Saturday, November 26, 2011

Sakit Kronik elak kemurungan

Oleh BINTU RASYADA ABDUL RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

SELEPAS beberapa tahun bergelut dengan sakit belakang kronik yang berpanjangan, Nasir kini berasa seperti ‘orang baru’. Dia sudah mampu ke pejabat seperti biasa, menemani anak-anak melakukan aktiviti fizikal di taman permainan dan sesekali keluar bersosial bersama teman dengan memancing atau bermain golf.

Bukan disebabkan ubat atau pembedahan ‘ajaib’ yang dilaluinya, semuanya berlaku selepas lelaki berusia 40-an itu mengambil keputusan bertemu Pakar Pengurusan Kesakitan Kronik bagi menangani masalah yang ditanggungnya.

Ramai yang tidak tahu bahawa merawat kesakitan kronik bukan sekadar mengambil ubat atau menjalani pembedahan. Apa yang lebih penting bagaimana pesakit itu menerima keadaan tersebut dan cuba menjalani kehidupan normal seperti biasa.

“Kesakitan kronik sememangnya sukar untuk dipulihkan sepenuhnya. Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memberi bimbingan dan langkah intervensi kepada pesakit agar mereka mampu mengadaptasi kesakitan supaya boleh menjalani rutin harian seperti biasa dengan perasaan yang positif dan gembira,” kata Pakar Rheumatologi dan Kesakitan Kronik dari Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Dr Anwar Samhari Mat Arshad.

Menurutnya, kesakitan fizikal berpanjangan boleh mengundang masalah yang lebih berat seperti kemurungan dan masalah psikologikal andai tidak ditangani segera. Justeru, beliau sangat berharap pesakit yang mengalami masalah seperti itu agar menjalani rawatan pengurusan kesakitan kronik supaya mereka mampu menanganinya.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, kesakitan kronik secara amnya terbahagi kepada dua jenis iaitu sakit kronik bukan kanser (chronic non cancer pain).

“Ciri-ciri sakit kronik bukan kanser biasanya sakit belakang atau tulang belakang, sakit di bahagian leher, tengkuk, sendi, urat, arthritis, sakit kepala, migraine atau cluster headache dan sakit-sakit, bisa-bisa atau lenguh-lenguh seluruh badan dari kepala hingga ke kaki,” kata beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Pakar Penyakit Kronik Interventional Malaysia .

Jenis yang kedua pula, katanya, adalah sakit kronik berpunca daripada kanser (chronic cancer pain) dan semua jenis penyakit ini diklasifikasikan sebagai kesakitan kronik jika ia berpanjangan melebihi dari tiga bulan.

Menurut beliau, kesakitan kronik bukan berpunca daripada kanser antaranya ialah kecederaan tisu, otot, rawan serta cakera tulang belakang. Selain itu, mereka yang mengalami masalah sistem imun bercelaru seperti pesakit rheumatoid arthritis dan kerosakkan kepada sistem saraf pusat seperti Sindrom Fibromyalgia juga boleh menyebabkan kesakitan kronik.

Kemalangan, strok dan kadang-kadang patah tulang boleh menyebabkan sindrom Reflex Sympathetic Dystrophy yang turut mengundang masalah tersebut.

Kata beliau, semuanya terjadi kerana sistem penyembuhan badan seseorang tidak berupaya untuk melakukan penyembuhan sendiri ataupun tidak dapat disembuhkan dengan sempurna melalui ubatan atau pembedahan.

Diagnosis

Dr. Anwar berkata, selalunya kesakitan kronik sukar didiagnos dan pesakit sudah membuat kunjungan kepada pelbagai jenis doktor atau klinik.

Pakar kesakitan kronik selalunya akan mengambil sejarah pesakit dengan lengkap dibantu oleh pemeriksaan fizikal yang menyeluruh seperti ujian darah, ujian resolusi tinggi ultra bunyi, imbasan sinar-X serta ujian magnetik resonans (MRI).

Pakar kesakitan kronik juga akan mendiagnos pesakit melalui prosedur ‘nerve block‘ serta‘ discogram‘ di mana jarum akan ditusuk ke sendi, saraf atau cakera yang berpotensi menyebabkan sakit kronik.

“Sejenis ‘dye‘ ataupun perangsang saraf akan digunakan untuk mengesan dengan tepat punca penyakit ini,” kata beliau.

Rawatan

“Biasanya pesakit yang mengalami kesakitan kronik telah bertemu banyak doktor dan mencuba pelbagai jenis ubat,” kata Dr. Anwar.

Disebabkan kesakitan kronik melibatkan banyak faktor maka rawatannya bersifat multi disiplin iaitu lebih daripada satu disiplin dalam perubatan.

Biasanya antara disiplin yang terlibat adalah:

- Pakar Kesakitan Kronik

- Pakar Orthopedik

- Pakar Bedah Neuro

- Pakar Psikologi dan Psikiatrik

- Fisioterapi

- Jurupulih cara kerja

Menurut Dr. Anwar, pakar kesakitan kronik selalunya akan menyelia pesakit serta bertindak sebagai ‘team leader‘ untuk pasukan tersebut.

Antara modaliti rawatan yang disyorkan oleh pakar sakit kronik adalah:

-Suntikan epidural atau radiofrekuensi untuk rawatan sakit belakang, slipped disc, sindrom faset bahagian lumbar atau servikal.

-Suntikan radiofrekuensi (RF) juga boleh digunakan untuk merawat sakit kepala yang berpanjangan atau migrain yang kronik.

-Selain dari suntikan RF , suntikan Botox serta ‘neurolytic‘ juga boleh mengurangkan malah menyembuhkan sebahagian dari penyakit sendi atau otot yang kronik.

-Suntikan Neuroplasty adalah antara kaedah rawatan tanpa pembedahan yang terkini untuk ‘slipped disc‘ atau sakit urat tulang belakang di mana pesakit akan ditusuk dengan jarum serta kateter yang dipandu arah melalui sinaran X ke tempat cakera atau tulang belakang yang bermasalah. Pesakit tidak perlu lagi menjalani pembedahan major atau tinggal lama di hospital kerana prosedur cuma mengambil masa setengah jam.

-Rawatan Intervensi Kesakitan Kronik yang dipraktikkan oleh pakar- pakar kesakitan kronik kini berupaya mengambil-alih dan lebih popular di kalangan pesakit-pesakit kronik. Ini kerana ia tidak melibatkan pembedahan yang besar serta komplikasinya yang sangat minimum. Keberkesanannya adalah setara malah mungkin lebih baik dari pembedahan tulang belakang (spine operation) yang besar.

Mampukah rawatan alternatif pulihkan kesakitan kronik?

Setakat ini, menurut Dr Anwar, hanya rawatan akupunktur yang disahkan mampu mengurangkan kesakitan kronik dan ia sudah dipraktikkan di negara-negara Barat. Malah, beberapa hospital kerajaan dalam negara turut mempraktikkan kaedah tersebut bagi membantu masalah kesakitan kronik di kalangan pesakit.

Namun, lain-lain rawatan alternatif belum disahkan secara saintifik keberkesanannya dalam merawati kesakitan kronik.

Jelas Dr. Anwar, pengurusan kesakitan kronik adalah langkah terbaik bagi mengatasi sakit berpanjangan supaya pesakit boleh menjalani hidup dengan lebih berkualiti. Sebarang pertanyaan boleh menghantar e-mel ke msipp@gmail.com atau melayari laman web www.masp.org.my.

No comments: