Saturday, November 26, 2011

Fikiran positif kalahkan kanser

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

TIADA kata-kata mampu diucapkan tatkala disahkan menghidap kanser payu dara. Terbayang di fikiran, rambut semakin gugur, pakaian serta coli tidak sepadan serta berat badan tidak lagi secantik dulu.

Yang pasti berita sedih dan memeranjatkan itu seolah-olah petanda bahawa hidup mereka akan berakhir.

Namun bagi dua sahabat, Lucianna Jambari, 60, dan Umi Purwati Sunoto, 56, kanser payu dara mengubah kehidupan mereka menjadi positif, optimis, sentiasa membantu orang lain dan peka pada kesihatan diri.

"Mulanya memang saya berasa sedih apabila disahkan menghidap kanser payu dara. Tetapi disebabkan kanser ini, saya lebih optimis. Jika dahulu saya seorang yang cepat pemarah dan sensitif, saya sekarang lebih tenang dan sabar,'' ujar Lucianna ketika ditemui di Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) yang terletak di Tingkat 7, Blok Makmal A, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.

Bagi bekas pesakit kanser payu dara ini, penyakit pembunuh itu bukan bermakna penamat kehidupan tetapi memberi makna yang lebih besar.

Ketakutan

Disahkan menghidap kanser payu dara pada Mei 1997 dan selesai menjalani rawatan kemoterapi selepas melakukan pembedahan membuang sebelah payu daranya, Lucianna berjaya melawan perasaan takut yang bersarang dalam minda.

"Pada awalnya, saya tidak dapat menyangkal perasaan gelisah apabila disahkan menghidap kanser tahap kedua yang boleh dikategorikan sangat ganas.

''Saya merasai sendiri ketulan pada payu dara. Selepas berjumpa doktor, dua minggu kemudian saya menjalani pembedahan dan kemoterapi enam kali. Saya mengalami kesan sampingan seperti muntah dan hilang selera makan.

''Mood saya juga sedikit berbeza tetapi saya dapat menanganinya kerana sokongan daripada keluarga terutamanya suami,'' katanya.

Akhirnya, dia pulih seperti sedia kala tanpa perlu mengharungi radioterapi. Namun itu bukan bermakna simptom yang dialaminya sama dengan orang lain. Semuanya bergantung kepada keadaan penyakit.

Selepas 14 tahun peristiwa ini berlalu, perasaan takut Lucianna sebenarnya tidak boleh hilang.

Namun sebagai wanita yang mahukan kehidupan normal, dia berfikiran positif dan berusaha menjaga kesihatan dengan mengawal pemakanan dan mengikuti kelas aerobik.

Malah, lebih membanggakan apabila dia cuba membantu pesakit muda mengharungi detik-detik menakutkan itu.

''Dengan adanya Persatuan Kanser Network Selangor Wilayah Persekutuan (KanWork) di bawah CaRE, saya dapat menjadi sukarelawan dan membantu pesakit-pesakit lain," ujarnya.

Ketulan

Empat tahun kemudian, sahabat Lucianna, Umi Purwati Sunoto, 56, berhadapan situasi yang sama. Merasai sendiri ketulan di bahagian payu daranya ketika mandi, Umi terpaksa menangguhkan niatnya berjumpa doktor kerana mahu menumpukan pada majlis perkahwinan anaknya.

"Selepas majlis perkahwinan selesai, saya berjumpa doktor. Ketulan sebesar dua sentimeter telah ditemui. Saya menjalani pembedahan untuk membuang ketulan itu dan sebahagian di bawah ketiak.

''Pada mulanya saya tidak menjalani kemoterapi kerana takut kesan sampingannya seperti yang diberitahu kawan-kawan. Atas nasihat Lucianna, saya beranikan diri menjalani kemoterapi.

''Untuk kemoterapi kali kedua, saya lebih bersedia,'' katanya.

Pada sebelah petang hari yang sama, dia boleh memandu sendiri dan mengajar kelas aerobik. Malah dia bersyukur kerana tidak muntah-muntah seperti pesakit lain dan meneruskan rawatan sebanyak 20 kali.

Setelah 10 tahun berlalu, hidup Umi menjadi lebih baik. Dia masih aktif mengajar aerobik dan melibatkan diri dalam kerja sosial KanWork.

Dalam pada itu, CaRE dengan kerjasama KanWork telah menganjurkan Kursus Menangani Cabaran Kesihatan dan mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan.

Orang ramai yang inginkan maklumat lanjut tentang aktiviti CaRE dan KanWork boleh menghubungi 03-89472703 atau 1-800-22-2233.

No comments: