Saturday, March 2, 2013

Brakiterapi satu lagi rawatan kanser

Brakiterapi satu lagi rawatan kanser

Dr. Muhammad Azrif menunjukkan peralatan yang digunakan bagi rawatan brakiterapi.
SEBELUM ini rawatan kanser hanya dikaitkan dengan kemoterapi dan radioterapi - kaedah biasa rawatan.
Kini terdapat satu lagi rawatan yang menjurus kepada kawasan spesifik diserang sel kanser yang dapat mengurangkan kesan sampingan .
Pakar Runding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Muhammad Azrif Ahmad Annuar berkata, kini pesakit kanser mempunyai pilihan rawatan.
"Brakiterapi yang juga dikenali sebagai benih radioaktif adalah satu lagi rawatan radiasi yang digunakan dalam rawatan kanser," katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, brakiterapi adalah satu rawatan yang paling berjaya bagi pelbagai jenis kanser termasuk prostat, pangkal rahim, payudara, kulit, kepala dan leher,endometrium dan tisu lembut sarkoma.
"Rawatan ini dengan harga berpatutan dan kompetitif, adalah teknik yang menggunakan radiasi secara minimum pada kawasan terhad.
"Brakiterapi meninggalkan kesan sampingan yang rendah dan boleh dilakukan setiap hari ke atas pesakit luar atau berasaskan penjagaan harian," katanya.
Beliau berkata, menggunakan brakiterapi membolehkan radiasi sampai terus kepada tumor atau ke dalam rongga badan daripada satu implan yang datang dalam pelbagai saiz dan bentuk sama ada kekal atau sementara.
"Implan kekal, tinggal dalam badan malah selepas rawatan tamat kerana implan memberikan radiasi dalam dos rendah secara perlahan-lahan dalam satu tempoh masa sehingga tiada lagi radiasi.
"Pesakit tidak perlu bimbang kerana kesan radiasi hanya menjejaskan kawasan kecil di sekitar implan dan biasanya tidak menjejaskan orang lain," katanya.
Rawatan ini jelasnya mungkin perlu diulang beberapa hari sehingga seminggu atau kadangkala lebih lama mengikut jenis kanser yang dihidapi.
Antara faedah rawatan, meningkatkan kesihatan tisu dan boleh mengurangkan tempoh rawatan bagi sesetengah jenis kanser.
Pusat Perubatan Prince Court telah memulakan program brakiterapi bagi beberapa jenis kanser seperti pangkal rahim dan endometrium terlebih dahulu.
"Pihak kami akan meluaskan brakiterapi bagi kanser jenis lain seperti kepala, leher dan payudara pada masa depan," katanya.

No comments: