Bulu mata yang tebal dan lentik memberikan nilai tambah terhadap penampilan seseorang wanita. Namun tidak semua wanita bertuah untuk memilikinya, kerana keadaan bulu mata dipengaruhi faktor genetik. Jika bulu mata kita berada dalam kategori ‘biasa-biasa’ sahaja, apa yang dapat dilakukan hanyalah menjaga bulu mata agar ia kelihatan lebih cantik.
"Untuk memiliki bulu mata yang sihat, apa yang paling penting ialah memberi perhatian terhadap pemakanan. Sebaik-baiknya, makanlah makanan yang mengandungi vitamin E kerana ia bagus untuk kulit selain memperkuatkan rambut," kata Setiausaha Persatuan Pakar Kecantikan dan Pengusaha Salun Indonesia Tiara Kusuma DPD-DIY, Ayu Vembryanto.
Untuk mencantikkan bulu mata, gunakanlah maskara. "Celak atau penggaris mata pula boleh digunakan untuk memperjelaskan bentuk mata," ujar wanita yang juga aktif dalam Persatuan Perias Pengantin Indonesia (HARPI) itu.
Bagaimanakah pula cara menangani masalah bulu mata gugur?
Doktor Antipenuaan dari Universiti Udayana Bali yang juga alumni FK Universiti YARSI, Dr. Merry menjelaskan, pada dasarnya bulu mata juga boleh mengalami kerosakan seperti mana rambut.
"Punca kegugurannya juga sama iaitu sama ada disebabkan oleh faktor radang seperti jangkitan kuman dan kulat, atau pun kerana faktor trauma seperti trauma stres atau trauma mekanik akibat sering terdedah kepada suhu panas. Trauma kerana penggunaan kosmetik seperti memakai maskara yang kurang sesuai juga boleh menjadi penyebabnya," jelas Dr. Merry.
Bulu mata juga boleh gugur akibat faktor retrogresif dan progresif iaitu apabila seseorang terlebih atau kekurangan diet makanan tertentu. Menurut Dr. Merry, masalah keguguran bulu mata ini boleh menjadi semakin parah jika puncanya tidak ditangani.
Sekiranya seseorang mengalami keguguran bulu mata yang teruk, Dr.Merry menyarankan agar pesakit menjalani rawatan bulu mata retin A atau tretinoin. "Namun, rawatan ini harus dijalankan secara berhati-hati kerana ia berisiko mengakibatkan trauma pada mata. Sebagai pilihan, kita juga boleh menggunakan vitamin E, lidah buaya (aloe vera), kacang hazel bakar dan minyak zaitun untuk menyihatkan bulu mata," jelas pemilik Spa Kecantikan Terapi Griya itu lagi.
Jelas beliau lagi, bulu mata sememangnya memerlukan penjagaan. Justeru terdapat banyak produk tambahan khusus untuk menebalkan bulu mata seperti zink, selenium, dan vitamin E.
"Untuk melentikkan bulu mata, terlebih dahulu kita harus menjaga kebersihan mata. Jika berlaku jangkitan atau pun gangguan lain, rawatilah ia segera, dan amalkan pemakanan yang mengandungi selenium, zink mahu pun vitamin E," ujar Dr. Merry.
No comments:
Post a Comment