PElbagai kisah pesakit angin ahmar dikongsikan dalam filem Against The Wind. - Gambar hiasan
NAMUN apabila pengasas Persatuan Strok Kebangsaan Malaysia (Nasam),
Janet Yeo, mendekati Wayne yang merupakan pengarah filem terkenal dari
Taiwan, bagi memintanya menghasilkan video selama lima minit mengenai
persatuan itu, beliau bersetuju.
Apatah lagi selepas melawat Nasam dan melihat sendiri semangat juang
yang ada pada pesakit-pesakit strok (angin ahmar) di situ, Wayne yang
juga pemenang pelbagai anugerah sedar bahawa terdapat pelbagai
cerita-cerita bernilai untuk dikongsikan yang tidak cukup untuk
dipaparkan dalam sebuah video yang pendek.
"Kisah-kisah menyentuh perasaan ini harus dibangunkan menjadi sebuah
projek yang lebih bermakna. Bukan hanya video pendek tapi lebih daripada
itu," katanya sambil disambut dengan penuh gembira oleh Janet.
Sebagai pengarah berkaliber, Wayne tidak terburu-buru. Sebaliknya,
beliau melakukan kajian mendalam tentang penyakit dan apa yang dialami
pesakit.
Beliau sendiri mengakui tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai
angin ahmar, jadi sebagai langkah permulaan, Wayne mengambil inisiatif
meluangkan masa berbual dengan pesakit angin ahmar seramai yang boleh.
"Bukan hanya pesakit, ahli keluarga mereka juga mempunyai pelbagai
kisah berbeza untuk dikongsikan. Selepas berbual dengan mereka, kami
memilih beberapa kisah yang pada kami benar-benar memberi inspirasi.
"Secara purata, penggambaran cerita setiap watak mengambil masa tiga
minggu. Tetapi ini adalah kisah sepanjang tiga tahun, kerana kami ingin
merakam kisah perjalanan dan perkembangan mereka," katanya dalam majlis
pratonton filem yang diberi nama
Against The Wind di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Dokumentari arahan Wayne dengan kerjasama Nasam itu memaparkan kisah
benar perjuangan beberapa pesakit angin ahmar untuk mengembalikan
kehidupan lama mereka.
"Kami menghabiskan masa selama tiga tahun untuk penggambaran
dokumentari ini. Tanpa kerjasama yang erat dengan Janet dan Nasam
sendiri tentu tidak mungkin berhasil.
"Janet adalah penasihat yang baik. Dokumentari ini kami bahagikan
kepada beberapa segmen untuk setiap rakaman, kemudian kami dapatkan
maklum balas tentang cara penyampaian bagaimanakah yang paling berkesan
untuk ditonton orang awam.
"Kami akan mengkaji semula setiap rakaman bersama para penyunting
untuk mencari cara terbaik menjayakan filem tersebut dengan cara yang
paling memberangsangkan. Kerja-kerja penyuntingan sebenar hanya bermula
pada tahun ketiga kami," imbas Wayne.
Sebenarnya tidak mudah berkomunikasi secara mendalam dengan pesakit dan itulah cabaran yang dihadapi Wayne.
Beliau tahu hubungan perlu dibina berdasarkan kepercayaan para
pesakit angin ahmar kerana sebahagian besar daripada dokumentari ini
bergantung kepada kerelaan mereka untuk berkongsi kisah duka yang
menyayat hati.
"Ramai antara mereka yang pada awalnya keberatan untuk menceritakan
semula kisah duka tersebut. Semasa penggambaran, maruah para pesakit
menjadi keutamaan kami, kerana semestinya niat kami adalah untuk tidak
memaparkan angin ahmar sebagai keadaan yang menyedihkan serta
menakutkan.
"Matlamat utama kami adalah berdasarkan demografi memandangkan salah
satu mesej penting dalam dokumentari ini ialah memberi penekanan bahawa
sesiapa sahaja mungkin menjadi mangsa angin ahmar.
"Nasam telah membantu dengan mencadangkan beberapa ciri-ciri angin
ahmar yang dipaparkan dalam dokumentari ini. Matlamat akhir kami adalah
untuk memaparkan kisah benar serta sebuah gambaran jujur tentang
kesakitan yang ditanggung, kesedihan dan kegembiraan dalam diam demi
hasrat untuk pulih oleh para pesakit angin ahmar ini.
"Mesej utama saya menghasilkan dokumentari ini sama seperti Nasam
iaitu masih ada kehidupan selepas angin ahmar, jangan berputus asa.
"Kami juga ingin memberitahu bahawa angin ahmar boleh berlaku pada
sesiapa sahaja, dan jika berlaku, sokongan keluarga adalah separuh
daripada perjuangan mereka ke arah pemulihan.
"Ini adalah sebuah projek yang sangat teliti. Saya telah bekerja
dengan imaginasi visual dan seni di dalam dokumentari-dokumentari saya
yang lain," kata Wayne,
Tetapi katanya, untuk
Against The Wind, dia dan krew dapat
merasai keperitan para pesakit angin ahmar ini apabila melihat kepayahan
mereka untuk menempuh hari-hari mereka.
"Saya berbangga kami telah melakukan projek ini ia adalah sesuatu yang tepat untuk dilakukan.
"Sekurang-kurangnya sekarang, jika sesiapa mengalami angin ahmar akan
lebih menghargai ketabahan dan keazaman yang diperlukan untuk pulih
melalui beberapa langkah untuk kembali menjalani kehidupan yang normal,"
katanya
Inspirasi
Antara pesakit yang dipaparkan dalam dokumentari itu ialah
Muniandy Portoraja
- bekas juruteknik tentera udara yang aktif dalam sukan rugbi dan bola
sepak - kini hanya mampu duduk atas kerusi roda kerana menjadi mangsa
strok.
Begitu juga
Farahneza Mohd. Helmi seorang peguam berjaya yang
berusia 32 dan baru melahirkan bayi apabila kedua-dua kakinya tidak
dapat bergerak malah dia tidak boleh bercakap. Dia kini duduk di rumah
orang tua dan hanya boleh berkomunikasi dengan tulisan. Suaminya telah
tinggalkannya dan kini ibu muda itu amat merindui anak-anaknya.
Farah dan Muniandy adalah antara lapan pesakit angin ahmar yang dipaparkan di dalam dokumentari Nasam tersebut.
Dokumentari kira-kira satu jam 40 minit itu ditayangkan secara rasmi bermula 29 Oktober lalu di beberapa pawagam terpilih.
- NOOR FAZRINA KAMAL