. Dengan GERDQ, lebih daripada 80 peratus doktor berkata bahawa alat ini boleh diharapkan dan akan dipertimbangkan bagi kegunaan diagnosis di masa hadapan.

"Hasil kajian sangat menggalakkan kerana alat ini akan membantu para doktor mendiagnosis tahap GERD dengan lebih tepat dan membuat preskripsi rawatan yang terbaik untuk penyakit ini," jelas Dr. Khean Lee.

Keliru

Tambah Dr. khean Lee, ramai yang keliru dan tidak sedar kerana tidak faham dengan jelas simptom GERD.

Antaranya adalah simptom penyakit ringan seperti ketakcernaan kepada simptom yang lebih serius seperti serangan jantung. Orang ramai perlu pandai membaca tanda-tanda GERD supaya mereka boleh mendapat rawatan yang sewajarnya

"Mereka yang percaya bahawa ketakcernaan adalah penyebab kepada ketidakselesaan selalunya akan merawat masalah mereka dengan antasid tanpa memeriksa terlebih dahulu sekiranya terdapat masalah asas lain. Sesetengah rawatan melalui kaunter boleh menyebabkan keadaan bertambah teruk.

Oleh itu mintalah nasihat doktor sebelum cuba mengubati diri sendiri," nasihat Dr. Khean Lee. Selain itu, ketidakselesaan akibat pedih hulu hati dapat dirasakan di sekitar kawasan dada dan ia sering dikait dengan sakit jantung.

Jika ini bukan masalahnya, GERD boleh dipertimbangkan sebagai diagnosis kerana kebanyakan penghidap GERD mengalami apa yang dipanggil sakit dada bukan kardium.

"Keadaan ini mungkin berbahaya dan kami menggalakkan pesakit menyedari kesamaan dan perbezaan antara simptom serangan jantung dan simptom GERD," ujar beliau.

Bantuan

Dalam pada itu, Perunding Gastroenterologi Dr Tan Huck Joo memberitahu, pengesanan dan rawatan awal GERD boleh menambah baik mutu kehidupan pesakit.

"Terdapat beberapa cara untuk merawat GERD, namun orang ramai perlu didiagnosis dengan betul oleh doktor mereka. Kami mengambil kira pelbagai faktor, termasuk rekod kesihatan anda, sejarah keluarga, gaya hidup dan faktor risiko yang lain, seperti merokok. Selain itu, kami kini mempunyai GERDQ untuk membantu mendiagnosis dan menilai respons terhadap rawatan. Minggu Kesedaran GERD Antarabangsa jatuh pada minggu ketiga bulan November. Buatlah temu janji anda hari ini agar anda boleh menikmati kehidupan tanpa mengalami simptom GERD yang menyakitkan dan mengganggu diri anda," tambah Dr Huck Joo.

Perut buncit tanda awal penyakit

Perut buncit merupakan kriteria utama sebelum seseorang itu dilabelkan mendapat sindrom metabolik.

SOALAN:
Ketika bersembang dengan rakan-rakan, ramai yang mengutarakan masalah yang sama iaitu perut semakin buncit selepas berkahwin. Saya ingin bertanya, adakah perut buncit merupakan masalah kesihatan? Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini.

-Zubir, Kelantan.

Saudara Zubir,

Terima kasih atas soalan yang saya kira sangat penting untuk diketahui ramai, sama ada kaum lelaki mahupun kaum wanita. Mungkin disebabkan cara kehidupan kita yang tidak aktif ditambah dengan pemakanan yang tidak sihat, maka berlakulah masalah perut buncit ini.

Ramai orang kerap bergurau dengan mengatakan perut buncit ini tanda bahagia atau tanda kemewahan tetapi yang pastinya perut buncit telah terbukti secara saintifik berkait rapat dengan banyak masalah kesihatan termasuklah masalah jantung. Lemak yang terkumpul di perut boleh diumpamakan lemak (viseral) di dalam organ-organ dalam badan termasuklah hati, jantung dan sebagainya.

Semakin buncit perut menandakan seseorang itu semakin tidak sihat. Ukuran lilit yang ideal bagi kaum lelaki ialah 90 sentimeter dan bagi wanita ialah 80 sentimeter.

Ukuran ini perlu dilakukan oleh pengamal perubatan atau mereka yang mengetahui teknik ukuran tersebut. Pergilah berjumpa dengan doktor atau jururawat bagi mendapatkan ukuran lilit perut saudara.

Perut buncit merupakan kriteria utama sebelum seseorang itu dilabelkan mendapat sindrom metabolik yang berkait rapat dengan penyakit-penyakit seperti diabetes mellitus, hipertensi, masalah jantung dan sebagainya. Tidak ada cara selain menjaga pemakanan yang baik dan melakukan senaman secara konsisten bagi mengatasi masalah perut buncit.

Mungkin cara sedutan lemak atau 'liposuction' boleh dilakukan tetapi kesannya adalah tidak berkekalan jika tidak mengamalkan cara hidup yang sihat. Semoga kita sama-sama berazam agar perut kita tidak buncit dan seterusnya mendapat kesihatan yang berkekalan, Insya-Allah.

Saturday, November 5, 2011

Memulihkan hormon

MAAFKAN saya kerana tidak menyokong obesiti. Bagi saya obesiti adalah satu masalah fizikal yang melanda menyebabkan seorang yang cantik hilang kecantikannya.

Meski pun kata-kata saya ini menghiris hati golongan gemuk namun anggaplah ia cabaran untuk menguruskan badan. Kata pepatah melayu `sayang anak tangan-tangankan’. Sayang seorang doktor kepada pesakit adalah untuk merubah keadaan agar menjadi kurus cantik dan sihat.

Kecantikan bagi seorang wanita merupakan aset yang sangat penting. Setiap wanita mahu mengekalkan kejelitaannya untuk sepanjang hayat namun ramai tidak dapat berbuat demikian kerana dilanda obesiti.

Seseorang yang terlalu gemuk sudah tentu tidak dapat menggayakan pakaian yang cantik. Apa sahaja yang dipakainya akan tampak kurang menarik kerana faktor tubuh badan yang besar. Mereka juga sering kecewa bila melakukan aktiviti membeli-belah kerana tidak banyak pakaian yang dijual bersaiz besar. Ini menyebabkan mereka tidak berminat untuk membeli-belah dan lebih suka memakai baju besar serta longgar bagi menutupi kekurangan.

Wajah orang yang gemuk juga kurang cantik kerana bentuk muka dilitupi oleh lapisan lemak yang menutup kecantikan sebenar mereka. Sudah tentu apabila mereka sudah berjaya menjadi kurus mereka akan kelihatan sangat berbeza dan bertambah cantik.

Begitulah realiti kehidupan, yang cantik dan lebih baik lebih disenangi justeru itu marilah kita mengubah penampilan diri menjadi lebih baik lagi. Lagi pun tidak rugi jika menjadi bertambah langsing cantik dan sihat.

Tidak salah jika saya katakan bahawa obesiti adalah raja segala penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Apabila obesiti melanda muncullah kencing manis yang kemudiannya merosakkan sistem tubuh. Lalu ramai yang mengeluh kesal kerana nasi sudah pun menjadi bubur. Potongan tubuh yang lansing dan wajah yang cantik kini hanya tinggal kenangan belaka. Ini berlaku akibat kerosakan sistem hormon tubuh. Bolehkah ia dipulihkan semula? Sudah tentu boleh jika anda memulakan langkah yang betul.

Apakah BMR

BMR adalah Basal Metabolic Rate. Ertinya penggunaan tenaga bagi tubuh semasa kita berehat. Tenaga tetap diguna meski pun kita berehat atau tidur kerana pergerakan jantung usus dan lain lain tetap mengguna tenaga. Namun BMR yang rendah membuatkan banyak tenaga dikumpul menjadi lemak.

Mereka yang mempunyai kadar BMR yang rendah perlu menyedari hakikat ini dan mengambil langkah-langkah meningkatkannya.

Punca BMR rendah

1) Tidak cukup senaman. Senaman yang dimaksudkan ialah senaman ringkas yang merenggangkan tubuh badan. Ia disebut sebagai core muscle exersixe. Senaman seperti ini akan menjadikan metabolik meningkat.

2) Hipertiroid. Fenomena ini melanda hampir separuh penduduk dunia. Apabila hipertiroid menyerang seseorang akan mengalami peningkatan berat badan, berasa malas, keletihan, berat badan tidak turun meskipun berdiet, setiap pergerakan menjadi lambat, rmbut juga mudah berkelemumur dan fungus mula menyerang.

3)Insulin insufficiency. Insulin merupakan hormon paling penting dalam penukaran gula kepada tenaga. Dalam kes ini lemak yang terhasil cenderung berkumpul pada perut dan belakang badan.

4) Kesilapan memilih makanan. Kesilapan memilih makanan dengan indeks glycemic tinggi menyebabkan kadar metabolik menjadi rendah.

Apabila makan banyak makanan berkarbohidrat dan bergula tinggi, paras gula dalam tubuh meningkat. Insulin iaitu suatu hormon yang mengawal kestabilan paras gula dalam tubuh kita akan meningkat. Apabila terdapat terlalu banyak insulin maka paras gula dalam darah akan menjadi rendah. Lama kelamaan tubuh kita tidak lagi sensitif kepada insulin.

Maka insulin mula terhasil dengan semakin banyaknya dan kehadiran insulin yang terlalu banyak mula memberikan kesan kesan yang negatif .

Paras Insulin yang tidak menentu menyebabkan paras gula menjadi tidak stabil. Bila gula terlalu rendah seseorang mula berasa gelisah, resah, berdebar dan moodnya tertekan. Dia akan sering kelesuan.

Kitaran berbahaya

Tubuh yang lemah akan memberi signal berterusan kepada otak bahawa ia kurang tenaga dan akibatnya mereka akan mengambil makanan manis bagi meningkatkan paras tenaga. Keletihan dan kurang tenaga di salah tafsir sebagai lapar oleh otak. Fenomena ini menjadi suatu kitaran berbahaya kerana lama kelamaan tubuh akan menjadi bertambah gemuk serta mengundang pelbagai penyakit kronik.

Apabila tubuh tidak lagi sensitif terhadap insulin maka kitaran hormon dalam tubuh akan menjadi kelam kabut. Hormon adrenal seperti ACTH akan keluar dengan banyak menyebabkan lemak berkumpul pada belakang tengkuk dan belakang badan. Badan akan mengembang menjadi bertambah lebar dan semakin besar. Bahagian dari pinggang ke atas tampak besar longgar dan menggeleber. Usaha membuat senaman dan berdiet adalah sia sia sahaja kerana lemak seperti ini tidak boleh dipulihkan dengan diet dan senaman sebaliknya hanya boleh dipulihkan dengan pemulihan sistem hormon tubuh.

Pemulihan semula memerlukan komitmen yang tinggi kerana ia melibatkan perubahan cara makan, pemilihan makanan dan aktiviti seharian.

Puting sakit ketika menyusu bayi

JIKA anda rasa bayi anda inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan.

Soalan:

SAYA ibu yang menyusu bayi pertama berusia sebulan. Seringkali puting saya sakit ketika menyusukan bayi, tambahan pula bayi saya baru tumbuh gigi, kini sukar untuk saya menyusukan bayi dengan selesa. Adakah ia perkara biasa? dan bagaimanakah cara untuk mengurangkan rasa sakit tersebut?

* SJ-Johor

Jawapan:

Sebagai seorang wanita yang bergelar ibu, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada Puan SJ kerana berusaha menjadi seorang ibu yang berjaya dalam penyusuan. Susu ibu adalah hak setiap anak yang perlu ditunaikan oleh seseorang ibu. Kejayaan seseorang ibu menyusui anaknya sehingga berusia sekurang-kurangnya dua tahun akan menjadikan anda seorang ibu yang cukup sempurna.

Menyusui bayi adalah satu tuntutan yang amat digalakkan oleh setiap agama dan kepercayaan. Penyusuan susu ibu adalah tuntutan yang diutamakan dalam agama Islam. Terdapat banyak ayat Al-quran yang menyebut tentang kepentingan menyusui anak, sama ada oleh ibu yang melahirkan anak ataupun ibu susuan. Seruan untuk menyusui anak telah disebut melalui firman Allah di dalam Al-quran melalu surah Al-Baqarah ayat ke 233 yang bermaksud: "Ibu-ibu hendaklah menyusui selama dua tahun genap bagi mereka yang ingin menyempurnakan penyusuan".

Menyusui bayi dengan susu ibu bukanlah sesuatu yang payah, ia juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Pengetahuan tentang penyusuan akan membantu meningkatkan keyakinan ibu dan seterusnya mendorong ibu untuk mengatasi dugaan dan rintangan seperti mana yang sedang puan hadapi.

Terdapat ibu yang mencerai susu ketika mereka rasa bayi mereka akan mula tumbuh gigi, tetapi menyusu badan pada peringkat ini adalah suatu yang normal dan semula jadi. Keperluan nutrisi bayi dipenuhi terutamanya dengan susu untuk sekurang-kurangnya tahun pertama. Ramai bayi yang diberi susu badan akan ada gigi dan kebanyakan tidak akan menggigit ibu mereka.

kesakitan

Tetapi jika pada kali pertama dia menggigit, iaitu jika bayi anda tergigit payu dara anda, barangkali anda akan menjerit kesakitan. Reaksi anda yang kuat itu mungkin akan memeranjatkan bayi anda sehingga dia tidak berani mengulanginya. Sesetengah bayi boleh menjadi begitu terkejut atau takut akibat reaksi kuat sehingga mereka menolak penyusuan badan.

Jika gigitan berterusan, anda masih tidak perlu mencerai susu bayi anda kecuali jika anda mahu. Mengetahui apa yang menyebabkan dia menggigit dan cuba memuaskan keperluan bayi anda untuk menggigit menggunakan cara lain boleh menyelesaikan masalah ini dengan cepat.

Kebanyakan ibu mendapati penyusuan badan tetap pengalaman yang baik apabila mereka dapat hentikan kejadian menggigit ini. Sebab-sebab lain mengapa bayi anda menggigit adalah ketika tertidur, sesetengah bayi menggigit pada penghujung penyusuan apabila mereka terlelap.

Oleh itu, perhatikan pemerlahanan dan pelemahan pergerakan rahangnya dan alihkan bayi anda sebelum dia terlena. Justeru itu, jika bayi anda kelihatan seperti hampir hendak menggigit, masukkan jari kelengkeng anda ke dalam sudut mulut di antara gusinya. Dia patut menggigit jari anda dan bukan puting anda. Jangan tariknya sementara dia sedang menggigit - anda hanya akan mencederakan diri. Perhatikan penegangan rahangnya sebelum dia menggigit dan cepat-cepat alihkannya. Anda mungkin perlu singkatkan waktu menyusu secara am sehingga fasa ini berakhir.

Cara-cara lain untuk menghentikan bayi yang menggigit adalah dengan mengatakan "tidak" dengan tegas, merenung ke dalam matanya dengan marah dan hentikan penyusuan.

menggigit

Dia perlu mengaitkan menggigit dengan kehilangan puting - kebanyakan bayi tidak suka dengan perpisahan ini. Jika dia teruskan juga, letakkannya di atas lantai untuk seketika sebaik saja dia menggigit.

Untuk kanak-kanak yang boleh berjalan dan suka menggigit, lakukan sesuatu yang baik apabila dia tidak menggigit.

Berikannya banyak pelukan, ciuman dan pujian. Jika anda rasa dia inginkan perhatian, berikan perhatian sepenuhnya semasa penyusuan. Belajar menyedari bila dia sudah hampir selesai. Anda juga jangan menyusukannya kecuali dia betul-betul lapar. Hentikan penyusuan jika dia mula terlelap. Berikannya gegelang gigit sebelum dan atau selepas penyusuan.

Lelaki juga berisiko dijangkiti HPV

Oleh ROSMAH DAIN

DI peringkat dunia, kanser servik adalah kanser kedua yang banyak menyebabkan kematian di kalangan wanita selepas kanser payu dara. Ia membunuh seorang kaum Hawa dalam tempoh setiap dua minit.

Manakala di Malaysia, kanser servik menjadi kanser ketiga paling kerap dihidapi wanita selepas payu dara dan kolorektum.

Statistik Kanser Malaysia pada 2006 menunjukkan, kanser servik merangkumi 9.1 peratus daripada 10 kanser paling kerap di kalangan wanita di negara ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan lebih daripada 700 wanita Malaysia maut akibat kanser servik setiap tahun.

Laporan yang dikeluarkan WHO, kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan dan perubatan menegaskan, hanya kaedah pelalian dijangka mampu mengurangkan dengan ketara risiko seseorang wanita diserang kanser servik.

Justeru, kempen pelalian kebangsaan untuk menentang virus human papillomavirus (HPV) yang dianjurkan Kementerian Kesihatan bermula Julai 2010 di kalangan gadis berusia 13 tahun telah dijalankan dalam usaha untuk mengurangkan risiko kanser berkenaan.

Kanser servik adalah penyakit di mana sel-sel yang tidak normal terbentuk pada dinding servik. Jangkitan HPV di servik di kenal pasti antara penyebab utama kanser servik.

Namun apakah nama di sebalik virus HPV itu sebenarnya, jenis-jenisnya dan bagaimanakah cara ia menyerang? Adakah ia hanya menyerang golongan Hawa dan bagaimana pula dengan golongan lelaki adakah kebal dengan virus ini?

Semua persoalan ini dirungkai oleh Datin Dr. Kamaljit Kaur, yang pernah berkhidmat selama tiga tahun sebagai Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Hospital Kuala Lumpur .

Beliau kini merupakan doktor pakar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan pakar perunding di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.

Apakah HPV dan terdapat berapa jenis HPV?

Dr. Kamaljit Kaur: HPV (Human Papillomavirus) adalah virus biasa yang menyerang lelaki dan wanita. Terdapat lebih 100 jenis HPV. Kebanyakan HPV tidak menimbulkan apa-apa gejala, tidak berbahaya dan dapat dihapuskan oleh imunisasi badan kita. Terdapat kira-kira 30 jenis HPV yang dikenali sebagai HPV kelamin kerana virus ini memberikan kesan terhadap bahagian kelamin.

Ada beberapa jenis yang boleh mengakibatkan kanser servik atau pun menyebabkan sel abnormal pada lapisan servik yang boleh bertukar menjadi kanser.

Terdapat juga beberapa jenis HPV yang boleh menyebabkan ketuat kelamin dan perubahan benigna (bukan kanser) di dalam servik.

Selain kanser servik dan ketuat pada alat kelamin wanita. Apakah penyakit-penyakit lain yang boleh ditimbulkan oleh HPV dan bagaimana serius keadaannya?

Dr. Kamaljit Kaur: HPV boleh menyebabkan lebih daripada kanser servik di kalangan wanita. Terdapat beberapa jenis HPV berisiko tinggi, iaitu jenis 16 dan 18. Infeksi berlarutan daripada HPV ini, boleh mengakibatkan kanser servik dan kanser lain pada bahagian kelamin termasuk vagina dan vulva. HPV jenis 16 dan 18 menyumbang kepada kira-kira 70 peratus kejadian kanser servik.

Manakala jenis HPV yang berisiko rendah pula HPV jenis 6 dan 11 boleh menyebabkan terbentuknya ketuat kelamin, iaitu ketumbuhan bukan kanser seumpama daging yang muncul di bahagian kelamin dan di sekelilingnya.

HPV jenis 6 dan 11 menyebabkan kira-kira 90 peratus daripada semua kes ketuat kelamin. Ketuat kelamin sangat mudah berjangkit. Kira-kira dua per tiga daripada kalangan orang yang mempunyai hubungan seks dengan pasangan yang ada ketuat genital (kelamin) akan menjangkitinya, lazimnya dalam tempoh tiga bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa terdapat 32 juta kes ketuat kelamin baru akan muncul setiap tahun di seluruh dunia.

HPV juga dikaitkan dengan penyakit lain (yang jarang berlaku) seperti RRP (papilomatosis respirasi berulang), sejenis penyakit pertumbuhan di tekak yang menyukarkan pernafasan.

Bolehkah golongan lelaki mendapat HPV? Apakah jenis HPV yang boleh mendatangkan kesan kepada lelaki?

Dr. Kamaljit Kaur: Selain mengakibatkan penyakit-penyakit di kalangan wanita, HPV juga boleh menyebabkan pertumbuhan ketuat kelamin, kanser dubur, kanser zakar dan sesetengah kanser kepala dan leher seperti kanser oropharnyx di kalangan lelaki. Lelaki dan wanita boleh menyebarkan HPV antara satu sama lain melalui hubungan seksual, walaupun persetubuhan tidak berlaku.

Siapakah yang berisiko dijangkiti HPV.

Dr. Kamaljit Kaur: HPV tidak mengenal jantina, umur ataupun bangsa. Sesiapa yang mempunyai hubungan seksual mempunyai risiko dijangkiti HPV. Jangkitan HPV biasanya tidak menimbulkan apa-apa tanda atau gejala, kebanyakan orang yang dijangkiti HPV tidak tahu mereka mempunyainya (menghidapinya). Faktor-faktor risiko mendapat jangkitan HPV berkait dengan kelakuan seksual, seperti bilangan pasangan seks, sejarah sepanjang hayat pasangan seks dan sejarah seks dengan pasangan tersebut. Kebanyakan kajian melaporkan bahawa golongan yang berusia muda (bawah 25 tahun) adalah faktor risiko mendapat jangkitan HPV.

Penghidap HPV tidak menyedari diri mereka mempunyai virus itu sehinggalah simptom-simptom penyakit muncul. Adakah cara lain yang membolehkan HPV ini dikesan lebih awal supaya ia dapat dibendung daripada berkembang menjadi penyakit-penyakit lain?

Dr. Kamaljit Kaur: Setakat ini tidak terdapat pemeriksaan lazim untuk mengesan jangkitan HPV di kalangan lelaki. Tetapi wanita boleh menjalani lumuran pap (pap smear) setiap tahun. Lumuran pap adalah sebahagian daripada pemeriksaan ginekologi. Ujian ini dapat mengesan sel abnormal pada lapisan servik sebelum sel ini berpeluang menjadi (sel) kanser servik.

Kementerian Kesihatan menyediakan pelalian HPV bagi remaja berumur 13 tahun, Bagaimana dengan mereka yang berusia lebih daripada itu?

Dr. Kamaljit Kaur: Masa yang paling sesuai untuk pelalian HPV adalah sebelum pendedahan seksual dan apabila sistem imun berada di kemuncaknya. Oleh itu, kami cuba mendidik ibu bapa memberikan vaksin tersebut kepada anak-anak mereka awal pada kira-kira 13 tahun apabila sistem imun adalah tinggi.

Walau bagaimanapun, wanita muda berumur sehingga 45 tahun boleh mendapatkan vaksin selepas berunding dengan doktor.

Jadi, mereka yang berumur melebihi 13 tahun adalah digalakkan menjalani pelalian HPV terutamanya hingga umur 26 tahun malahan hingga ke umur 45 tahun.

Berapa banyak negara di dunia yang menyediakan program pelalian HPV kebangsaan mereka?

Dr. Kamaljit Kaur: Kini terdapat 34 negara di dunia yang mempunyai program pelalian HPV kebangsaan. Kesan program pelalian HPV kebangsaan jangka pendek adalah seperti pengurangan infeksi HPV dan ketuat kelamin (secara bulanan), kesan jangka pertengahan termasuk pengurangan insiden lesi servik dan RRP (papilomatosis respirasi berulang) permulaan juvana (secara tahunan) dan kesan jangka panjang seperti insiden dan kematian daripada kanser servik, kanser dubur, kanser-kanser anogenital lain (kanser vulva dan kanser faraj) dan kanser oropharynx (dekad).

Walaupun setakat ini, tiada bukti pengurangan HPV 16 dan 18 tahap populasi yang diterbitkan, terdapat data dari klinik-klinik kesihatan seksual di Australia yang menunjukkan penurunan penyakit ketuat kelamin dan dari Pejabat pendaftar ujian pap peringkat negeri Australia pula, data pengurangan penyakit servik gred tinggi.

Bukti-bukti ini diperhatikan semenjak pelaksanaan program pelalian HPV kebangsaan Australia yang mempunyai kumpulan sasaran wanita yang berumur 12-26 tahun pada tahun 2007.

Donovan et al. (sebuah kajian terbaru tempatan) telah memerhatikan penurunan sebanyak 59 peratus pada diagnosis insiden ketuat kelamin di kalangan wanita yang layak mendapat pelalian HPV program kebangsaan Australia, di lapan klinik kesihatan seksual Australia.

Penurunan sebanyak 39 peratus juga dapat dilihat di kalangan lelaki heteroseksual umur yang sama yang menampakkan bukti-bukti awal imuniti kumpulan (herd-immunity), kesan pengurangan jangkitan antara pasangan. Tiada penurunan ketuat kelamin yang diperhatikan di kalangan wanita lebih tua (bukan kumpulan sasaran program pelalian) atau lelaki yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki.

Brotherton et al. (sebuah kajian terbaru tempatan) memerhatikan penurunan insiden lesi serviks gred tinggi yang disahkan dari segi histologi, di kalangan wanita muda Victoria (di Australia) yang dilaporkan dari Pejabat Pendaftaran sitologi servik, tidak lama sejak pelaksanaan Program Pelalian Kebangsaan Australia.

Memandangkan golongan lelaki juga berisiko dijangkiti HPV, adakah mereka patut diberikan pelalian HPV juga? Apakah umur yang disarankan bagi pelalian golongan ini?

Dr. Kamaljit Kaur: Sememangnya lelaki patut divaksinasi kerana mereka mempunyai risiko dijangkiti HPV dan pada masa yang sama menyebarkan HPV kepada pasangan wanita mereka. Seperti yang dimaklumkan, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh HPV di kalangan lelaki termasuk ketuat kelamin, kanser zakar, kanser dubur dan sesetengah kanser kepala dan leher.

Pelalian HPV quadrivalent mempunyai indikasi rasmi untuk mencegah ketuat genital (kelamin) yang disebabkan oleh HPV 6 dan 11 untuk lelaki berumur sembilan ke 26 tahun, yang diluluskan oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan pada September 2010.

Jadual untuk tiga dos pelalian HPV untuk lelaki adalah sama dengan dos pelalian perempuan.

Memandangkan lebih ramai golongan remaja perempuan sekarang dilindungi menerusi pelalian, adakah ini bermakna mereka tidak perlu lagi menjalani ujian pap smear (lumuran pap) pada masa hadapan?

Doktor: Pelalian HPV bukanlah gantian bagi lumuran pap. Semua wanita digalakkan untuk menjalani lumuran pap secara kerap walaupun suntikan vaksin HPV sudah dilakukan.

Kuasa tenaga

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
Foto FATAH SULAIMAN & koleksi Reiki-Malaysia

Meditasi dalam teknik Reiki tidak menggunakan sebarang mantera atau simbol, sekadar merehat dan mengosongkan minda.

SEBIJI mentol dilepaskan dari ketinggian sekitar pinggang orang dewasa di atas sekeping marmar, apa yang akan berlaku? Secara logiknya, pasti mentol akan pecah.

Namun, dalam demonstrasi di hadapan penulis oleh Pengajar Master Reiki, Mohd Hisham Yahya, bukan mentol sebaliknya marmar tersebut bersepai menjadi beberapa bahagian. Bagaimana ini terjadi?

"Apabila fikiran kita yakin bahawa kaca mentol tadi sekeras batu, maka itulah yang akan berlaku. Ini hanya sebahagian daripada contoh penghayatan teknik Reiki," kata beliau.

Masih tidak berpuas hati, Master Mohd Hisham menunjukkan pula demonstrasi kedua. Menggunakan mentol yang sama beliau berkata: "Mentol ini lembut dan akan pecah."

Lalu sekali lagi mentol dijatuhkan di atas sekeping marmar dan benar seperti yang disebutnya, mentol tadi pecah sama sekali.

Seterusnya beliau meminta penulis melakukan perkara yang sama dan berniat mentol tadi sekeras batu. Sukar mempercayai, mentol yang penulis jatuhkan tidak pecah tetapi marmar yang terbelah tiga.

Menjelaskan lebih lanjut, Master Mohd. Hisham berkata, Reiki berasal daripada bahasa Jepun, iaitu rei bererti alam semesta dan ki pula adalah tenaga.

Kesimpulannya, kata beliau, Reiki adalah satu proses penyaluran tenaga dari alam semesta melalui pengamal Reiki kepada pesakit. Tentunya ia bertujuan meningkatkan kemampuan semula jadi tubuh untuk menyembuhkan diri sendiri dengan menyeimbangkan kembali tenaga pesakit tersebut.

Jelas beliau, teknik tersebut tidak berkait dengan acara keagamaan. Sebenarnya ia lebih kepada gaya bertafakur atau dalam bahasa yang mudah, merehatkan minda. Dengan menanam niat untuk berjaya, maka pemikiran sudah dipusatkan mencapai apa yang diimpikan dan kita akan berusaha mendapatkannya.

Bagaimanapun, Master Mohd. Hisham kurang mengaplikasikan kebolehannya untuk merawat pesakit sebaliknya lebih kepada usaha membina keyakinan diri dan juga pekerjaan seharian.

Meditasi

Bercerita lebih lanjut, kata Master Mohd. Hisham, teknik Reiki Usui asalnya ditemukan oleh Dr. Mikao Usui dari Jepun setelah beliau melakukan perjalanan spiritual yang cukup panjang dan bermeditasi di Gunung Kurama selama 21 hari. Pada hari-hari terakhir, beliau dianugerahi Satori (pencerahan spiritual) dan kemampuan untuk menyembuhkan diri sendiri dan orang lain.

Selepas itu, istilah Reiki digunakan secara meluas dalam masyarakat Jepun sebelum Mikao Usui pada era Meiji (1868-1912), Taisho (1912-1925) dan awal era Showa (1926-1988).

Jelas master Mohd. Hisham lagi, teknik Reiki boleh disamakan sebagai seni olah spiritual yang di dalamnya terdapat sebuah sistem penyembuhan yang sangat sederhana dengan penyaluran tenaga kehidupan atau tenaga alam semesta yang diterapkan dengan asas penyerahan diri (pasrah) pada kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa.

Kata beliau, Reiki berkembang dan disebarkan melalui sistem penyelarasan atau attunement .

"Perumpamaannya seperti ketika anda membeli sebuah radio baru, ia tidak dapat digunakan sehinggalah anda menyelaraskan frekuensi atau gelombang stesen siaran yang dikehendaki. ''Kemudian barulah anda dapat menerima dan mendengar siaran radio tersebut," katanya.

Beliau kini mengendalikan teknik pengajaran Reiki kepada mereka yang berminat melalui syarikatnya Dimensi Alpha Resources dengan mengenakan kadar yang sangat berpatutan.

Maklumat lanjut boleh melayari www.Reiki-Malaysia.com.