Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto ZAINI HUSIN
ADAKAH anda sering merasa pedih hulu hati atau tidak selesa di bahagian dada hingga menular ke kerongkong?
Atau pernahkah anda mengalami kembung perut atau sendawa yang kerap - walaupun belum menikmati makanan.
Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala ini, anda mungkin mengalami simptom penyakit refluks gastroesofageal (GERD).
GERD adalah keadaan yang terjadi apabila refluks atau jeluak kandungan gastrik menyebabkan simptom atau komplikasi yang mendatangkan masalah.
GERD boleh menyerang sesiapa saja termasuk orang muda di peringkat paling produktif dalam hidup mereka. Penyakit ini boleh mendatangkan kesan kepada mutu kehidupan seseorang serta prestasi kerja mereka.
Di Malaysia, dianggarkan 50 peratus daripada jumlah penduduk dewasa mengidap sekurang-kurangnya satu masalah gastrousus. Kesilapan atau kegagalan mendiagnosis GERD boleh menyebabkan rawatan yang salah dan tidak berkesan.
Bagi membantu para doktor dan pesakit mereka merapatkan jurang ini, syarikat farmaseutikal berasaskan penyelidikan yang terkemuka dunia, AstraZeneca telah membangunkan alat mendiagnosis yang mudah dan berkesan, dipanggil GERDQ, yang boleh digunakan oleh para doktor di klinik mereka.
Dalam satu kajian tempatan yang diketuai Ketua Gastroenterologi dan Hepatologi di Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Goh Khean Lee bersama 30 pengamal perubatan di Malaysia, GERDQ terbukti menjadi alat yang sangat mudah dan berguna untuk mendiagnosis dan menilai respons kepada rawatan GERD.
"Ramai pesakit tidak menyedari bahawa mereka mempunyai simptom GERD. Penyakit ini boleh mendatangkan kesan yang serius jika tidak dirawat. Dengan GERDQ, lebih daripada 80 peratus doktor berkata bahawa alat ini boleh diharapkan dan akan dipertimbangkan bagi kegunaan diagnosis di masa hadapan.
"Hasil kajian sangat menggalakkan kerana alat ini akan membantu para doktor mendiagnosis tahap GERD dengan lebih tepat dan membuat preskripsi rawatan yang terbaik untuk penyakit ini," jelas Dr. Khean Lee.
Keliru
Tambah Dr. khean Lee, ramai yang keliru dan tidak sedar kerana tidak faham dengan jelas simptom GERD.
Antaranya adalah simptom penyakit ringan seperti ketakcernaan kepada simptom yang lebih serius seperti serangan jantung. Orang ramai perlu pandai membaca tanda-tanda GERD supaya mereka boleh mendapat rawatan yang sewajarnya
"Mereka yang percaya bahawa ketakcernaan adalah penyebab kepada ketidakselesaan selalunya akan merawat masalah mereka dengan antasid tanpa memeriksa terlebih dahulu sekiranya terdapat masalah asas lain. Sesetengah rawatan melalui kaunter boleh menyebabkan keadaan bertambah teruk.
Oleh itu mintalah nasihat doktor sebelum cuba mengubati diri sendiri," nasihat Dr. Khean Lee. Selain itu, ketidakselesaan akibat pedih hulu hati dapat dirasakan di sekitar kawasan dada dan ia sering dikait dengan sakit jantung.
Jika ini bukan masalahnya, GERD boleh dipertimbangkan sebagai diagnosis kerana kebanyakan penghidap GERD mengalami apa yang dipanggil sakit dada bukan kardium.
"Keadaan ini mungkin berbahaya dan kami menggalakkan pesakit menyedari kesamaan dan perbezaan antara simptom serangan jantung dan simptom GERD," ujar beliau.
Bantuan
Dalam pada itu, Perunding Gastroenterologi Dr Tan Huck Joo memberitahu, pengesanan dan rawatan awal GERD boleh menambah baik mutu kehidupan pesakit.
"Terdapat beberapa cara untuk merawat GERD, namun orang ramai perlu didiagnosis dengan betul oleh doktor mereka. Kami mengambil kira pelbagai faktor, termasuk rekod kesihatan anda, sejarah keluarga, gaya hidup dan faktor risiko yang lain, seperti merokok. Selain itu, kami kini mempunyai GERDQ untuk membantu mendiagnosis dan menilai respons terhadap rawatan. Minggu Kesedaran GERD Antarabangsa jatuh pada minggu ketiga bulan November. Buatlah temu janji anda hari ini agar anda boleh menikmati kehidupan tanpa mengalami simptom GERD yang menyakitkan dan mengganggu diri anda," tambah Dr Huck Joo.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment